Selasa, 1 September 2009

Ekspedisi Berbasikal


Berbasikal kini bukanlah lagi trend anak muda zaman sekarang. Mereka lebih suka menunggang motosikal yang jauh lebih laju dan tidak menggunakan tenaga sendiri. Sehinggakan ada yang sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menambahkan lagi kuasa motor untuk mencapai had kelajuan maksima. Tidak ketinggalan juga yang menambah eksessori motosikal mereka dengan pelbagai 'trend' masa kini. Yang lebih parah adalah mereka2 yang terlibat dalam pelumbaan haram yang juga dikenali sebagai 'mat rempit'.

Dahulu, basikal didatangkan dalam pelbagai jenis dan rupa. Ada basikal BMX, ada basikal 'Jipang' (biasanya basikal jenis ini telah diubahsuai), basikal 'Racing', Mountain Bike dan banyak lagi. Menyedari hakikat ini, Cikgu Thani telah merancang pelbagai program termasuk yang melibatkan pengembaraan berbasikal. Sehingga kini, ujian kenaikan pangkat Pegawai Waran KRS dimasukkan aktiviti berbasikal sebagai salah satu komponennya. Untuk yang tidak pernah tahu asal usul aktiviti berbasikal di dalam KRS, mari kita bersama-sama mengikuti catatan ini hingga akhir.

Semasa zaman Pak Chu, Abang Rulan dan seangkatan dengan mereka, pengembaraan berbasikal dilakukan dengan menggunakan basikal BMX. Aku masih simpan gambar Cikgu Thani yang sedang melakukan 'Willy' menggunakan basikal tersebut. Namun, dalam catatan ini aku ingin berkongsi pengalaman aku mengembara bersama-sama Cikgu Thani ke Sg Pisang (sempadan gombak-karak) dengan berbasikal.

Ekspedisi tersebut di ketuai oleh seorang ahli KRS daripada SM Maxwell, Jalan Ipoh yang kami panggil 'Am'. Di waktu itu aku berada di tingkatan 2 sementara Am berada di tingkatan 3. Jalinan KRS antara SM Raja Abdullah dengan SM Maxwell ketika itu agak rapat. Mereka selalu juga turun ke SM Raja Abdullah untuk bersama-sama menjalani latihan mingguan. Ekspedisi ini diiringi oleh dua buah motosikal. Satu kepunyaan Cikgu Thani dan satu lagi kepunyaan Cikgu Amir yang dibonceng bersama dengan Abang Rahim. Mereka menunggang motosikal sebagai langkah menghadapi kecemasan seperti basikal rosak dan sebagainya.

Banyak kejadian lucu berlaku semasa ekspedisi kami. Antaranya ialah 'eksiden' sesama sendiri. Waktu itu kami baru saja melepasi kawasan Batu Muda, Ampat Tin dan memasuki lebuhraya Karak dari sana. Kami menyusur di tepi lebuhraya sambil diiringi oleh Cikgu Thani yang berada di hadapan dan Cikgu Amir & Abang Rahim yang berada dibelakang sekali. Kami berkayuh agak laju ketika itu. Maklumlah, masing2 menunggang 'Mountain Bike' yang mempunyai gear yang boleh dimanipulasi untuk menyesuaikan penunggang dengan kayuhan yang bergantung kepada bentuk muka bumi. Tiba2 Cikgu Thani menekan brek. Apa lagi, kami yang sedang mengayuh basikal secara agak rapat tidak sempat menekan brek. Kami berlanggar antara satu sama lain hingga ada yang tergolek. Seingat aku, jatuhan aku semasa itu agak 'hensem'. Setelah memastikan semua peserta ekspedisi tidak mengalami apa2 kecederaan serius, Am memulakan kayuhannya semula untuk ke destinasi diikuti pula oleh kami.

Semasa di batu 12 gombak, Cikgu Thani singgah di Muzium Orang Asli di situ. Arshad, yang terkenal dengan sifat suka mengusiknya juga ikut. Ditambah pula dengan kawan rapatnya yang bernama Norman. Mereka memang sering bersama dan tentu sekali, gelak bersama. Semasa berada di dalam Muzium, kami melewati beberapa gambar orang2 asli dan keturunan mereka yang digantungkan di dinding. Aku tidak mahu cerita secara terperinci bagaimana bentuk gambar tersebut tetapi dek kerana kepelikannya, Arshad dan Norman terlepas ketawa berdekah-dekah sehingga semua pengunjung Muzium bergegas ke tempat Arshad dan Norman berada. Mereka (termasuk Cikgu Thani) sangkakan ada pergaduhan berlaku dek kerana kuatnya dekahan ketawa mereka. Apalagi, Cikgu Thani berasa malu yang amat sangat dek kerana peristiwa itu. Aku dan kawan2 lain yang baru saja hendak melangkah masuk ke Muzium terus diarahkan untuk meneruskan perjalanan. Rugi rasanya kerana tidak sempat untuk melawat ke seluruh kawasan Muzium. Seingat aku, Muzium tersebut masih lagi ada di batu 12, Gombak.

Semasa perjalanan pulang ke SM Raja Abdullah, ada peristiwa yang berlaku yang aku tidak mungkin dapat lupakan. Kami di waktu itu baru bertolak daripada sebuah asrama tahfiz (kami bermalam di sana) menuju ke sekolah. Beberapa minit selepas perjalanan bermula, kami terdengar latahan daripada belakang. Rupa2nya ianya reaksi spontan Norman kerana tayar basikalnya tercabut! Hendak kami gelak, kasihan pula melihat Norman yang terjelupuk jatuh. Tapi kalau tidak gelak kami takut sakit perut pula. Untuk mengelakkan perut daripada sakit, kami gelak sikit2. Cukup sekadar memenuhi reaksi hormon gelak yang tersebar sejak tadi. Cikgu Amir membawa Norman yang menggendung basikalnya sambil membonceng motor. Mereka membaiki basikal tersebut di sebuah kedai basikal di Gombak. Dengar cerita daripada Norman, rim basikalnya bengkok. Mujurlah dia menunggang basikal 'Racing' bukannya 'Mountain Bike'. Kalau tidak, sakit juga bahu untuk menggendong basikal itu sambil membonceng motor. Mungkin ini balasan daripada gelakkan orang asli agaknya? Kesian..kesian.

Itulah di antara pengalaman aku menunggang basikal dalam sebuah ekspedisi yang diuruskan oleh Cikgu Thani. Banyak sebenarnya nilai2 yang boleh diambil daripada peristiwa2 tersebut. Kesetiakawanan, sifat selalu berhati-hati, jangan memandang rendah orang lain dan pelbagai lagi nilai2 murni yang telahpun Cikgu Thani terapkan melalui ekspedisi berbasikal tersebut. Aku berharap agar aktiviti ini kekal menjadi identiti KRS buat selama-lamanya. Biarlah zaman berubah, namun aktiviti berbasikal tidak tenggelam dek masa yang berlalu. Sekian.

1 ulasan:

  1. xpdc berbasikal pada zaman kami memang banyak...tapi yang paling grand ialah xpdc dari sekolah ke Kg. Janda Baik, Pahang...saya masih menyimpan foto-fotonye sebagai kenangan..

    BalasPadam