Jumaat, 9 Oktober 2009

Jambori dan Perkhemahan


Tidak dapat dinafikan bahawa KRS telah melalui banyak penambahbaikan daripada pelbagai segi misalnya kawad kaki, uniform, pengisian, pangkat dan banyak lagi. KRS yang ahlinya dahulu terdiri daripada pelajar2 Persatuan Pelajar Islam SM Raja Abdullah (PERWIRA) yang suka mengembara, kini telahpun berkembang luas dan disatukan tidak mengira bangsa dan agama. Hampir semua sekolah di Malaysia telahpun menubuhkan Unit Beruniform ini dan ada yang telah berjaya dalam pelbagai aktiviti KRS Peringkat Kebangsaan yang telah dianjurkan oleh pengurusan KRS itu sendiri dibawah pemantauan Kementerian Pelajaran Malaysia dan semua Jabatan Pelajaran Negeri.

Setiap kali aku memandang uniform 'hijau' KRS, pasti aku akan mengenangkan Allahyarham Cikgu Thani. Terbang aku sebentar menerawang ke alam memori lama bersama beliau. Betapa beliau seorang guru yang sangat komited dalam mendidik dan membangunkan anak bangsanya. Dan tertubuhnya KRS membuktikan betapa beliau mempunyai ciri2 kepimpinan yang patut dicontohi. Kadang2 aku bertanya sendiri, 'Apakah nama beliau masih dikenali sebagai Pengasas KRS ataupun sudah dilupakan oleh orang2 yang tidak pernah kaji sejarah penubuhan KRS itu sendiri?'.

Cikgu Thani memang sukakan perkhemahan. Jangan katakan tempat2 seperti hutan rekreasi, hutan dara, hutan simpan atau tepi pantai malahan beliau pernah mengadakan Ujian Ikhtiar Hidup di salah sebuah bukit di Segambut Dalam, Kuala Lumpur (sekarang ini bukit itu telah ditebang pokok2nya dan ditarah untuk tujuan pembangunan). Perkhemahan pertama aku dengan Cikgu Thani ialah di Jambori Kadet Putera Islam Malaysia Peringkat Kebangsaan 1992, Templer Park. Semasa itu aku berada di tingkatan 1. Aku yang menjadi ahli Kumpulan Saidina Ali telah diketuai oleh Abang Azeri. Suasana perkhemahan itu sangat berbeza dengan suasana perkhemahan KRS sekarang. Dahulu, perkhemahan bersama ini dipanggil 'Jambori' kerana terikut-ikut istilah pengakap. Malahan, diwaktu itu ahli2 KPIM memakai 'skaf' seperti pengakap dan bukan 'mafla' yang digunakan sekarang. Sebab itu aku kata, banyak penambahbaikan yang telah dilakukan di dalam KRS sekarang.

Antara peristiwa yang tidak boleh aku lupakan semasa Jambori tersebut ialah 'serangan ular'. Kali pertama ular muncul semasa kami sedang berehat untuk menyediakan makan tengahari. Ular tersebut sebenarnya hanyalah 'ular lidi' tetapi yang mengejar dan memukulnya punyalah ramai. Ada lebih kurang 15-20 ahli2 KPIM mengejar dan memukul ular lidi tersebut dengan buluh (kebetulan kawasan tersebut mudah untuk mendapati buluh). Akhirnya, ular lidi tersebut mati dan lunyai dikerjakan oleh mereka. Kesian pun ada, kelakar pun ada. Ular punyalah kecil. Tapi yang memukulnya macam berperang pula. Tidak adil sungguh 1 lawan 20! Apa2pun, kami lega sekejap tanpa gangguan.

Namun, kelegaan itu hanya sebentar saja. Apabila malam menjelma, kawasan perkhemahan Sekolah Maxwell pula dikatakan dilawati oleh ular tedung. Ada seorang kawan aku dari Sekolah Maxwell yang bernama 'Wan' terkejut selepas ular yang agak besar lalu dibawah kanvas khemahnya semasa dia sedang berbaring. Apalagi, seluruh kawasan khemah mengadakan operasi besar2an. Unggun api dihidupkan pada setiap kawasan sehinggakan tapak Jambori terang benderang. Kami yang terdiri daripada 400-500 orang peserta bersama-sama mengadakan operasi 'Seek and Destroy' terhadap ular tersebut. Yang menariknya, ayah aku pun turut sama dalam operasi tersebut. Kebetulan, dia datang melawat aku. Maklumlah, siapa tidak sayang anak. Hihi. Namun, tiada siapa yang jumpa ular tedung itu. Kami membuat operasi sehingga pukul 2 pagi. Ada yang tidak tidur sampai subuh.

Aku pasti, setiap perkhemahan yang dilalui oleh ahli2 KRS ada cerita ceritinya. Di samping pengalaman yang ditimba, perkhemahan ini secara tidak langsung meningkatkan tahap motivasi intrinsik seseorang pelajar dan juga ikatan perpaduan di antara satu sama lain. Masing2 bertukar-tukar 'contact' dan buat beberapa ketika selepas perkhemahan, masing2 saling berhubung. Namun, biarlah ianya lahir daripada jiwa yang suci bukan daripada nafsu yang mengarah kepada perkara yang tidak baik. Jambori dan Perkhemahan, sama tetapi tidak serupa. Semua ada kelemahan, tidak ada yang sempurna. Mulanya daripada beliau, Cikgu Thani yang berjasa. Legasimu dikenang, tidak akan kami lupa. Sekian.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum sahabat...
    Why don't you tell us about abseiling and repelling?
    Hahahaha...
    Just jocking..

    BalasPadam