Khamis, 3 Februari 2011

Kembara Ke Air Terjun Kubang Gajah, Kemensah


Sudah banyak ekspedisi yang telah aku & sahabat2 lalui. Namun, bukan semua yang telah aku catatkan di sini. Mungkin dek kerana masa yang sangat terhad ataupun ceritanya kurang menarik untuk dikongsikan bersama. Namun, ekspedisi kali ini sangat perlu aku kongsikan dengan semua orang. Sebab ianya pernah menjadi tanda tanya ramai orang terutama pecinta2 hutan yang mencari erti sebuah kepuasan & pengalaman.
Ramai yang masih tidak tahu, tidak jauh dari 'Zoo Negara' tersimpan sebuah kawasan air terjun yang sangat cantik. Satu masa dahulu, air terjun ini penuh dengan 'kontroversi'. Di antaranya ialah 'bayaran cekik darah' yang pernah diluahkan di dalam blog2 persendirian. Namun, keadaannya agak berbeza ketika aku & sahabat2 pergi menjejak air terjun tersebut 2 Februari 2011 yang lalu. Kami pernah ke titik mula denai ke air terjun sebelum ini namun tidak pernah trekking ke sana. Masa itu kami terpaksa membatalkan niat kami untuk trekking ke sana di atas sebab2 tertentu. Namun kali ini, kawasan ini sangat lengang dan kosong.
Untuk ke air terjun ini, aku pandu kereta melalui jalan di belakang Zoo Negara sehingga berjumpa tempat riadah KTV. Dari Zoo Negara ke KTV jaraknya lebih kurang 10km. Sekiranya perjalanan diteruskan, akan terjumpa sebuah kawasan lapang yang telah ditinggalkan. Mungkin kawasan ini pernah menjadi tempat parkir kereta. Beberapa pondok kosong (telah ditinggalkan) juga kelihatan. Perjalanan seterusnya akan berakhir di pintu masuk Kem 1 Malaysia. Jadi, nasihat aku kalau hendak parkir kereta, sebaiknya di kawasan luar pintu masuk KTV. Agak selamat sikit di sini.
Selepas parkir di KTV, kami berjalan kaki melalui jalan kereta lebih kurang 500 meter sehingga berjumpa titik mula denai yang terletak di pertengahan pendakian jalan kereta yang agak cerun. Dari situ, kami terlihat denai ke air terjun yang kelihatannya seperti trek untuk 'motorcross & buggy'. Kami ikut saja trek ini sehingga ke Air Terjun Kubang Gajah. Terdapat 2 papan tanda yang kami jumpa sebagai penanda bahawa jalan kami tidak sesat.
Sepanjang perjalanan ke sana, kami terjumpa beberapa cabang denai yang agak mengelirukan. Namun, secara logik aku terfikir, jalan yang ada bekas tayar 'motorcross & buggy' mungkin jalan yang betul. Mungkin mereka malas hendak berjalan kaki & menggunakan kenderaan tersebut untuk memudahkan mereka ke sana.
Perjalanan ke sana juga ada sedikit kecerunan untuk mendaki. Lebih kurang 25 darjah. Apabila sampai ke papan tanda yang kedua, barulah trek ini menurun sehinggalah terjumpa air terjun.
Dengar kata air terjun ini ada 3 tingkat. Kami hanya pergi ke tingkat yang pertama. Dek kerana 'tidak tahan' dengan panggilan air terjun tersebut, kami tidak teruskan ke Air Terjun 'Sofea Jane' yang terletak di tingkat yang ketiga. Ya. Sofea Jane pernah berlakon filem di sini.
Aku bercadang untuk ke sana lagi. Tempat yang memukau seperti itu sangat2 rugi sekiranya hanya sekali merasai kedinginan & keasyikan air terjun yang jarang2 dikunjungi orang. Maklumlah, perlu trekking hampir sejam. Namun, aku yakin trek ini tidaklah sesukar mana. Mungkin kau patut mencubanya. Mahu?