Ahad, 6 Disember 2009

Orang Belakang Tabir


Setiap program memerlukan kerjasama setiap ahli KRS untuk memastikan keberkesanan perlaksanaannya. Sebab itu, pemilihan ahli jawatankuasa amat penting agar perlaksanaan program di setiap peringkat berlaku dengan baik dan lancar. Tersalah pilih AJK boleh mencacatkan program. Ataupun mungkin program boleh terus dibatalkan. Semuanya terletak kepada kecekapan pemimpin dalam menilai ahli. Sama ada pemimpin itu Guru Penasihat KRS ataupun ahli2 KRS (pelajar), pemilihan AJK berdasarkan kemahiran ahli sangat penting untuk dititikberatkan.
.
Secara umumnya pemilihan boleh dilakukan melalui 2 sebab. Pertama, seseorang ahli KRS itu mempunyai kemahiran dalam mengendalikan satu2 bahagian dalam jawatankuasa. Ahli KRS yang mempunyai kemahiran dalam melaksanakan bahagiannya bakal memimpin ahli2 lain dalam jawatankuasanya untuk bertugas. Ketua program perlu mengenalpasti anak buah mereka yang mempunyai kemahiran2 tertentu. Takkanlah bertahun menempuh susah senang bersama masih belum mengenal hati budi? Kedua, satu2 bahagian jawatankuasa memerlukan pengganti. Ianya penting untuk memastikan kesinambungan kemahiran pada masa akan datang. Ini adalah kerana ahli2 KRS yang terdiri daripada pelajar pasti akan meninggalkan sekolah suatu hari nanti. Oleh itu, seorang ahli KRS yang mempunyai potensi menguasai kemahiran satu2 bahagian jawatankuasa perlulah dilatih. Latihan hanya boleh dilakukan dengan memberikan peranan tersebut kepadanya.
.
Terdapat beberapa AJK penting di dalam merancang dan melaksanakan sesuatu program. Pertama, AJK Disiplin. Disiplin peserta program amatlah penting untuk dijaga untuk mengelakkan daripada perkara2 yang tidak diingini berlaku. Misalnya kecederaan, gangguan fizikal, masa terbuang atau berlengah, tersampuk makhluk halus dan bermacam lagi masalah. AJK Disiplin perlulah dilantik dari kalangan ahli2 KRS yang tegas dan mempunyai disiplin diri yang tinggi. Oleh kerana itu, AJK Disiplin bukanlah boleh dilantik secara semborono. Adakalanya AJK disiplin juga merupakan Penghulu / Penghuluwati sesuatu program. Ianya bergantung kepada bagaimana program tersebut dirancang.
.
Bersama-sama dengan AJK Disiplin adalah AJK Keselamatan. Mereka perlulah 'synchronize' dan saling bekerjasama dalam melaksanakan peranan mereka. AJK Keselamatan perlu sentiasa memastikan semua ahli hadir dalam setiap tentatif. Sekiranya ada yang tidak hadir, peserta tersebut perlulah dipastikan selamat dan diletakkan di satu tempat yang tertentu sekiranya tidak sihat atau memerlukan rawatan. AJK Keselamatan juga perlu memastikan setiap peserta ada pada penghujung setiap tentatif. Ini untuk memastikan tiada peserta yang tertinggal ataupun hilang. Peranan AJK Keselamatan juga untuk memastikan tempat tertentu selamat untuk aktiviti dijalankan. Ini termasuk kawasan tapak perkhemahan dan kawasan2 aktiviti. Segala perkara yang melibatkan keselamatan perlulah dilaporkan kepada Ketua Program atau Guru Penasihat KRS dengan segera.
.
AJK Kebajikan juga tidak kurang pentingnya. Kebiasaannya, AJK Kebajikan dilantik dari kalangan ahli2 KRS yang tahu berkenaan Bantu Mula. Mereka juga perlulah mempunyai kemahiran Interpersonal yang tinggi. Ini penting bagi memastikan kaedah psikologi dapat digunakan ketika menguruskan peserta2 yang bermasalah terutamanya peserta yang cedera, ketakutan atau fobia, kepenatan, kerunsingan dan banyak lagi masalah2 ringan yang melibatkan fizikal ataupun mental. Sebab itu AJK Kebajikan juga perlu menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi masalah2 seperti ini. Semasa zaman Allahyarham Cikgu Thani, AJK Kebajikan biasanya dilantik daripada ahli2 KRS yang berkerohanian tinggi dan mereka diajar beberapa ayat syifa' daripada Al-Quran sebagai persediaan sekiranya menghadapi masalah2 yang melibatkan makhluk2 halus.
.
Selain daripada itu, AJK Dokumentasi juga penting sebagai pencatat sejarah. Setiap aktiviti perlulah direkod sama ada dalam bentuk fotografi ataupun video. Ini penting semasa membuat laporan berkenaan program untuk makluman Pengetua / Guru Besar. Peranan AJK Dokumentasi amat penting dalam memastikan kelestarian program. Tanpa foto ataupun video yang berkenaan, program tersebut hanyalah tinggal bualan mulut sahaja. Semasa zaman Allahyarham Cikgu Thani, setiap foto akan di 'edit' oleh beliau dengan beberapa perkataan ataupun ayat yang berkenaan. Kadang2 ayat2 yang tidak berkenaan pun ada. Foto2 ini akan ditampal pada papan penyataan KRS untuk tatapan umum. Pada mereka yang ada di dalam gambar, tentu saja bermacam perasaan akan timbul. Bangga, imbas kenangan, segan, malu dan bermacam lagi. Yang pastinya kenangan dapat direkodkan dan sentiasa dikenang walau selama manapun masa berlalu.
.
Apa2 program sekalipun, banyak peralatan akan digunakan. Ini bermaksud AJK Peralatan juga penting untuk dilantik. AJK Peralatan akan banyak memainkan peranan dalam memastikan setiap peralatan yang diperlukan dapat disediakan dan dibawa ke tempat program. Peralatan pula perlu didaftarkan di dalam borang inventori untuk memastikan jumlah alat yang dibawa ke tempat program dan yang dibawa pulang ke sekolah. Segala kerosakan dan kehilangan barang perlulah dilaporkan kepada Guru Penasihat KRS dan kertas laporan perlulah disediakan untuk makluman pihak2 yang berkenaan di sekolah.
.
AJK Kebersihan dan Keceriaan juga perlu dilantik. Mereka memainkan peranan dalam memastikan kebersihan dan keceriaan kawasan aktiviti. Dalam perkhemahan, mereka perlu menyediakan tempat pembuangan sampah, memastikan kawasan khemah sentiasa bersih dan mengetuai aktiviti membersihkan kawasan khemah sebelum pulang ke sekolah. Selain daripada itu, AJK Kebersihan dan Keceriaan juga merupakan hakim bagi pertandingan tapak khemah terbersih dan tercantik.
.
Tidak kurang pentingnya juga ialah AJK Kerohanian. Mereka memastikan jadual imam dan bilal solat dibuat sebelum hari program dan memaklumkan kepada yang berkaitan. AJK Kerohanian bekerjasama dengan AJK Disiplin untuk memastikan setiap aktiviti kerohanian dihadiri oleh setiap peserta pada masa yang tepat. AJK Kerohanian memastikan aktiviti2 kerohanian yang akan dilakukan sama ada yang muslim ataupun non-muslim. Adakalanya AJK Kerohanian bekerjasama dengan AJK Kebajikan untuk memastikan kebajikan para peserta program.
.
AJK Makanan adakalanya penting terutama untuk program2 yang melibatkan tempahan makanan. Mereka perlu memastikan waktu makanan yang disediakan oleh pihak pembekal. Adakalanya pihak pembekal tidak menyediakan makanan pada waktu yang tepat. Di sinilah peranan AJK Makanan untuk memaklumkan kepada Ketua Program sama ada makanan sudah tersedia ataupun belum. AJK Makanan juga perlu memastikan prosedur mengambil makanan dan tempat makan diuruskan dengan baik. Selain daripada itu, adab semasa makan juga adalah dibawah pengurusan AJK Makanan. Bacaan doa, duduk sedia, duduk senang dan pelbagai lagi adab semasa di dewan makan perlulah dijaga.
.
Selain daripada semua AJK di atas, jawatankuasa seperti AJK Cenderamata, AJK Protokol, AJK Persembahan & Pentas dan banyak lagi juga adakalanya penting bergantung kepada program yang hendak dijalankan. Yang pentingnya ialah setiap AJK memainkan peranan mereka dengan baik dan sentiasa bekerjasama dalam melaksanakan program. Orang boleh berkata itu dan ini. Mereka sebenarnya tidak tahu kepayahan orang dibelakang tabir yang merancang dan melaksanakan program. Ketika di tingkatan 1 & 2, kita hanya sebagai peserta. Namun apabila sudah menjadi senior di tingkatan 4 & 5, barulah tahu betapa susahnya hendak mengendalikan satu2 program. Jangan risau, semua orang pasti akan merasa. Aku juga pernah merasa. Nanti kau juga akan merasa. Sekian.

Jumaat, 4 Disember 2009

Bukan Kita Yang Menentukan


Lama sungguh aku di Kluang, Johor. Sejak sehari sebelum Aidil Adha. Semalam baru balik Kuala Lumpur. Lama juga aku tidak mengemaskini blog Aku_KRS. Maklumlah, di Kluang 'connection' internet tidak laju. Di Kuala Lumpur baru terasa 'speed' internet. Baru mudah hendak 'upload' gambar. Sedar tidak sedar, 8 hari juga aku di sana. Beraya dengan keluarga di rumah adik aku.

Kali ini aku ingin membawa topik berkenaan 'Merancang Program'. Kalau sekali dengar, bunyinya macam senang bukan? Namun sebenarnya ianya memerlukan penelitian dan kerjasama daripada semua pihak. Sekiranya ada pihak yang gagal melakukan tugas mereka, berkemungkinan perancangan hanya tinggal perancangan. Aku membawa topik ini kerana Kadet Remaja Sekolah banyak melibatkan aktiviti2 luar bilik darjah yang memerlukan perancangan. Sehinggakan hendak buat Qiamullail (Rasmi) di sekolah pun bukanlah semudah yang disangka. Tempat tidur (lelaki dan perempuan), perbelanjaan (berbuka puasa dan bersahur), Ustaz jemputan untuk memimpin qiamullail, cenderahati dan banyak lagi. Yang hanya menjadi pengikut program mungkin tidak nampak kepayahan orang 'dibelakang tabir' yang membuat kerja. Tahu2 sudah jadi saja.

Di SMK Raja Abdullah kebiasaannya pegawai tingkatan 4 yang akan menguruskan program. Pegawai tingkatan 5 akan memantau adik2 mereka menjalankan kerja. Sekiranya ada yang perlu ditegur mereka akan segera memperbetulkan keadaan. Walaupun tanggungjawab merancang terletak dibahu Guru Penasihat KRS namun idea2 dan perlaksanaan akan ditugaskan kepada ahli2 KRS. Ini penting di dalam aspek pembentukan 'Kemenjadian Pelajar'. GPK Kokurikulum pasti tahu berkenaan hal ini. Oleh itu sejauh mana perlaksanaan program yang dirancang boleh dikatakan terletak kepada ahli2 KRS itu sendiri.

Aku sukakan konsep 'Buku Log'. Sama ada menggunakan buku nota biasa ataupun diari, ianya dapat melicinkan perancangan program yang dilakukan. Tahun lepas, semua ahli KRS tingkatan 4 aku galakkan mereka memiliki sebuah Buku Log. Apa pentingnya? Pertama, mereka boleh merekodkan segala maklumat berkenaan perancangan program sama ada perihal jawatankuasa, tugas2, tentatif mentah, perbelanjaan dan banyak lagi. Kedua, segala maklumat boleh dirujuk semula sekiranya ada 'kelupaan' yang berlaku. Ketiga, Buku Log boleh dijadikan panduan dalam menjalankan tugas agar tidak tersasar daripada perancangan. Akhir sekali, Buku Log akan tetap boleh dirujuk walau selama manapun masa berlalu. Ianya boleh dijadikan rujukan sekiranya program yang sama hendak dilakukan pada tahun yang berikutnya.

Perancangan perlu teliti. Jika tidak, program yang dijalankan akan tidak terurus dengan baik ataupun tidak dapat dilaksanakan. Walau sebanyak manapun pengalaman seseorang guru atau ahli KRS dalam melaksanakan program, perancangan haruslah dilakukan dengan teliti. Perkara2 seperti kecederaan, tidak cekap menguruskan masa dan kelupaan merupakan natijah daripada perancangan yang sambil lewa. Sebab itu, program2 yang bakal aku laksanakan biasanya dimulai dengan beberapa sesi 'Brainstorming' agar setiap perkara dapat diteliti dengan sebaik mungkin.

Walaubagaimanapun, kita hanyalah manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Seteliti mana sekalipun perancangan kita, pasti ada kekurangannya. Cuma, seboleh mungkin biarlah kita minimakan kecacatan yang berlaku di dalam program dengan perancangan yang baik dan teliti. Kepada guru2 penasihat KRS, rancanglah program anda sebaik mungkin. Kepada pegawai2 KRS yang baru belajar menguruskan program, janganlah malu bertanya. Jangan juga jadi 'Bodoh Sombong' sehingga program pula jadi tidak terurus. Semuanya bergantung kepada niat. Andaikata niat kita adalah untuk melakukan yang terbaik, pasti ada perkara baik yang dapat dipelajari. Namun jika hanya sekadar menunjuk-nunjuk, pasti suatu hari akan terbongkar jua. Sekian.

Selasa, 24 November 2009

Perginya Untuk Sebuah Perpisahan


Kebersamaan dalam KRS sungguh mengasyikkan. Rasa baru semalam segalanya bermula. Orientasi dan kena buli bersama. Adakalanya rasa macam hendak tercabut lengan dan lutut dek kerana padatnya aktiviti. Rasa2 semalam belum tumbuh misai lagi? Mengapa hari ini asyik2 hendak bercukur saja? Rupa2nya hari semakin senja di sekolah. SPM pun sudah bermula. Makin lama hati semakin sayu. Mungkinkah esok akan sama seperti semalam? Engkau, aku dan dia. Bersama-sama mengharung lumpur meredah hutan belantara...

Itulah hakikatnya. Semalam bertemu, hari ini kita berpisah. Setiap batch pasti akan melaluinya. Dikiranya persahabatan sejati akan kekal selamanya. Selama mana? Yang seorang akan ke menara gading. Yang seorang lagi akan menjadi perwira negara. Dia pula bekerja menanggung keluarga. Aku? Hmm... Jadilah kita seperti menunggu bas di perhentian bas. Bila sedang menunggu, kita bersama. Namun bila bas sudah datang, masing2 membawa diri masing2. Nasib baik dilahirkan pada zaman IT. Adalah juga MySpace, Facebook, SMS sebagai pengganti diri. Maka, yang jauh hanya menatap. Yang dekat, tunggu tidak tiba.

Tapi kawan tetap kawan. Apalagi sahabat sejati. Rasa macam hendak sehidup semati. Seboleh mungkin mencari masa untuk berkumpul. Gathering tidak rasmi. Tidak kurang juga yang buat Gathering rasmi. Biasanya yang sudah berduit dan berkenderaan. Yang tiada duit, tebal muka menumpang kawan. Nasib baik muka macam pinggan. Kalau tidak, mahu saja aku tangan2! Sudah besar, tidak reti hendak berdikari. Akhirnya duduk rumah makan meggi. Jauh lagi kalau hendak beristeri. Hendak bela anak dara orang kenalah bergaji. Yelah, baru sentuh sudah dapat baby. Kelam kabut berhutang hendak beli susu Dutch Lady. Janganlah hendaknya jadi macam ini. Buat malu kaum lelaki!

Itulah hidup. Semakin berumur semakin berat beban dibahu. Janganlah berlagak hendak merdeka. Selagi tidak masuk syurga, jangan mimpi menikmati merdeka. Sebab hidup ini berterusan. Masa tidak tunggu sesiapa. Kalau terleka, buruk padahnya. Jangan pula menanti pada perkara yang tidak kunjung tiba. Kelak tersedar diri sudah tua. Hendak panjat tangga pun tidak larat. Jadilah diri macam lalat. Berdengung ke sana sini mencari tempat.

Teman dan sahabat datang dan pergi. Kalau semalam harinya indah, biarlah ianya menjadi kenangan manis. Kalau semalam mengundang duka, bersabarlah. Ianya akan bertukar manis satu hari nanti. Sebab itu, berkawan biarlah seribu. Berkasih biarlah satu. Beristeri? Jawab sendiri. Sekian.

Sabtu, 21 November 2009

Akhirnya Kita Terpisah


Semalam kita tidak pernah kenal. Tidak pernah pula terfikir untuk mengenali. Juga tidak menyangka akan bertemu. Kau begitu asing sehinggakan aku terpaksa memakai topeng agar diri nampak sempurna meskipun penuh dengan kekurangan. Aku mengerti yang ruang ini adalah baru buat kau dan aku. Dan kau pasti menyangka bahawa aku akan merentasi hidup kau sebagaimana kau merentasi hidup aku. Kawan, aku mahu mengenali kau agar bisa kita genggam bara ini bersama. Mampukah kita?

Hari ini kita masih bersama. Mendaki bukit batu 100 meter. Hanyut dilautan yang penuh gelora. Makan nasi mentah, sakit perut bersama. Kita melangkah menuju satu tujuan. Bersatu bergandingan merempuh halangan. Kadang tersungkur luka di tangan. Berehat sebentar di akar pokok hutan. Sesekali berperangai setan. Walaupun kita saling berpesan agar mengingati Tuhan. Dekahan tawa kita penuh bererti. Rasa tidak mahu semuanya berhenti. Biarlah lestari dalam mimpi. Menjelajah bumi Tuhan yang penuh misteri. Agar terjawab semua teka teki. Dalam senyuman ada harapan. Susah senang setia sekawan. Bersatu menentang apa jua lawan. Namun hari ini kita tertawan. Dek senjanya sebuah pertemuan...

Kita semakin menuju esok. Pasti jasad kita saling berjauhan. Walaupun hati kita saling bertautan. Apa boleh buat? Itulah kehendak takdir. Semalam kita bertemu, esok kita berpisah. Apakah masih boleh kita bersetuju dan bertelagah? Aku yakin kita akan pasti merindui. Tentang kebersamaan, setia dan budi. Di langit manakah lagi bisa kucari? Teman menangis sahabat sejati. Mungkin hati kita akan semakin jauh. Melayari hidup maghrib ke subuh. Kita tidak lagi bergandingan tubuh. Yang tinggal hanyalah cerita semalam. Akan aku ingat, aku semat dan aku pendam. Sebuah pengalaman yang bersiang dan bermalam. Tentang kau, ingatan yang tidak akan pernah padam.

Hari ini aku berpuitis. Kerna tadi airmatamu menitis. Mengenangkan masa kita yang semakin nipis. Hati resah, menggelabah dan sadis. Janganlah menangis wahai teman. Walaupun tangisan itu kau sorokkan. Aku juga turut merasakan. Kesedihan yang semakin membeban. Biarlah kita berpisah dengan senyuman. Kerna masing-masing punya tujuan. Melengkapi dan menjiwai kehidupan. Langkah ini kita teruskan. Mendidik anak bangsa agar terus ke hadapan. Mencapai cita-cita menuju wawasan. Semoga usaha kita diberkati Tuhan. Kan terkabul segala doa dan harapan.


Nukilan Ini Buat Semua Teman2 Guru...


- Fadzli Sufi -

Ahad, 8 November 2009

Infak : Sikit Sikit Lama Lama Jadi Bukit


Secara logiknya, tidak ada perkara yang lebih penting daripada ilmu. Apapun kehebatan dan kepandaian seseorang pasti melalui jalan ilmu. Mendapat kefahaman tentang sesuatu juga memerlukan ilmu. Misalnya untuk memahami mengapa kapal Cruiser boleh terapung di atas air sedangkan ianya besar dan berat perlu dicari ilmu berkenaan sains isipadu dan ketumpatan dulu. Sehinggakan mendapat hidayah juga kebiasaannya perlu melalui jalan ilmu. Misalnya untuk memahami konsep taqwa, seseorang itu wajib belajar ilmu2 agama seperti fiqh, tauhid, tasawuf dan lain2 cabang agama. Itupun tahap pemahaman seseorang juga berlainan mengenai konsep taqwa. Apa2pun, seseorang itu perlu menuntut ilmu dahulu, barulah yang lainnya akan menyusul.

Menuntut ilmu secara rasmi di Malaysia dan di negara2 lain amat memerlukan perbelanjaan dan kadangkala boleh mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit seorang. Mungkin ada yang tidak sedar dek kerana 'subsidi pendidikan' yang ditanggung oleh kerajaan namun sebenarnya sebahagian besar belanjawan yang dikeluarkan oleh kerajaan adalah di sektor pendidikan. Di sekolah, sebahagian yuran ditanggung oleh kerajaan dan sebahagiannya ditanggung oleh ibubapa atau penjaga. Itu tidak masuk lagi tentang kelengkapan sekolah seperti pakaian sekolah, buku2, alat tulis dan lainnya. Tambah2 lagi kalau di peringkat yang lebih tinggi seperti IPTA dan IPTS. Tentu saja perbelanjaan dan wang ringgit banyak dikeluarkan demi menjamin masa depan. Kita patut berterima kasih dan bersyukur kerana kerajaan ada menyediakan kemudahan2 seperti pinjaman2 pelajaran dan biasiswa. Sekurang-kurangnya, sebahagian daripada beban kita dapat dikurangkan.

Dahulu, Cikgu Thani ada menjalankan satu sistem kutipan wang untuk membiayai aktiviti2 KRS di SM Raja Abdullah melalui 'Infak'. Ianya merupakan satu sistem kutipan wang secara beransur-ansur dan tidak membebankan ahli2 KRS. Yuran penyertaan untuk setiap ahli adalah RM5 setahun. Namun jumlah ini tidaklah dapat menanggung kebanyakan daripada aktiviti2 KRS yang banyak melibatkan perkhemahan dan program di luar sekolah. Maka, melalui Infak, sejumlah RM0.50 seminggu akan dikutip pada setiap ahli. Jumlah ini bersamaan 10 sen sehari! Rasa2nya seperti tidak ada alasan yang boleh diberikan untuk tidak membayar jumlah tersebut. Walaupun ada yang benar2 tidak mampu (pelajar2 SM Raja Abdullah ada yang datang daripada keluarga yang fakir dan miskin) namun kebanyakannya mampu. Takkan 10 sen sehari pun tidak mampu? Kalau belanja sehari RM1.00 pun masih berbaki 90 sen.

Melalui sistem ini, sejumlah dana yang besar boleh dikutip secara beransur-ansur. RM0.50 seminggu, maka RM2.00 sebulan akan dikutip pada setiap ahli KRS. Sekiranya ada 100 orang ahli, maka RM200.00 dapat dikutip sebulan. 10 bulan, jumlah ini akan terkumpul sebanyak RM2000.00. Banyakkan? Maka, pelbagai aktiviti dapat dijalankan semasa itu. Lagipun sekitar 90an, harga barang dan sewa tapak tidaklah berapa tinggi berbanding dengan waktu sekarang. Aku mencatat berkenaan infak ini supaya dapat memberi sedikit idea kepada para guru dan pemimpin2 KRS untuk mengumpul dana. Kalau hanya mengharap 'sponsor' daripada pihak tertentu susah juga. Usaha juga perlu dijalankan untuk mencari jalan untuk mendapatkan sumber perbelanjaan. Namun, jangan lupa pula untuk mendapatkan kebenaran Guru Besar atau Pengetua. Nanti takut ada pula yang melenting! Pandai-pandai lah...

Aku pernah menjadi salah seorang daripada pengutip Infak yang diamanahkan oleh Cikgu Thani. Sebab itu aku tahu sangat mengenai selok-belok mengumpul dana melalui Infak ini. Cuma, sekarang ini ianya amat jarang dilakukan. Di SMK Raja Abdullah juga begitu. Semuanya terpulang kepada guru2 yang memimpin KRS di sekolah mereka. Sekiranya buntu mengenai belanjawan, cubalah idea ini. Mana tahu mungkin ianya dapat merealisasikan aktiviti2 'bombastic' seperti perkhemahan di Taman Negara atau mendaki Gunung Kinabalu? Infak, sikit2 lama2 jadi bukit. Sekian.

Khamis, 5 November 2009

Kejayaan Menanti Di Hujung Kesabaran


Alhamdulillah. Hari ini adalah hari terakhir Final Exam. Semua peperiksaan wajib maktab telah selesai. Yang tinggal Kursus Induksi yang akan bermula esok. Hujungnya juga ada peperiksaan. Namun, ianya adalah peperiksaan wajib untuk pengesahan jawatan untuk kakitangan kerajaan. Sedar tidak sedar, pengajian aku di maktab sudah hampir sampai ke hujungnya. Setahun berlalu, banyak pengalaman pahit dan manis yang telah aku lalui. Yang penting, aku boleh kembali ke sekolah untuk bertemu dengan murid2 dan pelajar2. Aku rindukan semua itu. Terima kasih buat Cikgu Amir yang banyak membantu dalam perjalanan aku menjadi guru terlatih. Tidak lupa juga buat ahli2 KRS SMK Raja Abdullah yang masih di sana, bekas ahli2 KRS (semua rakan2 Batch KRS 1996, Laden, Kamarul, Subli, Muhsinin, Batch KRS 2008 dan ramai lagi yang tidak mampu aku sebut) dan murid2 aku di SK La Salle (1) Jinjang. Penghargaan yang tidak terhingga juga buat emak & ayah (jasamu hanya Allah yang mampu membalasnya), adik perempuan aku (Pilah) dan adik lelaki aku (Nizam).

Berjaya itu sebenarnya tidak akan berpenghujung kecuali berjaya menjadi ahli syurga kelak. Itupun hanya tafsiran logik yang aku gunakan. Mungkin juga di syurga nanti ada lagi kejayaan yang boleh kita kejar dan kecapi. Semuanya adalah ketentuan Allah. Namun, berjaya sebenarnya boleh kita kecapi sepanjang hidup kita. Sama ada kejayaan itu besar atau kecil, ianya tidak penting. Yang pastinya, kejayaan itu mampu memberi makna yang tersirat buat kita meneruskan hidup dengan gembira. Mungkin hari ini kita gagal, namun mungkin esok kita berjaya. Yang penting, jangan berputus asa. Andai jatuh, bangun semula. Andai tercicir, kutip semula. Andai terhenti, langkah semula.

Sejarah KRS juga ada jatuh bangunnya. Cuma, apa yang tercatat dalam Buku Rasmi KRS hanya yang indah-indah belaka. Siapa tahu bagaimana Cikgu Thani yang kadang2 tersungkur dan hilang upaya? Namun demi anak bangsa, digagahkan jua. Biar berlapar perut biar berkering dahaga. Kaki melangkah, berundur tidak ada. Begitulah Cikgu Thani yang sungguh berjasa. Pengasas KRS yang hidupnya sederhana. Namamu akan aku kenang sampai bila-bila.

Percaya atau tidak, sebenarnya KRS banyak membentuk gaya hidup dan pemikiran aku. Aku yakin, ahli2 KRS di luar sana juga akan sebegitu. Itupun sekiranya mereka menghayati apa yang ada di dalam KRS. Kalau hangat2 tahi ayam, memanglah tidak terasa bahangnya. Sebab adakalanya semasa pengambilan baru KRS di tingkatan 1, keahlian mencecah ratusan pelajar. Namun yang betul2 tamat tingkatan 5 boleh kira pakai jari saja. Agaknya, mula2 masuk sekolah menengah jiwa masih suci. Maka, senanglah tertarik dengan KRS dan aktivitinya. Namun bila jiwa sudah mula menjadi 'otai' semuanya hilang. Apa yang menarik hanyalah motor, awek, balak, style, budaya barat, rokok dan banyak lagi benda yang negatif. Difikirkan semua itu orang pandang hebat agaknya? Sudahlah! Esok bila sudah besar dan jiwa mula menggatal hendak kahwin, barulah hendak fikir cari kerja bagus2. Kalau ada pelajaran bolehlah juga jadi Eksekutif. Tapi kalau SPM pun cukup2 makan, kerja despatch @ kerani sajalah. Bukan niat hendak menghina tapi sekadar memberi peringatan pada mereka2 yang lupa daratan. Jangan nanti sudah terhantuk baru hendak terngadah! Macam mana hendak berjaya?

"Lepas saja KRS dirasmikan Cikgu sudah tidak ada apa yang hendak dikejarkan. Hang tu belajar rajin2. Buat SPM tu betul2. Nanti boleh masuk Universiti...". Itu antara kata2 semangat dari Cikgu Thani yang tidak akan aku lupakan. Kata2nya sungguh bermakna dan ianya terbukti. Sayangnya tatkala aku sudahpun bergelar Mahasiswa, Cikgu Thani pergi buat selama-lamanya. Doa aku semoga Cikgu Thani tergolong dalam golongan orang2 yang berjaya. Kerana, hidupnya selalu dihiasi dengan kesabaran. Dan aku pasti, kejayaan itu menanti di hujung setiap usaha dan kesabaran. Sekian.

Ahad, 1 November 2009

Kaki Kembara


Lama rasanya tidak mengemaskini blog Aku_KRS. Sejak dua menjak ini memang sibuk dengan aktiviti Maktab. Tambah lagi minggu ini adalah minggu 'Final Exam'. Dengar cerita, kebanyakan sekolah pun begitu. Masing-masing sedang sibuk 'study' sampai rasanya macam hendak terkeluar biji mata. Namun, watak itu perlu kita lakonkan sebaiknya. Sudah menjadi tanggungjawab seorang pelajar untuk belajar, maka belajarlah! Nanti bila sudah habis belajar dan sudah bekerja, baru tahu betapa seronoknya semasa belajar. Sebab bila sudah bekerja, banyak komitmen. Itu tidak termasuk kalau sudah berkahwin. Anak, isteri, duit rumah, duit kereta dan banyak lagi yang bakal memeningkan kepala. Tapi semuanya bergantung kepada cara kita terima semua ujian tersebut. Kalau kita mampu menerimanya secara positif maka semuanya akan menjadi indah dan mudah. Namun kalau sebaliknya, sedikit masalah sudah macam hendak kiamat dunia. Semuanya terpulang kepada kita untuk menilainya.

Pada aku, stress ada cara menanganinya. Tapi, bukan semua insan sama. Mungkin ada yang mempunyai caranya yang tersendiri. Sebenarnya cara aku menangani stress merupakan pembawakan daripada KRS juga iaitu 'Kembara'. Sedar atau tidak, apabila kita mengembara melihat persekitaran yang baru, motivasi dalaman (intrinsik) kita bertambah. Tidak kiralah sama ada persekitaran yang kita lihat itu adalah hutan belantara, pantai, lautan ataupun taman2 tasik, yang pastinya suasana tersebut mampu mengubat ketandusan jiwa yang terkurung dalam rutin harian yang membosankan. Begitulah juga sebagai seorang pelajar. Bosan menghadap buku? Keluarlah sebentar ke persekitaran yang baru. Mungkin udara di situ mampu mengembalikan emosi belajar kita. Siapa tahu?

Kembara merupakan aktiviti yang paling aku gemari. Mungkin sejak dua menjak ini aku kurang mengembara, namun minat itu tidak pernah luntur. Gambar di atas merupakan pengembaraan aku, Mahfuz, Sufril, Arwah Eddie, Shahran, Nazif & Norman (tiada dalam gambar) semasa di Selesa Home, Janda Baik. Pengembaraan ini sebenarnya ditaja oleh bapa Sufril. Daripada perjalanan dari KL, penginapan, makanan dan 'duit poket', semuanya ditaja oleh bapanya. Waktu ini kami baru habis menduduki PMR pada tahun 1994. Gambar ini kami tangkap semasa kami berada di Padang Golf yang ada di situ. Sebenarnya kami sedang menyusuri sungai yang sepatutnya membawa kami ke sebuah kawasan air terjun yang cantik. Apabila sampai, semua orang tidak mahu mandi dan tidak mahu meneruskan niat kami. Bulu roma masing2 meremang semacam. Akhirnya, kami berjalan ke arah yang berlainan dan sesat. Tahu2 kami sudah sampai ke sebuah padang golf. Nasib baik tidak jadi apa2. Walaupun kami sempat meminjam 'Walkie Talkie' milik Allahyarham Cikgu Thani namun ianya tidak dapat digunakan untuk berkomunikasi dengan orang lain kerana kami memegang kesemua 'Walkie Talkie' tersebut. Sengal!

Walaupun badan penat, kembara dapat merehatkan minda. Otak kita ini kadang2 perlu dibelai juga. Kalau badan mungkin boleh kita belai dengan pelbagai cara seperti spa, urut, sauna dan sebagainya. Namun, rehatkan otak lebih kepada perkara2 yang tenang dan tenteram. Tenang sangat pun tidak boleh, nanti tertidur pula! Hilang makna percutian dan kembara kalau asyik membuta di atas tilam. Baik duduk rumah saja! Apa2pun, kembara mampu menyihatkan badan selain daripada merehatkan minda. Terutama kembara yang berbentuk fizikal seperti Jungle Tracking, Snorkelling, Kayak dan macam2 lagi kembara fizikal.

Allahyarham Cikgu Thani juga seorang yang sangat sukakan pengembaraan. Sebab itu kebanyakkan daripada aktiviti KRS melibatkan asas2 dan aktiviti pengembaraan. Sememangnya asal KRS yang daripada PERWIRA juga terdiri daripada ahli2 Persatuan Agama Islam SM Raja Abdullah yang suka mengembara. Selain daripada merehatkan minda dan kecergasan badan, kembara juga boleh menambah ilmu di dada. Bak kata pepatah, 'Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan, Banyak Pengalaman'. Sekian.