Sabtu, 29 Ogos 2009

Khidmas


Antara kelainan yang ada pada KRS adalah Khidmat Masyarakat atau perkataan singkatnya, Khidmas. Memang, Persekutuan Pengakap mempunyai satu slot silibus yang dipanggil 'Perkhidmatan' tetapi ianya agak berbeza dengan Khidmas KRS. Khidmas KRS pada asalnya merupakan penglibatan Arwah Cikgu Thani sendiri dalam kemasyarakatan. Di sekitar kawasan SMK Raja Abdullah, siapa yang tidak mengenali Cikgu Thani? Hampir semua orang kenal dan amat menyenangi beliau. Tambahan pula jika ada di antara anak2 mereka yang bersekolah di SMK Raja Abdullah.

Salah satu daripada aktiviti Khidmas yang selalu aku sertai ialah Penanggar Perkahwinan. Sesiapa yang mengenali Cikgu Thani tentu tahu bahawa beliau tidak sesekali mengambil sebarang upah ketika mengarahkan anak2 buahnya (ahli2 KRS) menjadi penanggar. Cuma, pihak keluarga pengantin perlu menyediakan 'transport' sekiranya kawasan perkahwinan agak jauh daripada sekolah. Dan kadang2, pihak keluarga pengantin sendiri yang memberi kami sedikit buah tangan untuk dibawa pulang tanpa diminta oleh Cikgu Thani. Maklumlah, adat melayu 'Orang Memberi Kita Merasa, Orang Berbudi Kita Berbahasa'. Selain daripada menjadi penanggar, kadang2 pihak keluarga pengantin juga ada meminta kami untuk memalu kompang mengiringi pengantin dan membuat persembahan nasyid. Selalunya, akulah yang mengetuai (penyanyi utama) persembahan nasyid tersebut setelah abang Shahrul dan abang Faizal tamat persekolahan. Antara 'otai2' kompang kami termasuklah senior setahun aku, abang Azri dan abang Nizam. Tidak lupa juga rakan2 sebaya seperti Azmi (adik Azri), Jefridin dan Rahimmudin.

Selain daripada Penanggar Perkahwinan, kami juga selalu dijemput untuk membuat macam2 persembahan pentas seperti nasyid, sajak, lakonan dan pelbagai lagi. Merata Malaysia kami mengembara membuat persembahan. Antara lokasinya ialah Politeknik Port Dickson, Maktab Perguruan Teknik (tempat aku buat KPLI sekarang ini), Pusat Belia Cheras, sekolah2 di negeri Johor, sekolah2 di Pulau Pinang, sekolah2 di sekitar Kuala Lumpur dan banyak lagi tempat2 yang aku sudah lupa. Antara perkara yang tidak boleh aku lupakan adalah semasa aku mendeklamasi sajak di Maktab Perguruan Teknik sekitar tahun 1993 (tingkatan 2). Kebetulan 'mic stand' yang disediakan oleh pihak maktab mempunyai masalah dengan spring pemegang sisinya (untuk menghala ke kanan dan ke kiri). Mereka hanya 'selotape' saja sisi 'mic stand' tersebut. Aku pula sudah berlatih sajak beserta dengan gaya dan intonasi yang tertentu termasuk 'duduk tahiyat'. Apalagi, semasa bersajak selotape tersebut terbuka dan aku terpaksa menahan 'mic' tersebut daripada melibas ke kiri menggunakan sebelah tangan. Ketika babak aku 'duduk tahiyat', aku tolak sedikit 'mic' tersebut ke kanan dan terus duduk. Sepantas kilat 'mic' tersebut melibas ke kiri seolah-olah memancung kepala aku serentak dengan pergerakan aku untuk 'duduk tahiyat'. Nasib baik tidak kena kepala. Para penonton waktu itu tergelak dek kerana peristiwa tersebut. Aku buat2 'cool' saja. Padahal dalam hati, malu tidak terkata. Malunya!

Kami juga pernah beberapa kali menyertai aktiviti membersihkan kawasan kubur terutama kawasan Perkuburan Orang2 Islam Batu 5 (belakang The Store Sg Mas). Cikgu Thani memang mengenali orang2 Masjid Abu Hurairah (Masjid Kg Batu) kerana beliau selalu berjemaah di sana. Pada hari membersihkan kubur, kelihatan yang memenuhi ruang adalah ahli2 KRS SMK Raja Abdullah. Senyum lebar tok imam, bilal, tok siak dan semua orang2 masjid melihat kami. Maklumlah, mereka kebanyakkanya sudah tua. Tentu mereka seronok melihat kami yang muda2 ini membantu mereka membersihkan kawasan kubur yang sudah tentunya amat luas. Kami bekerja bersama-sama mereka sambil mengikut arahan yang diberikan. Habis membersihkan kubur, kami bersihkan pula makanan2 yang disediakan. Sampai licin! Sampai sekarang, asal bab makan saja, berilah pada ahli2 KRS SMK Raja Abdullah. Pasti habis dan licin! Alhamdulillah, kenyang perut kami.

Untuk pengetahuan semua, di sinilah bersemadinya Allahyarham Muhammad Thani Sha'aban Al-Farisi, Pengasas KRS. Pusara beliau berada berhampiran sebuah pokok besar di situ. Sehingga sekarang, ahli2 KRS SMK Raja Abdullah selalu ke sana untuk membersihkan kubur beliau. Sesungguhnya, semangat beliau masih hidup walaupun jasad beliau telahpun bersemadi. Al-fatihah.

2 ulasan: