Jumaat, 23 Mac 2012

Sejarah 'Sup Tulang Lembu' Cikgu Thani


Sup tulang. Sedap dan menyelerakan. Tapi jangan keliru dengan sup 'gear box'. Sup tulang itu sejenis sup yang diletakkan tulang2 lembu untuk di'hongges' daging2 yang masih tertinggal dicelah2 tulang. Sedangkan sup 'gear box' adalah sejenis sup yang diletakkan sendi2 tulang untuk disedut 'sum-sum' yang terdapat di dalamnya menggunakan straw. Dapat gambarannya?
Sebenarnya, tujuan aku 'post' catatan ini untuk berkongsi salah satu makanan yang sangat digemari oleh Allahyarham Cikgu Thani, 'Sup tulang'. Ya. Cikgu Thani memang sangat menggemari masakan ini. Dan jangan tidak tahu, beliau sangat pandai pula menyediakannya. Mungkin perkara ini sangat jarang dibincangkan di dalam topik perbualan senior2 ataupun cikgu2 lama tetapi sekiranya ditanya, pasti pengalamannya ada.
Sebelum blok baru (blok tingkatan 6) wujud di SMK Raja Abdullah, tapak bangunan tersebut merupakan 'stand alone' surau. Dengan kata lain, surau lama SMK Raja Abdullah terletak di situ sebagai sebuah bangunan tunggal sebelum wujudnya bangunan tingkatan 6. Surau ini banyak kenangannya terutama senior2 yang pernah melalui 3 zaman (KPIM-KRIS-Awal KRS). Di sinilah selalunya aktiviti kerohanian, silat & senaman dijalankan.
Setiap kali Hari Raya Aidiladha, Cikgu Thani & guru2 SMK Raja Abdullah ketika itu sangat rajin mencari 'sponsor' untuk membeli lembu korban. Ataupun, ada dikalangan guru2 dan ibubapa sendiri yang menjadi peserta untuk ibadah korban tersebut. Maka, raya ke-2 atau ke-3 akan dipilih untuk menjalankan aktiviti mengorbankan lembu. Setakat yang aku ingat, kambing tidak pernah disembelih semasa zaman Arwah Cikgu Thani. Selalunya, bilal Masjid Jamek Kg Batu akan diupah menjadi 'tukang sembelih'. Selepas itu, lembu akan dilapah beramai-ramai oleh para guru, ibubapa yang terlibat, ahli2 KRS & pelajar2 Islam.
Berkaitan dengan topik catatan ini, setelah selesai melapah, Arwah Cikgu Thani akan mengumpul tulang2 lembu untuk dibuat sup. Sebelum 'disupkan', tulang2 tersebut akan dipotong kecil2 menggunakan kapak. Setelah selesai mengapak dan mencuci, Cikgu Thani akan mula mengetuai aktiviti memasak 'Sup Tulang'. Beliau akan memastikan kuantiti bahan2 masakan yang akan dimasukkan ke dalam sup. Kami ahli2 KRS akan membantu beliau semasa mengacau, meng'kacau' dan memasukkan bahan2. Beliau pula akan memantau agar kesemua ramuan di'satu'kan dengan sebaik mungkin.
Kenangan 'Sup Tulang' ini akan aku ingat sampai bila2. Selesai masak sup tulang, apalagi? Pastilah aktiviti 'makan besar' pula menjelma. Aku? Tidak akan melepaskan peluang untuk meratah, menghongges, menyedut dan mencungkil segala isi daging yang terselit sehingga kenyang. Puas, sedap & kenyang. Itulah yang dapat aku gambarkan masakan 'Sup tulang' Cikgu Thani. Kalaulah beliau masih ada....

Ahad, 18 Mac 2012

Tanda Nama KRS (Name Tag)


Baru2 ini aku telah ke salah sebuah kedai menjual uniform sekolah di Selayang Mall. Sambil aku menunggu pekerja di situ menyiapkan tempahan, aku sempat membelek salah sebuah buku yang dikarangkan khas untuk kurikulum KRS. Seperti biasa, aku mencari-cari ruangan sejarah KRS untuk memastikan yang nama Arwah Cikgu Thani tidak tercicir sebagai pengasas KRS. Namun selepas beberapa minit membelek secara bersahaja, aku kecewa. Memang tiada nama Muhammad Thani bin Shaaban di situ. Terus aku terfikir, apakah sebenarnya yang berlaku?
Dalam entri ini, aku ingin menyentuh tentang sejarah name tag di dalam KRS. Ya. Memang Arwah Cikgu Thani ada me'reka' name tag untuk ahli2 KRS. Cuma, ianya kurang popular. Apatah lagi, ianya memerlukan sedikit kos. Mungkin ramai ahli yang lebih selesa untuk menempah tanda nama biasa saja (tanda nama kain) dan terus menjahitnya di atas poket kanan uniform KRS. Namun, sejak awal 90 an lagi, name tag KRS telahpun wujud.
Semasa di SM Raja Abdullah dulu, aku memang bangga memakai name tag ini. Dan secara terus terang aku katakan yang aku bangga di panggil 'anak Thani' (ada yang malu disebabkan bunyi 'anak Thani' seolah-olah nama manja yang tidak sesuai digunakan pada remaja). Dahulu, ketika mengenakan baju sekolah untuk ke sekolah, tanda seseorang itu 'anak Thani' ialah name tag KRS ataupun colar dot yang diletakkan di kolar baju sebelah kiri (kini digunakan sebagai lencana KRS di poket kiri) ataupun 'celak mekah' di kelopak bawah mata. Kadang2, 'atau' boleh juga dijadikan 'dan'. Maknanya, ada ahli KRS (Kadet Putera Islam dahulunya) yang mengenakan kesemua 'tanda' anak Thani pada badannya.
Kini, aku tidak berapa pasti tentang penggunaan name tag ini. Mungkin masih ada yang menggunakannya (dalam bentuk rekaan yang baru). Ataupun mungkin ada yang menggunakan tanda nama kain saja untuk menjimatkan kos. Apa2pun, sejarah (beserta bukti) ini aku sematkan di dalam blog ini sebagai rujukan bahawa Arwah Cikgu Thani pernah mengilhamkan name tag yang pernah digunakan sejak zaman Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM). Semoga suatu hari nanti nama beliau kan tetap harum di kalangan ahli2 KRS & TKRS. Amin...

Ahad, 4 Mac 2012

Sejarah Malam Kebudayaan - Pentas Kesenian


Dalam entri yang ke-33, aku ada menulis berkenaan sejarah malam kebudayaan KRS yang memperincikan berkenaan nasyid. Namun, sejarah malam kebudayaan KRS bukan hanya tertumpu pada nasyid, malahan banyak lagi aktiviti kesenian dalam persembahan yang diadakan. Pada kali ini, aku ingin berkongsi tentang 'pentas pertama' yang tentunya menjadi sebahagian daripada sejarah Malam Kebudayaan KRS itu sendiri.
Datangnya KRS dari SMK Raja Abdullah. Tentunya di sanalah sejarah terarah. Tempat jatuhnya keringat dan lelah. Tidak keterlaluan pernah tumpahnya darah. Namun sejarah perlu dicatat. Buat rujukan yang jauh dan dekat. Andainya ragu takut tersesat. Datang sendiri, cubalah lihat.
Sebelum adanya Dewan Sri Murni, SMK Raja Abdullah mempunyai pentas (seperti di gambar) di dalam sebuah dewan terbuka yang kini terletaknya di dalam 'bilik rezo'. Dewan terbuka ini sekarang telahpun dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu bilik rezo, bilik penolong kanan & makmal MPV. Dahulunya, di sinilah selalunya diadakan malam kebudayaan. Di sinilah Allahyarham Cikgu Thani mencungkil bakat2 muda dalam kebudayaan seperti nasyid, drama pentas, sajak, nukilan, syair dll.
Di sinilah juga pernah menjadi 'tempat tidur' peserta2 Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan pada tahun 1995 dahulu. Aku masih teringat ketika malam perasmian, kami (peserta) bersama-sama mengilatkan but kawad sambil berjenaka. Antara lawak jenaka yang kami ketawakan ialah babak Ramlee, Sudin & Ajis membaca surat daripada Cik Ros dalam filem Pendekar Bujang Lapok. "Sekali syair daaa...", kata ajis. "Dia tulis Arab... walfadang fasighul... takadudil fukuk kayuwil.. panaskutarikuk!!", kata sudin. Kami sukar melelapkan mata tatkala Deris (batch 1997) melakonkan semula babak2 tersebut. Aku, arwah Hazreek, abang Rahim & seorang lagi senior berdekah-dekah ketawa sehingga berleleh air mata.
Dua tiga hari yang lepas aku ke sana lagi. Sedih bila mengenangkan bahan2 sejarah ini tidak dikekalkan seperti sedia ada. Yelah, satu perkara yang aku faham, SMK Raja Abdullah sangat memerlukan tempat itu sebagai bilik2 pengurusan hal ehwal sekolah. Namun, jauh dalam lubuk hati aku, aku masih mahukan ianya seperti dahulu. Sekurang-kurangnya, tempat ini dicatat di dalam sejarah bahawa ianya pernah menjadi tempat bermulanya Malam Kebudayaan di dalam KRS. Semoga ianya tidak dilupakan begitu sahaja....

Jumaat, 17 Februari 2012

Pahit Manis Cikgu Thani & Ibubapa



Bukannya mudah untuk menjadi seorang 'Guru'. Sebab seorang guru bukan saja dibebani dengan tugas2 hakiki untuk mengajar namun pelbagai lagi tugas2 lain. Guru kadang2 akan menjadi kerani, technician, tukang paip, mekanik dll. Seorang 'Guru' juga akan sentiasa menjadi guru tatkala habis tugasnya di sekolah.
Itulah Allahyarham Cikgu Thani. Antara perkara yang menjadi kegemaran beliau ialah 'Meronda Surau'. Beliau memang sangat rajin menunaikan solat di surau2 dan masjid sekitar pelajar2nya tinggal. Untuk apa? Hehe... Sebenarnya beliau ingin pastikan yang anak2 didiknya sentiasa menunaikan solat berjemaah di tempat tinggal masing2. Pernah juga aku terserempak dengan beliau di Surau Taman Beringin. Rasa bangga pun ada. Pertama sebab masa dia datang, aku ada. Kedua, yang lebih membanggakan, 'cikgu aku' datang untuk solat bersama-sama di surau. Sudah pasti akan dijadikan topik perbualan di sekolah keesokan harinya di dalam kelas Fardhu Ain Putera Islam.

Cikgu Thani sangat suka buat aktiviti 'Flying Fox' di sekolah. Tapi kelengkapannya memang sangat tidak lengkaplah! Beliau gunakan tali 'tarik tali' dan ikatkan satu hujungnya di tingkat satu dan satu lagi di tingkat bawah. Kemudian, pemegangnya pula ialah kayu jambu yang berbentuk 'Y'. Cara untuk turun ialah dengan meletakkan kayu Y secara terbalik di atas tali. Dua cabang kayu Y sebagai pemegang dan kaki di angkat sedikit untuk memulakan luncuran kayu atas tali. Dari tingkat 1 hinggalah ke tingkat bawah.

Ada satu peristiwa pahit berlaku semasa salah satu aktiviti Flying Fox ngeri ini dijalankan. Emran, rakan sebaya ketika tingkatan 1, terjatuh semasa meluncur. Mana tidaknya? Dia cuma memegang bahagian hujung cabang kayu Y. Peristiwa ngeri ini disusuli dengan serangan nenek Emran terhadap Cikgu Thani. Kesian aku lihat dengan cikgu. Sebenarnya bukan salah beliau tapi salah Emran sebab dia tidak dengar arahan cikgu Thani. Namun, sebagai guru, beliau perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Aku berpihak pada cikgu Thani. Sampai sekarang aku akan katakan yang beliau tidak bersalah. Sebabnya? Pertama, Cikgu Thani sebenarnya sudahpun melarang Emran untuk melakukan Flying Fox dek kerana badannya agak berat dan besar. Namun dia berdegil. Kedua, Cikgu Thani sudahpun memberi arahan keselamatan tetapi tidak diikuti oleh Emran. Cikgu tidak salah!!
Hari ini, perkara2 seperti ini berlaku pada aku pula. Kadang2 aku rasa kecewa tatkala niat ikhlas untuk mendidik murid disalahtafsirkan oleh ibubapa sehingga ada yang menyerang secara peribadi. Satu perkara yang orang lain perlu faham, seorang Guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan memudaratkan muridnya. Namun, apabila berlaku sesuatu, seorang Guru itu bukannya 'bersalah' tetapi teraniaya oleh keadaan dek kerana 'berada di tempat yang salah pada waktu yang salah'. Aku sudah pun merasai. Dan aku sangat2 faham. Namun, itulah cabarannya. Akan aku teruskan jua. Hidup KRS!!!!

Isnin, 10 Oktober 2011

Kembara TKRS SK Lembah Subang ke Gunung Nuang

Murid sekolah rendah ke Gunung Nuang? Itulah antara persoalan yang diutarakan semasa pertama kali aku nyatakan hasrat aku hendak membawa murid2 SK Lembah Subang ke Gunung Nuang oleh salah seorang renjer hutan yang bertugas di situ. Apa agaknya yang tersirat disebalik persoalan tersebut? Apakah sebelum ini tidak pernah ada murid sekolah rendah yang mendaki Gunung Nuang? Aku tertanya-tanya juga...


Namun, pada 7,8 dan 9 Oktober aku berjaya membawa sekumpulan 37 orang murid SK Lembah Subang ke Hutan Rekreasi Gunung Nuang. Kami menginap selama 3 hari 2 malam di Chalet yang terletak di kaki Gunung Nuang. Cikgu2 menginap di Chalet manakala murid2 menginap di dalam khemah berhampiran dengan kawasan khemah. Semuanya berpagar dan mudah untuk mengawal murid. Seperti biasa, 'Safety First'.

Sampai saja di Chalet, aku arahkan semua murid untuk mendirikan khemah. Cuaca hujan renyai2. Namun disebabkan oleh hari yang kian petang, aku terpaksa membuat satu keputusan yang cepat seperti itu. Jika tidak, bila lagi hendak mendirikan khemah?


Pada malam pertama, slot stesen bermula. Slot ini bertujuan untuk menguji bahagian Kerohanian & Ketatanegaraan serta alam sekitar murid2. Selain daripada Kem Tahunan, kem ini juga bertujuan untuk kenaikan pangkat Lans Koperal. 5 stesen diwujudkan iaitu stesen 3 qul, stesen ujian bertulis, stesen nyanyian lagu KRS, stesen Rukun Islam & Rukun Iman dan yang terakhir stesen nyanyian Lagu Negaraku & Lagu Negeri Selangor. Malam itu aku tamatkan slot stesen awal. Untuk memberi laluan kepada mereka untuk tidur lebih awal. Tapi seperti biasa, sehingga jam 4 pagi pun masih lagi terdengar murid berborak-borak, bunyi radio sayup2 kedengaran & gelak tawa yang tersekat-sekat (dek kerana takut dihukun sesi burung hantu). Cikgu2? Hmm.. paling lewat tidur pun pukul 1 pagi. Biasalah, Chalet... selesa kot!!!


Pagi2 lagi kami sudah mendaki seawal jam 7.15 pagi. Setelah sarapan & senaman regangan otot, kami mula mendaki. Makanan tengah hari telahpun dibungkus dan dibawa setiap seorang untuk dinikmati apabila tiba dipuncak kelak. Perjalanan ke Kem Lolo sepatutnya mengambil masa 2 jam tetapi disebabkan terdapat beberapa kemahiran yang ingin diajarkan kepada murid2, kami mengambil masa 3 jam 30 min untuk sampai. Kami berhenti sebentar di 3 buah wakaf yang kami jadikan 'check point'. Di sana, tali-temali telah diajarkan oleh Pn Safiza, bantu mula oleh En Azri manakala orienteering diajarkan oleh skuad Trekker.


Akhirnya kami sampai juga di Kem Lolo sekitar jam 11.15 pagi. Lelah kami terubat dek deruan aliran sungai yang akhirnya berjaya memujuk seorang demi seorang daripada kami untuk terjun menikmati hawa dinginnya. Kami mandi sehingga jam 1.00 petang. Kami bertolak menuruni Gunung Nuang dengan gegas dan sampai pada pukul 3 petang. Sampai saja di kawasan Chalet, Pn Safiza belanja kami makan ais krim. Sedapnya...!!


Petang itu semua cikgu terbongkang. Letih agaknya. Tinggallah aku menguruskan latihan malam kebudayaan untuk murid2. Alah, bukan susah pun. Cuma arah2 saja. Petang sikit, barulah cikgu2 bangun seorang demi seorang. Malam itu, kami adakan Malam Kebudayaan yang berpihak kepada kumpulan 5 menjadi juara. Aku benarkan mereka tidur awal. Berbeza dengan malam pertama, malam akhir ini murid2 tidur awal. Sunyi & sepi. Cuma kedengaran hilai tawa cikgu Intan memecah sunyi.


Hari terakhir, slot memasak mengambil tempat. Setiap kumpulan telah diberi seorang guru sebagai penasihat. Akhirnya, cikgu2 sendiri yang memasak. Setelah diadili, kumpulan 1 telah menjadi juara Pertandingan Memasak. Setelah itu, Khidmas dijalankan untuk membersihkan kawasan perkhemahan & Chalet. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Pn Norhayati, Guru Besar SK Lembah Subang. Kami bertolak pulang pada pukul 1 petang.


Semoga berjumpa lagi...

Jumaat, 9 September 2011

Risalah dari Pengasas KRS...




Assallamualaikum & Salam Sejahtera...
Lama juga aku tidak mencoretkan sesuatu di dalam blog ini. Terlalu sibuk dengan hal2 duniawi. Namun penting & besar maknanya dalam kehidupan. Namun, aku tersentuh tatkala melihat suatu risalah yang sudah 15 tahun menghilang. Risalah atau bingkisan daripada Allahyarham Cikgu Thani ketika AidilFitri 17 tahun yang dahulu. Rindunya terasa ketika zaman Cikgu Thani aktif dalam penulisan. Kalaulah beliau masih ada sekarang ini, aku yakin yang beliau pasti punya Blognya sendiri.




Allahyarham Cikgu Thani punya beberapa hobi. Antara hobi beliau ialah meng'edit' gambar, mencipta sajak, bernasyid dan menulis risalah. Beliau pernah mencipta sebuah sajak dan mendaftarkan sajak tersebut di dalam suatu Pertandingan Mencipta Sajak menggunakan nama aku. Walaupun aku bangga kerana dapat tempat ketiga dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Berita Harian tersebut, namun aku lebih bangga kerana beliau meletakkan nama aku sebagai peserta. Terasa istimewa sangat saat2 tersebut. Walaupun sajak itu bukan aku yang cipta. Namun, ingatan Cikgu Thani pada aku cukup untuk memberi semangat kepada aku untuk meneruskan perjuangan beliau hingga ke akhir hayat.
Cikgu Thani juga sangat suka menulis & meng'edit' risalah. Risalah yang dikeluarkan adalah 100% ciptaan beliau. Kebiasaannya risalah tersebut keluar sebulan sekali. Dan ianya berkenaan dengan isu2 semasa. Setelah menulis & meng'edit', beliau akan mencetak (photostate) dengan menggunakan kertas berwarna hijau. Hijau melambangkan KPIM semasa itu. Di bahagian yang kosong, kadang2 beliau akan menyelitkan beberapa karikatur yang beliau lukis sendiri. Menarik bukan? Ya, Allahyarham Cikgu Thani memang seorang guru yang kreatif serta mempunyai perwatakan yang mampu menarik minat pelajar untuk menjadi kreatif.




Cukuplah sekadar itu catatan aku kali ini. Insyaallah bila ada kelapangan nanti, aku catatkan perkara yang lain pula. Kenangan lalu bersama Allahyarham Cikgu Thani kadang2 muncul tanpa disangka-sangka. Kadang2 aku ingat yang kenangan itu sudah aku lupakan. Namun, kadang2 ia menjelma semula. Segar. Seolah-olah baru saja berlaku semalam. Sehingga berjumpa lagi...

Sabtu, 21 Mei 2011

Pertandingan Kawad Kaki SK Lembah Subang 2011


Pada 21 Mei 2011, telah diadakan satu pertandingan kawad kaki peringkat SK Lembah Subang yang dirasmikan oleh En Bismimohar bin Abdullah, YDP PIBG SKPPRLS. Pertandingan kawad kaki yang julung2 kali diadakan ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada semua murid berkenaan dengan disiplin, format dan suasana pertandingan kawad kaki yang sebenar. Pertandingan ini melibatkan semua unit beruniform yang ada di SKPPRLS iaitu TKRS, Pengakap, PBSM, Tunas Puteri dan Puteri Islam.
Pada awalnya, pertandingan ini disambut dingin dek kerana kebanyakan guru tidak mempunyai pengalaman di dalam pertandingan kawad kaki. Ada juga di antara para guru yang tidak pernah pun melihat suasana sebenar pertandingan kawad kaki. Namun, sebagai warga pendidik yang dinamik, tugasan ini dianggap sebagai satu cabaran untuk mereka laksanakan sebaik mungkin. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan sekalung penghargaan buat guru2 SKPPRLS di atas usaha dan kerjasama yang diberikan sehingga pertandingan kawad kaki ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Latihan kawad kaki dijalankan 3 minggu sebelum pertandingan diadakan. Maka, bertungkus-lumuslah para guru melatih platun unit beruniform masing2 dengan pelbagai gerak kawad statik, dinamik & formasi. Tidak kurang juga yang memanggil jurulatih daripada luar. Semakin hari semakin penat. Namun, semakin hari semakin hangat. Masing2 berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan di pihak mereka. Sehinggakan ada yang sanggup mengorbankan cuti hari sabtu dan Hari Wesak semata-mata untuk memberikan fokus penuh kepada latihan.
Usaha ini dilihat sebagai satu kesungguhan dan pengorbanan para guru yang dewasa ini sering dipersoalkan. Jika tiada guru sebegini, mana mungkin negara boleh mencapai tahap yang membanggakan pada hari ini. Kadangkala aku hairan, mengapa perkara2 buruk tentang guru mudah sangat untuk disiarkan di media sedangkan perkara2 baik jarang sangat untuk didedahkan? Aku percaya, ada warga pendidik yang berkecil hati dengan situasi ini. Namun, mereka tidak pernah berputus ada. Harta, bukanlah sesuatu yang mereka cari. Tetapi cukuplah dengan menumpang gembira tatkala anak2 didik mereka berjaya.
Johan pertandingan kawad kaki dirangkul oleh Pasukan Tunas KRS sementara Naib Johan jatuh kepada pasukan Tunas Puteri. Ketua Platun terbaik pula jatuh kepada Shahrul Nizam dari pasukan TKRS. Tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka. Sesungguhnya, usaha dan lelah mereka telah terbukti berhasil. Pada yang tidak berjaya, cuba lagi tahun hadapan. Mana tahu, nasib menyebelahi anda untuk menjadi johan. Apa2pun, semangat setiap pasukan haruslah dipuji. Itu sebenarnya yang lebih penting berbanding kemenangan. Kerana kita semua adalah anak Malaysia. Semoga Malaysia akan lebih berjaya di masa akan datang. Hidup KRS!!!