Khamis, 27 Ogos 2009

Allahyarham Muhammad Thani Shaaban Al-Farisi


Bismillah...


Sebelum aku berkongsi sedikit pengalaman aku dalam KRS, molek rasanya aku sentuh dulu serba sedikit berkenaan dengan Cikgu Thani. Pengalaman aku dengan beliau selama 5 tahun di SMK Raja Abdullah adalah pengalaman aku sendiri dan perihal beliau aku kupas berdasarkan pengalaman aku dengan beliau. Mungkin orang lain mempunyai pengalaman yang berbeza dengan beliau. Tapi itu adalah pengalaman mereka yang tidak pernah pula aku lalui.

Cikgu Thani adalah anak kelahiran Pulau Pinang. Aku pernah sekali pergi ke kampung beliau semasa aku berada di tingkatan 4 (semasa menyertai 'Perasmian KRS Peringkat Negeri' Pulau Pinang). Aku berada di sana lebih kurang 4 hari 3 malam (kalau tidak salah) bersama-sama dengan semua kawan-kawan dari SMK Raja Abdullah menaiki sebuah bas yang disewa khas untuk tujuan Perasmian KRS Peringkat Negeri. Kami tinggal di sebuah asrama di sebuah sekolah di Penang. Aku sudah tidak ingat lagi nama sekolah tersebut, maklumlah, sudah 14 tahun kisah ini berlalu. Mungkin satu hari nanti aku akan kupaskan peristiwa aku ke sana.

Ramai yang tidak tahu bahawa sebelum Cikgu Thani menjadi seorang guru, beliau pernah bekerja sebagai 'Tukang Besi' di Penang. Yelah, sementara tunggu keputusan hendak 'apply' mana2 lepas SPM, mestilah hendak cari duit sikit. Kalau tidak boleh menampung keluarga pun, cukuplah dapat menampung diri sendiri. Samalah macam Cikgu Thani. Sebagai seorang anak yang sudahpun menamatkan persekolahan, tentu saja niat dihati untuk membalas jasa ibubapa yang sudah lama mendidik dan membesarkan beliau. Namun, mengikut cerita beliau yang diceritakan sendiri pada aku, beliau cuma bekerja sebagai Tukang Besi selama beberapa bulan saja. Kemudian, beliau telah mendapat tawaran ke Maktab. Bidangnya, Sains Pertanian.

Cikgu Thani sepertimana aku mula kenal beliau merupakan seorang guru disiplin di SMK Raja Abdullah. Kebetulan, beliau merupakan seorang guru yang mengajar pelajar2 sesi petang di waktu itu. Di SMK Raja Abdullah, terdapat kelas peralihan untuk pelajar2 yang datang dari Sekolah Jenis Kebangsaan. Mereka ini memang cukup kenal dengan Cikgu Thani walaupun sebenarnya kelas peralihan semasa itu berada di sesi pagi. Pelajar2 yang telah tamat kelas peralihan akan ke Tingkatan 1 bersama-sama dengan pelajar2 dari Sekolah Kebangsaan yang biasa. Aku mula mengenali Cikgu Thani pun semasa keadaan kelam kabut pelajar2 bekas kelas peralihan yang berlari seribu langkah apabila nampak kelibat beliau. Kadang2 itu, aku pun tidak faham mengapa mereka lari sedangkan bukannya ada kesalahan apa2 yang mereka lakukan. Namun, itulah yang terjadi sebaik saja mereka nampak kelibat Cikgu Thani.

Antara perkara yang membuatkan mereka dapat menghidu kelibat Cikgu Thani adalah bau minyak atar beliau. 'Aiya, bau sani loh. Lari!' kata salah seorang dari mereka. Tajam betul deria bau pelajar2 x-peralihan ni. Aku sendiri pun masih belum cam lagi bau minyak wangi sendiri. Inikan pula minyak wangi orang lain. Tapi kata2 mereka memang ada benarnya. Sesiapa yang pernah berjumpa dengan beliau pasti dapat merasakan bau dan perasaan yang sama. 'Bau Thani'. Beliau sebenarnya sangat suka mengenakan minyak atar dari dalam tiub. Dulu memang selalu aku nampak minyak atar jenis ini. Cuma, sejak kebelakangan ini minyak atar sudahpun menggunakan botol baru (mengikut aliran zaman lah katakan). Pernah beberapa kali Cikgu Thani memberikan aku minyak atar tiub untuk dipakai. Kadang2, aku pakai dan kadang2 aku tidak pakai (macam istilah cekak pula, 'Pakai tak pakai, Tak pakai Pakai'). Bila aku duduk sendirian mengenangkan peristiwa 'Bau Thani' ini, aku boleh tergelak sendiri. Cikgu2 lama dalam KRS yang pernah mengenali beliau secara dekat mesti faham apa yang cuba aku sampaikan ini. Cuba tanya pada Cikgu Amir, Cikgu Fadhil, Cikgu Shaari, Ustaz Ahmad atau Cikgu Anuar.

Selain daripada aura wangi yang Cikgu Thani tonjolkan ini, ada lagi satu istilah yang aku tidak pernah dapat lupakan. 'Pedang Gaban'. Sudah pun namanya cikgu disiplin, mestilah ada rotan. Rotan itulah yang kami panggil Pedang Gaban. Ramai yang telah merasakan bisa Pedang Gaban ini. Walaubagaimanapun, aku tidak pernah kena sebat dengan beliau. Pernah sekali aku tergolong dalam pelajar2 bising semasa di perhimpunan sekolah (sebenarnya kawan2 aku yang bising), beliau menangkap aku dan kawan2. Namun, agaknya beliau tidak sampai hati hendak merotan aku, beliau berikan tugas merotan itu pada Cikgu Amir. Apa lagi, rotan Cikgu Amir pun tidak kurang bisanya. Itulah sekali seumur hidup aku dirotan di sekolah.

Banyak lagi perkara yang aku ingin kongsikan dengan semua pembaca. Kalau hendak taip semua, 5 tahun pun tidak habis. Mungkin aku akan kongsikan dalam catatan yang akan datang. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan