Rabu, 27 Mac 2013

Walkie Talkie - Tahu Guna?


Baru-baru ini, aku terlibat sebagai jurulatih & Pegawai Bertugas di Perkhemahan TKRS Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Kem Wirajaya, Ulu Langat. Pelbagai aktiviti menarik yang dilaksanakan di perkhemahan tersebut. Namun, ada satu perkara yang telah mengingatkan aku tentang coretan sejarah aku dan Cikgu Thani.... Walkie Talkie.
Penggunaan Walkie Talkie bukanlah perkara baru. Namun, ada sejarah penggunaannya di dalam KRS. Aku masih ingat lagi kali pertama Cikgu Thani memiliki Walkie Talkie. Ianya digunakan di Kem Belia Waja di Port Dickson. Kalau tidak salah aku, ada Jambori KRS peringkat kebangsaan. Cuma, aku tidak ingat nama perkhemahan tersebut. Ketika itu aku berada di tingkatan 3, tahun 1994 sebagai pembantu jurulatih.
Seronok betul bila mengenangkan kali pertama aku menggunakan Walkie Talkie tersebut. Manakan tidak? Selama ini hanya mampu melihat pegawai2 polis saja yang menggunakannya. Bila tekan saja 'button' dan cakap '03 masuk!'. Wah, sudah terasa seperti seorang polis! Lepas sudah mencuba pelbagai perkara tentang Walkie Talkie tersebut, mulalah hendak cari 'channel' polis pula. Tapi kalau setakat Walkie Talkie yang biasa, mana kan jadi?!
Salah satu kejadian yang berlaku ialah ketika seorang senior aku (tingkatan 4) menggunakan Walkie Talkie untuk mengorat anak makcik kantin di kem tersebut. Senior aku ini telah diamanahkan oleh Cikgu Thani untuk menjaga Walkie Talkie. Jadi, dia bagilah salah satu Walkie Talkie pada anak makcik kantin itu tadi. Mula-mula kami meluat juga bila dengar dalam channel Walkie Talkie ayat-ayat manis dia mengorat anak makcik kantin itu. Punyalah seronok dia mengayat. Masa itu anak makcik kantin itu di kantin, senior aku di wakaf (tempat lain) manakala kami di dorm jurulatih. Tiba-tiba Cikgu Thani muncul entah dari mana masuk ke dalam dorm. Maka beliau pun terdengar perbualan romantis tersebut...
Muka Cikgu Thani berubah dan beliau terus memberi arahan untuk mengumpul semula semua Walkie Talkie yang dimilikinya. Apalagi... Terkejut beruklah senior aku dan awek kantin itu. Kami semua terasa hendak gelak tapi tidak berani sebab kami berada di hadapan Cikgu Thani. Kami ambil keputusan untuk tahan dulu gelak yang semakin membuak-buak. Elok saja Cikgu Thani melangkah 5 langkah keluar dari dorm jurulatih, kami gelak terbahak2. Namun dalam masa yang sama aku kasihan juga melihat senior aku itu. Maklumlah, 'kantoi' di kala cinta berputik. Hihi...
Sebenarnya bukanlah satu perkara yang sukar untuk menggunakan Walkie Talkie. Namun, aku pernah mendapat latihan terus daripada Cikgu Thani tentang penggunaannya. Semoga tiada lagi yang menggunakan Walkie Talkie dengan cara yang salah. Ingat! Orang lain juga mendengar suara anda.... Sekian. ;)