Jumaat, 3 Disember 2010

Puncak Irau yang memukau...


Bergerak dari Anak Irau bermaksud kami perlu bergerak turun sebelum mendaki semula. Menuruni anak Irau bukanlah mudah. Sangat curam tetapi sangat menarik. Tersalah langkah bermaksud kecederaan bakal mengundang. Nasib baik aku pakai kasut 'hiking'. Walaupun sudah sangat berlumpur namun tapaknya masih mencengkam. Buktinya, aku masih boleh berdiri di atas akar pokok yang mengunjur ke bawah tanpa jatuh. Kalau kasut sukan (walaupun adidas ori aku tu) pastinya sudah tergelincir. Baru aku faham betapa kasut 'hiking' sangat berkesan dan berperanan besar. Jenama tayar terkenal. Dunlop! ;)

Mendaki semula untuk ke puncak Irau yang sebenar sangat menarik! Masya Allah! Indahnya ciptaan Allah. Pernah tengok cerita Alice In Wonderland? Sangat serupa! Hinggakan aku berasa agak takut dek kerana terfikir kalau2 tersesat ke alam bunian. Maklumlah, tempat2 yang sebegini. Segalanya bukannya mustahil. Sudahlah yang tinggal cuma aku dengan Muhsinin. Namun, aku sangat menikmati suasananya. Aku sangat2 menganjurkan untuk kau pergi ke sini dan mengalaminya sendiri. Ianya satu suasana yang tidak akan kau dapati di tempat lain. Agaknya...

Ada beberapa tempat yang curam tetapi sangat menakjubkan pemandangannya. Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar di sini. Kami berhenti seketika sebelum sampai ke puncak Irau. Tempat ini penuh dengan hidupan2 yang sukar didapati di bawah. Salah satunya ialah pokok 'Periuk Kera'. Ketika ini kami hanya berpijak pada longgokan tumbuhan lumut yang sangat tebal. Dan peluang untuk longgokan ini 'roboh' memang ada. Sesekala, aku berasa risau berada lama di sini. Ini adalah kerana setiap kali kami bergerak, longgokan lumut ini bergegar. Gegarannya sangat ketara.

Satu lagi perkara menarik di sini ialah peluh aku mengeras menjadi ais. Mesti ramai yang tidak percaya bukan? Kalau tidak percaya, datanglah sendiri! Ada di antara kumpulan D'interval yang menggelar aku 'Santa Claus'. Ini adalah kerana peluh aku di sekitar kawasan jambang menjadi kristal2 ais dan membentuk seperti jambang 'Santa Claus'. Ada beberapa keping gambar yang Muhsinin ambil untuk menunjukkan kristal ais tersebut. Cuaca? Memang tersangat sejuk. Tidak keterlaluan sekiranya aku mengagak suhunya sekitar 1-2 darjah celcius. Sejuk bukan?

Kami akhirnya sampai di puncak Irau. Walaupun puas, kami agak kecewa. Ini adalah kerana di atas puncak Irau, hujan turun seperti tidak mahu berhenti. Kami menghabiskan makanan tengah hari dan kemudiannya mengambil beberapa 'shot' gambar di papan tanda puncak Irau. Kami tidak mengambil gambar pemandangan puncak Irau kerana keadaannya yang kabus. Lensa kamera pun ada limitasinya. Kami hanya berada di puncak sekitar 45 minit. Kami bergerak turun sekitar jam 1:30 petang.

Kami sampai semula di Tapak Perkhemahan pada pukul 5 petang. Walaupun Gunung Irau lebih tinggi namun kami tidak sepenat ketika mendaki gunung Nuang. Mungkin disebabkan kami leka menikmati pemandangan Irau yang sangat memukau sedangkan di Nuang kami banyak kali jatuh disebabkan oleh gelincir tanah merah yang basah & licin. Ima kelihatan sangat letih & menahan kesakitan. Namun aku pasti, hati Ima puas. Pengorbanannya berbaloi. Petang itu kami keletihan. Semuanya tertidur. Sangat lena (dan sejuk!!). Kami cuma terjaga pukul 10 malam. Malam itu kami makan apa saja yang ada. Muhsinin sempat juga masak daging 'black paper'. Terima kasih Gunung Irau! Wajahmu pasti tidak akan kami lupakan...

Isnin, 29 November 2010

Rintangan Ke Anak Irau


Seperti dirancang, kami bangun pukul 5:30 pagi. Walaubagaimanapun, kami perlu menyediakan sarapan & makan tengah hari (nasi himpit + ration) sebagai mengisi perut di atas gunung nanti. Leka bersiap, akhirnya kami memulakan kembara ke Irau pada pukul 8 pagi. Selepas membaca doa, kami pun bertolak.

Kami terpaksa berjalan kaki sejauh 1 km dahulu sebelum sampai ke jambatan yang menghubungkan Gunung Brinchang & Gunung Irau. Ini adalah kerana tapak khemah kami terpaksa didirikan di kawasan Menara Tinjau untuk mengelakkan kesesakan. Kawasan perkhemahan berhampiran dengan jambatan telah dipenuhi oleh pelajar2 UiTM yang datang juga untuk menakluk puncak Irau.

Sampai saja ke jambatan, kelihatan kumpulan UiTM sedang membaca doa. Mungkin mereka sudah hampir ingin bertolak ke puncak Irau. Kami mempercepatkan langkah agar menjadi kumpulan pertama yang melalui trek ke Irau. Maklumlah, kalau dah ramai yang lalu nanti, trek akan hancur & menyukarkan kami untuk berpaut dan berpijak. Di hujung jambatan, kelihatan anak tangga terakhir yang memulakan perjalanan kami ke Irau.

Destinasi pertama kami adalah 'Anak Irau'. Tempat ini merupakan kaki gunung Irau yang menghubungkan beberapa denai untuk ke gunung2 yang bersebelahan. Memandangkan kami sedang berada di puncak Gunung Brinchang, kami perlu menuruni gunung ini dahulu. Namun, laluannya bukanlah laluan kenderaan. Laluan turun adalah dibahagian lain gunung Brinchang. Perjalanan turun mengambil masa lebih kurang sejam setengah.

Satu kejadian yang berlaku, tiba2 Ima tergelincir dan terduduk tepat2 di atas sebuah batu kecil sebesar punggung. Ini menyebabkan perjalanan kami terhenti seketika. Kaki Ima kelihatan kejang (cramp). Kami bersama-sama cuba merawat Ima dengan segala sumber yang kami ada. Terima kasih 'Counter-Pain'!. Walaupun tidaklah boleh menghentikan terus kesakitan Ima tetapi sekurang-kurangnya melegakan sedikit. Kami meneruskan perjalanan setelah Ima berjaya mengumpul semangat untuk meneruskan perjalanan.

Semangat Ima sangat kuat. Walaupun kesakitan di bahagian badan sebelah kanan (dari bahu hingga ke kaki) akibat jatuh, Ima masih membulatkan tekad untuk menakluk puncak Irau. Sesekala kelihatan kaki Ima terdengkut-dengkut. Saat ini keputusan Ima untuk meneruskan perjalanan sangat2 membantu kami sekumpulan. Mana tidaknya? Kalaulah Ima berputus asa & mengambil keputusan untuk berpatah balik, tentu kami akan terpaksa berpecah. Dan tentu perjalanan ke Irau sudah menjadi tidak menarik lagi. Terima kasih Ima.

Aku bersetuju dengan Muhsinin. Perjalanan ke Irau memang sangat menarik. Kalau hendak dibandingkan dengan Gunung Nuang yang hanya banyak tanah merah, perjalanan ke Irau banyak melalui curam2 yang menampakkan pemandangan yang hebat dan indah. Semuanya ciptaan Allah yang Maha Besar. Aku terkesima dalam kepenatan. Walaupun sedikit pancit dan keletihan namun pemandangan indah ini mampu merawat segala kelelahan. Cuma sesekala aku batuk dek kerana kekurangan oksigen. Maklumlah, kesejukan yang melanda membuatkan nafas agak sukar untuk ditarik. Bernafas menggunakan mulut sangat2 membantu. Hidung perlu dibiarkan rehat buat seketika.

Akhirnya kami sampai ke anak Irau. Kelihatan beberapa denai yang menghubungkan tempat ini ke gunung2 lain. Kalaulah tersalah pilih jalan, kami mungkin akan tersesat hingga ke Kelantan. Mujurlah ada batu2 tanda yang telah dipasakkan oleh renjer2 hutan sebagai panduan ke puncak Irau. Kami berehat di anak Irau selama 10 minit. Kalau boleh, kami mahu menjadi kumpulan pertama sampai ke puncak Irau. Seperti yang aku katakan tadi, untuk mengelakkan trek2 menjadi hancur dek kerana telah ramai orang yang lalu terutama peserta2 daripada UiTM tadi. Sebelum memulakan perjalanan ke puncak Irau, seperti biasa, kami sempat bergambar. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke puncak Irau. Bersambung...

Ahad, 28 November 2010

Gunung Irau @ Gunung Brinchang? Di sini mulanya...


Ekspedisi kali ini sangat banyak dugaannya. Dugaan datang sebelum dan semasa kembara kami ke Gunung Irau. Yang merisaukan aku, dugaan sebelum ke Irau. Banyak sangat tanda2 yang tidak menyenangkan sehingga aku terfikir untuk hentikan saja kembara kali ini. Apa dugaannya? Hanya team D'interval Irau saja yang tahu. Namun, kekuatan (sponsor) yang diberikan oleh F (bukan nama sebenar) telah membakar jiwa kami untuk tetap meneruskan kembara ke Irau walau apapun cabarannya.

Kami berkhemah di atas puncak Gunung Brinchang. Ya. Pelik bukan? Sebenarnya Gunung Brinchang ini boleh didaki menggunakan kenderaan. Dengan kata lain, tidak perlu berjalan kaki ke Gunung Brinchang. Orang tua pun boleh pergi ke sana. Malahan, ramai pelancong yang datang ke puncak Gunung Brinchang untuk menikmati suasana nyaman dan pemandangan menarik puncak gunung. Kalau kau hendak pergi pun boleh. Di sini terdapat 2 perkara menarik. Pertama, ada Menara Tinjau (Watch Tower) untuk memerhatikan matahari terbenam ataupun matahari menaik. Kedua, ada jambatan yang menghubungkan Gunung Brinchang & Gunung Irau. Di sini, pemandangan puncak gunungnya sungguh memukau. Cuma satu masalahnya, tiada punca air. Maknanya kami terpaksa mengangkut air yang banyak di dalam kereta untuk kegunaan 3 hari 2 malam.

Di puncak gunung Brinchang ini sangat sejuk. Sehinggakan kabus sentiasa menyelubungi tapak perkhemahan kami. Pernah ada beberapa orang di antara kami yang terpaksa tidur di dalam kereta dek kerana terlalu sejuk sehingga badan mereka menggigil. Tahu berapa suhu di sana? Di atas puncak gunung Brinchang ini suhunya ialah 8 darjah celcius. Air cond di rumah pun paling rendah 16 darjah celcius. Bayangkan betapa sejuknya.

Seperti biasa, malam pertama, kami adakan acara barbeku dan permainan UNO. Ada sedikit masalah, api bara susah dihidupkan dek kerana cuaca yang lembab & sejuk. Kami terpaksa mengambil masa sejam hanya untuk menghidupkan bara. Api? Hanya sekali dua saja yang naik. Kami terpaksa berpuas hati dengan bara yang suam2 kuku. Mula membakar bara pukul 6:30 petang. Habis membakar ayam pukul 9:30 malam. Perut masing2 sudah memainkan bermacam-macam bunyi. Sejuk bercampur dengan lapar. Malam itu kami makan dengan sangat lahapnya. Aku? Sopan saja. ;)

Malam itu kami tidur awal. Pengalaman di Gunung Nuang mengajar kami supaya tidur awal untuk mengelakkan bangun pukul 10 pagi! Walaupun sangat sejuk, kami cuba juga untuk tidur. Sebenarnya masing2 tidur2 ayam dek kerana asyik terjaga kesejukan. Walaupun ada 'rubber mat' & 'sleeping bag', puncak Brinchang sangat ganas menyucuk kami dengan hawa sejuknya. Apa boleh buat? Kami rela melakukannya demi kepuasan diri dan demi kembara ke Irau yang kami rancangkan bersama. Bersambung...

Rabu, 17 November 2010

Destinasi Seterusnya, Gunung Irau


Ada orang kata Gunung Nuang itu tidak cantik. Bolehlah kalau setakat hendak menunaikan 'hajat' untuk menakluk gunung. Tidak kurang pula yang mengatakan Gunung Nuang itu tempat latihan untuk mendaki gunung2 yang lebih tinggi. Misalnya G7 ataupun Gunung Kinabalu. Apa2pun, aku percaya, lain orang lain pendapatnya. Yang pastinya, setiap gunung punya cabarannya sendiri. Dan ianya merupakan ciptaan Allah yang perlu dihayati.

Nampaknya aku & ahli2 D'interval yang lain sudah mula ketagihan puncak gunung. Kami sudah membulatkan keputusan untuk mendaki gunung yang seterusnya, Gunung Irau, November ini. Gunung ini terletak di Cameron Highland. Ketinggiannya mencecah 6924 kaki. Walaupun ketinggiannya lebih daripada Gunung Nuang, dengar2 khabar, gunung ini lebih menarik pemandangannya. Ada satu masalah besar tentang pendakian Gunung Irau ini iaitu tiada sumber air di kaki gunung di 'base camp'. Kami perlu merancang untuk mendapatkan air secukupnya untuk pelbagai kegunaan. Terutama untuk memasak & berwudhu. Mujurlah kereta boleh dipandu sehingga 'base camp' Gunung Irau iaitu Brinchang.

Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seorang sahabat, F (bukan nama sebenar), kerana menaja pengembaraan kami. Maklumlah, untuk ke Cameron Highland kosnya agak mahal. Terpaksalah aku mencari 'sponsor' untuk perbelanjaan kami di sana. Mujurlah ada F untuk menaja. Jasamu dikenang.

Aku sangat2 berharap agar semua yang mengenali kami dapat mendoakan kejayaan kami untuk menawan puncak Irau. Semoga segala aral yang melintang dapat kami redah dan segala dugaan dapat kami atasi. Semuanya atas kehendak Ilahi. Dan doa sahabat2 semua amatlah kami perlukan untuk mengiringi perjalanan kami. Semoga semuanya selamat. Amin...

Selasa, 27 Julai 2010

XPDC Gunung Nuang (4) - Dua Puncak Nuang


Perjalanan ke Puncak Pengasih agak menyeronokkan. Tidak ada lagi jalan tanah merah. Eh? Kalau ada pun sedikit saja. Denai yang kami lalui lebih kepada susunan akar2 kayu yang semakin meninggi. Disusuli oleh beberapa batu besar. Terpaksalah kami 'cilok' sedikit untuk mengelak daripada memanjat batu2 besar tersebut. Buat apa hendak membazir tenaga?

Walaubagaimanapun, ianya tetap menguji daya tahan mental kami. Kenapa aku kata mental? Sebabnya, itulah saja yang tinggal. Kekuatan badan sudah lama kami tinggalkan. Masing2 sudah mula kepenatan. Tapi yang peliknya, Muhsinin masih boleh lagi menyanyi. Boleh lupakan penat katanya. Ada juga sekali dua aku cuba. Ceh! Lagi bertambah mengah adalah! Mana tidaknya, nafas hendak digunakan untuk mendaki lagi. Mana sempat hendak menyanyi. Itu semua menunjukkan betapa 'fit'nya badan Muhsinin. Biasalah, orang muda. Aku ini sudah berbaya. Mana hendak sama.

Kami sampai di Puncak Pengasih lebih kurang pukul 1:30 petang. Sebenarnya, Puncak Pengasih ini bukanlah puncak Gunung Nuang yang sebenar. Walaupun ada beberapa 'view' yang tinggi dan menarik di sini, bukan ini puncak yang tertinggi. Kami berhenti seketika di sini untuk memperbetulkan nafas. Perut pun sudah mula berkeroncong. Aku ambil kesempatan untuk teroka sedikit kawasan Puncak Pengasih. Mulanya seronok juga bila dapat menghidup udara segar.

Tiba2 aku mula terbau sesuatu yang busuk. Rupa2nya, kawan2 yang lain juga terbau tapi tiada siapa berani tegur. Aku mula mencari dari mana bau itu muncul. Cari punya cari, aku terperasaan satu longgokan 'tahi kering' yang masih tidak terluak. Hampas! Baru aku teringat, kami ada terserempak dengan 2 orang pendaki berketurunan cina semalam. Mereka bertanyakan jalan untuk turun ke kawasan parking. Memang sahlah mereka punya tahi. Tidak ada orang lain yang kami jumpa selain mereka. Pengotor betul!

Kami meneruskan perjalanan ke puncak sebenar Gunung Nuang. Selepas Puncak Pengasih, laluannya bukan lagi mendaki tetapi menurun. Kami menurun lebih kurang setengah jam sebelum mendaki semula. Wah, masing2 laju saja bila menurun. Walaubagaimanapun, aku tetap lambat. Perjalanan ke Puncak Nuang mengambil masa 1 jam. Kira2 20 meter sebelum sampai puncak, ada batu besar yang kami terpaksa panjat. Yang menariknya, di situ terdapat gaung yang tersangat tinggi. Sayup mata memandang. Kami terpaksa lebih berhati-hati di situ. Tidak mahu termasuk di dalam statistik 'pendaki yang terkorban' di Gunung Nuang. Kemudian kami melalui sedikit belukar dan akhirnya.... kami berjaya menawan puncak Gunung Nuang!!

Kami duduk seketika. Menikmati kejayaan dan keindahan puncak. Kami terpegun. Ramai di antara kami yang pertama kali menawan puncak gunung. Aku? Macam biasa, terduduk kepenatan. Kami mengeluarkan bekal masing2. Nasi himpit + daging kurma (ration). Perut yang lapar menyebabkan kami benar2 selera melahap apa saja yang kami bawa. Sempat juga Muhsinin masak meggi kari di situ. Meggi yang hanya 2 bungkus dimakan oleh 8 orang. Bayangkan.

Macam biasa, kami bergambar dan ber'posing'. Kami perlu lakukan semua itu dengan pantas. Sebabnya, jam menunjukkan pukul 3 petang. Kami tahu kami tidak punya banyak masa untuk meraikan kejayaan. Sempat juga kami melayan kerenah beberapa ekor tupai yang terbau makanan kami. Kenyang tupai2 itu hari itu.

Yang pastinya, kami puas. Segala penat lelah bermula daripada proses merancang, perbelanjaan, mendaki, terjatuh, terhantuk dan macam2 lagi bagaikan terubat dengan pemandangan puncak gunung yang memukau. Tapi bila tanya dengan Muhsinin, katanya ada banyak lagi gunung yang jauh lebih menarik daripada Gunung Nuang. Namun, kami buat2 tidak dengar. Biarlah kami menikmati dahulu kejayaan menakluki puncak Gunung Nuang. Allahuakbar!!!!

Ahad, 11 Julai 2010

XPDC Gunung Nuang (3) - Kem Pacat


Dari kawasan kem, kami berjalan lebih kurang 200 meter untuk ke 'starting point' denai ke puncak Nuang. Di situ kami terjumpa dengan wakaf yang agak kotor. Wakaf inilah sebenarnya tempat 'terbaik' untuk dirikan khemah berhampiran dengannya. Seperti yang dikatakan oleh renjer Gunung Nuang sebelum kami bergerak ke Kem Lolo hari sebelumnya. Memang pun best tempatnya. Ada wakaf untuk kami lari berteduh sekiranya hujan lebat. Sungai pun dekat. Kawasan pun memang rata. Tapi hendak buat macammana? Khemah sudah pun didirikan dikawasan lain. Terima sajalah. ;(

Sebaik saja kami memulakan perjalanan, aku memandang ke arah trek puncak Nuang. Ya Allah! Sudutnya sungguh cerun. Dalam lingkungan 65 ke 70 darjah kecerunannya. Sudah tentu banyak menggunakan otot kaki dan tenaga. Seperti yang telah aku jangka, tidak sampai 200 meter perjalanan, aku sudah mula bernafas menggunakan mulut (tercungaplah tu). Kadang2 aku pun tertanya-tanya, kenapalah aku berada di sini? Kan lebih elok kalau duduk rumah saja. Tilam pun empok. Bilik pun sejuk sebab ada 'air-cond'. Dan, boleh bersantai sambil melayan 'facebook'. Namun, rutin itu sudah terlalu rutin. Aku ingin merasai suasana yang jarang2 aku lakukan dalam setahun. Menghirup udara segar di atas puncak gunung!

Kami berhenti sebentar di sebuah kawasan tanah rata yang tidak bernama. Kawasan ini kira2 separuh perjalanan untuk ke Kem Pacat. Ya! Kem Pacat. Itulah 'target' pertama kami sebelum berjaya ke puncak Nuang. Muhsinin memainkan peranannya sebagai 'Sweeper' dengan baik sekali. Tidak jemu2 memberi semangat kepada rakan2 yang lain terutama seorang pemuda awal 30-an yang bernama Fadzli. Bekalan air sudah semakin kurang. Mungkin disebabkan kurang pengalaman, kami banyak menghabiskan air walaupun perjalanan kami masih belum mencecah separuh. Cuak juga aku bila memikirkan kalau2 kami kehabisan air di atas puncak nanti. Lebih2 lagi aku yang sangat2 memerlukan air sebab banyak berpeluh.

Selepas berehat dalam 10 minit, kami meneruskan perjalanan ke Kem Pacat. Rakan2 yang lain sudah 'memecut' untuk ke sana. Maklumlah, mereka ini masih muda dan penuh dengan tenaga. Tinggallah aku dan Muhsinin di belakang. Kami ketinggalan dalam setengah jam daripada mereka. Bayangkan, betapa perlahannya langkahan aku. Dan bayangkan, betapa sabarnya Muhsinin. Kesian dia sebab terpaksa juga perlahan disebabkan aku yang perlahan. Aku puji dia sebab mempunyai semangat setiakawan yang tinggi.

Perjalanan ke Kem Pacat memang agak mencabar. Ini adalah kerana, treknya yang licin. Banyak kali kami terjatuh. Tidak kurang juga yang terhantuk pada balak2 kayu tumbang yang melintang. Treknya yang bertanah merah menjadi lembab dan basah disebabkan hujan semalam. Nasib baik aku pakai kasut Adidas. Cengkamannya sungguh bagus. Dan juga selesa. Terima kasih kepada Kamarul kerana 'recommend' kasut ini. Alah membeli menang memakai. Akhirnya kami sampai di Kem Pacat. Aku terus terduduk. Aku rebahkan punggung. Kedua belah tangan aku tongkatkan ke tanah. Kami sama2 melepaskan lelah.

Syuhada mencadangkan supaya beberapa orang di antara kami untuk turun ke kawasan sungai yang berhampiran. Walaupun Muhsinin pernah ke sini, tapi dia tidak pula pernah ke kawasan sungai tersebut. Kata Syuhada, sungai itu terletak lebih kurang 100 meter dari situ. Namun yang merisaukan ialah, dia hanya pernah dengar orang yang berkata demikian, pergi tidak pernah! Mahu tidak mahu, kami terpaksa mengambil risiko tersebut kerana bekalan air sangat2 kekurangan. Muhsinin, Sayuti dan Tuan Amir mem'volunteer'kan dirinya untuk mengambil air. Masing2 memberikan botol2 air dan diletakkan ke dalam beg aku. Kemudian, mereka bertiga pun berangkat. Selepas 5 minit, tiba2 Tuan Amir muncul. Tidak sanggup, katanya. Cerunnya sangat tinggi. Itu menambahkan lagi kerisauan aku. Aku hanya mampu berdoa semoga mereka selamat.

Selepas lelah mula berkurang, kami mengambil kesempatan untuk bergambar di Kem Pacat. Bukannya ada apa2 yang istimewa pun. Tetapi mengenangkan susah payah kami ke sini, kami mula ber'posing'. Tidak sampai 20 minit kemudian, Muhsinin dan Sayuti kembali. Aku berasa lega melihat kelibat mereka. Kami 'pack' semula barang2 untuk ke 'check point' yang seterusnya, Puncak Pengasih... (bersambung)...

Ahad, 13 Jun 2010

XPDC Gunung Nuang (2) - Kem Lolo


Kami tiba di Kem Lolo lebih kurang pukul 4 petang. Kami pilih beberapa 'spot' yang sesuai dan menarik untuk kami dirikan khemah (2 igloo + 1 rooftop). Kami hanya sempat mendirikan 2 khemah igloo sebelum hujan turun dengan sangat lebat. Mulanya, masing2 cuba juga main elak2 dengan titik2 hujan tersebut. Lama-kelamaan bila hujan sudah mula mengganas, masing2 lencun juga. Kami mendirikan khemah 'rooftop' dalam keadaan hujan. Barang2 makanan kami selamatkan dulu ke bawah khemah 'rooftop'.

Semakin hujan turun, semakin pula air mengalir deras daripada atas ke arah sungai. Kami yang sangat sibuk menjaga khemah 'rooftop' agar tidak terbuka terpaksa pula membina longkang di sekeliling khemah untuk memastikan makanan tidak basah. Syuhada yang kebetulan demam turut juga membantu. Masing2 sudah tidak memikirkan diri masing2. Yang penting, makanan wajib diselamatkan. Maka, kami pun menjiwai pekerjaan mengorek longkang dengan penuh dedikasi. Petang itu, kami tidak 'lunch'. Perut mula menyanyikan lagu rindu. ;)

Hujan berhenti lebih kurang pukul 6 petang. Kami yang sudah basah lencun memikirkan apa yang terbaik ketika itu. Ya! Terjun sungai! Tanpa niat yang spesifik, kami bersama-sama menikmati kesejukan air sungai yang mengalir. Dalam otak aku sebenarnya risau juga kalau2 'Kunci Air' tiba. Tetapi keindahan dan kesejukan air sungai Kem Lolo benar2 menggoda dan aku mengaku bahawa aku sudah tidak tahan lagi dengan gatal2 badan dek kerana peluh bercampur hujan. Apalagi? Terjun! Kami 'berkubang' selama setengah jam sebelum bersiap-siap untuk menyediakan 'dinner' yang sangat istimewa pada malamnya.

Malam itu selepas solat Maghrib, kami bersama-sama menyediakan makan malam. Amir, Badrul, Sayuti & Wan sibuk menyediakan ayam barbeku. Zulaikha, Syuhada & Muhsinin masak nasi dalam mastin & menggoreng karipap mak Syuhada. Manakala aku, masak kacang panggang resepi sendiri. Walaupun kami sebenarnya ingin mengadakan malam barbeku keesokan harinya tetapi memandangkan ayam (2 ekor) yang kami bawa tidak diletakkan di dalam ais, kami terpaksa juga membuat barbeku pada malam pertama. Setelah siap semuanya, kami berkumpul di bawah khemah 'rooftop' sebelum memulakan aktiviti makan malam.

Sayuti (yang kalah main pistol air tu!) mengapalai bacaan doa makan. Selepas itu, apalagi, kami membaham makanan dengan lahapnya. Lahap? Tidaklah, sopan saja. Selepas makan, Badrul dan Wan sukarela membasuh kesemua pinggan, cawan, mastin dan cerek. Kami berkumpul semula di bawah khemah 'rooftop'. Kelihatan Syuhada bergerak ke khemah perempuan untuk mengambil sesuatu. Ingatkan apa? Rupa2nya dia mengambil permainan UNO. Malam itu kami layan UNO sampai pukul 11:30 malam. Aku menang 2 kali. Badrul sekali. Sayuti sekali. Kami 'cuba' masuk tidur awal pada malam itu. Yelah, esokkan hendak mendaki Gunung Nuang.

Ingatkan kepenatan mendaki kaki Gunung Nuang boleh membantu menutup mata malam itu. Rupa2nya kesejukan di Kem Lolo sungguh menggigit. Bukan kesejukan saja yang menggigit, malahan kami diserang oleh Puak Tikus Hutan yang sungguh bersemangat melancarkan serang hendap terhadap makanan2 kami. Kami pindahkan semua makanan ke dalam khemah Igloo. Itupun, sepanjang malam aku sibuk menendang tikus2 hutan yang tidak jemu2 cuba membuka zip khemah untuk mencuri roti. Untuk pengetahuan semua, malam itu kami kehilangan 2 bungkus Meggi dan beberapa keping roti telah berjaya digigit oleh En T tersebut. Manakala Amir, Muhsinin dan Badrul pula bertungkus lumus memastikan telinga mereka masih melekat di tepi pipi ( takut2 digigit tikus hutan).

Kami bangun pukul 7:30 pagi keesokan harinya. Semuanya terlajak dek kerana berperang dengan tikus pada malam hari. Kami bersarapan sandwich dan cucur kentang yang disediakan oleh kedua-dua anak dara pingitan yang menjadi penyeri 'team nuang' kami. Setelah menyediakan 'ration' kurma, kami bersiap sedia untuk menawan puncak Nuang. Sempat juga kami bergambar sebelum bergerak. Amir mengetuai senaman panas badan dan kemudiannya kami mula memandang ke arah denai untuk ke Puncak Nuang.

Bersambung...

Jumaat, 11 Jun 2010

XPDC Gunung Nuang - Pengembaraan Bermula


Salam untuk semua. Sekarang ini sudah jarang2 sekali blog ini aku kemaskini. Ceritanya banyak, tetapi masanya tiada. Cuti sekolah kali ini mungkin aku boleh meluangkan masa sedikit untuk blog ini. Cuma kali ini ceritanya agak berbeza sedikit sebab ianya berlaku beberapa hari yang lepas.

Terdahulu, tahniah kepada Muhsinin kerana telah berjaya menyelaras ekpedisi ke Gunung Nuang 7 -11 Jun 2010. Pengalaman dan pengetahuannya banyak membantu kami dari mula hinggalah kami selamat sampai ke rumah. Maklumlah, kami ini semua 'anak2 kecil' dalam bidang mendaki gunung. Walaupun semuanya pernah menjadi ahli KRS tetapi masih banyak perkara yang tidak kami ketahui dan kami belajar di Nuang.

Kami memulakan perjalanan ke Hulu Langat pada pukul 11:15 selepas bersarapan di Restoran Firdaus, Segambut (untuk pengetahuan, tiada gelas dipecahkan). Dalam perjalanan, kami singgah sebentar membeli parang (macam pantun lak). Kami sampai di kaki Gunung Nuang (tempat parking) lebih kurang pukul 12 tengah hari. Kami daftar nama pada renjer hutan yang bertugas di situ dan bersiap (mengagih-agihkan barang) untuk ke kawasan perkhemahan.

Cabaran pertama ialah Kem Lolo. Kem ini jaraknya lebih kurang 5 km dari tempat letak kereta. 5 km? Dekat saja bunyinya bukan? Huh! Tidak sampai suku daripada perjalanan, masing2 sudah mula mengah (terutamanya aku). Mana tidaknya, masing2 bawa beg berkilo-kilo. Dengan makanannya lagi. Air. Peti Kecemasan (minyak panasnya sungguh berbakti!). Jaring untuk barbeku (barbeque). Macam2 lagi barang. Maklumlah, masing2 takut mati kelaparan di atas sana. Bukannya ada kedai 7 eleven dekat situ. Buatnya tidak cukup makanan, sudah jadi kes naya (akulah yang paling risau sebenarnya).

Namun, keluhan kami dimakbulkan oleh Allah. Kebetulan, lalu sebuah 4WD untuk ke Kem Lolo. Tuan Amir buat2 menahan 4WD tersebut dan mereka berhenti. Kami yang sudah pancit gila, buat2 mengawal kekacakan. Mereka (orang2 4WD) itu bertanya sama ada kami ingin menumpang mereka. Masing2 buat muka gagah dengan menolak pelawaan mereka (padahal dalam hati masing2 nak mengangguk). Tetapi mereka beria-ia mengajak membuatkan kami terfikir untuk menumpangkan beg2 kami ke dalam 4WD mereka. Kami membuat keputusan bahawa Sayuti akan mengikuti mereka untuk menjaga beg2 kami. Maka, bergeraklah Sayuti dengan 4WD tersebut. Kami memandang sayu si Sayuti (dalam hati, kalaulah aku yang tumpang tadi..). Kami meneruskan perjalanan ke Kem Lolo tanpa beg.

Walaupun tanpa beg, perjalanan kami sungguh memenatkan. Treknya walaupun agak luas (untuk laluan 4WD) namun ianya banyak melibatkan pendakian. Sedikit saja yang menurun, yang lain semuanya menaik. Kami sempat terserempak dengan beberapa buah rumah orang asli yang dibuat daripada buloh dan kayu2 hutan. Kalaulah aku yang naik rumah itu, tidak sampai seminit rumah itu akan roboh. Tetapi orang2 asli biasanya 'slim2' belaka. Yelah, mereka jarang2 makan McDonald. Lainlah orang KL macam aku. ;)

Kami berjumpa semula dengan Sayuti dan beg2 kami dihujung trek 4WD. Setelah mengucapkan terima kasih kepada geng 4WD tersebut, kami pun mengarah ke Kem Lolo. Kami merentas beberapa anak sungai dan denai sebelum tiba di Kem Lolo. Di sana, terdapat satu lagi kumpulan perkhemahan yang terdiri daripada orang2 Cina. Pengakap agaknya. Kami pilih tempat yang 'best' dan kami pun 'set up' khemah di situ.

Cerita ini akan bersambung di lain catatan...

Selasa, 4 Mei 2010

Perihal Kadet Putera Islam


Assallamualaikum.

Lama sungguh aku mengumpul kekuatan untuk mencoretkan sesuatu pada blog ini sejak bulan Januari yang lalu. Nampaknya, proses digesi sebagai seorang guru yang sedang aku lalui sangat merumitkan. Maklumlah, tahun pertama berkhidmat sebagai guru. Kelam kabutnya memang tidak terkata. Baru hendak bernafas sedikit, ada saja yang menyebabkan punggung aku ini terbangun semula ke sana dan ke mari. Keutamaannya, murid2 yang tidak jemu2 bermain dengan tekanan darah aku. Sabar sajalah...

Terdetik pula hendak mencatat mengenai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM). Dalam catatan yang terdahulu, aku sudahpun menyentuh mengenai subjek ini. Namun, sejak dua menjak ini ramai pula rakan2 guru dan individu2 tertentu bertanya perihal KPIM. Mungkin aku perlu jelaskan sesuatu mengenainya.

Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) merupakan kesinambungan daripada PERWIRA yang telah diasaskan oleh Allahyarham Cikgu Thani pada penghujung 80-an. Dan ramai dikalangan kita juga tahu bahawa KPIM merupakan nama lama bagi Kadet Remaja Sekolah (KRS) yang ada pada hari ini. Pada aku, setiap nama yang pernah diberikan pada KRS merupakan langkah2 penambahbaikan yang dilakukan untuk memenuhi keperluan semasa.

Semasa di zaman KPIM, hanya pelajar lelaki dan beragama Islam sahaja dibenarkan untuk menyertai unit beruniform ini. Maklumlah, PERWIRA berasal daripada persatuan pelajar2 Islam di SM Raja Abdullah pada ketika itu. Walaubagaimanapun, dalam tahun 1993, Cikgu Thani telah merintis beberapa orang pelajar lelaki bukan Islam untuk menyertai KPIM. Mereka merupakan batch pertama pelajar bukan Islam yang menyertai KPIM di Malaysia. Ketika itu aku berada di tingkatan 2.

Berkawad menggunakan kaki kanan bermula sejak zaman PERWIRA lagi. Ini berlaku sekitar 1987 semasa mula2 PERWIRA ditubuhkan. Salah seorang daripada pengikut blog ini ada menyentuh berkenaan Puteri Islam (PPIM) yang menggunakan kaki kanan. Aku memang kurang arif berkenaan Puteri Islam. Pada mereka yang berminat, silalah rujuk pada yang berkenaan. Cuma, ingin aku tegaskan di sini, sejarah KRS melalui Kadet Putera Islam Malaysia tidak ada kena mengena dengan PPIM. Puteri Islam mempunyai sejarahnya sendiri. Begitu juga dengan KRS.

Ahli2 KPIM sekarang ini kebanyakannya telahpun menjadi individu yang berjaya. Tidak kurang pula yang menjadi jutawan. Yang jadi cikgu pun ada (aku lah tu!!). Dan mereka merupakan orang2 yang pernah bersama-sama dengan Cikgu Thani berjuang untuk menjayakan KRS yang gah pada hari ini. Cuma, nama beliau saja yang semakin dilupakan orang. Kalau tidak percaya, tanyalah pada kebanyakan ahli KRS pada hari ini. Jangan kata rupanya, nama Cikgu Thani pun tidak pernah dengar. Berkerut dahi masing2 bila mendengar nama pengasas KRS itu sendiri. Semoga KRS akan tetap hidup buat selama-lamanya. Dan Allahyarham Cikgu Thani akan tetap hidup di dalam hati setiap ahli KRS yang benar2 faham apa yang beliau perjuangkan untuk anak2 bangsa dahulu, kini dan selamanya. Sekian.

Selasa, 26 Januari 2010

Sesi Burung Hantu (2)


Berani atau jantan? Atau mungkinkah hati kering menjadi teman? Semuanya tidak akan terjawab dengan senyuman. Dalam hati macam hendak pengsan. Muka pucat macam Tarzan. Duduklah di situ berseorangan. Hanya unggas malam sebagai teman. Berdoalah banyak2 agar tiada hantu ataupun syaitan. Sekurang-kurangnya adalah sedikit keberanian. Semoga cepatlah sesi ini ditamatkan... Hati berbisik perlahan-lahan. :)

Satu lagi cerita yang tidak mungkin aku lupakan ialah semasa aku menguruskan Sesi Burung Hantu di SMK Raja Abdullah pada tahun 1995. Waktu itu aku berada di tingkatan 4 dan sudahpun menjadi pegawai. Memandangkan ramai peserta perkhemahan yang agak 'kerek' dan suka cakap besar, maka aku dan pegawai2 lain merancang untuk mengadakan 'gezutan' untuk mereka dalam sesi burung hantu pada kali ini. Gezutan itu ialah 'Hantu'....

Bukannya hantu betul tetapi beberapa 'ekor' watak hantu yang kami ciptakan untuk dilakonkan oleh beberapa pegawai. Hantu yang ada ialah pocong, puntianak, hantu susu dan hantu jepun. Dalam banyak2 watak hantu ini yang paling menakutkan (real) ialah pocong. Mana tidaknya, kami bungkus si pelakon tidak ubah seperti pocong yang betul. Puntianak pula kami meminjam topeng daripada abang Najib (penjaga rumah pengakap). Hantu susu pula hanya sekadar telekung tetapi si pelakon terpaksa berjalan itik agar nampak 'real' (seperti hanya telekong yang bergerak). Hantu jepun dilakonkan oleh salah seorang senior di sebelah luar tingkap bangunan tingkat 1 (kami letakkan KRS Puteri di sini).

Yang menjadi kelakarnya, ada perkara diluar jangkaan kami yang berlaku. Kami letakkan peserta lelaki untuk sesi ini di sebelah padang sekolah. Untuk mengelakkan daripada 'kantoi', hantu2 tadi terpaksa berjalan diluar kawasan sekolah untuk masuk ke kawasan padang daripada belakang. Sementara menunggu lampu hijau dari pegawai yang bertugas, hantu2 tersebut menunggu di sebuah 'bus stop'. Jam waktu ini menunjukkan pukul 1 pagi. Si Pocong yang telah diikat badannya terpaksa berdiri di tempat menunggu tersebut dan tidak boleh duduk untuk mengelakkan tali ikatan daripada terbuka.

Rupa2nya walaupun sudah pukul 1 pagi, masih ada kenderaan yang lalu lalang di situ. Apalagi, apabila terlihat saja kelibat pocong yang berdiri di 'bus stop' menggelabah masing2 melarikan diri. Ada kereta yang berhenti dan 'gostan' balik ke jalan sebelumnya. Ada motor yang memecut dengan tiba2. Yang kami kesian (tapi gelak terbahak-bahak) ialah seorang pakcik yang membawa skuter. Dia hampir2 terbabas ke dalam longkang kerana terkejut dan cuba memecut skuternya tetapi skuternya dengan tiba-tiba menjadi tidak stabil. Agaknya mereka2 yang terjumpa pocong kami itu sampai bila2 akan menceritakan bahawa SMK Raja Abdullah berhantu. Padahal itu adalah kami yang sedang menunggu lampu hijau untuk masuk ke kawasan padang. Kelakar betullah...

Bila semua hantu telah mengambil tempat, maka mereka mulalah mengganggu. Ganggu pun bukannya berkejar-kejar tetapi menyorok sambil menampakkan sedikit2 kelibat mereka. Cara begini lebih menakutkan daripada berkejar-kejar. Pocong menyorok di sebalik pokok yang besar. Hantu susu bertenggek di atas batu besar di tepi padang. Puntianak pula bergerak perlahan-lahan dari seorang peserta ke peserta yang lain. Manakala hantu jepun mengganggu KRS Puteri di kawasan bangunan. Kerjanya berkawad sayup2 di sebelah luar tingkap tingkat satu (ada koridor yang terletak di sebalik tingkap).

Malam tersebut memang kelakar tetapi menyeramkan. Yang berasa kelakar dan tergelak itu kami. Yang seram itu para peserta (dan orang2 yang terjumpa pocong di 'bus stop). Ada yang menangis. Ada yang pucat lesi. Ada yang berlari menuju ke pegawai. Dan ada yang melaungkan azan untuk menghalau hantu2 yang mengganggu (padahal semuanya orang).

Bila dikenang kembali, aku menjadi rindu dengan suasana sebegitu. Betullah kata sesetengah orang, "Masa yang paling seronok dalam hidup ialah semasa di sekolah". Tidak mungkin masa tersebut akan kembali, hanya sejarah yang sering dikenang dan disingkap. Pada mereka2 yang masih bersekolah, nikmati dan hayatilah saat ini sebaik mungkin. Kau juga akan terkenang seperti aku yang selalu mengenang. Sekian.

Sabtu, 23 Januari 2010

Sesi Burung Hantu


Assallamualaikum. Selamat sejahtera. Lama sungguh aku tidak ber-blog di sini. Maklumlah, awal2 persekolahan. Terlalu banyak yang perlu disiapkan dalam tempoh yang sangat singkat. Sehinggakan tidak menang tangan untuk menyudahkan semuanya. Nama pun guru. Semuanya aku terima dengan redha dan bersyukur selalu. Yelah, ramai di luar sana yang ingin sangat menjadi guru tapi masih menggigit jari. Apa2pun aku cuba mencuri sedikit masa yang ada untuk berkongsi pengalaman KRS seperti yang sebelum ini aku lakukan. Kali ini aku ingin membawa topik 'Sesi Burung Hantu'.

Ramai yang biasa dengar istilah ini. Mungkin ada yang sudahpun melaluinya. Yang hanya bercakap besar pun ada. Kononnya diletakkan berseorangan di suatu sudut sama ada di sekolah ataupun di hutan. Dan bermacam-macam pula ceritanya. Nampak itulah. Nampak inilah. Kadang2, cerita mereka hanyalah sekadar memenuhi masa senggang. Bukannya betul pun. Cuma bila ada rempah dan perisanya maka sedaplah cerita. Seolah-olah cerita yang direka-reka benar2 berlaku.

Tahu ataupun tidak, dalam KRS ada banyak sejarah tentang 'Sesi Burung Hantu'. Dan ramai juga yang tidak tahu bahawa aktiviti ini dilarang sama sekali dalam Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebabnya, masih ramai guru2 yang meneruskan aktiviti seperti ini. Kononnya hendak menguji ketahanan mental seseorang ahli KRS. Walaubagaimanapun, aktiviti ini pernah menjadi 'budaya' KRS suatu masa dahulu.

Aku punya pengalaman sama ada menjadi peserta ataupun jurulatih semasa sesi ini dijalankan. Sebagai peserta, aku pernah melalui sesi ini beberapa kali. Yang masih aku ingat ialah semasa ber'jambori' di Templer pada tahun 1992, kursus Sarjan di Ulu Yam pada tahun 1994 dan Kem Kembara Angkasapuri pada tahun 1995. Sebagai jurulatih pula sekitar tahun 1995 hingga 1996. Macam2 kerenah peserta yang aku jumpa. Ada yang menangis. Ada yang toreh pun tidak berdarah. Tertidur semasa sesi. Yang kena sampuk pun ada.

Antara pengalaman yang masih aku ingat ialah semasa kursus Sarjan 1994 di Ulu Yam. Al-kisah, kami seramai 10 orang menjadi jurulatih sisipan untuk Perkhemahan SMK Seri Titiwangsa. Itulah ujian yang perlu kami lalui iaitu menjadi jurulatih sisipan sebagai syarat untuk kenaikan pangkat Sarjan semasa itu. Pada malam sesi burung hantu tersebut, kami diarahkan untuk menjadi peserta. Walaupun gentar di hati memang ada, kami teruskan juga. Kecuali seorang daripada kawan kami yang suka cakap besar tapi penakut yang bernama 'A'. 'A' memujuk Cikgu Anuar (Lembaga Pengasas KRS aka Guru SMK Seri Titiwangsa) untuk dikecualikan daripada sesi tersebut dengan alasan 'Lemah Semangat'. Atas sebab itu juga, Cikgu Anuar setuju untuk 'A' dikecualikan daripada sesi tersebut. Rupa2nya, semua jurulatih, guru2 dan peserta tiada di kawasan khemah semasa sesi dijalankan. Tinggallah 'A' berseorangan di tapak khemah kami. Tiba2 lampu gasolin yang digunakan untuk menerangi kawasan khemah terpadam dek kerana kehabisan minyak tanah. Dan serentak dengan itu, kami mendengar suara jeritan yang sangat kuat dari arah kawasan khemah. Selepas habis sesi, Cikgu Anuar menceritakan tentang suara jeritan tadi. Rupa2nya 'A' menjerit ketakutan kerana tiba2 keadaan menjadi gelap. Dengan kata lain, sebenarnya 'A' juga telah menjalani sesi burung hantu secara tidak sedar. Aku dengan kawan2 ketawa berdekah-dekah sehingga ke pagi. Dan hingga sekarang, kami akan sentiasa ketawa bila mengenangkan peristiwa tersebut.

Semasa zaman Cikgu Thani, sesi burung hantu sudah menjadi kemestian pada setiap program perkhemahan yang kami jalankan. Sehinggakan ianya menjadi budaya. Aku akan ceritakan berkenaan sesi ini pada catatan yang lain nanti. Banyak cerita menarik sebenarnya. Apabila tiba zaman Cikgu Amir, sesi burung hantu semakin kurang dilakukan. Lagipun, semasa itulah arahan daripada KPM melarang aktiviti ini dikeluarkan. Maka, budaya ini tidak lagi dilakukan sehingga sekarang. Aku pun tidak tahu sama ada nanti Sesi Burung Hantu akan dihidupkan semula ataupun hanya tinggal sejarah. Sekian untuk kali ini.