Isnin, 29 November 2010

Rintangan Ke Anak Irau


Seperti dirancang, kami bangun pukul 5:30 pagi. Walaubagaimanapun, kami perlu menyediakan sarapan & makan tengah hari (nasi himpit + ration) sebagai mengisi perut di atas gunung nanti. Leka bersiap, akhirnya kami memulakan kembara ke Irau pada pukul 8 pagi. Selepas membaca doa, kami pun bertolak.

Kami terpaksa berjalan kaki sejauh 1 km dahulu sebelum sampai ke jambatan yang menghubungkan Gunung Brinchang & Gunung Irau. Ini adalah kerana tapak khemah kami terpaksa didirikan di kawasan Menara Tinjau untuk mengelakkan kesesakan. Kawasan perkhemahan berhampiran dengan jambatan telah dipenuhi oleh pelajar2 UiTM yang datang juga untuk menakluk puncak Irau.

Sampai saja ke jambatan, kelihatan kumpulan UiTM sedang membaca doa. Mungkin mereka sudah hampir ingin bertolak ke puncak Irau. Kami mempercepatkan langkah agar menjadi kumpulan pertama yang melalui trek ke Irau. Maklumlah, kalau dah ramai yang lalu nanti, trek akan hancur & menyukarkan kami untuk berpaut dan berpijak. Di hujung jambatan, kelihatan anak tangga terakhir yang memulakan perjalanan kami ke Irau.

Destinasi pertama kami adalah 'Anak Irau'. Tempat ini merupakan kaki gunung Irau yang menghubungkan beberapa denai untuk ke gunung2 yang bersebelahan. Memandangkan kami sedang berada di puncak Gunung Brinchang, kami perlu menuruni gunung ini dahulu. Namun, laluannya bukanlah laluan kenderaan. Laluan turun adalah dibahagian lain gunung Brinchang. Perjalanan turun mengambil masa lebih kurang sejam setengah.

Satu kejadian yang berlaku, tiba2 Ima tergelincir dan terduduk tepat2 di atas sebuah batu kecil sebesar punggung. Ini menyebabkan perjalanan kami terhenti seketika. Kaki Ima kelihatan kejang (cramp). Kami bersama-sama cuba merawat Ima dengan segala sumber yang kami ada. Terima kasih 'Counter-Pain'!. Walaupun tidaklah boleh menghentikan terus kesakitan Ima tetapi sekurang-kurangnya melegakan sedikit. Kami meneruskan perjalanan setelah Ima berjaya mengumpul semangat untuk meneruskan perjalanan.

Semangat Ima sangat kuat. Walaupun kesakitan di bahagian badan sebelah kanan (dari bahu hingga ke kaki) akibat jatuh, Ima masih membulatkan tekad untuk menakluk puncak Irau. Sesekala kelihatan kaki Ima terdengkut-dengkut. Saat ini keputusan Ima untuk meneruskan perjalanan sangat2 membantu kami sekumpulan. Mana tidaknya? Kalaulah Ima berputus asa & mengambil keputusan untuk berpatah balik, tentu kami akan terpaksa berpecah. Dan tentu perjalanan ke Irau sudah menjadi tidak menarik lagi. Terima kasih Ima.

Aku bersetuju dengan Muhsinin. Perjalanan ke Irau memang sangat menarik. Kalau hendak dibandingkan dengan Gunung Nuang yang hanya banyak tanah merah, perjalanan ke Irau banyak melalui curam2 yang menampakkan pemandangan yang hebat dan indah. Semuanya ciptaan Allah yang Maha Besar. Aku terkesima dalam kepenatan. Walaupun sedikit pancit dan keletihan namun pemandangan indah ini mampu merawat segala kelelahan. Cuma sesekala aku batuk dek kerana kekurangan oksigen. Maklumlah, kesejukan yang melanda membuatkan nafas agak sukar untuk ditarik. Bernafas menggunakan mulut sangat2 membantu. Hidung perlu dibiarkan rehat buat seketika.

Akhirnya kami sampai ke anak Irau. Kelihatan beberapa denai yang menghubungkan tempat ini ke gunung2 lain. Kalaulah tersalah pilih jalan, kami mungkin akan tersesat hingga ke Kelantan. Mujurlah ada batu2 tanda yang telah dipasakkan oleh renjer2 hutan sebagai panduan ke puncak Irau. Kami berehat di anak Irau selama 10 minit. Kalau boleh, kami mahu menjadi kumpulan pertama sampai ke puncak Irau. Seperti yang aku katakan tadi, untuk mengelakkan trek2 menjadi hancur dek kerana telah ramai orang yang lalu terutama peserta2 daripada UiTM tadi. Sebelum memulakan perjalanan ke puncak Irau, seperti biasa, kami sempat bergambar. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke puncak Irau. Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan