Ahad, 4 Mac 2012

Sejarah Malam Kebudayaan - Pentas Kesenian


Dalam entri yang ke-33, aku ada menulis berkenaan sejarah malam kebudayaan KRS yang memperincikan berkenaan nasyid. Namun, sejarah malam kebudayaan KRS bukan hanya tertumpu pada nasyid, malahan banyak lagi aktiviti kesenian dalam persembahan yang diadakan. Pada kali ini, aku ingin berkongsi tentang 'pentas pertama' yang tentunya menjadi sebahagian daripada sejarah Malam Kebudayaan KRS itu sendiri.
Datangnya KRS dari SMK Raja Abdullah. Tentunya di sanalah sejarah terarah. Tempat jatuhnya keringat dan lelah. Tidak keterlaluan pernah tumpahnya darah. Namun sejarah perlu dicatat. Buat rujukan yang jauh dan dekat. Andainya ragu takut tersesat. Datang sendiri, cubalah lihat.
Sebelum adanya Dewan Sri Murni, SMK Raja Abdullah mempunyai pentas (seperti di gambar) di dalam sebuah dewan terbuka yang kini terletaknya di dalam 'bilik rezo'. Dewan terbuka ini sekarang telahpun dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu bilik rezo, bilik penolong kanan & makmal MPV. Dahulunya, di sinilah selalunya diadakan malam kebudayaan. Di sinilah Allahyarham Cikgu Thani mencungkil bakat2 muda dalam kebudayaan seperti nasyid, drama pentas, sajak, nukilan, syair dll.
Di sinilah juga pernah menjadi 'tempat tidur' peserta2 Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan pada tahun 1995 dahulu. Aku masih teringat ketika malam perasmian, kami (peserta) bersama-sama mengilatkan but kawad sambil berjenaka. Antara lawak jenaka yang kami ketawakan ialah babak Ramlee, Sudin & Ajis membaca surat daripada Cik Ros dalam filem Pendekar Bujang Lapok. "Sekali syair daaa...", kata ajis. "Dia tulis Arab... walfadang fasighul... takadudil fukuk kayuwil.. panaskutarikuk!!", kata sudin. Kami sukar melelapkan mata tatkala Deris (batch 1997) melakonkan semula babak2 tersebut. Aku, arwah Hazreek, abang Rahim & seorang lagi senior berdekah-dekah ketawa sehingga berleleh air mata.
Dua tiga hari yang lepas aku ke sana lagi. Sedih bila mengenangkan bahan2 sejarah ini tidak dikekalkan seperti sedia ada. Yelah, satu perkara yang aku faham, SMK Raja Abdullah sangat memerlukan tempat itu sebagai bilik2 pengurusan hal ehwal sekolah. Namun, jauh dalam lubuk hati aku, aku masih mahukan ianya seperti dahulu. Sekurang-kurangnya, tempat ini dicatat di dalam sejarah bahawa ianya pernah menjadi tempat bermulanya Malam Kebudayaan di dalam KRS. Semoga ianya tidak dilupakan begitu sahaja....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan