Sabtu, 23 Januari 2010

Sesi Burung Hantu


Assallamualaikum. Selamat sejahtera. Lama sungguh aku tidak ber-blog di sini. Maklumlah, awal2 persekolahan. Terlalu banyak yang perlu disiapkan dalam tempoh yang sangat singkat. Sehinggakan tidak menang tangan untuk menyudahkan semuanya. Nama pun guru. Semuanya aku terima dengan redha dan bersyukur selalu. Yelah, ramai di luar sana yang ingin sangat menjadi guru tapi masih menggigit jari. Apa2pun aku cuba mencuri sedikit masa yang ada untuk berkongsi pengalaman KRS seperti yang sebelum ini aku lakukan. Kali ini aku ingin membawa topik 'Sesi Burung Hantu'.

Ramai yang biasa dengar istilah ini. Mungkin ada yang sudahpun melaluinya. Yang hanya bercakap besar pun ada. Kononnya diletakkan berseorangan di suatu sudut sama ada di sekolah ataupun di hutan. Dan bermacam-macam pula ceritanya. Nampak itulah. Nampak inilah. Kadang2, cerita mereka hanyalah sekadar memenuhi masa senggang. Bukannya betul pun. Cuma bila ada rempah dan perisanya maka sedaplah cerita. Seolah-olah cerita yang direka-reka benar2 berlaku.

Tahu ataupun tidak, dalam KRS ada banyak sejarah tentang 'Sesi Burung Hantu'. Dan ramai juga yang tidak tahu bahawa aktiviti ini dilarang sama sekali dalam Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebabnya, masih ramai guru2 yang meneruskan aktiviti seperti ini. Kononnya hendak menguji ketahanan mental seseorang ahli KRS. Walaubagaimanapun, aktiviti ini pernah menjadi 'budaya' KRS suatu masa dahulu.

Aku punya pengalaman sama ada menjadi peserta ataupun jurulatih semasa sesi ini dijalankan. Sebagai peserta, aku pernah melalui sesi ini beberapa kali. Yang masih aku ingat ialah semasa ber'jambori' di Templer pada tahun 1992, kursus Sarjan di Ulu Yam pada tahun 1994 dan Kem Kembara Angkasapuri pada tahun 1995. Sebagai jurulatih pula sekitar tahun 1995 hingga 1996. Macam2 kerenah peserta yang aku jumpa. Ada yang menangis. Ada yang toreh pun tidak berdarah. Tertidur semasa sesi. Yang kena sampuk pun ada.

Antara pengalaman yang masih aku ingat ialah semasa kursus Sarjan 1994 di Ulu Yam. Al-kisah, kami seramai 10 orang menjadi jurulatih sisipan untuk Perkhemahan SMK Seri Titiwangsa. Itulah ujian yang perlu kami lalui iaitu menjadi jurulatih sisipan sebagai syarat untuk kenaikan pangkat Sarjan semasa itu. Pada malam sesi burung hantu tersebut, kami diarahkan untuk menjadi peserta. Walaupun gentar di hati memang ada, kami teruskan juga. Kecuali seorang daripada kawan kami yang suka cakap besar tapi penakut yang bernama 'A'. 'A' memujuk Cikgu Anuar (Lembaga Pengasas KRS aka Guru SMK Seri Titiwangsa) untuk dikecualikan daripada sesi tersebut dengan alasan 'Lemah Semangat'. Atas sebab itu juga, Cikgu Anuar setuju untuk 'A' dikecualikan daripada sesi tersebut. Rupa2nya, semua jurulatih, guru2 dan peserta tiada di kawasan khemah semasa sesi dijalankan. Tinggallah 'A' berseorangan di tapak khemah kami. Tiba2 lampu gasolin yang digunakan untuk menerangi kawasan khemah terpadam dek kerana kehabisan minyak tanah. Dan serentak dengan itu, kami mendengar suara jeritan yang sangat kuat dari arah kawasan khemah. Selepas habis sesi, Cikgu Anuar menceritakan tentang suara jeritan tadi. Rupa2nya 'A' menjerit ketakutan kerana tiba2 keadaan menjadi gelap. Dengan kata lain, sebenarnya 'A' juga telah menjalani sesi burung hantu secara tidak sedar. Aku dengan kawan2 ketawa berdekah-dekah sehingga ke pagi. Dan hingga sekarang, kami akan sentiasa ketawa bila mengenangkan peristiwa tersebut.

Semasa zaman Cikgu Thani, sesi burung hantu sudah menjadi kemestian pada setiap program perkhemahan yang kami jalankan. Sehinggakan ianya menjadi budaya. Aku akan ceritakan berkenaan sesi ini pada catatan yang lain nanti. Banyak cerita menarik sebenarnya. Apabila tiba zaman Cikgu Amir, sesi burung hantu semakin kurang dilakukan. Lagipun, semasa itulah arahan daripada KPM melarang aktiviti ini dikeluarkan. Maka, budaya ini tidak lagi dilakukan sehingga sekarang. Aku pun tidak tahu sama ada nanti Sesi Burung Hantu akan dihidupkan semula ataupun hanya tinggal sejarah. Sekian untuk kali ini.

1 ulasan: