Jumaat, 23 Oktober 2009

Sejarah Malam Kebudayaan - Nasyid


Terdapat banyak perbezaan di antara Malam Kebudayaan KRS dengan 'Campfire' di dalam aktiviti Pengakap. Antaranya ialah dari segi sejarahnya. Seperti di dalam catatan yang lepas, aku telah catatkan berkenaan Road Tour aku, Cikgu Thani & rakan2 KRS membuat persembahan di seluruh Malaysia. Kami selalunya membuat persembahan seperti pentomen, sajak, nasyid dan lain2 lagi bentuk persembahan pentas. Antara tempat yang pernah kami jejaki ialah Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Pendidikan Teknik (Maktab Teknik), Politeknik Port Dickson, Sekolah2 di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pinang dan banyak lagi.

Sebenarnya, Cikgu Thani adalah seorang yang sangat meminati muzik. Namun, muzik yang didengari oleh beliau hanyalah nasyid. Kalau memperkatakan berkenaan nasyid, berkotak-kotak kaset nasyid dimiliki oleh beliau (dulu2 tidak ada mp3 & Audio CD pun sangat terhad). Kebanyakan kaset yang dimiliki oleh beliau adalah dendangan kumpulan2 nasyid klasik seperti Nadamurni (sekarang ni Rabbani & Hijjaz), The Zikr (sekarang ni Raihan) dan lain2 yang diterbitkan oleh OVA Production. Lagu Sunnah Orang Berjuang (Nadamurni) merupakan lagu yang paling digemari oleh beliau sehinggakan ianya menjadi lagu wajib dalam setiap persembahan kami satu ketika dahulu.

Dahulu setiap kali masuk waktu rehat, Cikgu Thani akan meminta aku & rakan2 untuk menyanyikan satu atau dua lagu nasyid sebelum masuk semula ke kelas. Nasyid kami diiringi oleh paluan kompang yang biasanya dimainkan oleh abang Azeri, abang Nizam, Jefridin, Azemi & Azukhir. Penyanyi utamanya? Akulah. Maka, bergemalah Markas KRS dengan nyanyian lagu nasyid. Antara lagu yang kami nyanyikan ialah Sunnah Orang Berjuang, Berkata Benar, Kenangan Bersama Rasulullah, Munajat dan banyak lagi. Ahli2 KRS akan segera habiskan makanan mereka untuk ke Markas KRS. Mereka sama ada datang untuk bernasyid bersama-sama atau menjadi penonton. Kadang2 yang bukan KRS juga datang menyelit untuk melihat kami bernasyid.

Sebelum aku dijadikan penyanyi utama kumpulan persembahan nasyid kami, ada senior2 yang banyak berkongsi pengalaman dan ilmu bersama-sama aku. Antara penyanyi utama sebelum aku ialah abang Faizal (abang kepada Aswad Batch 1998) dan abang Sharol. Pak Chu dan abang Rulan Lembang juga kadang2 menyertai kami sebagai penyanyi utama. Tidak lupa juga, Cikgu Thani juga adakalanya menjadi penyanyi utama di dalam persembahan nasyid kami. Antara masalah yang pernah aku hadapi ialah tidak mempunyai baju melayu lengkap untuk persembahan nasyid. Cikgu Thani pernah meminjamkan kepada aku baju melayu kepunyaannya yang pernah digunakan oleh beliau semasa bernikah dengan isterinya, Kak Haslina. Aku cukup terharu dengan beliau kerana tidak pernah berkira dengan pelajarnya sehinggakan sanggup meminjamkan kepada aku baju kesayangannya.

Kalau bercakap mengenai sejarah nasyid KRS, aku cukup seronok. Ini adalah kerana aku telah melalui banyak pengalaman dengan Cikgu Thani secara khusus di dalam aktiviti ini. Sehinggakan lagu2 yang pernah kami dendangkan bersama-sama masih lagi terngiang dan liriknya masih lagi aku ingat di dalam akal dan hati. Hari ini, Malam Kebudayaan telah menjadi suatu kemestian di dalam setiap perkhemahan KRS. Aku harap semoga ianya akan terus berkekalan dan menjadi satu medan pembentukan sahsiah diri untuk setiap ahli KRS. Sekian.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Usahawan Remaja


Dewasa ini kita kerap dihantui oleh kepayahan untuk mendapatkan pekerjaan terutama pada lepasan2 diploma dan ijazah. Ini menyebabkan mereka menganggur dan menghabiskan masa di rumah dek kerana tiada pekerjaan. Yang lebih malang, ada yang tidak langsung dapat jemputan temuduga. Aku mengerti perasaan golongan2 ini kerana aku juga pernah merasakan situasi tersebut. Ingatkan lepas keluar Universiti bolehlah bekerja bagus2 untuk membantu keluarga, rupa2nya terpaksa juga beberapa bulan menanam anggur dirumah (menganggur). Nasib baik aku jenis tidak kisah. Apa2 saja kerja aku sanggup lakukan asalkan yang halal.

Sebenarnya ada jalan keluar kepada kekurangan pekerjaan di Malaysia. Itupun pada sesiapa yang berminat dan sanggup menempuhi segala pahit maungnya. Namun pulangannya amat berbaloi. Jalan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah melalui perniagaan. Nabi Muhammad S.A.W. juga merupakan seorang peniaga. Sesungguhnya terdapat 9 daripada 10 pintu rezeki melalui perniagaan. Ini terbukti kerana orang2 yang mampu memiliki rumah besar, kereta mewah dan harta yang banyak terdiri daripada golongan peniaga atau usahawan. Aku juga pernah beberapa kali cuba berniaga. Daripada 'Direct Selling' sampailah ke usahawan karipap frozen. Sekarang ini aku slow sikit kerana mengikuti jalan keguruan. Pada aku, amanah yang diberi untuk menjadi seorang guru wajib aku penuhi. Aku belum lagi terfikir untuk meneruskan perniagaan aku.

Sedar atau tidak, dalam silibus KRS itu sendiri terdapat satu bahagian melibatkan Keusahawanan. Sebenarnya, di sebalik pengisian Keusahawanan KRS hari ini ada sejarahnya. Satu masa dahulu semasa aku berada di tingkatan 2, Cikgu Thani menjual kuih raya di SMK Raja Abdullah pada bulan Ramadhan. Untung jualan tersebut beliau masukkan ke dalam tabung KRS. Sejak itu timbul idea untuk beliau libatkan ahli2 KRS untuk menjalankan aktiviti keusahawanan. Malahan sebelum daripada itu lagi, ahli2 KRS bergilir-gilir bertugas di Koperasi SMK Raja Abdullah untuk belajar selok belok perniagaan, akaun kira-kira, untung & rugi dan pelbagai lagi pengalaman keusahawanan. Beliau sebenarnya ingin menyediakan ahli2 KRS secara kognitif ke arah keusahawanan. Sebab itu, abang2 senior aku sudahpun ada yang telah mencecah status jutawan. Aku tidak mahu sebut nama mereka sebab nanti ada pula yang tidak segan silu datang ke rumah mereka untuk meminta-minta.

Keusahawanan dalam KRS sebenarnya boleh menyelesaikan masalah pengangguran di Malaysia secara beransur-ansur sekiranya ianya dilakukan secara menyeluruh. Ini bermaksud semua guru KRS di serata Malaysia hendaklah menjalankan aktiviti keusahawanan sebagai satu persediaan buat ahli2 KRS untuk menghadapi hari dewasa. Bagaimanakah caranya? Soalan ini boleh dijawab oleh guru2 yang berpengalaman. Ataupun mungkin guru2 tersebut boleh bertanyakan pada usahawan2 yang tinggal berhampiran dengan kawasan mereka untuk mendapatkan idea dan nasihat. Jangan pula mengeluh! Bukankah semasa perjanjian guru, kita berikrar untuk menjadi guru yang sentiasa relevan dan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri demi mendidik anak bangsa supaya menjadi warganegara yang berjaya, berketrampilan dan berkhimat untuk masyarakat?

Melalui KRS, pelajar2 boleh dibimbing untuk menjadi insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Rujuk Blog aku http://www.faithtoheaven.blogspot.com/). Apakah kita masih lagi ingin bermimpi di siang hari dengan menunggu pekerjaan menjemput kita tanpa ada usaha ke arah itu? Alamatnya, 'ibarat menunggu bulan jatuh ke riba'. Aku seru pada ahli2 KRS diluar sana. Pada bekas2 ahli KRS. Pada guru2 KRS dan pemimpin2 KRS. Mari kita langkah setapak lagi kerana anak tangganya telahpun kelihatan. Hanya menunggu untuk dipijak dan seterusnya melonjakkan kita ke tingkat yang seterusnya. Gerakkan ahli2 KRS dengan keusahawanan. Aku pasti usaha kita akan membuahkan hasil, Insyaallah. Kalau bukan keuntungan berbentuk wang, sekurang-kurangnya keuntungan berbentuk ilmu kita mampu berikan pada mereka. Semoga mereka menjadi insan yang berjaya. Sekian.

Rabu, 14 Oktober 2009

Lapar & Makanan


Kita sebagai manusia perlu memenuhi beberapa keperluan asas agar hidup dapat diteruskan. Di Malaysia, kita wajib bersyukur kerana kesemua keperluan asas seperti udara, makanan, tempat tinggal dan lain2 dapat kita nikmati dengan aman dan tenteram. Berbeza dengan kebanyakan negara luar yang mempunyai masalah ekonomi, bencana alam, peperangan dan lain2. Betapa Allah masih merahmati penduduk Malaysia dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahimnya. Maka, wajiblah kita bersama-sama menadah tangan memohon doa agar semua nikmat yang kita kecapi dapat dikekalkan sehingga hari akhirat kelak.

Sedar tidak sedar, Syawal semakin meninggalkan kita. Namun, masih ramai lagi yang masih menjemput untuk ke Rumah Terbuka mereka. Walaupun dalam kegawatan ekonomi, mereka masih mampu untuk membelanjakan wang dan meneruskan kehidupan biarpun terdapat sedikit kekangan. Asalkan dapat berkumpul dan bermesra dengan sanak saudara dan sahabat handai, wang bukan isu utama. Namun, biarlah ianya berpada-pada agar kelak tidak merana. Jangan nanti bank kosong poket kecewa. Lagi-lagi yang sudah berkeluarga. Tambah lagi yang sudah beranak sorang dua.

Satu perkara yang masih sama semasa zaman aku belajar di SMK Raja Abdullah dengan sekarang ialah budak2 KRS memang terkenal dengan kuat makannya. Setiap batch pula, ada saja yang berbadan besar dan makan lebih. Tapi jangan pula terkejut, yang berbadan kecil juga kadang2 tidak kurang juga nafsu makan mereka. Maklumlah, remaja yang sedang membesar dan meningkat dewasa. Segala zat perlu untuk tumbesaran mereka. Harap jangan pula nanti badan terus-menerus besar tidak terkawal. Tambah-tambah lagi penangan bulan Syawal. Di sana lemang sepah, di sini ketupat bawal (ke bawang?). Last2 kena bawa ke hospital. Perut sakit punggong pun sengal. Badan terhuyung-hayang mabuk macam dalam kapal.

Dahulu semasa aku dan rakan2 sebaya mengikuti apa2 perkhemahan dan program KRS, kami selalu lapar bersama kalau tiada makanan. Kalau ada makanan pula, kami akan makan bersama-sama. Yang tidak boleh aku lupa ialah Shahran. Kami memang selalu berkongsi. Kalau ada duit, dia beli makanan dan aku beli air. Begitu juga sebaliknya. Kami selalu berkongsi makanan. Tapi jangan pula ada orang lain hendak tumpang sekaki. Sebabnya? Kami makan memang agak laju. Sekelip mata memandang saja, habis nasi sebungkus. Yang peliknya, badan aku yang naik. Badan Shahran 'maintain' saja. Mungkin sebab dia sekarang ini seorang askar berpangkat Kapten. Setiap hari bersenamlah katakan. Hari2 pula mengangkat beban. Sebab itu habis semua kalori dibadan. Tidak sempat jadi lemak dan tidak sempat hendak simpan. Sedar2, badan sudah macam papan.

Tahun lepas semasa di dalam Perkhemahan Tahunan KRS SMK Raja Abdullah, perkara ini masih sama. Ada yang makan nasi mentah, ada yang masak tidak sedap. Apa boleh buat? Emak ayah tiada di sana untuk masakkan makanan untuk anak tercinta. Kecuali anak Cikgu Amir yang kami 'import' dari sekolah lain. Namun Cikgu Amir masih tetap membiarkan anaknya belajar berdikari seperti juga ahli2 KRS yang lain. Begitulah cara seorang ayah mengajar anaknya. Jika ibu selalu memanjakan anaknya dengan kasih sayang, ayah pula kebiasaannya mengajar anaknya untuk menjadi dewasa dan berfikiran matang. Maka, lengkaplah sebuah pendidikan yang berasaskan keluarga.

Kalau lapar biarlah kebulur bersama. Kalau kenyang, biarlah sendawa bersama. Mungkin disebalik kebersamaan itu akan lahirlah sebuah kasih sayang di antara rakan seperjuangan. Nilai kasih sayang ini adalah salah satu yang diharapkan oleh Cikgu Thani untuk dibentuk melalui KRS. Kasih sayang ini diharap kekal hingga ke akhir hayat. Begitulah setiap batch KRS. Mereka dapat merasakan yang pengalaman susah dan senang beberapa tahun bersama itu akan selalu mengikat tali persahabatan di antara mereka sampai bila2. Aku pernah merasakannya. Dia pernah merasakannya. Engkau juga merasakannya. Biarlah ianya kekal sampai tua. Ataupun sehingga kita ke sana. Sekian.

Sabtu, 10 Oktober 2009

Engkau Batch Terbaik?


Ahli KRS datang dan pergi,
Masa berlalu tidak terhenti,
Dari dahulu hinggalah kini,
Terlahir sudah pemimpin sejati.

Jurulatih dahulu tentulah hebat,
Lahirkan adik KRS yang makin dahsyat,
Namun manusia tidak semua kuat,
Kadang tersungkur jalan tersekat.
I
Muhasabah diri cari pedoman,
Supaya tambah ilmu dan iman,
Syok sendiri haraplah jangan,
Kelak menjadi bahan kutukan.

Aku mulakan catatan kali ini dengan pantun yang aku reka buat renungan kita bersama. Betapa aku pun manusia lemah yang selalu perlu ditegur dan ditegah. Kadang2 memang ada rasa menyampah. Namun, itulah ukuran terbaik untuk menilai diri sendiri. Kita tidak pernah adil dalam melihat sifat2 kita. Selalunya mesti berat sebelah dan syok sendiri. Sebab itu kita perlukan kawan dan juga lawan. Kawan mampu beri dorongan manakala lawan mampu membuka mata kita untuk mencari kelemahan. Adakalanya kawan boleh jadi lawan dan adakalanya lawan boleh jadi kawan. Itu semua terpulang kepada cara kita menerima sesuatu pengalaman. Sama ada kita mampu menerimanya dengan positif ataupun menolaknya dengan penuh negatif.

Tahun lepas semasa aku menjadi guru KRS di SMK Raja Abdullah, ada sedikit perselisihan di antara form 4 & form 5. Form 5 seolah-olah masih belum boleh memberi sepenuh kepercayaan kepada form 4 manakala form 4 pula sedang melalui kejutan budaya kerana telah sampai masa mereka untuk menerajui platun. Perkara sebegini sebenarnya merupakan satu perkara yang biasa dan berlaku sejak dahulu lagi. Sedar tidak sedar, mereka telah diajar mengenai politik sejak dari bangku sekolah lagi. Namun, biarlah ianya berlaku dalam keadaan yang baik dan penuh ukhuwah. Dalam nada yang mudah aku menasihati mereka supaya berfikir bahawa setiap 'batch' pasti akan melalui hierarki yang sama. Biarkan form 4 menggunakan peluang untuk belajar menjadi pemimpin sementara form 5 menjadi 'abang & kakak' yang sentiasa boleh menasihati adik2 mereka supaya memperbaiki kelemahan mereka. Lepaskan mereka! Kerana satu hari nanti, kita juga akan keluar daripada sekolah menuju kehidupan yang lebih matang. Sekiranya kita tidak memberi mereka peluang untuk belajar, apa akan jadi semasa ketiadaan kita?

Sejak KPIM lagi, ada senior yang masih turun ke sekolah pada waktu lapang walaupun sudah tamat persekolahan. Mereka datang untuk berkongsi idea, mengimbas kenangan dan pelbagai lagi sebab musabab yang hanya mereka saja tahu. Sehinggakan ada yang masih terlibat secara langsung dalam aktiviti2 KRS di sekolah. Dari satu sudut, ada positifnya seperti untuk memastikan tiada 'ajaran sesat' yang dilakukan oleh junior2 yang baru menjadi jurulatih ataupun untuk membantu menerangkan konsep2 yang sukar dijelaskan oleh jurulatih2 baru. Namun, ada juga negatifnya. Ada juga x-KRS yang datang ke sekolah seperti tidak mahu melepaskan tampuk jurulatih kerana disangkakan dirinya lebih hebat daripada juniornya. Lebih parah lagi, jurulatih2 baru seperti tidak berpeluang untuk menonjolkan ciri2 kepimpinan mereka kerana terlalu banyak komen yang diberikan oleh x-KRS tersebut. Sedangkan pada zaman mereka pun, belum tentu mereka menerajui platun dengan baik. Ada yang tunjuk bagus sedangkan anak buahnya telah sedia maklum tentang 'perangainya' yang syok sendiri itu.

Yang paling menggelikan, ada yang beranggapan bahawa batch mereka adalah batch yang terbaik. Apakah garis panduan yang mereka gunakan untuk menyatakan anggapan sebegitu? Cikgu Thani pun tidak pernah melabelkan mana2 batch. Mungkin ada batch yang mampu menerajui platun dengan baik tetapi bagaimana pula mereka boleh 'syok sendiri' mengatakan batch mereka yang terbaik? Muhasabahlah diri! Terus terang aku katakan, Cikgu Thani selalu memanggil batch aku untuk membantunya dalam menguruskan aktiviti2 KRS walaupun kami telahpun berada di form 5 sehinggalah selepas tamat sekolah namun tidak pernah pula aku mengatakan batch aku adalah batch terbaik.

Pada aku, untuk menilai sama ada batch kita berjaya ataupun tidak, lihat pada junior2 kita. Sekiranya kemenjadian mereka tinggi atau dengan kata lain mereka mampu menjadi ahli KRS yang versatile dan mempunyai sahsiah hebat maka kita boleh mengatakan bahawa batch kita berjaya. Namun, kita bukanlah yang terbaik. Kita boleh menanam azam untuk menjadi yang terbaik tetapi untuk menyatakan kita batch yang terbaik adalah syok sendiri! Seperti kata pepatah, 'Masuk bakul angkat sendiri'. Kita lihat, semalam ada orang membuat kerusi. Hari ini ada orang yang telah membuat kerusi yang lebih menarik dan selesa. Esok pula ada orang lain yang mampu menandingi kehebatan kerusi hari ini. Mengapa? Fikir2kanlah.

Catatan kali ini agak berbeza kerana aku ingin menegur diri sendiri dan sesiapa yang fikirkan dirinya hebat dalam KRS. Tinggi mana pun ilmu kita, ada yang lebih tinggi ilmunya. Dan sesungguhnya Allah S.W.T itu bersifat dengan sifat Al-'ilmu iaitu Maha Tinggi IlmuNya dan Maha Mengetahui. Dalam Islam, Nabi Muhammad S.A.W. merupakan contoh terbaik untuk diikuti. Baginda tidak pernah meninggi diri menyatakan baginda yang terbaik. Dan dalam KRS, Cikgu Thani adalah contoh yang terbaik. Beliau juga merupakan seorang yang selalu merendah diri dan tidak pernah ingin menunjuk-nunjukkan kepandaiannya. Lalu, apakah engkau masih ingin mengatakan engkau yang terbaik? Wassalam.

Jumaat, 9 Oktober 2009

Jambori dan Perkhemahan


Tidak dapat dinafikan bahawa KRS telah melalui banyak penambahbaikan daripada pelbagai segi misalnya kawad kaki, uniform, pengisian, pangkat dan banyak lagi. KRS yang ahlinya dahulu terdiri daripada pelajar2 Persatuan Pelajar Islam SM Raja Abdullah (PERWIRA) yang suka mengembara, kini telahpun berkembang luas dan disatukan tidak mengira bangsa dan agama. Hampir semua sekolah di Malaysia telahpun menubuhkan Unit Beruniform ini dan ada yang telah berjaya dalam pelbagai aktiviti KRS Peringkat Kebangsaan yang telah dianjurkan oleh pengurusan KRS itu sendiri dibawah pemantauan Kementerian Pelajaran Malaysia dan semua Jabatan Pelajaran Negeri.

Setiap kali aku memandang uniform 'hijau' KRS, pasti aku akan mengenangkan Allahyarham Cikgu Thani. Terbang aku sebentar menerawang ke alam memori lama bersama beliau. Betapa beliau seorang guru yang sangat komited dalam mendidik dan membangunkan anak bangsanya. Dan tertubuhnya KRS membuktikan betapa beliau mempunyai ciri2 kepimpinan yang patut dicontohi. Kadang2 aku bertanya sendiri, 'Apakah nama beliau masih dikenali sebagai Pengasas KRS ataupun sudah dilupakan oleh orang2 yang tidak pernah kaji sejarah penubuhan KRS itu sendiri?'.

Cikgu Thani memang sukakan perkhemahan. Jangan katakan tempat2 seperti hutan rekreasi, hutan dara, hutan simpan atau tepi pantai malahan beliau pernah mengadakan Ujian Ikhtiar Hidup di salah sebuah bukit di Segambut Dalam, Kuala Lumpur (sekarang ini bukit itu telah ditebang pokok2nya dan ditarah untuk tujuan pembangunan). Perkhemahan pertama aku dengan Cikgu Thani ialah di Jambori Kadet Putera Islam Malaysia Peringkat Kebangsaan 1992, Templer Park. Semasa itu aku berada di tingkatan 1. Aku yang menjadi ahli Kumpulan Saidina Ali telah diketuai oleh Abang Azeri. Suasana perkhemahan itu sangat berbeza dengan suasana perkhemahan KRS sekarang. Dahulu, perkhemahan bersama ini dipanggil 'Jambori' kerana terikut-ikut istilah pengakap. Malahan, diwaktu itu ahli2 KPIM memakai 'skaf' seperti pengakap dan bukan 'mafla' yang digunakan sekarang. Sebab itu aku kata, banyak penambahbaikan yang telah dilakukan di dalam KRS sekarang.

Antara peristiwa yang tidak boleh aku lupakan semasa Jambori tersebut ialah 'serangan ular'. Kali pertama ular muncul semasa kami sedang berehat untuk menyediakan makan tengahari. Ular tersebut sebenarnya hanyalah 'ular lidi' tetapi yang mengejar dan memukulnya punyalah ramai. Ada lebih kurang 15-20 ahli2 KPIM mengejar dan memukul ular lidi tersebut dengan buluh (kebetulan kawasan tersebut mudah untuk mendapati buluh). Akhirnya, ular lidi tersebut mati dan lunyai dikerjakan oleh mereka. Kesian pun ada, kelakar pun ada. Ular punyalah kecil. Tapi yang memukulnya macam berperang pula. Tidak adil sungguh 1 lawan 20! Apa2pun, kami lega sekejap tanpa gangguan.

Namun, kelegaan itu hanya sebentar saja. Apabila malam menjelma, kawasan perkhemahan Sekolah Maxwell pula dikatakan dilawati oleh ular tedung. Ada seorang kawan aku dari Sekolah Maxwell yang bernama 'Wan' terkejut selepas ular yang agak besar lalu dibawah kanvas khemahnya semasa dia sedang berbaring. Apalagi, seluruh kawasan khemah mengadakan operasi besar2an. Unggun api dihidupkan pada setiap kawasan sehinggakan tapak Jambori terang benderang. Kami yang terdiri daripada 400-500 orang peserta bersama-sama mengadakan operasi 'Seek and Destroy' terhadap ular tersebut. Yang menariknya, ayah aku pun turut sama dalam operasi tersebut. Kebetulan, dia datang melawat aku. Maklumlah, siapa tidak sayang anak. Hihi. Namun, tiada siapa yang jumpa ular tedung itu. Kami membuat operasi sehingga pukul 2 pagi. Ada yang tidak tidur sampai subuh.

Aku pasti, setiap perkhemahan yang dilalui oleh ahli2 KRS ada cerita ceritinya. Di samping pengalaman yang ditimba, perkhemahan ini secara tidak langsung meningkatkan tahap motivasi intrinsik seseorang pelajar dan juga ikatan perpaduan di antara satu sama lain. Masing2 bertukar-tukar 'contact' dan buat beberapa ketika selepas perkhemahan, masing2 saling berhubung. Namun, biarlah ianya lahir daripada jiwa yang suci bukan daripada nafsu yang mengarah kepada perkara yang tidak baik. Jambori dan Perkhemahan, sama tetapi tidak serupa. Semua ada kelemahan, tidak ada yang sempurna. Mulanya daripada beliau, Cikgu Thani yang berjasa. Legasimu dikenang, tidak akan kami lupa. Sekian.