Ahad, 28 November 2010

Gunung Irau @ Gunung Brinchang? Di sini mulanya...


Ekspedisi kali ini sangat banyak dugaannya. Dugaan datang sebelum dan semasa kembara kami ke Gunung Irau. Yang merisaukan aku, dugaan sebelum ke Irau. Banyak sangat tanda2 yang tidak menyenangkan sehingga aku terfikir untuk hentikan saja kembara kali ini. Apa dugaannya? Hanya team D'interval Irau saja yang tahu. Namun, kekuatan (sponsor) yang diberikan oleh F (bukan nama sebenar) telah membakar jiwa kami untuk tetap meneruskan kembara ke Irau walau apapun cabarannya.

Kami berkhemah di atas puncak Gunung Brinchang. Ya. Pelik bukan? Sebenarnya Gunung Brinchang ini boleh didaki menggunakan kenderaan. Dengan kata lain, tidak perlu berjalan kaki ke Gunung Brinchang. Orang tua pun boleh pergi ke sana. Malahan, ramai pelancong yang datang ke puncak Gunung Brinchang untuk menikmati suasana nyaman dan pemandangan menarik puncak gunung. Kalau kau hendak pergi pun boleh. Di sini terdapat 2 perkara menarik. Pertama, ada Menara Tinjau (Watch Tower) untuk memerhatikan matahari terbenam ataupun matahari menaik. Kedua, ada jambatan yang menghubungkan Gunung Brinchang & Gunung Irau. Di sini, pemandangan puncak gunungnya sungguh memukau. Cuma satu masalahnya, tiada punca air. Maknanya kami terpaksa mengangkut air yang banyak di dalam kereta untuk kegunaan 3 hari 2 malam.

Di puncak gunung Brinchang ini sangat sejuk. Sehinggakan kabus sentiasa menyelubungi tapak perkhemahan kami. Pernah ada beberapa orang di antara kami yang terpaksa tidur di dalam kereta dek kerana terlalu sejuk sehingga badan mereka menggigil. Tahu berapa suhu di sana? Di atas puncak gunung Brinchang ini suhunya ialah 8 darjah celcius. Air cond di rumah pun paling rendah 16 darjah celcius. Bayangkan betapa sejuknya.

Seperti biasa, malam pertama, kami adakan acara barbeku dan permainan UNO. Ada sedikit masalah, api bara susah dihidupkan dek kerana cuaca yang lembab & sejuk. Kami terpaksa mengambil masa sejam hanya untuk menghidupkan bara. Api? Hanya sekali dua saja yang naik. Kami terpaksa berpuas hati dengan bara yang suam2 kuku. Mula membakar bara pukul 6:30 petang. Habis membakar ayam pukul 9:30 malam. Perut masing2 sudah memainkan bermacam-macam bunyi. Sejuk bercampur dengan lapar. Malam itu kami makan dengan sangat lahapnya. Aku? Sopan saja. ;)

Malam itu kami tidur awal. Pengalaman di Gunung Nuang mengajar kami supaya tidur awal untuk mengelakkan bangun pukul 10 pagi! Walaupun sangat sejuk, kami cuba juga untuk tidur. Sebenarnya masing2 tidur2 ayam dek kerana asyik terjaga kesejukan. Walaupun ada 'rubber mat' & 'sleeping bag', puncak Brinchang sangat ganas menyucuk kami dengan hawa sejuknya. Apa boleh buat? Kami rela melakukannya demi kepuasan diri dan demi kembara ke Irau yang kami rancangkan bersama. Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan