Rabu, 30 September 2009

Latihan Menembak


Satu masa dahulu, Angkatan Tentera Malaysia banyak menggunakan M-16 sebagai senjata yang digunakan dalam pertempuran terutama askar 'Infantry' yang bertempur menggunakan jalan darat. Senjata ini sememangnya berat dan membebankan untuk dipikul ke sana ke mari. Sesiapa yang berpeluang berdialog bersama askar2 lama atau bekas2 tentera boleh bertanyakan berkenaan M-16 ini. Setahu aku, askar2 sekarang ini menggunakan senjata yang dipanggil 'Styer' yang lebih ringan dan mudah untuk dibawa. Senjata ini juga mempunyai banyak kelebihannya berbanding M-16. Sebagai orang awam, aku tidak tahu banyak mengenai 'Styer' tetapi aku pernah mengangkat M-16 semasa menjadi ahli KRS semasa di sekolah dulu.

Latihan Menembak merupakan kemuncak aktiviti lasak yang pernah aku lakukan. Maksudnya, ianya merupakan latihan lasak terbaik yang pernah aku alami. Latihan Menembak memerlukan banyak tenaga fizikal dan mental untuk melakukannya dengan baik. M-16 yang kuat 'tendangannya' atau daya tujahan yang dihasilkan mampu membuatkan seseorang itu tercampak sekiranya menggunakan cara menembak yang salah. Janganlah mengada-ngada ingin menembak menggunakan satu tangan seperti di dalam cerita Rambo. Sesungguhnya 'Camera Trick' yang digunakan di dalam filem tersebut tidak mungkin dipraktikkan di dalam penggunaan senjata yang sebenar. Tidak pula aku tahu ada orang yang mempunyai kekuatan tangan sebegitu yang boleh menggunakan M-16 untuk menembak dengan tepat dan tidak 'membuang'. Maklumlah, M-16 ada mode 'auto' yang boleh digunakan untuk 'burst' peluru. Berapa kelajuannya, aku sudah tidak ingat.

Kalau tempatnya masih ada, di Kem Sungai Besi lah tempat aku dan rakan2 menjalani latihan menembak. Pelurunya bukannya banyak pun. Hanya 7 butir seorang. Jangan mimpilah untuk menggunakan mode 'auto' senjata M-16 tersebut. Sekali tarik picu saja, sudah habis peluang untuk menembak ke lapangan sasar. Dari SMK Raja Abdullah ke Kem Sg Besi kami menaiki trak askar yang dibawa khas oleh Jurulatih2 askar di sana. Sebelum memulakan latihan menembak, sempat jugalah kami ditengking dan dihukum dalam kawad oleh Jurulatih2 di sana. Nasib baik tidak ada yang menangis. Bagus juga kami memulai latihan menembak dengan herdikan dan hukuman tersebut kerana semuanya buat 'muka ketat' dan serius. Tidak ada seorang pun di antara kami yang berani bergurau. Maklumlah, senjata tersebut berbahaya dan boleh mencederakan walaupun peluru yang digunakan hanyalah peluru getah.

Selepas taklimat mengenai senjata, kami memulakan acara menembak. Sasarannya sangatlah jauh dan kami diwajibkan meniarap. Tidak ada sesiapa yang dibenarkan untuk berdiri semasa menembak. Aku ikutkan saja kata jurulatih. Aku tidak mahu tercedera mahupun mencederakan orang lain. Rakan2 lain pun begitu juga. Lagipun, Cikgu Thani ada di situ. Nanti, tidak pasal2 kena hukum dengan beliau bila pulang ke sekolah. Kali pertama aku menarik picu, aku terkejut dek kerana bunyinya yang kuat (macam mercun botol) dan daya tujahannya yang menendang bahu aku. Rasa macam hendak tercabut bahu ini pun ada. Seksa juga latihan menembak ini. Baru aku tahu yang cerita Rambo itu sebenarnya banyak menipu. Selesai 7 butir peluru, aku bangun dan menunggu di belakang. Yang kelakarnya, hanya 2 saja sasaran yang mengena. Lagi 5 butir peluru meraban entah ke mana? Nampak sangat daifnya aku menggunakan senjata ini. Patutlah askar2 selalu mengadakan latihan. Rupa2nya bukan senang hendak menembak. Lagi2 hendak mengenai sasaran dengan tepat. Mesti banyak latihan yang perlu dijalankan.

Latihan menembak ini pernah aku cuba bawakan semula untuk ahli2 KRS SMK Raja Abdullah tahun lepas namun tidak berjaya. Pakcik aku yang berpangkat Mejar General Angkatan Tentera Malaysia mengatakan bahawa peluru lebihan telah digunakan oleh pasukan Khidmat Negara. Rupa2nya Latihan Khidmat Negara sekarang ini telah memasukkan aktiviti Latihan Menembak di dalam modul mereka. Untunglah pada mereka yang berpeluang untuk menjalani Latihan Khidmat Negara ini. Modul mereka sememangnya sangat menarik. Jadi, bagaimana pula dengan KRS? Aku masih menaruh harapan untuk membawa ahli2 KRS SMK Raja Abdullah ke Kem Sg Besi untuk latihan menembak. Semoga ianya akan menjadi kenyataan. Sekian.

Isnin, 28 September 2009

Puasa Sunat Syawal (Puasa 6)


Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak, kini tiba pula kita di bulan Syawal. 1 Syawal merupakan hari untuk semua umat Islam bergembira dengan bertakbir sebagai tanda kemenangan mendidik hawa nafsu. Namun, sebagai orang awam yang tidak pernah lepas daripada melakukan kesalahan, puasa Ramadhan kita mungkin ada cacat celanya sama ada yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan. Bagaimanakah mungkin kita dapat memperbaiki dan menampal lubang2 kekhilafan puasa Ramadhan kita?

Berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal merupakan sunnah Rasulullah S.A.W. yang menjanjikan ganjaran yang sangat besar. Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun" (Hadis riwayat Muslim).

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun.


Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :
"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun" (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.

Sabda Rasulullah S.A.W.:
Yang bermaksud, "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, keluar (dihapus) dosanya seolah-olah dia baru dilahirkan oleh ibunya".


Allahyarham Cikgu Thani semasa hayat beliau sangat menggalakkan ahli2 KRS untuk berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Sehinggakan setiap tahun beliau akan menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat ahli2 KRS yang cukup 6 hari berpuasa sunat di bulan Syawal. Kebiasaannya ialah kembara atau perkhemahan. Jangan pula ada yang salah anggap. Beliau memberi ganjaran kepada ahli2 KRS tersebut hanya kerana ingin memberi motivasi dan dorongan kepada ahli2 KRS untuk melakukan puasa sunat syawal serta sebagai mukadimah kepada mereka untuk menghayati sunnah Rasulullah S.A.W. sebelum meninggalkan sekolah. Lagipun, bila lagi beliau berpeluang mendidik anak2 buahnya sendiri selain semasa di sekolah? Selepas anak2 buahnya tamat persekolahan, tanggungjawab mendidik itu bukan lagi sepatutnya digalas oleh beliau (walaupun beliau tetap mendidik & memberi tunjuk ajar kepada bekas pelajar2 beliau sehingga ke akhir hayat). Wasallam.

Khamis, 24 September 2009

Hukuman Dalam KRS


"Buka dada, kepala langok! Kaki V-shape! Hah, kamu! Kenapa tergoyang-goyang ni? Turun 10!". Itu adalah di antara dialog peringatan yang popular yang sering kedengaran di dalam aktiviti Kawad Kaki. Tambah2 lagi sekiranya aktiviti Kawad Kaki tersebut merupakan latihan untuk pertandingan Kawad Kaki KRS peringkat zon, negeri atau kebangsaan. Seksalah ahli2 platun dibuatnya. Tetapi dek kerana semangat KRS terbina dalam diri maka semua itu mampu ditempuhi. Apatah lagi ukhwah yang dibina di dalam platun yang membuahkan semangat setia kawan dan sanggup menempuhi apa saja halangan bersama-sama.

Dahulu semasa zaman Kadet Putera Islam Malaysia, ada seorang jurulatih KPIM yang sangat digeruni. Kami panggil beliau 'Abang Maizin'. Beliau digelar 'Singa Putera Islam' kerana ketegasan dan kekerasan yang digunapakai semasa berkawad. Namun, diluar kawad beliau merupakan ahli KPIM yang baik. Ada satu hukuman semasa zaman beliau yang aku tidak boleh lupa iaitu 'Pumping beralas boot'. Apabila ada ahli platun yang membuat kesalahan semasa berkawad, beliau akan mengarahkan untuk ahli platun tersebut 'Turun 10' (pumping). 'Pumping' itu sebenarnya perkara biasa dalam KRS tetapi apa yang luar biasa adalah beliau akan meletakkan kaki (boot) di bawah dada ahli platun tadi. Setiap 'pumping' tidak boleh menyentuh 'boot' beliau. Sekiranya tersentuh, beliau akan menarik kakinya ke atas mengenai dada si ahli platun tadi. Maka, sesak sekejap nafas si ahli platun. Padan muka, siapa suruh buat salah? Kesian pun ada. Namun, itulah yang mendisiplinkan kami. Sebab itu juga, ahli2 KRS dulu sangat serius semasa di dalam kawad. Kebanyakan ahli KRS sekarang ini tidak serius, gelak2 dan kuat merajuk (manja) apabila dikenakan hukuman. "Rileks la brader, ini KRS bukan Tarian Inang! Gagah la sikit!".

Ada juga abang2 senior yang suka menggunakan 'tali wisel' untuk menyebat sesiapa yang membuat kesalahan di dalam kawad. Tidak kurang juga menggunakan kayu, rotan dan batang besi. Semua ini aku hentikan semasa zaman aku menjadi jurulatih. Aku lebih suka menggunakan pendekatan psikologi dan 'herdik' selain daripada hukuman pumping, lari padang, jalan itik, squat jump dan hukuman2 membentuk fizikal yang lain. Sekiranya ada ahli platun yang membuat kesalahan, aku lebih suka bertanya dan memberi peringatan dalam nada keras yang berubah-ubah. Aku sudah uji, ianya amat berkesan dan selalu membuatkan anak2 buah aku terkejut kerana herdikan yang kuat. Bagaimana caranya tidak reti aku ungkapkan dalam catatan. Hendak tahu, jumpa aku sendiri. Namun, perwatakan ini hanya aku lakukan di dalam kawad. Di luar kawad, aku merupakan abang KRS yang penyayang. Tidak percaya? Silakan jumpa batch2 Mohedi dan Subli.

Selain daripada itu, aku suka menggunakan hukuman 'Turun 100!'. Sekali dengar memang mendebarkan tetapi aku tidaklah sekejam itu. Kadang2 sampai 10 saja aku sudah suruh anak buah aku berhenti. Kadang2 20. Kadang2 30. Bukannya apa, untuk membina kekuatan fizikal mereka juga. Nanti senang hendak melakukan aktiviti2 lasak. Badan sudah 'fit', apalagi hendak ditakutkan? Kalau pergi kursus kenaikan pangkat pun tidak malu. Baru orang akan tahu bahawa ahli2 KRS SMK Raja Abdullah tidak lembek dan mampu melakukan semua aktiviti sama ada yang berbentuk fizikal mahupun mental. Itu yang cuba aku bawakan. Setiap hukuman, perlu ada kesan positifnya. Pada aku, kalau menyebat dengan tali wisel dan kayu, tidak mendatangkan apa2 kesan positif. Ianya lebih kepada negatif dan mungkin boleh mencederakan. Sebab itu aku berhentikan sebat-menyebat dan pumping beralas boot semasa zaman aku menjadi jurulatih. Aku lebih suka menghukum menggunakan fizikal yang boleh menguatkan otot2 anak2 buah aku. Selain daripada itu, hukuman psikologi pula boleh meningkatkan ketahanan mental mereka. Maka, lengkaplah kekuatan mental & fizikal ahli2 KRS untuk menempuh segala macam bentuk cabaran dan dugaan.

Cikgu Thani tidak pernah berkata apa2 mengenai hukuman yang aku lakukan kepada ahli2 platun. Aku ambil itu sebagai kata setuju daripada beliau. Lagipun KRS adalah unit beruniform yang berorientasikan 'Pre-Military Training' bukannya Persatuan Joget Inang atau Mak Yong. Ahli KRS perlu mantap dari segi mental dan fizikalnya. Ini penting untuk menjamin pemimpin2 masa depan yang proaktif dan mempunyai jati diri yang dominan dan kuat. Bukannya mengikut-ikut cara dan budaya barat yang banyak negatifnya. Seorang pemimpin mampu mempengaruhi orang2 lain bukan dipengaruhi. Maka, siapakah kita? Wassalam.

Selasa, 22 September 2009

Taman KRS



Dua tiga hari ini masa memang agak terhad. Maklumlah, musim raya ini memang sibuk ke sana dan ke sini. Menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai yang sudah lama tidak ketemu. Inilah pun masa dan semangatnya untuk menjiwai aktiviti ziarah menziarahi ini. Kalau pada hari2 biasa, memang jarang sangatlah kaki kita tergerak untuk ke sana. Tambah2 lagi sekiranya bermastatutin jauh dari keluarga. Tentu sekali cuti dan kelapangan ini wajib diisi dengan tentatif2 merapatkan silaturrahim dan berjejak kasih. Aku pun hanya dapat mencuri sedikit kelapangan kali ini untuk berkongsi sesuatu dengan semua yang melayari blog ini.


Untuk pengetahuan semua, aktiviti 'Alam Sekitar' yang ada dalam silibus KRS ada sejarahnya. Ianya tidak bermula pada zaman awal Kadet Putera Islam Malaysia tetapi sebaliknya pada zaman akhir KPIM. Ketika itu aku masih di tingkatan 3. Memandangkan kawasan2 landskap sekolah agak kurang terurus disebabkan oleh pekerja am (PAR) terlalu banyak kerja, Cikgu Thani telah meminta pihak sekolah untuk memberikan satu kawasan landskap kepada KRS untuk diuruskan. Kawasan pertama ialah dihadapan koperasi SMK Raja Abdullah (masih ada lagi sehingga sekarang). Landskap (2 pokok rendang) di situ merupakan hasil kerja tangan batch KRS 1994-1998. Sekarang ini telah diletakkan beberapa blok simen yang dijadikan tempat duduk. Dahulu, kawasan itu hanyalah merupakan rumput yang pendek dan agak bahang. 2 pokok di situ Cikgu Thani 'import' dari luar dan kamilah yang menggali lubang dan menanam pokok tersebut serta memastikan ianya tidak tumbang (pokok itu sememangnya didatangkan dalam keadaan yang sedia besar).


Kawasan kedua merupakan kawasan di hadapan pejabat SMK Raja Abdullah. Di sini juga terletaknya batu tanda Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Datuk Najib (yang ketika itu Menteri Pelajaran). Di dalam kawasan ini terdapat satu landskap 'Air Terjun' serta kolam yang dahulunya penuh dengan ikan 'Carp'. Cuma, disebabkan beberapa batch selepas batch aku & batch Mohedi, kawasan ini tidak berjaga, Pengetua mengambil keputusan untuk menutup landskap air terjun dan kolam tersebut. Aku memang agak terkilan tetapi semuanya telahpun berlaku. Biarlah kita sama2 mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut. Namun, aku masih boleh berbangga kerana kawasan yang pertama masih wujud hingga sekarang. Cuma, ianya bukan lagi diuruskan oleh pihak KRS tetapi sekumpulan pekerja am yang sekarang ini ramai dan terurus.


Cikgu Thani memang cintakan Alam Sekitar, itu pasti! Sesuai dengan bidangnya iaitu Sains Pertanian. Sememangnya elemen 'Sekolah Lestari' telah lama diterapkan oleh Cikgu Thani menerusi KRS. Cuma, ada ahli2 KRS yang kurang prihatin serta tidak melaksanakan apa yang telah ada di dalam silibus KRS itu sendiri. Ingin aku nyatakan di sini bahawa, 'KRS itu diwujudkan bukan hanya kerana Kawad Kaki tetapi lebih daripada itu. Malahan, KRS itu sendiri merupakan satu medan perjuangan bagi mereka2 yang berminat untuk mendidik anak2 bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang secara menyeluruh serta dapat pula berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara'. Sekian.

Sabtu, 19 September 2009

Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri


Assallamualaikum... Salam KRS,

Maka genaplah semalam 30 hari kita berpuasa dan hari ini merupakan satu kejayaan yang patut diraikan oleh setiap orang Islam dengan memuji kebesaran Allah yang memberikan kita nikmat sejak dari kita dilahirkan sehingga sekarang. Kita wajib bersyukur kerana Dia masih memberikan kesempatan kepada kita untuk melihat fajar 1 Syawal. Kita sebenarnya tidak punya apa2 dan semuanya adalah milik Allah. Maka, semestinya kita meletakkan diri kita sebagai hambaNya yang tidak mampu berbuat apa2 melainkan dengan kekuasaan dan keizinan daripadaNya.

Setiap kali 1 Syawal pasti tidak lepas daripada kita menziarahi pusara arwah2 yang telah pergi. Walaupun sekiranya ingin menghadiahkan doa kita tidak perlu ke kawasan perkuburan, cukup sahaja berdoa di mana2, namun inilah masa dan budayanya untuk kita menjiwai watak dalam meraikan 1 Syawal. Tidak lengkap rasanya tentatif 1 Syawal tanpa menziarahi pusara arwah2 yang pernah tertinta dalam diari hidup kita. Adakalanya, arwah2 tersebut telah mewarnai sebahagian besar dari hidup kita. Malah, ada yang berjasa besar dalam mencorakkan pemikiran kedewasaan kita. Jasa mereka tetap akan kita kenang.

Kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara merupakan aktiviti wajib dalam masyarakat Malaysia. Itu belum bercerita tentang duit raya. Kanak2 semua penuh poketnya. Inilah masanya untuk menjadi hartawan segera. Untung2, boleh beli mercun sepapan dua. Paling tidakpun, beberapa batang aiskrim Malaysia. Semua tersenyum semua gembira. Begitulah meriahnya hari raya.

Di kesempatan ini aku ingin mengungkapkan ucapan Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri buat semua umat Islam terutama ahli2 KRS SMK Raja Abdullah, bekas ahli2 KRS SMK Raja Abdullah, Cikgu Amir, Cikgu Anuar (Mejar KRS SMK Seri Titiwangsa), Ustaz Ahmad Faradilla (SMK Taman Tun), Guru2 KRS dan semua ahli2 KRS di seluruh Malaysia. Seandainya ada terkasar bahasa, tersilap bicara, terhambur carutnya, termengumpat dirinya dan semua kekhilafan yang melengkapkan aku sebagai manusia yang lemah, aku susun sepuluh jari memohon ampun dan maaf, zahir dan batin. Jangan lupa ziarah pusara Pengasas KRS yang banyak berjasa kepada kita iaitu Allahyarham Muhammad Thani bin Syaaban di Kawasan Berkuburan Kg Batu yang terletak di belakang The Store, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Khamis, 17 September 2009

Cikgu Thani - Pemimpin Teragung KRS


"Generasi demi generasi. Pemimpin silih berganti. Ada yang datang dan ada yang pergi. Yang datang membawa ideologi. Yang pergi meninggalkan bakti. Tidak semua pemimpin sama hebat. Ada yang Tuah dan ada yang Jebat. Yang dipimpin pula harus sepakat. Agar semua mendapat berkat. Pemimpin sejati sahsiah hebat. Satu wawasan satu matlamat. Namun, yang pergi tetap dikenang. Semadi dihati pemimpin terbilang. Biar beribu biar seorang. Air mata kan jatuh bergenang. Mengenangkan dirimu Cikgu tersayang..."

Setiap kali menjelang raya, kita akan sedih mengenangkan arwah2 yang telah pergi. Bayangan kenangan bersama-sama mereka mengetuk-ngetuk pintu ilusi dan kita seakan merelakan minda sedar kita dicuri dibawah pengaruh angan-angan. Pasti di antara orang yang kita selalu kenang adalah 'guru2' kita sendiri. Mengapa? Adakah kerana mereka hanya menjadi seorang 'Cikgu' yang masuk kelas apabila sampai waktunya? Ataupun kerana mereka terlalu banyak mencorak cara kita melakonkan watak dewasa? Mungkin juga kerana mereka benar2 pendidik sejati yang tidak jemu2 mendidik dan membimbing kita semasa zaman kebodohan kita sehingga berjaya menjadi manusia yang mampu berfikir secara matang dan dewasa?

Baru2 ini aku melayari sebuah blog yang direka oleh bekas pelajar arwah Cikgu Thani di SM Sains Ulu Yam. Hampir2 menitiskan airmata bila membaca catatan yang dibuat khas berkenaan Cikgu Thani. Antara catatan yang masih aku ingat ialah berkenaan beliau yang menemankan si Blogger dan kawan2nya untuk 'prep' hingga ke tengah malam tanpa jemu sebagai satu persediaan bagi mereka menghadapi peperiksaan PMR. Ya, begitulah Cikgu Thani yang selalu mengorbankan masa beliau untuk pelajar2nya. Semasa aku sedang membuat persediaan untuk menghadapi SPM dulu pun, beliau selalu mengambil berat tentang ulangkaji aku. Aku selalu pulang lewat ke rumah kerana mengulangkaji pelajaran di Perpustakaan SMK Raja Abdullah. Kadang2 beliau masuk ke perpustakaan untuk bertanyakan bagaimana 'progress' ulangkaji yang aku lakukan sebelum beliau masuk ke kelas untuk P&P. Selepas habis ulangkaji, kadang2 aku akan jengok2 markas KRS sebelum pulang ke rumah. Kalau beliau ada, aku akan dengar dulu sepatah dua nasihat daripada beliau sebelum melangkah keluar dari sekolah. Macam2 nasihat yang beliau berikan termasuklah berkenaan pelajaran, motivasi diri, masa depan dan kadang2 berkenaan 'cinta'. Walaupun beliau tidak suka pelajar2nya bercinta semasa di sekolah, beliau banyak memberikan aku garis panduan berkenaan 'cinta'. Aku tidak tahu kalau2 beliau ada berkongsi pengalaman ini dengan pelajar2 lain.

Aku rasa terkilan kerana Cikgu Thani tidak diberikan pengiktirafan yang sepatutnya. Lihat saja hidup beliau yang penuh dengan kepayahan walaupun hatinya senang. Bila aku baca berkenaan Lord Barden Powell (Pengasas Pergerakan Pengakap Dunia), betapa ahli2 pengakap selalu mengungkap sejarah berkenaan pengasas mereka sehingga terbit beberapa buah buku berkenaan diri Lord Barden Powell itu sendiri. Aku rasa agak kecewa kerana Cikgu Thani merupakan pengasas kepada unit beruniform KRS yang pertama sekali mengasaskan unit beruniform 'buatan Malaysia' di sekolah tetapi beliau seolah-olah dilupakan di dalam sejarah. Tidak percaya? Baca berkenaan silibus KRS yang diedarkan kepada sekolah2. Dalam sejarah penubuhan KRS, nama beliau hanya disebutkan sekali saja sebagai pengasas KRS dan itulah yang diketahui oleh semua ahli2 KRS di Malaysia (itupun sekiranya mereka ambil tahu). Sepatutnya, sejarah berkenaan beliau perlu dibukukan dan diedarkan ke sekolah2 untuk disimpan di dalam perpustakaan mereka. Sekurang-kurangnya, apabila ada ahli2 KRS yang ingin mengkaji sejarah KRS itu sendiri, mereka dapat mencari maklumat yang dalam dan tepat. Susah sangatkah ini untuk dilakukan? Aku bercita-cita untuk melakukannya. Sebab itu blog ini merupakan sandaran dan juga 'kick start' untuk aku bukukan berkenaan beliau satu hari nanti.

Sesungguhnya, tidak ada pemimpin yang lebih agung di dalam KRS selain daripada Cikgu Thani. Mungkin ramai pemimpin2 yang hebat2 di dalam KRS tetapi untuk menandingi jasa dan pengorbanan Cikgu Thani aku rasa tidak ada. Sebab itu aku memilih tajuk 'Cikgu Thani - Pemimpin Teragung KRS' sebagai pembuka kepada catatan aku untuk kali ini. Beliau layak untuk mengisi gelaran itu cuma belum ada yang ingin memperjuangkannya. Jika sesudah perginya Allahyarham P.Ramlee, pelbagai anugerah diterima oleh beliau, mengapa tidak Cikgu Thani? Walaupun mungkin Cikgu Thani tidak suka dengan semua yang bersifat keduniaan tetapi tidak salah rasanya untuk mengenangkan pemimpin yang teragung ini. Agar sejarah tidak dilupakan mahupun dipadamkan. Buat ahli2 KRS yang terbaca catatan ini, tanamlah azam untuk terus berjuang di dalam KRS agar dapat mendidik anak bangsa yang berjaya. Sekian.

Isnin, 14 September 2009

KRS Bersaudara


Assallamualaikum...

Terpanggil dengan satu amalan dalam KRS maka aku ingin kongsikan bersama dengan sesiapa yang melayari blog ini. Termasuk di dalam Lagu KRS itu sendiri merupakan satu istilah yang dipanggil 'Ikatan Bersaudara'. Sebenarnya di dalam Islam itu sendiri telahpun mengajar mengenai konsep bersaudara ini. Di dalam KRS, konsep Ikatan Bersaudara telah diperkembangkan agar setiap ahli KRS dapat bersama-sama meningkatkan sahsiah diri untuk menjadi bangsa Malaysia yang berjaya. Bak kata pepatah "Seekor Kambing Mudah Diserang Serigala". Serigala di sini merupakan anasir2 tidak baik yang sedang membelenggu masyarakat di Malaysia ini. Sekiranya kita berseorangan, kecenderungan untuk melakukan kesilapan itu besar. Di dalam persaudaraan, budaya tegur menegur dapat dijadikan amalan supaya setiap kesilapan dapat diperbetulkan.

Aku ingin mengupas konsep bersaudara ini dengan lebih meluas. Bersaudara di dalam KRS merupakan rentetan daripada sejarah penubuhan KRS itu sendiri. Telah aku catatkan dalam catatan yang lepas mengenai bagaimana satu masa dahulu Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM)
hanya membenarkan penglibatan pelajar2 lelaki sahaja. Kemudian, apabila KPIM ditukarkan kepada Kadet Remaja Islam Se-Malaysia (KRIS), barulah pengambilan pelajar2 perempuan dibenarkan. Di sini, konsep bersaudara telahpun berkembang untuk memberi peluang pula kepada pelajar2 perempuan. Setelah itu, KRIS ditukarkan kepada Kadet Remaja Sekolah untuk memberi peluang pula kepada pelajar2 bukan Islam untuk mempelajari ilmu KRS dan bersama-sama mencorak serta menghidupkan moto 'Berilmu, Beriman dan Beramal'. Akhirnya, konsep bersaudara ini diperluaskan secara menyeluruh.

Satu masa dahulu (sehingga sekarang) aku biasa terdengar dengan konsep 'abang angkat', 'adik angkat' atau 'kakak angkat'. Mungkin ada baiknya di mana2, namun adakala konsep ini disalahertikan terutama di dalam golongan2 pelajar. Aku ambil konsep 'abang angkat' dahulu. Sekiranya, hubungan 'abang angkat' ini terjadi antara lelaki dan perempuan dan si lelaki yang memulakan dulu. Pada pengamatan aku, sebenarnya si lelaki ini ada menyimpan perasaan yang lebih dari itu. Tetapi dek kerana malu hendak meluahkan perasaan sebenar maka 'adik angkat' itu dijadikan sebagai alasan untuk mendekati si perempuan sampailah satu masa yang sesuai untuk sesi luahan rasa. Pada aku, keikhlasan si lelaki boleh dipersoal kerana tidak jujur untuk menjadi 'abang'. Begitu juga disebaliknya. Sekiranya si perempuan yang memulakan dulu, kebiasaannya dia sangat meminati si lelaki ini tadi. Namun, perempuan yang terkenal dengan sifat 'malu'nya maka 'abang angkat' dijadikan platform untuk mendekati si lelaki. Di mana kejujurannya?

Namun, tidak pula aku nafikan memang ada perhubungan 'angkat' yang ikhlas. Cuma, jarang2 sangat perkara ini berlaku. Biasanya sesuatu hubungan 'angkat' itu terjadi kerana sebab2 seperti ada sesuatu yang menarik pada diri si 'angkat', mempunyai rupa paras yang menawan, harta, perlindungan dan bermacam-macam lagi. Teringat pula pada program 'Keluarga Angkat' yang selalu dijalankan oleh Institusi2 Pengajian Tinggi. Pada aku, program sebegini amat bagus. Ini adalah kerana, pelajar2 didedahkan dengan kehidupan penduduk2 kampung yang kadangkala daif dan susah. Hubungan 'angkat' yang sebegini boleh dikatakan terletak pada landasan yang betul. Tiada niat lain selain daripada ingin berkongsi susah senang serta jerit perih si 'Keluarga Angkat'. Bukankah ini lebih baik dan banyak pengajaran yang boleh diambil?

Apa yang ingin aku nyatakan di sini ialah setiap ahli KRS itu bersaudara. Tidak perlu angkat mengangkat di dalam KRS. Jika terniat, elakkanlah. Takut2 niatnya salah. Tambahan lagi berlainan jantina. Biarlah setiap ahli KRS itu yang kita anggap saudara dan adik beradik. Susah senang ditempuhi bersama. Berlapar dan dahaga, sama2 merasainya. Jika 'aral' melintang, sama2 pula mengalihkannya. Jika masalah mendatang, sama2 juga menyelesaikannya. Guru KRS itu umpama ayah atau ibu di sekolah. Senior sebagai abang dan kakak. Junior sebagai adik kesayangan. Maka, lengkaplah sebuah keluarga KRS. Ini yang sangat2 dimahukan oleh Allahyarham Cikgu Thani. Semoga KRS akan tetap menjadi sebuah keluarga hingga ke akhir zaman.

"Kadet Remaja Sekolah. Menuju Satu Ikatan Bersaudara."

> X-Pegawai Waran (KRS) <