Sabtu, 21 November 2009

Akhirnya Kita Terpisah


Semalam kita tidak pernah kenal. Tidak pernah pula terfikir untuk mengenali. Juga tidak menyangka akan bertemu. Kau begitu asing sehinggakan aku terpaksa memakai topeng agar diri nampak sempurna meskipun penuh dengan kekurangan. Aku mengerti yang ruang ini adalah baru buat kau dan aku. Dan kau pasti menyangka bahawa aku akan merentasi hidup kau sebagaimana kau merentasi hidup aku. Kawan, aku mahu mengenali kau agar bisa kita genggam bara ini bersama. Mampukah kita?

Hari ini kita masih bersama. Mendaki bukit batu 100 meter. Hanyut dilautan yang penuh gelora. Makan nasi mentah, sakit perut bersama. Kita melangkah menuju satu tujuan. Bersatu bergandingan merempuh halangan. Kadang tersungkur luka di tangan. Berehat sebentar di akar pokok hutan. Sesekali berperangai setan. Walaupun kita saling berpesan agar mengingati Tuhan. Dekahan tawa kita penuh bererti. Rasa tidak mahu semuanya berhenti. Biarlah lestari dalam mimpi. Menjelajah bumi Tuhan yang penuh misteri. Agar terjawab semua teka teki. Dalam senyuman ada harapan. Susah senang setia sekawan. Bersatu menentang apa jua lawan. Namun hari ini kita tertawan. Dek senjanya sebuah pertemuan...

Kita semakin menuju esok. Pasti jasad kita saling berjauhan. Walaupun hati kita saling bertautan. Apa boleh buat? Itulah kehendak takdir. Semalam kita bertemu, esok kita berpisah. Apakah masih boleh kita bersetuju dan bertelagah? Aku yakin kita akan pasti merindui. Tentang kebersamaan, setia dan budi. Di langit manakah lagi bisa kucari? Teman menangis sahabat sejati. Mungkin hati kita akan semakin jauh. Melayari hidup maghrib ke subuh. Kita tidak lagi bergandingan tubuh. Yang tinggal hanyalah cerita semalam. Akan aku ingat, aku semat dan aku pendam. Sebuah pengalaman yang bersiang dan bermalam. Tentang kau, ingatan yang tidak akan pernah padam.

Hari ini aku berpuitis. Kerna tadi airmatamu menitis. Mengenangkan masa kita yang semakin nipis. Hati resah, menggelabah dan sadis. Janganlah menangis wahai teman. Walaupun tangisan itu kau sorokkan. Aku juga turut merasakan. Kesedihan yang semakin membeban. Biarlah kita berpisah dengan senyuman. Kerna masing-masing punya tujuan. Melengkapi dan menjiwai kehidupan. Langkah ini kita teruskan. Mendidik anak bangsa agar terus ke hadapan. Mencapai cita-cita menuju wawasan. Semoga usaha kita diberkati Tuhan. Kan terkabul segala doa dan harapan.


Nukilan Ini Buat Semua Teman2 Guru...


- Fadzli Sufi -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan