Khamis, 10 September 2009

Qiamullail


Bersempena dengan kedatangan 10 malam terakhir bulan Ramadhan ini, elok rasanya aku mencatatkan sedikit pengalaman aku bersama-sama Cikgu Thani dan KRS berkenaan dengan 'berdiri malam' atau 'Qiamullail'. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. menyuruh kita untuk menggandakan amalan kita pada 10 malam terakhir Ramadhan. Di sinilah terdapat malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu Malam Al-Qadr ataupun Lailatulqadar. Sesiapa yang berhasil mendapat keberkatan daripada malam ini, tentu sekali dirinya akan sentiasa di jaga oleh Allah hingga ke akhirat kelak. Cikgu Thani memang selalu mengadakan aktiviti Qiamullail bersama-sama ahli KRS terutama pada 10 malam terakhir.

Seperti yang telah aku catatkan dalam catatan yang terdahulu, KRS itu sendiri berasal daripada Persatuan Agama Islam SM Raja Abdullah (PERWIRA). Tentu sekali pengasasnya amat mementingkan nilai2 kerohanian di dalam diri setiap ahli KRS. Dahulu, Cikgu Thani memang kerap mengadakan latihan mingguan setiap sabtu. Bukan seperti sekarang yang kebanyakan sekolah mengamalkan 'Alternate Saturday' untuk mengadakan aktiviti unit2 beruniform. Sekiranya ada perkara yang benar2 tidak dapat dielakkan, barulah latihan mingguan dibatalkan. Itupun amat2 jarang. Sepanjang ingatan aku, selama 5 tahun berada di bawah didikan Cikgu Thani, mungkin hanya 4-5 kali latihan mingguan dibatalkan. Ini bermakna, dalam bulan Ramadhan juga Cikgu Thani mengadakan latihan mingguan. Bezanya cuma, latihan mingguan bulan Ramadhan lebih berbentuk kerohanian bukan fizikal.

Hampir setiap tahun pada bulan Ramadhan, setiap hari sabtu malam ahad, Cikgu Thani akan mengadakan Qiamullail bersama-sama dengan ahli KRS. Kebiasaannya ianya akan bermula dengan aktiviti berbuka puasa diikuti dengan solat berjemaah (Maghrib, Isyak dan Tarawikh). Selepas Solat Tarawikh, kami akan disuruh tidur awal supaya boleh bangun pagi. Seperti biasa juga, kami yang sudah berkumpul susah hendak melelapkan mata. Ada saja yang mengganggu dengan lawak2 pecah perut. Ada saja yang hendak berborak. Cikgu Thani selalu tegur, tetapi kami degil juga. Tidak boleh cakap kuat2, kami cakap perlahan-lahan seperti berbisik. Bila tergelak kuat sedikit, kedengaran suara Cikgu Thani menegur kami "Tidur! Apa gelak2 ni? Hang tak boleh bangun esok, siap hang!". Masing2 menjadi kelam kabut dan buat2 tidur. Sempat juga yang kenyit2 mata membuat memek muka. Kami menahan ketawa dengan wajah yang kemerahan. Apa yang lawak sangat pun kami tidak tahu. Yang pastinya, Cikgu Thani dengan tabiatnya yang suka tidur dalam keadaan bersila. Ya, pada sesiapa yang tidak tahu, Cikgu Thani memang selalu tidur bersila. Mungkin memudahkan beliau untuk bangun malam agaknya.

Cikgu Thani kebiasaannya akan mengejutkan kami pukul 3 pagi. Qiamullail akan bermula pada pukul 3:30 pagi. Masing2 dengan muka yang sememeh, bangun mengambil wudhu. Ada yang mata pun sudah tidak mampu untuk diangkat. Namun, dek kerana ketegasan suara Cikgu Thani, semua terpacak berdiri. Kami akan memulakan Qiamullail dengan solat sunat wudhu dahulu. Kemudian, baru Cikgu Thani akan mengimami solat2 sunat yang lain seperti tahajjud, hajat, taubat, tasbih dan witir. Solat sunat yang lain kira bersemangat lagi, namun bila sampai ke solat sunat tasbih, ramai yang hampir tumbang. Terhuyung-hayang masing2 mengimbangi badan. Ada yang sujud tetapi tidak bangun2. Selesai memberi salam kena tegur dengan senior. Kebiasaannya Cikgu Thani tidak menegur ketika qiamullail tetapi siaplah bila sampai kuliah subuh nanti. Semua kena basuh. Terkebil-kebil pada sesiapa yang termakan cili. Berasaplah telinga mendengar kata2 Cikgu Thani. Itulah, siapa suruh tidak tidur malam tadi. Salah sendiri, sendirilah yang tanggung. Padan muka!

Banyak lagi peristiwa ketika Qiamullai yang aku tidak catatkan kali ini. Bila sampai masanya nanti aku akan catatkan untuk dikongsikan bersama. Namun, pengajarannya yang perlu kita ambil. Betapa Cikgu Thani mementingkan kekuatan rohani pada setiap anak buahnya. Untuk pengetahuan semua, Qiamullail ini tidak hanya dilakukan pada bulan Ramadhan. Kadang2 Cikgu Thani membuat aktiviti Qiamullail di luar bulan Ramadhan. Mungkin beliau ingin memastikan yang anak2 buahnya tidak lupa pada solat2 sunat yang terdapat dalam aktiviti Qiamullail. Beliau ingin ahli2 KRS pada suatu hari nanti menjadikan Qiamullail sebagai satu amalan dalam diri masing2. Ini adalah kerana, di sebalik berdiri malam dan bermunajat, tersembunyi 1001 rahmat yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Hanya mata hati yang dapat menafsirkannya. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan