Ahad, 6 Disember 2009

Orang Belakang Tabir


Setiap program memerlukan kerjasama setiap ahli KRS untuk memastikan keberkesanan perlaksanaannya. Sebab itu, pemilihan ahli jawatankuasa amat penting agar perlaksanaan program di setiap peringkat berlaku dengan baik dan lancar. Tersalah pilih AJK boleh mencacatkan program. Ataupun mungkin program boleh terus dibatalkan. Semuanya terletak kepada kecekapan pemimpin dalam menilai ahli. Sama ada pemimpin itu Guru Penasihat KRS ataupun ahli2 KRS (pelajar), pemilihan AJK berdasarkan kemahiran ahli sangat penting untuk dititikberatkan.
.
Secara umumnya pemilihan boleh dilakukan melalui 2 sebab. Pertama, seseorang ahli KRS itu mempunyai kemahiran dalam mengendalikan satu2 bahagian dalam jawatankuasa. Ahli KRS yang mempunyai kemahiran dalam melaksanakan bahagiannya bakal memimpin ahli2 lain dalam jawatankuasanya untuk bertugas. Ketua program perlu mengenalpasti anak buah mereka yang mempunyai kemahiran2 tertentu. Takkanlah bertahun menempuh susah senang bersama masih belum mengenal hati budi? Kedua, satu2 bahagian jawatankuasa memerlukan pengganti. Ianya penting untuk memastikan kesinambungan kemahiran pada masa akan datang. Ini adalah kerana ahli2 KRS yang terdiri daripada pelajar pasti akan meninggalkan sekolah suatu hari nanti. Oleh itu, seorang ahli KRS yang mempunyai potensi menguasai kemahiran satu2 bahagian jawatankuasa perlulah dilatih. Latihan hanya boleh dilakukan dengan memberikan peranan tersebut kepadanya.
.
Terdapat beberapa AJK penting di dalam merancang dan melaksanakan sesuatu program. Pertama, AJK Disiplin. Disiplin peserta program amatlah penting untuk dijaga untuk mengelakkan daripada perkara2 yang tidak diingini berlaku. Misalnya kecederaan, gangguan fizikal, masa terbuang atau berlengah, tersampuk makhluk halus dan bermacam lagi masalah. AJK Disiplin perlulah dilantik dari kalangan ahli2 KRS yang tegas dan mempunyai disiplin diri yang tinggi. Oleh kerana itu, AJK Disiplin bukanlah boleh dilantik secara semborono. Adakalanya AJK disiplin juga merupakan Penghulu / Penghuluwati sesuatu program. Ianya bergantung kepada bagaimana program tersebut dirancang.
.
Bersama-sama dengan AJK Disiplin adalah AJK Keselamatan. Mereka perlulah 'synchronize' dan saling bekerjasama dalam melaksanakan peranan mereka. AJK Keselamatan perlu sentiasa memastikan semua ahli hadir dalam setiap tentatif. Sekiranya ada yang tidak hadir, peserta tersebut perlulah dipastikan selamat dan diletakkan di satu tempat yang tertentu sekiranya tidak sihat atau memerlukan rawatan. AJK Keselamatan juga perlu memastikan setiap peserta ada pada penghujung setiap tentatif. Ini untuk memastikan tiada peserta yang tertinggal ataupun hilang. Peranan AJK Keselamatan juga untuk memastikan tempat tertentu selamat untuk aktiviti dijalankan. Ini termasuk kawasan tapak perkhemahan dan kawasan2 aktiviti. Segala perkara yang melibatkan keselamatan perlulah dilaporkan kepada Ketua Program atau Guru Penasihat KRS dengan segera.
.
AJK Kebajikan juga tidak kurang pentingnya. Kebiasaannya, AJK Kebajikan dilantik dari kalangan ahli2 KRS yang tahu berkenaan Bantu Mula. Mereka juga perlulah mempunyai kemahiran Interpersonal yang tinggi. Ini penting bagi memastikan kaedah psikologi dapat digunakan ketika menguruskan peserta2 yang bermasalah terutamanya peserta yang cedera, ketakutan atau fobia, kepenatan, kerunsingan dan banyak lagi masalah2 ringan yang melibatkan fizikal ataupun mental. Sebab itu AJK Kebajikan juga perlu menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi masalah2 seperti ini. Semasa zaman Allahyarham Cikgu Thani, AJK Kebajikan biasanya dilantik daripada ahli2 KRS yang berkerohanian tinggi dan mereka diajar beberapa ayat syifa' daripada Al-Quran sebagai persediaan sekiranya menghadapi masalah2 yang melibatkan makhluk2 halus.
.
Selain daripada itu, AJK Dokumentasi juga penting sebagai pencatat sejarah. Setiap aktiviti perlulah direkod sama ada dalam bentuk fotografi ataupun video. Ini penting semasa membuat laporan berkenaan program untuk makluman Pengetua / Guru Besar. Peranan AJK Dokumentasi amat penting dalam memastikan kelestarian program. Tanpa foto ataupun video yang berkenaan, program tersebut hanyalah tinggal bualan mulut sahaja. Semasa zaman Allahyarham Cikgu Thani, setiap foto akan di 'edit' oleh beliau dengan beberapa perkataan ataupun ayat yang berkenaan. Kadang2 ayat2 yang tidak berkenaan pun ada. Foto2 ini akan ditampal pada papan penyataan KRS untuk tatapan umum. Pada mereka yang ada di dalam gambar, tentu saja bermacam perasaan akan timbul. Bangga, imbas kenangan, segan, malu dan bermacam lagi. Yang pastinya kenangan dapat direkodkan dan sentiasa dikenang walau selama manapun masa berlalu.
.
Apa2 program sekalipun, banyak peralatan akan digunakan. Ini bermaksud AJK Peralatan juga penting untuk dilantik. AJK Peralatan akan banyak memainkan peranan dalam memastikan setiap peralatan yang diperlukan dapat disediakan dan dibawa ke tempat program. Peralatan pula perlu didaftarkan di dalam borang inventori untuk memastikan jumlah alat yang dibawa ke tempat program dan yang dibawa pulang ke sekolah. Segala kerosakan dan kehilangan barang perlulah dilaporkan kepada Guru Penasihat KRS dan kertas laporan perlulah disediakan untuk makluman pihak2 yang berkenaan di sekolah.
.
AJK Kebersihan dan Keceriaan juga perlu dilantik. Mereka memainkan peranan dalam memastikan kebersihan dan keceriaan kawasan aktiviti. Dalam perkhemahan, mereka perlu menyediakan tempat pembuangan sampah, memastikan kawasan khemah sentiasa bersih dan mengetuai aktiviti membersihkan kawasan khemah sebelum pulang ke sekolah. Selain daripada itu, AJK Kebersihan dan Keceriaan juga merupakan hakim bagi pertandingan tapak khemah terbersih dan tercantik.
.
Tidak kurang pentingnya juga ialah AJK Kerohanian. Mereka memastikan jadual imam dan bilal solat dibuat sebelum hari program dan memaklumkan kepada yang berkaitan. AJK Kerohanian bekerjasama dengan AJK Disiplin untuk memastikan setiap aktiviti kerohanian dihadiri oleh setiap peserta pada masa yang tepat. AJK Kerohanian memastikan aktiviti2 kerohanian yang akan dilakukan sama ada yang muslim ataupun non-muslim. Adakalanya AJK Kerohanian bekerjasama dengan AJK Kebajikan untuk memastikan kebajikan para peserta program.
.
AJK Makanan adakalanya penting terutama untuk program2 yang melibatkan tempahan makanan. Mereka perlu memastikan waktu makanan yang disediakan oleh pihak pembekal. Adakalanya pihak pembekal tidak menyediakan makanan pada waktu yang tepat. Di sinilah peranan AJK Makanan untuk memaklumkan kepada Ketua Program sama ada makanan sudah tersedia ataupun belum. AJK Makanan juga perlu memastikan prosedur mengambil makanan dan tempat makan diuruskan dengan baik. Selain daripada itu, adab semasa makan juga adalah dibawah pengurusan AJK Makanan. Bacaan doa, duduk sedia, duduk senang dan pelbagai lagi adab semasa di dewan makan perlulah dijaga.
.
Selain daripada semua AJK di atas, jawatankuasa seperti AJK Cenderamata, AJK Protokol, AJK Persembahan & Pentas dan banyak lagi juga adakalanya penting bergantung kepada program yang hendak dijalankan. Yang pentingnya ialah setiap AJK memainkan peranan mereka dengan baik dan sentiasa bekerjasama dalam melaksanakan program. Orang boleh berkata itu dan ini. Mereka sebenarnya tidak tahu kepayahan orang dibelakang tabir yang merancang dan melaksanakan program. Ketika di tingkatan 1 & 2, kita hanya sebagai peserta. Namun apabila sudah menjadi senior di tingkatan 4 & 5, barulah tahu betapa susahnya hendak mengendalikan satu2 program. Jangan risau, semua orang pasti akan merasa. Aku juga pernah merasa. Nanti kau juga akan merasa. Sekian.

1 ulasan:

  1. "synchroize" oke..bkn "sentraliliazae".. ;DD
    oke..pade saye kite kene ubah sistem organisasi program yg sedia ada kt KRS Raja Abdullah 2..sebabnye,sistem 2 xterlalu efektif..terlalu byk ajk akan mnyebabkn tlalu byk suara..n tak semua suara tu bg idea yg boleh diguna pakai..ade pulak yg pandai nk slhkn org je..
    bile da jadi cmtu,sblm mule prog da ade rase xsng hati antara pegawai2..
    so,ape yg penting pada saye,kene didik ahli2 KRS 2 supaya bersikap profesional..
    buangkan sikap suke cerita belakang yg mmg sebati dgn masyarakat kite skrng..
    segala teguran n perbincangan kene buat kat dalam meeting dan dalam keadaan formal..

    BalasPadam