Selasa, 22 September 2009

Taman KRS



Dua tiga hari ini masa memang agak terhad. Maklumlah, musim raya ini memang sibuk ke sana dan ke sini. Menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai yang sudah lama tidak ketemu. Inilah pun masa dan semangatnya untuk menjiwai aktiviti ziarah menziarahi ini. Kalau pada hari2 biasa, memang jarang sangatlah kaki kita tergerak untuk ke sana. Tambah2 lagi sekiranya bermastatutin jauh dari keluarga. Tentu sekali cuti dan kelapangan ini wajib diisi dengan tentatif2 merapatkan silaturrahim dan berjejak kasih. Aku pun hanya dapat mencuri sedikit kelapangan kali ini untuk berkongsi sesuatu dengan semua yang melayari blog ini.


Untuk pengetahuan semua, aktiviti 'Alam Sekitar' yang ada dalam silibus KRS ada sejarahnya. Ianya tidak bermula pada zaman awal Kadet Putera Islam Malaysia tetapi sebaliknya pada zaman akhir KPIM. Ketika itu aku masih di tingkatan 3. Memandangkan kawasan2 landskap sekolah agak kurang terurus disebabkan oleh pekerja am (PAR) terlalu banyak kerja, Cikgu Thani telah meminta pihak sekolah untuk memberikan satu kawasan landskap kepada KRS untuk diuruskan. Kawasan pertama ialah dihadapan koperasi SMK Raja Abdullah (masih ada lagi sehingga sekarang). Landskap (2 pokok rendang) di situ merupakan hasil kerja tangan batch KRS 1994-1998. Sekarang ini telah diletakkan beberapa blok simen yang dijadikan tempat duduk. Dahulu, kawasan itu hanyalah merupakan rumput yang pendek dan agak bahang. 2 pokok di situ Cikgu Thani 'import' dari luar dan kamilah yang menggali lubang dan menanam pokok tersebut serta memastikan ianya tidak tumbang (pokok itu sememangnya didatangkan dalam keadaan yang sedia besar).


Kawasan kedua merupakan kawasan di hadapan pejabat SMK Raja Abdullah. Di sini juga terletaknya batu tanda Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Datuk Najib (yang ketika itu Menteri Pelajaran). Di dalam kawasan ini terdapat satu landskap 'Air Terjun' serta kolam yang dahulunya penuh dengan ikan 'Carp'. Cuma, disebabkan beberapa batch selepas batch aku & batch Mohedi, kawasan ini tidak berjaga, Pengetua mengambil keputusan untuk menutup landskap air terjun dan kolam tersebut. Aku memang agak terkilan tetapi semuanya telahpun berlaku. Biarlah kita sama2 mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut. Namun, aku masih boleh berbangga kerana kawasan yang pertama masih wujud hingga sekarang. Cuma, ianya bukan lagi diuruskan oleh pihak KRS tetapi sekumpulan pekerja am yang sekarang ini ramai dan terurus.


Cikgu Thani memang cintakan Alam Sekitar, itu pasti! Sesuai dengan bidangnya iaitu Sains Pertanian. Sememangnya elemen 'Sekolah Lestari' telah lama diterapkan oleh Cikgu Thani menerusi KRS. Cuma, ada ahli2 KRS yang kurang prihatin serta tidak melaksanakan apa yang telah ada di dalam silibus KRS itu sendiri. Ingin aku nyatakan di sini bahawa, 'KRS itu diwujudkan bukan hanya kerana Kawad Kaki tetapi lebih daripada itu. Malahan, KRS itu sendiri merupakan satu medan perjuangan bagi mereka2 yang berminat untuk mendidik anak2 bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang secara menyeluruh serta dapat pula berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara'. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan