Khamis, 17 September 2009

Cikgu Thani - Pemimpin Teragung KRS


"Generasi demi generasi. Pemimpin silih berganti. Ada yang datang dan ada yang pergi. Yang datang membawa ideologi. Yang pergi meninggalkan bakti. Tidak semua pemimpin sama hebat. Ada yang Tuah dan ada yang Jebat. Yang dipimpin pula harus sepakat. Agar semua mendapat berkat. Pemimpin sejati sahsiah hebat. Satu wawasan satu matlamat. Namun, yang pergi tetap dikenang. Semadi dihati pemimpin terbilang. Biar beribu biar seorang. Air mata kan jatuh bergenang. Mengenangkan dirimu Cikgu tersayang..."

Setiap kali menjelang raya, kita akan sedih mengenangkan arwah2 yang telah pergi. Bayangan kenangan bersama-sama mereka mengetuk-ngetuk pintu ilusi dan kita seakan merelakan minda sedar kita dicuri dibawah pengaruh angan-angan. Pasti di antara orang yang kita selalu kenang adalah 'guru2' kita sendiri. Mengapa? Adakah kerana mereka hanya menjadi seorang 'Cikgu' yang masuk kelas apabila sampai waktunya? Ataupun kerana mereka terlalu banyak mencorak cara kita melakonkan watak dewasa? Mungkin juga kerana mereka benar2 pendidik sejati yang tidak jemu2 mendidik dan membimbing kita semasa zaman kebodohan kita sehingga berjaya menjadi manusia yang mampu berfikir secara matang dan dewasa?

Baru2 ini aku melayari sebuah blog yang direka oleh bekas pelajar arwah Cikgu Thani di SM Sains Ulu Yam. Hampir2 menitiskan airmata bila membaca catatan yang dibuat khas berkenaan Cikgu Thani. Antara catatan yang masih aku ingat ialah berkenaan beliau yang menemankan si Blogger dan kawan2nya untuk 'prep' hingga ke tengah malam tanpa jemu sebagai satu persediaan bagi mereka menghadapi peperiksaan PMR. Ya, begitulah Cikgu Thani yang selalu mengorbankan masa beliau untuk pelajar2nya. Semasa aku sedang membuat persediaan untuk menghadapi SPM dulu pun, beliau selalu mengambil berat tentang ulangkaji aku. Aku selalu pulang lewat ke rumah kerana mengulangkaji pelajaran di Perpustakaan SMK Raja Abdullah. Kadang2 beliau masuk ke perpustakaan untuk bertanyakan bagaimana 'progress' ulangkaji yang aku lakukan sebelum beliau masuk ke kelas untuk P&P. Selepas habis ulangkaji, kadang2 aku akan jengok2 markas KRS sebelum pulang ke rumah. Kalau beliau ada, aku akan dengar dulu sepatah dua nasihat daripada beliau sebelum melangkah keluar dari sekolah. Macam2 nasihat yang beliau berikan termasuklah berkenaan pelajaran, motivasi diri, masa depan dan kadang2 berkenaan 'cinta'. Walaupun beliau tidak suka pelajar2nya bercinta semasa di sekolah, beliau banyak memberikan aku garis panduan berkenaan 'cinta'. Aku tidak tahu kalau2 beliau ada berkongsi pengalaman ini dengan pelajar2 lain.

Aku rasa terkilan kerana Cikgu Thani tidak diberikan pengiktirafan yang sepatutnya. Lihat saja hidup beliau yang penuh dengan kepayahan walaupun hatinya senang. Bila aku baca berkenaan Lord Barden Powell (Pengasas Pergerakan Pengakap Dunia), betapa ahli2 pengakap selalu mengungkap sejarah berkenaan pengasas mereka sehingga terbit beberapa buah buku berkenaan diri Lord Barden Powell itu sendiri. Aku rasa agak kecewa kerana Cikgu Thani merupakan pengasas kepada unit beruniform KRS yang pertama sekali mengasaskan unit beruniform 'buatan Malaysia' di sekolah tetapi beliau seolah-olah dilupakan di dalam sejarah. Tidak percaya? Baca berkenaan silibus KRS yang diedarkan kepada sekolah2. Dalam sejarah penubuhan KRS, nama beliau hanya disebutkan sekali saja sebagai pengasas KRS dan itulah yang diketahui oleh semua ahli2 KRS di Malaysia (itupun sekiranya mereka ambil tahu). Sepatutnya, sejarah berkenaan beliau perlu dibukukan dan diedarkan ke sekolah2 untuk disimpan di dalam perpustakaan mereka. Sekurang-kurangnya, apabila ada ahli2 KRS yang ingin mengkaji sejarah KRS itu sendiri, mereka dapat mencari maklumat yang dalam dan tepat. Susah sangatkah ini untuk dilakukan? Aku bercita-cita untuk melakukannya. Sebab itu blog ini merupakan sandaran dan juga 'kick start' untuk aku bukukan berkenaan beliau satu hari nanti.

Sesungguhnya, tidak ada pemimpin yang lebih agung di dalam KRS selain daripada Cikgu Thani. Mungkin ramai pemimpin2 yang hebat2 di dalam KRS tetapi untuk menandingi jasa dan pengorbanan Cikgu Thani aku rasa tidak ada. Sebab itu aku memilih tajuk 'Cikgu Thani - Pemimpin Teragung KRS' sebagai pembuka kepada catatan aku untuk kali ini. Beliau layak untuk mengisi gelaran itu cuma belum ada yang ingin memperjuangkannya. Jika sesudah perginya Allahyarham P.Ramlee, pelbagai anugerah diterima oleh beliau, mengapa tidak Cikgu Thani? Walaupun mungkin Cikgu Thani tidak suka dengan semua yang bersifat keduniaan tetapi tidak salah rasanya untuk mengenangkan pemimpin yang teragung ini. Agar sejarah tidak dilupakan mahupun dipadamkan. Buat ahli2 KRS yang terbaca catatan ini, tanamlah azam untuk terus berjuang di dalam KRS agar dapat mendidik anak bangsa yang berjaya. Sekian.

1 ulasan: