Selasa, 4 Mei 2010

Perihal Kadet Putera Islam


Assallamualaikum.

Lama sungguh aku mengumpul kekuatan untuk mencoretkan sesuatu pada blog ini sejak bulan Januari yang lalu. Nampaknya, proses digesi sebagai seorang guru yang sedang aku lalui sangat merumitkan. Maklumlah, tahun pertama berkhidmat sebagai guru. Kelam kabutnya memang tidak terkata. Baru hendak bernafas sedikit, ada saja yang menyebabkan punggung aku ini terbangun semula ke sana dan ke mari. Keutamaannya, murid2 yang tidak jemu2 bermain dengan tekanan darah aku. Sabar sajalah...

Terdetik pula hendak mencatat mengenai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM). Dalam catatan yang terdahulu, aku sudahpun menyentuh mengenai subjek ini. Namun, sejak dua menjak ini ramai pula rakan2 guru dan individu2 tertentu bertanya perihal KPIM. Mungkin aku perlu jelaskan sesuatu mengenainya.

Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) merupakan kesinambungan daripada PERWIRA yang telah diasaskan oleh Allahyarham Cikgu Thani pada penghujung 80-an. Dan ramai dikalangan kita juga tahu bahawa KPIM merupakan nama lama bagi Kadet Remaja Sekolah (KRS) yang ada pada hari ini. Pada aku, setiap nama yang pernah diberikan pada KRS merupakan langkah2 penambahbaikan yang dilakukan untuk memenuhi keperluan semasa.

Semasa di zaman KPIM, hanya pelajar lelaki dan beragama Islam sahaja dibenarkan untuk menyertai unit beruniform ini. Maklumlah, PERWIRA berasal daripada persatuan pelajar2 Islam di SM Raja Abdullah pada ketika itu. Walaubagaimanapun, dalam tahun 1993, Cikgu Thani telah merintis beberapa orang pelajar lelaki bukan Islam untuk menyertai KPIM. Mereka merupakan batch pertama pelajar bukan Islam yang menyertai KPIM di Malaysia. Ketika itu aku berada di tingkatan 2.

Berkawad menggunakan kaki kanan bermula sejak zaman PERWIRA lagi. Ini berlaku sekitar 1987 semasa mula2 PERWIRA ditubuhkan. Salah seorang daripada pengikut blog ini ada menyentuh berkenaan Puteri Islam (PPIM) yang menggunakan kaki kanan. Aku memang kurang arif berkenaan Puteri Islam. Pada mereka yang berminat, silalah rujuk pada yang berkenaan. Cuma, ingin aku tegaskan di sini, sejarah KRS melalui Kadet Putera Islam Malaysia tidak ada kena mengena dengan PPIM. Puteri Islam mempunyai sejarahnya sendiri. Begitu juga dengan KRS.

Ahli2 KPIM sekarang ini kebanyakannya telahpun menjadi individu yang berjaya. Tidak kurang pula yang menjadi jutawan. Yang jadi cikgu pun ada (aku lah tu!!). Dan mereka merupakan orang2 yang pernah bersama-sama dengan Cikgu Thani berjuang untuk menjayakan KRS yang gah pada hari ini. Cuma, nama beliau saja yang semakin dilupakan orang. Kalau tidak percaya, tanyalah pada kebanyakan ahli KRS pada hari ini. Jangan kata rupanya, nama Cikgu Thani pun tidak pernah dengar. Berkerut dahi masing2 bila mendengar nama pengasas KRS itu sendiri. Semoga KRS akan tetap hidup buat selama-lamanya. Dan Allahyarham Cikgu Thani akan tetap hidup di dalam hati setiap ahli KRS yang benar2 faham apa yang beliau perjuangkan untuk anak2 bangsa dahulu, kini dan selamanya. Sekian.