Selasa, 8 September 2009

Meng'Edit' Gambar


Pengalaman2 yang pernah dilalui alangkah ruginya sekiranya tidak didokumentasikan. Pengalaman2 itu yang mampu membuatkan kita layan 'blues' dan tersenyum sendirian apabila mengenangkannya. Walaupun satu masa dahulu ianya pernah menjadi satu kepahitan namun apabila masa berlalu akhirnya pengalaman itu mampu juga mengukir senyuman pada riak wajah kita. Apatah lagi kenangan yang manis dan lucu. Sampai bila2 kita tidak akan melupakannya. Cuma sekiranya tiada gambar atau video yang diambil ketika itu, pengalaman itu hanyalah menjadi bayangan di dalam sanubari kita sahaja tanpa dapat dikongsikan dalam bentuk visual. Mungkin ianya boleh diceritakan tetapi alangkah jauh bezanya pemahaman atau imbasan yang boleh digambarkan oleh yang mendengar cerita berbanding jika gambar atau videonya ditayangkan. Mungkin aku boleh simpulkan bahawa melihat gambar atau menonton video lebih 'layan'!

Cikgu Thani memang sangat suka mengambil gambar. Setiap aktiviti seperti perkhemahan, kursus, majlis2 rasmi dan kadang2 latihan mingguan pasti diambil 'shot'nya oleh beliau. Yang menjadi lebih seronok ialah beliau sangat suka pula meng'edit' gambar (seperti gambar di atas). Namun ketika itu teknologi komputer masih belum menyerlah di Malaysia. Apa yang selalu Cikgu Thani buat ialah mencuci gambar2 menarik dan menulis sesuatu pada gambar menggunakan pen khas. Kadang2 dialog yang dibuat bukannya betul. Cuma sekadar ingin memberi impak yang lebih pada gambar tersebut. Aku berani katakan bahawa Papan Kenyataan KRS semasa zaman Cikgu Thani memang selalu menjadi tumpuan. Bukan sahaja ahli2 KRS malahan juga yang tidak ada kena mengena dengan KRS. Semuanya tersenyum. Semuanya ketawa melihat dialog lucu yang tertulis pada gambar.

Mengenai video pula, semasa aku masih bersekolah di SMK Raja Abdullah, ada seorang 'Gadjetman' yang ada di dalam KRS. Dia adalah rakan sebaya aku sendiri iaitu Sufril. Sufril merupakan anak orang yang berada dan selalu mempunyai 'gadjet' yang mendahului teknologi Malaysia kerana keluarganya selalu ke luar negara. Antara 'gadjet' yang banyak digunakan untuk membantu mendokumentasikan KRS semasa zaman aku ialah Video Cam, kamera dan TV bersaiz kecil. Pada waktu itu, bukan senang hendak mendapat semua alat ini. Bayangkan, Sufril telah memiliki 'Kamera Digital' yang menggunakan disket sebagai penyimpan memori pada tahun 1996. Aku berani jamin bahawa boleh kira pakai jari orang yang mempunyai kamera digital pada waktu tersebut. Banyak video aktiviti KRS telah diambil oleh Sufril ketika itu. Sayangnya salinan video yang dahulunya dipunyai oleh Cikgu Thani hilang entah ke mana. Mungkin Sufril masih menyimpannya. Aku tidak pernah bertanya mengenai hal itu kepadanya. Sufril sekarang sedang membuat PhD di Manchester University di London. Insyaallah, tahun depan dia pulang membawa gelaran 'Doktor Falsafah'.

Aku cuba membawa budaya meng'edit' gambar kembali ke SMK Raja Abdullah tahun lepas. Alhamdulillah dengan adanya teknologi komputer yang memudahkan aku meng'edit' gambar, maka terhasillah karya2 seni yang lucu, menarik, mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat. Aku ada mengajar beberapa orang ahli KRS tentang cara2 menggunakan perisian 'Picture Editor' tersebut dan sehingga sekarang mereka masih lagi mempraktikkannya. Datanglah ke Markas KRS SMK Raja Abdullah untuk melihat gambar2 yang telah di'edit' yang dihasilkan sendiri oleh ahli2 KRS. Aku percaya yang mereka kritis dan kreatif dalam menghasilkan gambar2 yang menarik.

Selain daripada ilmu2 keagamaan dan ketenteraan, sebenarnya pengisian KRS itu sendiri terlalu banyak dan luas untuk dibincangkan. Cikgu Thani bukan sahaja ingin melatih ahli2 KRS untuk menjadi pemimpin masa hadapan melalui KRS malahan juga mencungkil bakat2 yang ada pada setiap ahli KRS agar dapat digunakan sebagai kerjaya pada masa hadapan. Sedar atau tidak dengan cara meng'edit' gambar, ahli2 KRS dapat pengalaman sebagai seorang Editor. Siapa tahu ada di antara mereka yang menjadi Editor satu hari nanti? Kita tunggu dan lihat...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan