Jumaat, 28 Ogos 2009

Guru Kemahiran Hidup aka Guru Disiplin


Allahyarham Cikgu Thani merupakan seorang guru yang mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup. Setakat yang aku pernah kenal, beliau mengajar Tingkatan 1 dan 2 (sesi petang) sehinggalah aku tamat bersekolah di SMK Raja Abdullah beliau mula mengajar sesi pagi. Itupun tidak lama selepas itu, beliau berpindah ke Sekolah Menengah Sains Ulu Yam. Dari segi kemahiran, Cikgu Thani memang terkenal dengan 'skill'nya yang boleh membaiki pelbagai benda. Tidak cukup dengan itu, pelbagai kemahiran yang beliau miliki hasil daripada pembelajaran secara formal ataupun tidak formal iaitu melalui pengalaman hidup beliau sendiri. Itupun di antara sebab mengapa pihak sekolah pun sangat sayang kepada beliau. Guru yang kreatif lagi 'versatile'. Mana tidaknya? Sudah nama pun guru Kemahiran Hidup.

Tingkatan 2, Cikgu Thani yang mengajar aku Kemahiran Hidup. Daripada tukangan kayu (siap ada projek lagi) sampailah sains pertanian iaitu menanam jagung. Tidak perlu balik kampung, di KL pun boleh menanam jagung. Daripada membuat batas sampailah dapat hasilnya. Walaupun jagung aku banyak yang rongak (dikerjakan serangga dan orang2 yang tidak bertanggungjawab), aku puas sebab banyak ilmu pertanian yang dapat aku pelajari daripada beliau. Sampai sekarang, alhamdulillah, kalau aku tanam apapun, insyaallah jadi. Tangan sejuk kata orang tua2.

Bilik Cikgu Thani (Bilik KRS sekarang ni) merupakan juga bilik Sains Pertanian. Banyak barang2 seperti cangkul, penyodok, pongkes dan seangkatan dengannya diletakkan di sini. Antara kenangan yang tidak boleh aku lupakan ialah semasa kali pertama Cikgu Thani panggil aku dan beberapa orang kawan untuk satu sesi penerangan mengenai Kadet Putera Islam Malaysia (KRS sekarang ini). Ada beberapa pelajar telah ditangkap kerana kesalahan disiplin. Oleh kerana beliau hendak memberi tumpuan sepenuhnya kepada sesi kami, beliau ingin mengusir pelajar2 tersebut. Namun, hukuman perlu dijalankan sebelum mereka diusir keluar. Mereka ditanya sama ada mereka mahu dirotan ataupun tidak. Tentu sekali mereka menjawab tidak. Aku pun akan lakukan perkara yang sama juga jika berada di tempat mereka. Siapa yang hendak kena sebatan Pedang Gaban itu. Naya tidak boleh duduk 'straight' seminggu. Lepas itu, beliau mengarahkan setiap seorang mengambil sebuah penyiram pokok. Kemudian, mereka perlu menanggalkan bahagian 'shower' penyiram pokok tersebut. Mereka kemudiannya diarahkan tiup penyiram tersebut sampai berbunyi. Memang kelakar diwaktu itu. Cuma tidak ada sesiapa dikalangan kami berani untuk ketawa. Jangan buat pasal. Ketua Guru Disiplin di depan mata! Setelah 5 minit, mereka masih lagi tidak berjaya membuat sebarang bunyi. Akhirnya, mereka dirotan setiap seorang satu sebatan. Ayam terlepas, tangan bau tahi. Kesian.

Apabila berjalan mengawal disiplin sekolah, biasanya Pedang Gaban akan disorokkan dibelakang. Daripada depan, nampak Cikgu Thani macam ada arial timbul dari belakang. Kelihatan, pelajar2 'wanted' bertempiaran lari. Tahu saja ada bahaya sedang menanti. Maklumlah, ada kemahiran menghidu yang tinggi. Sampai sekarang aku tidak faham. Apalah yang agaknya mereka ini takut sangat dengan Cikgu Thani? Aku pun dulu ada juga perasaan pelik bila berhadapan dengan beliau tapi tidak pernah pun lari bila nampak beliau. Aku rasa perasaan itu lebih kepada perasaan hormat kepada guru bukan takut.

Sampai sekarang aku masih ada perasaan sedih dan terkilan dengan pemergian beliau. Bukannya tidak mahu menerima takdir tetapi betapa aku masih memerlukan bimbingan dan didikan daripada beliau. Tambahan pula, aku kini seorang guru. Banyak perkara baru yang sedang aku hadapi. Aku benar2 berasa kehilangan. Kadang2, bila terkenang kisah aku dengan beliau, menitik juga air mata. Mujur ada Cikgu Amir. Walaupun beliau tidak sedar, sesetengah perkara, aku memandang beliau tidak ubah seperti Cikgu Thani. Mungkin mereka ini sudah ditakdirkan untuk menjadi seorang guru yang hebat. Jauh dalam hatiku berdoa semoga mereka tergolong dalam orang2 yang beruntung di dunia dan di akhirat kelak. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan