Jumaat, 4 September 2009

River Crossing


Apabila menjejak keindahan alam semulajadi terutamanya ketika melakukan aktiviti 'Jungle Tracking' maka kebiasaannya kita akan dibawa ke sebuah tempat yang tidak sah jikalau tidak dilawati iaitu 'sungai'. Kecantikan sungai sangatlah bergantung kepada bentuk muka bumi sesuatu tempat yang dilawati.

Antara sungai yang paling istimewa yang pernah aku pergi ialah 'Sungai Pisang'. Tempat ini terletak di sempadan gombak-karak. Jalan untuk masuk ke sini perlu melalui 'Pusat Penapisan Air SYABAS' yang terletak di Jungle Lodge (Alang Sedayu), Batu 12, Gombak. Selepas melalui SYABAS, ada dua jalan yang boleh dilalui untuk ke Sg Pisang. Sama ada boleh melalui denai (perlu melintas highway karak) ataupun boleh menyusuri sungai (lebih selamat tetapi mengambil masa yang lebih). Lebih kurang 1.5 km selepas menyusuri sungai, air terjun akan kelihatan. Tingginya lebih kurang 50 meter dan mempunyai gua kecil disebalik air terjun tersebut.

Sekiranya kita mendaki sedikit bukit di sebelah kanan air terjun (dahulu ada tali tetapi kali terakhir aku pergi, tali sudah tiada) dan berjalan lebih kurang 200 meter lagi ke hadapan, satu tempat istimewa kita akan jumpai. Di situ terdapat sungai selebar 50 meter dan sedalam lebih kurang 1 meter. Yang menjadikannya istimewa ialah terdapat akar2 'Pokok Tumpang' yang berjurai di sana sini. Selalunya aku dan kawan2 akan bergayut di akar ini dari tepi sungai dan terus terjun ke dalam sungai apabila gayutan sudah sampai ke tengah serupa seperti 'Tarzan'. Keseronokannya tidak terbanding!

Apabila berkata mengenai sungai pula, KRS ada mengajar ahli2nya berkenaan teknik2 merentas sungai (River Crossing). Kebiasaannya, merentas sungai dilakukan di sebelah siang tetapi aku mempunyai pengalaman 'River Crossing' di waktu malam. Ketika itu aku berada di tingkatan 1 dan tempatnya di Hutan Lipur Lentang. Bayangkan, aku yang ketika itu masih 'pendek' dan mentah terpaksa mengharungi sungai di Lentang yang ketika itu agak deras menggunakan tali 'tarik tali'. Aku dan kawan2 merentas sungai tersebut dengan hanya memegang tali tanpa apa2 'kit' keselamatan yang lain. Namun, aku berjaya melakukannya walaupun 'boot' aku tercabut dek kerana kederasan air dan kaki pula tidak jejak tanah! Mujur, abang Nizam yang berada dibelakang berjaya 'menyambut' boot aku. Kalau tidak, tentu sudah dihanyutkan sungai. Apa yang hendak dijawab dengan mak ayah? Kena beli barulah nampaknya.

Merentas sungai adalah suatu aktiviti yang menyeronokkan tetapi mencabar. Sebagai seorang pelajar yang melakukan aktiviti ini, tentu saja dada akan berdebar kencang terutama sekiranya berlaku seperti yang aku ceritakan tadi. Sebagai seorang guru pula, dada akan lebih kencang sekiranya apa2 berlaku kepada pelajar2. Namun, itulah risikonya yang perlu diambil oleh setiap orang. Tanpa risiko, apalah erti hidup ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan