Jumaat, 16 Oktober 2009

Usahawan Remaja


Dewasa ini kita kerap dihantui oleh kepayahan untuk mendapatkan pekerjaan terutama pada lepasan2 diploma dan ijazah. Ini menyebabkan mereka menganggur dan menghabiskan masa di rumah dek kerana tiada pekerjaan. Yang lebih malang, ada yang tidak langsung dapat jemputan temuduga. Aku mengerti perasaan golongan2 ini kerana aku juga pernah merasakan situasi tersebut. Ingatkan lepas keluar Universiti bolehlah bekerja bagus2 untuk membantu keluarga, rupa2nya terpaksa juga beberapa bulan menanam anggur dirumah (menganggur). Nasib baik aku jenis tidak kisah. Apa2 saja kerja aku sanggup lakukan asalkan yang halal.

Sebenarnya ada jalan keluar kepada kekurangan pekerjaan di Malaysia. Itupun pada sesiapa yang berminat dan sanggup menempuhi segala pahit maungnya. Namun pulangannya amat berbaloi. Jalan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah melalui perniagaan. Nabi Muhammad S.A.W. juga merupakan seorang peniaga. Sesungguhnya terdapat 9 daripada 10 pintu rezeki melalui perniagaan. Ini terbukti kerana orang2 yang mampu memiliki rumah besar, kereta mewah dan harta yang banyak terdiri daripada golongan peniaga atau usahawan. Aku juga pernah beberapa kali cuba berniaga. Daripada 'Direct Selling' sampailah ke usahawan karipap frozen. Sekarang ini aku slow sikit kerana mengikuti jalan keguruan. Pada aku, amanah yang diberi untuk menjadi seorang guru wajib aku penuhi. Aku belum lagi terfikir untuk meneruskan perniagaan aku.

Sedar atau tidak, dalam silibus KRS itu sendiri terdapat satu bahagian melibatkan Keusahawanan. Sebenarnya, di sebalik pengisian Keusahawanan KRS hari ini ada sejarahnya. Satu masa dahulu semasa aku berada di tingkatan 2, Cikgu Thani menjual kuih raya di SMK Raja Abdullah pada bulan Ramadhan. Untung jualan tersebut beliau masukkan ke dalam tabung KRS. Sejak itu timbul idea untuk beliau libatkan ahli2 KRS untuk menjalankan aktiviti keusahawanan. Malahan sebelum daripada itu lagi, ahli2 KRS bergilir-gilir bertugas di Koperasi SMK Raja Abdullah untuk belajar selok belok perniagaan, akaun kira-kira, untung & rugi dan pelbagai lagi pengalaman keusahawanan. Beliau sebenarnya ingin menyediakan ahli2 KRS secara kognitif ke arah keusahawanan. Sebab itu, abang2 senior aku sudahpun ada yang telah mencecah status jutawan. Aku tidak mahu sebut nama mereka sebab nanti ada pula yang tidak segan silu datang ke rumah mereka untuk meminta-minta.

Keusahawanan dalam KRS sebenarnya boleh menyelesaikan masalah pengangguran di Malaysia secara beransur-ansur sekiranya ianya dilakukan secara menyeluruh. Ini bermaksud semua guru KRS di serata Malaysia hendaklah menjalankan aktiviti keusahawanan sebagai satu persediaan buat ahli2 KRS untuk menghadapi hari dewasa. Bagaimanakah caranya? Soalan ini boleh dijawab oleh guru2 yang berpengalaman. Ataupun mungkin guru2 tersebut boleh bertanyakan pada usahawan2 yang tinggal berhampiran dengan kawasan mereka untuk mendapatkan idea dan nasihat. Jangan pula mengeluh! Bukankah semasa perjanjian guru, kita berikrar untuk menjadi guru yang sentiasa relevan dan berusaha untuk memperbaiki diri sendiri demi mendidik anak bangsa supaya menjadi warganegara yang berjaya, berketrampilan dan berkhimat untuk masyarakat?

Melalui KRS, pelajar2 boleh dibimbing untuk menjadi insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Rujuk Blog aku http://www.faithtoheaven.blogspot.com/). Apakah kita masih lagi ingin bermimpi di siang hari dengan menunggu pekerjaan menjemput kita tanpa ada usaha ke arah itu? Alamatnya, 'ibarat menunggu bulan jatuh ke riba'. Aku seru pada ahli2 KRS diluar sana. Pada bekas2 ahli KRS. Pada guru2 KRS dan pemimpin2 KRS. Mari kita langkah setapak lagi kerana anak tangganya telahpun kelihatan. Hanya menunggu untuk dipijak dan seterusnya melonjakkan kita ke tingkat yang seterusnya. Gerakkan ahli2 KRS dengan keusahawanan. Aku pasti usaha kita akan membuahkan hasil, Insyaallah. Kalau bukan keuntungan berbentuk wang, sekurang-kurangnya keuntungan berbentuk ilmu kita mampu berikan pada mereka. Semoga mereka menjadi insan yang berjaya. Sekian.

1 ulasan:

  1. تسعة أعشار الرزق في التجارة

    9 per 10 daripada rezeki adalah pada perniagaan.


    Hadith lemah riwayat Abu 'Ubaid dlm al Ghareeb.

    (Syabas Fadzli, Usaha dalam perniagaan mmg baik selain minta SUMBANGAN semata-mata dlm pelbagai program yg hendak dilakukan!)

    BalasPadam