Rabu, 16 Disember 2009

Taksub Guru


Sekolah, guru dan pelajar (atau murid) merupakan elemen yang tidak mungkin dipisahkan untuk menjadi sebuah organisasi yang berfungsi dengan baik. Sekolah merupakan pusat pengumpulan pendidik dan anak didik untuk installasi & aplikasi ilmu. Tanpa guru, mana mungkin pelajar menjadi seorang manusia yang terdidik dengan baik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek? Tanpa pelajar pula, apa pula guru hendak buat? Alamatnya sekolah bukan lagi tempat menimba ilmu. Ketiga-tiga elemen sangat memerlukan antara satu sama lain. Kepada sesiapa yang mempunyai tanggapan negatif antara ketiga-tiga elemen tersebut, pertimbangkanlah semula. Kesannya mungkin melibatkan negara!

Guru merupakan insan yang diberi tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa. Jika bukan guru, siapa lagi? Dari satu segi, guru sepatutnya menjalankan amanahnya dengan penuh dedikasi. Sekiranya guru tersebut adalah seorang insan yang gagal, maka gagallah institusi pendidikan yang selama ini dibina. Namun, jika guru tersebut merupakan seorang insan yang berjaya maka kesannya akan tersebar kepada semua pelajar anak didiknya. Dari segi yang lain pula, ikhlaskanlah hati untuk menyerahkan anak2 kepada para guru untuk dididik. Apalah salahnya sekiranya guru menegur atau menghukum perbuatan salah anak2 kita? Tegur mereka sebenarnya untuk mendidik bukannya mendera. Namun perkara ini selalu disalahertikan sejak kebelakangan ini. Guru selalu dilabelkan sebagai watak jahat terutama hal2 yang berkaitan dengan disiplin dan rotan. Pada aku, rotan itu banyak kelebihannya dalam mendidik kecuali kalau ianya disalahgunakan. Sedangkan Rasulullah S.A.W. juga menggalakkan umat Islam merotan dalam mendidik anak2. Sudah lupa?

Di SMK Raja Abdullah, ahli2 KRS sangat mendengar kata2, nasihat dan arahan daripada guru penasihat KRS. Mengapa? Sebenarnya, setiap kanak2 dan remaja memerlukan seseorang untuk dijadikan contoh yang boleh mereka ikuti. Contoh ini perlulah selalu nampak di mata dan dekat di hati. Aku berani menyatakan bahawa, guru penasihat KRS yang rapat dengan pelajarnya (ahli2 KRS) pasti akan membentuk peribadi pelajar yang sedikit sebanyak diambil daripada gurunya. Sebab itu, jadilah guru KRS yang mempunyai keperibadian dan kepimpinan yang tinggi. Betul, sebagai manusia kita ada kelemahan tertentu. Namun, buatlah sehabis baik untuk menonjolkan kelebihan yang ada pada kita. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk mendidik. Ingat lagi pepatah, 'Kepimpinan Melalui Teladan'?

Namun, sifat 'sangat mendengar kata' ahli2 KRS di SMK Raja Abdullah selalu disalahertikan dengan perkataan 'taksub' oleh masyarakat di luar keluarga KRS. Ini berlaku sejak zaman Allahyarham Cikgu Thani sehinggalah sekarang, Cikgu Amir. Terus terang aku katakan, sekiranya Allahyarham Cikgu Thani melakukan sesuatu yang salah (yang tidak boleh aku maafkan) maka aku akan keluar daripada KRS dengan serta merta. Namun, ini tidak pernah berlaku kerana Cikgu Thani merupakan 'role model' yang aku cari dan aku sangat menyenangi beliau. Tidak pernah pula beliau mengeluarkan arahan yang boleh menyebabkan aku bersangka buruk kepada beliau. Begitu juga dengan Cikgu Amir. Pelajar2nya juga telah ramai yang berjaya. Aku yakin, sedikit sebanyak sifat2 Cikgu Amir ada dalam diri anak2 didiknya.

Sebenarnya perkataan 'taksub guru' tidak wujud sama sekali dalam KRS. Ia sebenarnya ialah 'ikatan kekeluargaan' yang dibina sejak hari pertama menyertai KRS. Ikatan bapa/ibu dan anak di dalam KRS kadang2 dicemburui oleh sesetengah pihak. Maklumlah, Allahyarham Cikgu Thani (semasa hidup beliau) dan Cikgu Amir sentiasa dikelilingi oleh anak2 (pelajar) yang sangat menghormati dan menyayangi mereka. Bukan kerana taksub tetapi ilmu dan pengalaman bersama mereka yang tidak mungkin akan dilupakan. Di mana-mana kalau pelajar2 mereka berjumpa atau terjumpa, pasti tangan mereka akan dicium. Itulah ikatan kekeluargaan yang tidak akan putus selama-lamanya. Biarpun ianya hanya hubungan seorang guru dan pelajarnya. Ianya sukar untuk diungkapkan dengan kata2. Sebab bicara hati kita adalah bicara sufi. Hanya kita yang memahaminya.

Merekalah sebenar guru. Membakar diri untuk memberi ilmu. Melayan kerenah kita, tidak pernah kenal erti jemu. Perangai kita yang kadang2 macam burung Emu. Cuba untuk terbang tapi buntu. Sudah tahu kepak kecil sebegitu. Badan pula gedabak macam lembu. Namun mereka terus membakar sumbu. Agar terus menerangi hidup dan kelambu. Pelajar2 yang disayangi selalu. Agar sentiasa berubah dan maju. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan