Jumaat, 28 Ogos 2009

Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM)


Sejarah Kadet Remaja Sekolah (KRS) sebenarnya bermula pada akhir 80-an. Aku di waktu itu masih lagi bersekolah di SRK Seri Delima, Jalan Ipoh. Daripada cerita abang2 senior, asalnya terdapat sekumpulan pengembara dari Persatuan Pelajar Islam, SM Raja Abdullah yang diketuai oleh Allahyarham Cikgu Thani yang sangat suka mengadakan aktiviti 'outdoor' dan pengembaraan. Mereka terdiri daripada beberapa orang pelajar petang (Tingkatan 1 & 2) yang sangat rapat. Antara yang masih aku ingat ialah Pak Chu (sekarang ini sibuk dengan perniagaan import-export), Abang Rulan Lembang, Abang Maizin dan ramai lagi. Tapi yang masih aku ingat 3 yang pertama aku sebutkan tadi. Sebab, Pak Chu ini memang agak rapat dengan aku semasa aku masih di SM Raja Abdullah. Abang Rulan ini sebenarnya abang kepada kawan aku, Bryan Lembang. Dan Abang Maizin, semua orang2 lama dalam KRS ingat kepada dia. Maklumlah, jurulatih yang paling garang di waktu itu sampai dapat gelaran 'Singa Putera Islam'. Selepas mereka, timbullah pula nama2 seperti abang Misran, abang Nazri, abang Hisham (titiwangsa), abang Shahrul (aku rapat dengan dia sebab satu kumpulan nasyid), abang Rahim, abang Ijad (titiwangsa), abang Faizal dan ramai lagi.

Semasa ahli Persatuan Agama Islam ini ditukar kepada Kadet Putera Islam Malaysia, aku masih lagi di sekolah rendah. Aku ingat lagi masa tu aku di darjah 5 Anggerik. Seorang kawan aku, Bryan Lembang berbincang dengan Cikgu Shahrom dan Guru Besar untuk menubuhkan Putera Islam di SRK Seri Delima. Aku antara sahabat yang baik dengannya tentu sekali menjadi antara ahli pertama menyertai Putera Islam selepas Guru Besar meluluskan usul Bryan tadi. Yang aku pelik dan terfikir sekarang ini, macamana pula boleh Guru Besar boleh luluskan begitu saja sedangkan sekarang ini kalau hendak menubuhkan apa2 unit beruniform perlu melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan pelbagai lagi borang yang perlu diisi. Walau apapun kemusykilannya, Putera Islam berjaya ditubuhkan di SRK Seri Delima. Namun, aktivitinya tidak banyak. Mungkin kerana Bryan tidak terlalu didedahkan dengan KPIM lagi di waktu itu. Mungkin dia hanya mendengar cerita daripada abangnya, Rulan Lembang. Aktiviti Putera Islam di SRK Seri Delima lebih mirip kepada Persatuan Pelajar Islam. Basuh surau, ajak kawan2 solat berjemaah, belajar mengaji Al-Quran dan macam2 lagi aktiviti berbentuk keagamaan dan tidak ada aktiviti berbentuk fizikal. Putera Islam terkubur di SRK Seri Delima selepas aku dan Bryan tamat darjah 6.

Namun, setelah aku masuk ke SM Raja Abdullah dan mengenali abang Rulan, baru aku mengerti apa yang cuba Bryan bawakan. Bryan bersekolah menengah di Victoria Institute dan aku 'lost contact' dengannya sehingga sekarang. Namun, di SM Raja Abdullah aku mengenali abangnya, Rulan Lembang. Mukanya saling tidak tumpah mirip Bryan.

Untuk ahli2 biasa KPIM, mereka hanya dibenarkan memakai T-shirt hijau yang mempunyai tulisan 'Ashababul Mustaghbal' serta seluar sekolah. T-shirt ini dijual oleh Cikgu Thani sendiri. Dari mana beliau mendapat stok, aku pun tidak tahu. Bagi yang mampu, boleh membeli 'Jungle Boot'. Kalau tidak, kasut sekolah sudah memadai. Namun, pada kami yang penuh bersemangat KPIM ini, tidak 'stylo' kalau hanya memakai kasut sekolah. Maka, ada di antara kami yang mencari boot askar dari kalangan keluarga mereka yang bekerja sebagai seorang askar. Aku membeli sendiri boot tersebut daripada sebuah kedai di Pertama Complex berharga RM65.00. Aku cukup puas memiliki boot askar tersebut dan aku jaga sepenuh hati dengan mengilatkannya dengan Kiwi + air paip. Sampai sekarang skill mengilat kasut ini masih aku praktikkan terutama untuk kasut aku pergi bekerja. Kilat beb!

Semasa aku di tingkatan 3, nama KPIM ini telah ditukarkan kepada Kadet Remaja Islam Sekolah (KRIS). Ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar perempuan untuk menyertai pasukan ini. Namun, Cikgu Thani merupakan seorang guru yang sangat tegas. Di waktu ini, belum lagi ahli2 KRIS dari kalangan pelajar perempuan di ambil oleh beliau. Untuk pengetahuan semua, antara kepantangan Cikgu Thani adalah apabila mengetahui sesiapa di antara muridnya yang ber'couple'. Maklumlah, remaja. Cikgu Thani tidak akan teragak-agak mengambil tindakan drastik termasuk 'membuang' pelajar tersebut daripada menjadi ahli Kadet. Dahulu, tindakan 'membuang' keahlian Kadet merupakan satu tindakan yang amat kami takuti daripada Cikgu Thani. Budaya ini sangat berbeza dengan sekarang. Seolah-oleh kena 'buang Kadet' ini tidak mendatangkan apa2 kesan kepada psikologi pelajar tersebut. Itulah antara perbezaan pelajar dahulu dengan pelajar sekarang.

Nama KRIS itu akhirnya diubah kepada Kadet Remaja Sekolah (KRS) semasa aku berada di tingkatan 4. Ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar2 yang bukan beragama Islam menyertai unit beruniform ini. Sebenarnya, semasa aku di tingkatan 2 pun, Cikgu Thani ada mengambil ahli2 KPIM dari kalangan bukan Islam. Nama2 seperti Mohan, Gopinathan dan lain2 masih lagi segar dalam ingatan. Mungkin dengan menukar KRIS kepada KRS dapat membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar2 bukan Islam untuk menyertai unit beruniform ini. Selain daripada itu, pihak Kementerian Pelajaran pun mendesak agar nama ini ditukarkan bersesuaian dengan negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Cikgu Thani pernah berkata kepada aku, "Li, cikgu rasa kalau semuanya sudah selesai (KRS diiktiraf), tidak ada apa lagi yang cikgu harapkan. Li mesti majukan diri dalam pelajaran". Kata2 beliau ini sememangnya tetap terngiang-ngiang dalam hati aku hingga sekarang. Aku betul2 tidak sangka, beberapa tahun selepas kata2 beliau itu, beliau benar2 pergi meninggalkan aku, kawan2, cikgu2, keluarga dan dunia ini. Pemergian beliau sememangnya satu kehilangan besar dalam KRS. Al-Fatihah.

4 ulasan:

  1. Al fatihah...
    Sumbangan Cikgu Thani amatlah besar...
    namun apabila aku tany budak KRS sekarang,
    mereka tidak mengenali Cikgu Thani...

    Sedih jugak. Sekarang ni Isteri Arwah menjaga anak-anak cikgu Thani serba kekurangan...

    BalasPadam
  2. Aku rasa..aku ada simpan lagi baju Ashababul Mustaghbal tue..

    BalasPadam