Isnin, 7 Disember 2009

Merancang Tentatif


Setiap program sangat bergantung kepada tentatifnya dalam menentukan keberkesanan pengisian dan kesesuaiannya dengan tajuk program. Sungguh tidak sesuai sekiranya program Qiamullail Rasmi dimasukkan dengan aktiviti2 lasak seperti River Crossing, Rempuh Halangan dan banyak lagi. Tentu sekali pengisian untuk setiap tajuk program adalah berbeza dan juga berperingkat. Namun, bagaimanakah seseorang ahli KRS itu dapat merancang tentatif yang sesuai dan tepat?

Secara umumnya tentatif program terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Pengisian, Tentatif Wajib, Pengurusan Diri dan Tentatif Alternatif. Pengisian merujuk kepada aktiviti2 utama yang sesuai untuk mencapai objektif sesuatu program. Misalnya dalam program perkhemahan, aktiviti2 seperti tali-temali, bantu mula, ikhtiar hidup dan banyak lagi biasanya merupakan pengisian untuk program sebegini. Tentatif Wajib pula merupakan aktiviti2 yang wajib dirancang dan dilaksanakan seperti solat, makan dan sebagainya. Pengurusan diri melibatkan perihal menguruskan diri sendiri seperti mandi, gosok gigi, memakai pakaian yang sesuai dan sebagainya. Manakala Tentatif Alternatif pula ialah 'Plan B' sekiranya berlaku sesuatu perkara yang menghalang aktiviti utama daripada berlangsung.

Sebelum satu2 tentatif rasmi diletakkan di dalam kertas kerja, ada eloknya sekiranya ianya dirancang di atas jadual terlebih dahulu (seperti di dalam gambar). Dengan cara ini, kesesuaian aktiviti dan jumlah masa yang diperlukan dapat dirancang dengan bijak. Misalnya, aktiviti tali temali sangatlah tidak sesuai untuk dilakukan pada waktu malam. Walaupun ianya boleh dilakukan tetapi ianya tidak sesuai kerana para peserta berkemungkinan tidak nampak cara fasilitator mengikat talinya. Maka, slot tali temali perlulah diletakkan di sebelah siang. Berkenaan jumlah masa yang diperlukan juga perlu diambil kira. Sekiranya aktiviti tali temali hanya boleh dilakukan dalam masa 2 jam, tidak sesuailah ianya diletakkan di dalam slot 1 jam. Begitu juga dengan aktiviti2 yang lain. Setiap aktiviti perlulah disesuaikan dengan masa yang tertentu.

Di dalam jadual tentatif seperti di atas, 'Tentatif Wajib' perlu diisi terlebih dahulu. Ini adalah untuk memastikan tiada aktiviti tentatif wajib yang terlepas pandang. Masanya juga perlu ditentukan. Misalnya untuk solat Maghrib dan Isyak, masa yang terluang di antaranya boleh digunakan untuk makan malam atau tazkirah bergantung kepada program yang dijalankan. Kebiasaannya masa untuk pengurusan diri diberikan pada sebelah pagi (sebelum subuh), tengah hari dan sebelum masuk waktu maghrib. Di sebelah malam pula (11 malam ke atas) boleh juga diberikan masa pengurusan diri tetapi ianya bergantung kepada pihak pengurusan program. Biasanya aku membuat beberapa pengisian ringkas yang dinamakan Roll-Call sebelum membenarkan para peserta masuk tidur. Kadangkala aku buat aktiviti sehingga pukul 3 pagi. Biasalah, ahli2 KRS semua lasak2 belaka. Kalau setakat duduk berseorangan di sesuatu tempat di dalam hutan tidaklah seseram mana, betul tidak?

Ada beberapa tips untuk merancang tentatif program. Pertama, masa untuk satu2 slot biarlah dilebihkan sedikit. Ini dapat mengelakkan kekangan masa yang diberikan kepada fasilitator yang bertugas. Kedua, jangan terlalu 'ambitious'. Maknanya terlalu banyak aktiviti yang dirancangkan untuk sesuatu program dalam masa yang terlalu singkat. Biarlah pengisian itu sedikit tetapi berkesan daripada banyak aktiviti tetapi para peserta tidak mendapat apa2 kerana terlalu banyak 'input'. Ketiga, adakan beberapa siri 'brainstorming' sebelum menyiapkan kertas kerja. Ini adalah untuk memperincikan lagi tentatif agar tiada yang terlepas pandang atau terlalu 'ambitious'. Keempat, pastikan fasilitator / pegawai yang bertugas tidak dibebankan dengan tanggungjawab aktiviti yang terlalu banyak. Sesuaikan jumlah aktiviti dengan fasilitator / pegawai yang bertugas dan kalau boleh biarlah mereka bergilir-gilir mengepalai slot aktiviti. Kelima, rancang Tentatif Alternatif. Ini dapat memastikan tiada slot aktiviti yang kosong dek kerana terpaksa dibatalkan disebabkan hujan, air sungai deras, ribut dan sebagainya. Dan yang terakhir, tawakal kepada Allah. Kita sebagai manusia hanya merancang sedangkan Dia yang menentukan.

Banyaknya perkara perlu dipastikan semasa merancang. Sebagai guru, itulah tanggungjawabnya. Sebagai pelajar, di sinilah tempat untuk menimba seberapa banyak ilmu. Ingat! Di luar sana mereka menganggap yang sekolah telah mengajar semuanya. Oleh kerana itu, janganlah mensia-siakan waktu yang ada di sekolah dengan perkara2 yang tidak berfaedah. Lihat di luar sana, ada bezakah pelajar2 yang belajar dengan pelajar2 yang tidak belajar? Tentu saja jawapannya ada! Sama ada daripada segi intelek, rohani, emosi ataupun jasmani, pastinya terdapat perbezaan kepada mereka yang mahu belajar. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan