Jumaat, 23 Oktober 2009

Sejarah Malam Kebudayaan - Nasyid


Terdapat banyak perbezaan di antara Malam Kebudayaan KRS dengan 'Campfire' di dalam aktiviti Pengakap. Antaranya ialah dari segi sejarahnya. Seperti di dalam catatan yang lepas, aku telah catatkan berkenaan Road Tour aku, Cikgu Thani & rakan2 KRS membuat persembahan di seluruh Malaysia. Kami selalunya membuat persembahan seperti pentomen, sajak, nasyid dan lain2 lagi bentuk persembahan pentas. Antara tempat yang pernah kami jejaki ialah Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Pendidikan Teknik (Maktab Teknik), Politeknik Port Dickson, Sekolah2 di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pinang dan banyak lagi.

Sebenarnya, Cikgu Thani adalah seorang yang sangat meminati muzik. Namun, muzik yang didengari oleh beliau hanyalah nasyid. Kalau memperkatakan berkenaan nasyid, berkotak-kotak kaset nasyid dimiliki oleh beliau (dulu2 tidak ada mp3 & Audio CD pun sangat terhad). Kebanyakan kaset yang dimiliki oleh beliau adalah dendangan kumpulan2 nasyid klasik seperti Nadamurni (sekarang ni Rabbani & Hijjaz), The Zikr (sekarang ni Raihan) dan lain2 yang diterbitkan oleh OVA Production. Lagu Sunnah Orang Berjuang (Nadamurni) merupakan lagu yang paling digemari oleh beliau sehinggakan ianya menjadi lagu wajib dalam setiap persembahan kami satu ketika dahulu.

Dahulu setiap kali masuk waktu rehat, Cikgu Thani akan meminta aku & rakan2 untuk menyanyikan satu atau dua lagu nasyid sebelum masuk semula ke kelas. Nasyid kami diiringi oleh paluan kompang yang biasanya dimainkan oleh abang Azeri, abang Nizam, Jefridin, Azemi & Azukhir. Penyanyi utamanya? Akulah. Maka, bergemalah Markas KRS dengan nyanyian lagu nasyid. Antara lagu yang kami nyanyikan ialah Sunnah Orang Berjuang, Berkata Benar, Kenangan Bersama Rasulullah, Munajat dan banyak lagi. Ahli2 KRS akan segera habiskan makanan mereka untuk ke Markas KRS. Mereka sama ada datang untuk bernasyid bersama-sama atau menjadi penonton. Kadang2 yang bukan KRS juga datang menyelit untuk melihat kami bernasyid.

Sebelum aku dijadikan penyanyi utama kumpulan persembahan nasyid kami, ada senior2 yang banyak berkongsi pengalaman dan ilmu bersama-sama aku. Antara penyanyi utama sebelum aku ialah abang Faizal (abang kepada Aswad Batch 1998) dan abang Sharol. Pak Chu dan abang Rulan Lembang juga kadang2 menyertai kami sebagai penyanyi utama. Tidak lupa juga, Cikgu Thani juga adakalanya menjadi penyanyi utama di dalam persembahan nasyid kami. Antara masalah yang pernah aku hadapi ialah tidak mempunyai baju melayu lengkap untuk persembahan nasyid. Cikgu Thani pernah meminjamkan kepada aku baju melayu kepunyaannya yang pernah digunakan oleh beliau semasa bernikah dengan isterinya, Kak Haslina. Aku cukup terharu dengan beliau kerana tidak pernah berkira dengan pelajarnya sehinggakan sanggup meminjamkan kepada aku baju kesayangannya.

Kalau bercakap mengenai sejarah nasyid KRS, aku cukup seronok. Ini adalah kerana aku telah melalui banyak pengalaman dengan Cikgu Thani secara khusus di dalam aktiviti ini. Sehinggakan lagu2 yang pernah kami dendangkan bersama-sama masih lagi terngiang dan liriknya masih lagi aku ingat di dalam akal dan hati. Hari ini, Malam Kebudayaan telah menjadi suatu kemestian di dalam setiap perkhemahan KRS. Aku harap semoga ianya akan terus berkekalan dan menjadi satu medan pembentukan sahsiah diri untuk setiap ahli KRS. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan