Jumaat, 4 Disember 2009

Bukan Kita Yang Menentukan


Lama sungguh aku di Kluang, Johor. Sejak sehari sebelum Aidil Adha. Semalam baru balik Kuala Lumpur. Lama juga aku tidak mengemaskini blog Aku_KRS. Maklumlah, di Kluang 'connection' internet tidak laju. Di Kuala Lumpur baru terasa 'speed' internet. Baru mudah hendak 'upload' gambar. Sedar tidak sedar, 8 hari juga aku di sana. Beraya dengan keluarga di rumah adik aku.

Kali ini aku ingin membawa topik berkenaan 'Merancang Program'. Kalau sekali dengar, bunyinya macam senang bukan? Namun sebenarnya ianya memerlukan penelitian dan kerjasama daripada semua pihak. Sekiranya ada pihak yang gagal melakukan tugas mereka, berkemungkinan perancangan hanya tinggal perancangan. Aku membawa topik ini kerana Kadet Remaja Sekolah banyak melibatkan aktiviti2 luar bilik darjah yang memerlukan perancangan. Sehinggakan hendak buat Qiamullail (Rasmi) di sekolah pun bukanlah semudah yang disangka. Tempat tidur (lelaki dan perempuan), perbelanjaan (berbuka puasa dan bersahur), Ustaz jemputan untuk memimpin qiamullail, cenderahati dan banyak lagi. Yang hanya menjadi pengikut program mungkin tidak nampak kepayahan orang 'dibelakang tabir' yang membuat kerja. Tahu2 sudah jadi saja.

Di SMK Raja Abdullah kebiasaannya pegawai tingkatan 4 yang akan menguruskan program. Pegawai tingkatan 5 akan memantau adik2 mereka menjalankan kerja. Sekiranya ada yang perlu ditegur mereka akan segera memperbetulkan keadaan. Walaupun tanggungjawab merancang terletak dibahu Guru Penasihat KRS namun idea2 dan perlaksanaan akan ditugaskan kepada ahli2 KRS. Ini penting di dalam aspek pembentukan 'Kemenjadian Pelajar'. GPK Kokurikulum pasti tahu berkenaan hal ini. Oleh itu sejauh mana perlaksanaan program yang dirancang boleh dikatakan terletak kepada ahli2 KRS itu sendiri.

Aku sukakan konsep 'Buku Log'. Sama ada menggunakan buku nota biasa ataupun diari, ianya dapat melicinkan perancangan program yang dilakukan. Tahun lepas, semua ahli KRS tingkatan 4 aku galakkan mereka memiliki sebuah Buku Log. Apa pentingnya? Pertama, mereka boleh merekodkan segala maklumat berkenaan perancangan program sama ada perihal jawatankuasa, tugas2, tentatif mentah, perbelanjaan dan banyak lagi. Kedua, segala maklumat boleh dirujuk semula sekiranya ada 'kelupaan' yang berlaku. Ketiga, Buku Log boleh dijadikan panduan dalam menjalankan tugas agar tidak tersasar daripada perancangan. Akhir sekali, Buku Log akan tetap boleh dirujuk walau selama manapun masa berlalu. Ianya boleh dijadikan rujukan sekiranya program yang sama hendak dilakukan pada tahun yang berikutnya.

Perancangan perlu teliti. Jika tidak, program yang dijalankan akan tidak terurus dengan baik ataupun tidak dapat dilaksanakan. Walau sebanyak manapun pengalaman seseorang guru atau ahli KRS dalam melaksanakan program, perancangan haruslah dilakukan dengan teliti. Perkara2 seperti kecederaan, tidak cekap menguruskan masa dan kelupaan merupakan natijah daripada perancangan yang sambil lewa. Sebab itu, program2 yang bakal aku laksanakan biasanya dimulai dengan beberapa sesi 'Brainstorming' agar setiap perkara dapat diteliti dengan sebaik mungkin.

Walaubagaimanapun, kita hanyalah manusia yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Seteliti mana sekalipun perancangan kita, pasti ada kekurangannya. Cuma, seboleh mungkin biarlah kita minimakan kecacatan yang berlaku di dalam program dengan perancangan yang baik dan teliti. Kepada guru2 penasihat KRS, rancanglah program anda sebaik mungkin. Kepada pegawai2 KRS yang baru belajar menguruskan program, janganlah malu bertanya. Jangan juga jadi 'Bodoh Sombong' sehingga program pula jadi tidak terurus. Semuanya bergantung kepada niat. Andaikata niat kita adalah untuk melakukan yang terbaik, pasti ada perkara baik yang dapat dipelajari. Namun jika hanya sekadar menunjuk-nunjuk, pasti suatu hari akan terbongkar jua. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan