Ahad, 30 Ogos 2009

Kelas Fardhu Ain


Allahyarham Cikgu Thani sangat menitikberatkan soal kerohanian. Sebab itu, salah satu elemen dalam silibus KRS itu sendiri merupakan 'Kerohanian'. Kerohanian merupakan perbezaan paling besar yang membezakan KRS dengan unit2 beruniform yang lain. Seperti yang telah saya catatkan di dalam catatan yang lepas, KRS itu sendiri berasal daripada sebuah persatuan yang berorientasikan kerohanian. Tidak hairanlah sesetengah personal yang terlibat dalam KRS memanggil Cikgu Thani sebagai 'Ustaz'. Malahan Ustaz Ahmad Faradila daripada Taman Tun juga merupakan seorang ustaz. Cikgu Anuar (Titiwangsa) juga ada yang memanggil beliau ustaz. Namun, Cikgu Anuar lebih popular dengan panggilan 'Major Anuar'. Beliau sekarang ini merupakan pengetua SMK Seri Titiwangsa.

Semasa aku masih di SM Raja Abdullah, kelas fardhu ain diadakan pada setiap hari Isnin hingga Khamis. Namun, hari Khamis kebiasaannya kami akan membaca Surah Yassin beramai-ramai. Waktunya adalah sebelum masuk sekolah iaitu bermula pukul 11:30 pagi sehingga pukul 12:45 tengahari. Kelas fardhu ain hanya diadakan untuk ahli2 KRS sesi petang sahaja (tingkatan 1 & 2) kerana Cikgu Thani mengajar di sesi petang. Setiap ahli2 lama KRS pasti mempunyai sijil kelas fardhu ain yang ditandatangan sendiri oleh Cikgu Thani. Ini bermaksud, pada awal perkenalan, seseorang ahli KRS diwajibkan untuk mendalami ilmu agama dahulu di samping ilmu2 KRS yang lain. Begitulah Cikgu Thani mendidik kami supaya mengenal agama dahulu sebelum yang lain2. Aku tidak pasti berapa banyak sekolah yang masih mengamalkan apa yang telah Cikgu Thani buat namun aku dapat merasakan tidak banyak sekolah yang berbuat demikian.

Kebiasaannya, Cikgu Thani sendiri yang akan memberi syarahan agamanya pada setiap kelas fardhu ain yang kami hadiri. Namun sekiranya beliau tidak berkesempatan kerana terlibat dengan urusan2 lain, Ustaz Zulkifli atau Abang Isa (masih lagi bekerja di SMK Raja Abdullah) yang akan ambil alih. Kedatangan kami akan diambil oleh ketua kumpulan dan dicatatkan di dalam sebuah buku kedatangan fardhu ain. Sekiranya banyak kali tidak hadir kelas fardhu ain, Cikgu Thani akan memberi beberapa kali amaran kepada ahli KRS tersebut sebelum 'membuang' keahliannya. Begitulah Cikgu Thani yang sangat tegas terhadap anak buahnya (ahli2 KRS) agar mereka dapat menjadi seorang rakyat Malaysia yang bersahsiah tinggi, dinamik dan berdisiplin. Sebab itulah, daripada 70 orang yang menyertai KRS semasa berada di tingkatan 1, cuma 5-10 orang sahaja yang berjaya beristiqamah dalam KRS semasa berada di tingkatan 5. Mereka yang keluar daripada KRS pun dek kerana dibuang keahlian mereka dan tentu sekali mereka amat menyesali apa yang telah mereka lakukan. Cikgu Thani sangat tegas dalam memastikan anak2 buahnya tidak melakukan kesalahan2 melampau yang boleh menjatuhkan iman dan moral mereka. Sesuai dengan motto KRS itu sendiri, 'Berilmu, Beriman dan Beramal'.

Hari Khamis pula kebiasaannya kami akan membaca yassin beramai2 (seperti di dalam gambar). Ahli2 KRS tingkatan 2 akan bergilir-gilir mengetuai bacaan Yassin tersebut. Sesekali, Cikgu Thani yang akan mengetuai bacaan Yassin. Beliau sebenarnya ingin menerapkan nilai2 seorang ketua di dalam diri ahli2 tingkatan 2 memandangkan mereka bakal menjadi teraju utama KRS SMK Raja Abdullah apabila berada di tingkatan 4 kelak. Selain daripada itu, Cikgu Thani ingin memupuk sifat berani ke hadapan dari kalangan anak2 buahnya. Sebab itu, anak2 buahnya boleh diharap oleh guru2 yang lain untuk menjadi Pengerusi Majlis, membuat persembahan pentas, mengetuai bacaan doa dan pelbagai lagi yang melibatkan aktiviti2 majlis rasmi. Kami biasanya digelar 'anak Thani' oleh guru2 dan pelajar2 SM Raja Abdullah. Di waktu itu, anak2 Thani merupakan pelajar2 yang boleh diharapkan dan mempunyai nilai2 kepimpinan yang tinggi. Sebab itu, anak2 Thani kebiasaannya rapat dengan guru2 yang lain. Kepimpinan KRS yang tinggi ini terkesan sehingga sekarang di SMK Raja Abdullah. Walaupun Cikgu Thani telah tiada, Cikgu Amir masih meneruskan penerapan nilai2 kepimpinan ini di kalangan ahli2 KRS. Sehingga sekarang, ahli2 KRS SMK Raja Abdullah akan terlibat secara langsung dalam semua majlis rasmi yang diadakan.

Bila mengenangkan kelas fardhu ain, teringat surau SM Raja Abdullah yang lama. Surau itu telah dirobohkan dan diganti dengan sebuah bangunan blok 3 tingkat. Surau kini berada dibahagian bawah bangunan berkenaan. Tentu sekali surau yang lama dahulu mempunyai banyak nilai sentimental terutama dikalangan ahli2 KRS yang lama. Namun, baru atau lama bukan persoalannya. Tetapi bagaimana kita mengimarahkannya menjadi tujuan utama. Semoga KRS akan terus memperjuangkan amali dan konsep kerohanian ini sampai bila2. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan