Isnin, 21 Disember 2009

Serangan Pacat


Mengharungi belantara dan sungai merupakan antara perkara yang menarik yang terdapat di dalam KRS. Kadang2 bukan jauh sangat tempatnya dari sekolah. Namun dek kerana ketagih hendak menghirup udara hutan dan merindui suasananya, hutan yang dekat pun sanggup diredah. Hutan semulajadi ataupun hutan buatan pun boleh. Tahu tidak apa hutan semulajadi dan apa hutan buatan? Kalau tidak tahu, malulah jadi ahli KRS!

Banyak perkara berkenaan hutan yang boleh diceritakan. Salah satunya ialah pacat. Pacat ialah sejenis fauna parasit yang menghisap darah binatang untuk hidup. Yang menarik tentang pacat ialah ia tidak memilih binatang apa asalkan darah boleh disedut untuk meneruskan kehidupan. Ini termasuk manusia! :)

Walaupun pacat kurang memilih mangsanya namun kajian telah menunjukkan bahawa pacat tidak menghisap darah pesakit AIDS. Pelik bukan? Tapi itu adalah ketentuan Allah. Mungkin pacat boleh mengesan jenis darah mangsanya agaknya? Kebiasaannya pacat akan menghisap darah kotor yang terdapat di dalam badan kita. Jadi, apa yang hendak dikirakan sangat? Biarlah pacat hisap darah kotor kita sampai habis. Badan sihat otak pun cerdas. :)

Kalau terkena gigitan pacat, darah yang mengalir daripada kesan luka sukar untuk diberhentikan. Ini adalah kerana pacat melubangkan pembuluh darah kita. Tidak cara lain selain daripada kesan luka perlu dibebat untuk memberhentikan darah yang mengalir. Ada yang kata bakar kesan luka guna api. Sanggup ke?

Sekiranya pacat masih melekat pada badan kita, jangan dicabut guna tangan. Kalau dicabut, gigi pacat akan tertanggal dan tertinggal di dalam badan kita selama lebih kurang setahun. Kesannya? Tempat luka akan sentiasa gatal. Kalau digaru kuat sangat, tempat luka akan berdarah semula. Seeloknya, pacat yang masih dibadan dibiarkan saja sehingga ia habis menghisap darah. Alah, darah kotor saja! Kalau takut sangat, taburkan garam pada pacat tersebut. Berbuih-buihlah pacat itu mati.

Cerita pasal pacat ini aku teringat kisah aku, Deris (batch 1997) dan rakan2 mendaki bukit Salem di FRIM. Deris ini kecil saja orangnya. Semasa kami mendaki bukit tersebut, kami kehabisan air. Maka, masing2 kering tekak dan termengah-mengah. Sehinggalah kami sampai ke suatu punca air (mata air). Sampai sekarang aku pelik kenapa ada mata air di situ sedangkan FRIM ialah hutan buatan. Kami pun melepaskan dahaga dan menadah air tersebut ke dalam botol air masing2. Deris yang kepanasan membuka bajunya. Terkejut kami dek kerana banyaknya kesan darah pada badan Deris di depan dan di belakang seperti terkena 'burst' senapang auto. Rupa2nya itu ialah gigitan pacat. Dan yang menariknya, pacat2nya masih ada! Sebenarnya video kejadian tersebut diambil oleh Sufril (Batch aku, 1996) tetapi mana hilangnya video tersebut, aku pun tidak tahu.

Aku rasa tentu 'korang' pun ada cerita menarik berkenaan pacat ini. Aku jarang kena pacat. Mungkin sebab aku amalkan petua 'ikat getah' yang diajarkan oleh Allahyarham Cikgu Thani kepada aku. Biasanya pacat tersebut terpaksa naik sehingga ke baju untuk ke kulit aku. Dan biasanya aku perasan. Dan jarang2 sangat aku kena gigitan pacat ini. Jadi, macam mana? Takut pacat atau suka pacat? Sekian.

Ahad, 20 Disember 2009

Markas KRS Yang Pertama


Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah (dahulunya SM Raja Abdullah) merupakan sekolah pengasas KRS di Malaysia. Dengan kata lain, SMK Raja Abdullah adalah sekolah pertama menubuhkan KRS di Malaysia. Perasmian KRS peringkat kebangsaan yang telah dilancarkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (semasa menjadi Menteri Pelajaran) pada 20 Jun 1995 juga telah diadakan di SMK Raja Abdullah. Pengasas KRS tidak lain dan tidak bukan ialah Allahyarham Muhammad Thani Shaaban Al-Farisi (Cikgu Thani). Pendek kata, segala2 yang berkaitan dengan KRS, bermula di sini...

Di SMK Raja Abdullah, markas KRS tidak pernah berubah sehingga sekarang. Tidak pula aku tahu kalau2 suatu hari nanti ianya akan dipindahkan walaupun ada ura2 markas KRS tersebut ingin dijadikan bilik guru sains. Namun sejauh mana kebenarannya tidaklah diketahui. Cikgu Amir yang kini masih di SMK Raja Abdullah berhempas-pulas mempertahankan markas KRS agar ianya tidak dipindahkan. Ini adalah kerana, jatuh bangun KRS semasa zaman sebelum perasmian sehinggalah sekarang terkenang di situ. Setiap batch KRS daripada PERWIRA, KPIM, KRIS, dan KRS ada mempunyai kenangan tersendiri di situ. Malahan, ada beberapa alatan dan tanda lama (semasa zaman Allahyarham Cikgu Thani) masih terdapat di Markas KRS SMK Raja Abdullah. Kalau bangunan Sultan Abdul Samad masih boleh dikekalkan sebagai tinggalan sejarah, mengapa tidak Markas KRS pertama ini?

Sebenarnya, markas KRS ini asalnya ialah bilik sains pertanian. Dahulu, Cikgu Thani merupakan guru Kemahiran Hidup yang mengajar elektif Sains Pertanian. Segala alatan yang berkaitan dengan pertanian tersimpan di sini. Cuma, beberapa bulan sebelum Perasmian Peringkat Kebangsaan dilancarkan di SMK Raja Abdullah, alatan ini dipindahkan. Markas KRS ini menjadi perhatian ramai terutama para guru SMK Raja Abdullah. Ianya kerana markas ini terletak berhadapan dengan pejabat sekolah. Segala urusan pastinya mudah sekiranya bilik ini digunakan. Sebab itu, Cikgu Amir memainkan peranan yang sangat besar dalam mempertahankan markas KRS ini. Semasa zaman Mr. Ooh Peak Kim (pengetua sehingga 1997), markas ini sangat disayangi olehnya. Ini adalah kerana nama beliau tercatat sama dalam sejarah perasmian KRS. Gambar beliau pun ada bersama-sama mengiringi Datuk Najib semasa perasmian.

Kini, markas KRS ini dipenuhi oleh alatan2 KRS seperti khemah, tali carmental, sleeping bag, boot KRS (stor negeri), first aid, alatan memanah, gambar2 kenangan (dan album), pingat2 pencapaian dan macam2 lagi. Markas ini berfungsi sepenuhnya sebagai tempat latihan (in door), bilik mesyuarat dan bilik simpanan alatan2 KRS. Terima kasih kepada Cikgu Amir yang telah banyak berkorban wang dan masa untuk merealisasikan Markas KRS yang serba lengkap ini.

Markas KRS SMK Raja Abdullah. Tempat kami lepaskan lelah. Juga tempat kami berbalah. Malah menangis ketika kalah. Kadang2 merawat orang yang parah. Tidak kurang juga ada yang patah. Banyaknya kenangan penuh sejarah. Kalau hendak dicerita, tidak akan sudah. Ada yang gembira, sedih dan menyampah. Bertahun-tahun tinggalkan sekolah. Setahun sekali kalau tidak melawat rasa macam tidak sah. Datanglah melawat hilangkan rasa bersalah. Semoga Markas KRS SMK Raja Abdullah kekal gah. Biar ribut melanda, biar lecah menjadi bah. Sekian.

Khamis, 17 Disember 2009

KRS - Dulu & Sekarang


Sejarah penubuhan KRS bermula sejak akhir 80-an lagi. KRS telah menyediakan kepelbagaian pilihan unit2 beruniform di sekolah. KRS mempunyai variasinya yang tersendiri berbanding unit2 beruniform yang lain. Malahan KRS merupakan satu2nya unit beruniform yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. KRS telah melalui pelbagai cabaran dan penambahbaikan sejak zaman penubuhannya hinggalah sekarang. Sebagai seorang ahli KRS, kita sepatutnya bangga dengan pencapaian yang telah direalisasikan oleh pemimpin2 KRS yang menunjukkan peningkatan dari pelbagai segi dan bidang daripada peringkat sekolah sehinggalah peringkat kebangsaan. Malahan ada ahli KRS yang sudahpun mewakili Malaysia dalam acara2 yang melibatkan unit2 beruniform.

Aku sering tersentuh apabila terlihat pelajar2 yang mengenakan uniform KRS. Dalam hati aku, 'inilah pengorbanan yang Cikgu Thani lakukan'. Mungkin ramai yang tidak mengenali siapa Cikgu Thani tetapi sekurang-kurangnya aku tahu yang pahala 'ilmu bermanfaat' itu akan selalu dikirimkan kepada beliau di 'sana'. Cuma, ketidaktahuan berkenaan beliau itu yang membuatkan aku tersinggung. Sebab itu aku adakan blog ini. Dan Insyaallah satu hari nanti aku akan buatkan satu buku berkenaan beliau. Doa2kanlah ye.

Kadang2 aku terkejut juga apabila ada 'mat bangla' dan 'mat indon' yang mengenakan T-Shirt KRS untuk melakukan kerja2 berat. Kalau tidak percaya, cuba perhatikan tapak2 pembinaan berdekatan dengan tempat 'korang'. Agaknya T-Shirt KRS ini selesa dipakai kerana peluh mudah diserap serta berlengan panjang. Maklumlah, mereka ini bekerja di bawah terik matahari. Pernah sekali aku terlihat 'mat indon' menguruskan ternakan rusa disiarkan di TV3 mengenakan T-Shirt KRS. Kadang2 aku 'confuse'. Hendak bangga atau merasa terhina? Terpulanglah kepada diri masing2.

Dahulu, hanya beberapa buah sekolah (boleh kira pakai jari) yang memasukkan KRS sebagai salah satu unit beruniform di sekolah mereka. Walaupun dahulunya nama KRS ialah Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM), namun pengisiannya masih lagi sama. Cuma ada beberapa penambahbaikan yang dilakukan untuk menyesuaikan silibus KRS dengan keadaan semasa. Maklumlah, dulu KPIM hanya boleh disertai oleh pelajar2 lelaki Islam saja. Kini, pelajar2 perempuan dan pelajar2 yang bukan Islam juga boleh menyertai unit beruniform ini.

Kini, KRS telah berada hampir seluruh sekolah di Malaysia. Maklumlah, KRS ini boleh dikatakan 'anak emas' Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebab itu pertandingan kawad kaki unit2 beruniform mempunyai 3 kategori; KRS, Badan Kerajaan dan NGO. KRS mempunyai kategorinya yang tersendiri. Kategori ini khas untuk ahli KRS menunjukkan bakat kawad dan kepimpinan (ketua platun) mereka. Bila direnungkan kembali, betapa payahnya perjuangan Allahyarham Cikgu Thani untuk KRS berada ditahap ini. Dan betapa bangganya aku, KRS kini berdiri sama tinggi dengan unit2 beruniform yang lain.

Yang pastinya, KRS kini berperanan di pentas kebangsaan. Mungkin sayap KRS tidaklah selebar pengakap atau St John yang bertaraf dunia. Tetapi di Malaysia, KRS merupakan unit beruniform kegemaran pelajar2 di sekolah. Aku mengharapkan agar KRS akan terus berkembang maju dan berkesinambungan. Semoga pemimpin2 KRS dapat meningkatkan lagi pencapaian KRS dari tahun ke tahun. 'Cikgu Thani, kalaulah cikgu ada untuk menyaksikan perkembangan KRS sekarang..'. Wassalam.

Rabu, 16 Disember 2009

Taksub Guru


Sekolah, guru dan pelajar (atau murid) merupakan elemen yang tidak mungkin dipisahkan untuk menjadi sebuah organisasi yang berfungsi dengan baik. Sekolah merupakan pusat pengumpulan pendidik dan anak didik untuk installasi & aplikasi ilmu. Tanpa guru, mana mungkin pelajar menjadi seorang manusia yang terdidik dengan baik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek? Tanpa pelajar pula, apa pula guru hendak buat? Alamatnya sekolah bukan lagi tempat menimba ilmu. Ketiga-tiga elemen sangat memerlukan antara satu sama lain. Kepada sesiapa yang mempunyai tanggapan negatif antara ketiga-tiga elemen tersebut, pertimbangkanlah semula. Kesannya mungkin melibatkan negara!

Guru merupakan insan yang diberi tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa. Jika bukan guru, siapa lagi? Dari satu segi, guru sepatutnya menjalankan amanahnya dengan penuh dedikasi. Sekiranya guru tersebut adalah seorang insan yang gagal, maka gagallah institusi pendidikan yang selama ini dibina. Namun, jika guru tersebut merupakan seorang insan yang berjaya maka kesannya akan tersebar kepada semua pelajar anak didiknya. Dari segi yang lain pula, ikhlaskanlah hati untuk menyerahkan anak2 kepada para guru untuk dididik. Apalah salahnya sekiranya guru menegur atau menghukum perbuatan salah anak2 kita? Tegur mereka sebenarnya untuk mendidik bukannya mendera. Namun perkara ini selalu disalahertikan sejak kebelakangan ini. Guru selalu dilabelkan sebagai watak jahat terutama hal2 yang berkaitan dengan disiplin dan rotan. Pada aku, rotan itu banyak kelebihannya dalam mendidik kecuali kalau ianya disalahgunakan. Sedangkan Rasulullah S.A.W. juga menggalakkan umat Islam merotan dalam mendidik anak2. Sudah lupa?

Di SMK Raja Abdullah, ahli2 KRS sangat mendengar kata2, nasihat dan arahan daripada guru penasihat KRS. Mengapa? Sebenarnya, setiap kanak2 dan remaja memerlukan seseorang untuk dijadikan contoh yang boleh mereka ikuti. Contoh ini perlulah selalu nampak di mata dan dekat di hati. Aku berani menyatakan bahawa, guru penasihat KRS yang rapat dengan pelajarnya (ahli2 KRS) pasti akan membentuk peribadi pelajar yang sedikit sebanyak diambil daripada gurunya. Sebab itu, jadilah guru KRS yang mempunyai keperibadian dan kepimpinan yang tinggi. Betul, sebagai manusia kita ada kelemahan tertentu. Namun, buatlah sehabis baik untuk menonjolkan kelebihan yang ada pada kita. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk mendidik. Ingat lagi pepatah, 'Kepimpinan Melalui Teladan'?

Namun, sifat 'sangat mendengar kata' ahli2 KRS di SMK Raja Abdullah selalu disalahertikan dengan perkataan 'taksub' oleh masyarakat di luar keluarga KRS. Ini berlaku sejak zaman Allahyarham Cikgu Thani sehinggalah sekarang, Cikgu Amir. Terus terang aku katakan, sekiranya Allahyarham Cikgu Thani melakukan sesuatu yang salah (yang tidak boleh aku maafkan) maka aku akan keluar daripada KRS dengan serta merta. Namun, ini tidak pernah berlaku kerana Cikgu Thani merupakan 'role model' yang aku cari dan aku sangat menyenangi beliau. Tidak pernah pula beliau mengeluarkan arahan yang boleh menyebabkan aku bersangka buruk kepada beliau. Begitu juga dengan Cikgu Amir. Pelajar2nya juga telah ramai yang berjaya. Aku yakin, sedikit sebanyak sifat2 Cikgu Amir ada dalam diri anak2 didiknya.

Sebenarnya perkataan 'taksub guru' tidak wujud sama sekali dalam KRS. Ia sebenarnya ialah 'ikatan kekeluargaan' yang dibina sejak hari pertama menyertai KRS. Ikatan bapa/ibu dan anak di dalam KRS kadang2 dicemburui oleh sesetengah pihak. Maklumlah, Allahyarham Cikgu Thani (semasa hidup beliau) dan Cikgu Amir sentiasa dikelilingi oleh anak2 (pelajar) yang sangat menghormati dan menyayangi mereka. Bukan kerana taksub tetapi ilmu dan pengalaman bersama mereka yang tidak mungkin akan dilupakan. Di mana-mana kalau pelajar2 mereka berjumpa atau terjumpa, pasti tangan mereka akan dicium. Itulah ikatan kekeluargaan yang tidak akan putus selama-lamanya. Biarpun ianya hanya hubungan seorang guru dan pelajarnya. Ianya sukar untuk diungkapkan dengan kata2. Sebab bicara hati kita adalah bicara sufi. Hanya kita yang memahaminya.

Merekalah sebenar guru. Membakar diri untuk memberi ilmu. Melayan kerenah kita, tidak pernah kenal erti jemu. Perangai kita yang kadang2 macam burung Emu. Cuba untuk terbang tapi buntu. Sudah tahu kepak kecil sebegitu. Badan pula gedabak macam lembu. Namun mereka terus membakar sumbu. Agar terus menerangi hidup dan kelambu. Pelajar2 yang disayangi selalu. Agar sentiasa berubah dan maju. Wassalam.

Selasa, 15 Disember 2009

Mana Tempat Sesuai?


Sekolah merupakan tempat untuk kebanyakan aktiviti Kurikulum dan Ko-kurikulum. Dalam konteks KRS, sekolah merupakan tempat aktiviti2 seperti latihan mingguan, program2 kerohanian, orientasi ahli baru KRS dan banyak lagi. Namun, kalau semua aktiviti hanya dijalankan di sekolah tentu sekali bosan dan tidak ada pengalaman di situasi sebenar. Oleh itu, pemilihan tempat aktiviti perlu dilakukan agar setiap program sentiasa 'segar' walaupun diulangi tahun demi tahun. Semuanya bergantung kepada kesesuaian program, tempat dan perbelanjaan satu2 program.

Kebiasaannya, program2 KRS yang melibatkan penggunaan tempat diluar sekolah adalah perkhemahan. Aktiviti2nya hampir sama. Pasang khemah, memasak, tali-temali, bantu mula, orienteering dan lain2 aktiviti 'rutin' KRS. Tentu ianya menjadi bosan sekiranya tempat yang sama menjadi tapak perkhemahan tahun demi tahun. Perubahan perlu dilakukan. Maka, tempat baru dan sesuai perlu dicari. Bagaimana?

Pertama, cara paling mudah dan tidak memerlukan masa yang banyak ialah melalui internet. Maklumlah, sekarang ini zaman globalisasi. 'Segala maklumat hanyalah dijari anda'. Maknanya, terlalu mudah untuk mencari tempat2 percutian dan rekreasi dengan menggunakan teknologi internet. Cara ini mungkin sesuai untuk tempat2 yang terlalu jauh melebihi 100km dari sekolah. Namun ada beberapa kelemahan sekiranya cara ini digunakan. Antaranya ialah bayaran yang dikenakan mungkin ada keuntungan pihak agensi tertentu yang sepatutnya boleh dijimatkan. Selain daripada itu, tempat hanya boleh digambarkan melalui beberapa foto yang di'upload'kan di dalam web. Maknanya, kesesuaian tempat tidak dapat dipastikan.

Cara kedua ialah melakukan penjelajahan atau 'rikki' tempat. Ini sesuai dilakukan untuk kawasan2 dalam lingkungan 100km dari sekolah. Maklumlah, guru2 perlu menggunakan perbelanjaan sendiri untuk melakukannya. Ini termasuk minyak, makan dan tol. Sebaiknya, rikki tempat dilakukan dengan menggunakan jalan lama bukan lebuh raya. Dengan cara ini, tempat2 yang bagus tetapi tidak popular dapat dikesan dengan baik. Namun, arah tuju penjelajahan perlu jelas. Ini bermakna, biarlah ada serba sedikit pengetahuan tentang wujudnya kawasan2 rekreasi di situ. Kalau main redah saja tentu membazir wang dan tenaga. Badan penat, poket pun bocor. Buang masa saja.

Tempat2 yang ingin dicadangkan untuk program perkhemahan perlulah bersesuaian dengan 'budget' yang ada. Mungkin ada tempat yang cantik, sesuai dan berkelengkapan tetapi bayarannya terlalu mahal sehingga 'over budget'. Namun jangan pula dek kerana kekangan kewangan, tempat2 yang 'cikai' dijadikan pilihan. Semua ini perlu dipertimbangkan. Di suatu sudut, letakkan objektif program, tentatif, dan 'budget'. Di suatu sudut yang lain pula, letakkan kelebihan tempat, bayaran yang dikenakan dan kesesuaiannya. Bermesyuaratlah sesama guru dan ahli2 KRS. Aku yakin, pasti akan ada tempat yang terbaik untuk dipilih.

Setakat ini, SMK Raja Abdullah pernah (dan selalu) melakukan aktiviti perkhemahannya di Hutan Lipur Lentang, Ulu Yam, Pengkalan Balak dan beberapa tempat di sekitar Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak. Semasa zaman Allahyarham Cikgu Thani, puas kami jelajah seluruh semenanjung. Mungkin kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas tentang tempat2 menarik di semenanjung dan pandai mencari ruang & peluang untuk membawa anak2 buahnya ke serata semenanjung Malaysia. Sekian.

Jumaat, 11 Disember 2009

Merancang Perbelanjaan


Termasuk dalam proses perancangan ialah merancang perbelanjaan. Setiap program pasti memerlukan perbelanjaan yang tertentu. Sama sedikit atau banyak perbelanjaan tersebut, ianya sangat bergantung kepada aktiviti (tentatif) yang dirancang. Semakin 'gempak' aktiviti maka semakin besarlah perbelanjaannya. Namun, kadang2 menggunakan 'improvisasi' boleh mengurangkan budget untuk aktiviti2 tertentu.

Merancang perbelanjaan terbahagi kepada 2 iaitu perolehan perbelanjaan dan penggunaan perbelanjaan. Perolehan perbelanjaan merujuk kepada proses dan cara mendapatkan wang perbelanjaan atau tajaan untuk sesuatu program. Ini termasuk peruntukan ko-kurikulum dan tajaan badan2 atau personal2 yang tertentu. Manakala penggunaan perbelanjaan pula ialah penggunaan wang perolehan untuk melaksanakan program yang dirancang. Penggunaan perbelanjaan merangkumi makanan, tempat penginapan, bayaran penceramah (jika ada), runcitan, pengangkutan dan pelbagai lagi bayaran yang perlu dirancang untuk melaksanakan satu2 program.

Perolehan perbelanjaan memerlukan daya kreativiti seseorang guru. Seorang guru penasihat KRS secara asasnya boleh meminta peruntukan 'KRS' daripada PK Ko-kurikulum untuk melaksanakan program. Peruntukan Ko-kurikulum biasanya 'turun' daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan duit PIBG (bagi sesetengah sekolah). Selain daripada itu, peruntukan bersama juga boleh dimohon bergantung kepada program yang dijalankan. Sebagai contoh, Qiamullail Rasmi. Program ini boleh dijalankan dengan usahasama Persatuan Pelajar Islam atau Persatuan Agama Islam. Maka, perbelanjaan boleh diminta melalui budget persatuan dan kadangkala Panitia Agama Islam.

Perolehan perbelanjaan juga boleh didapatkan melalui kutipan tetapi ianya tidak digalakan. Kutipan pula memerlukan persetujuan dan surat rasmi daripada Pengetua / Guru Besar. Keusahawanan KRS juga boleh menjadi salah satu sumber perolehan perbelanjaan. Selain daripada dapat mendidik kemahiran keusahawanan dikalangan ahli KRS, program juga boleh berjalan melalui keuntungan yang diperolehi. Infak (keterangan dalam catatan yang lepas) juga boleh menjadi sumber lain bagi perolehan perbelanjaan.

Pihak luar seperti Rakan Muda, Pertubuhan Belia, Badan2 kerajaan juga boleh dijadikan sumber alternatif mendapatkan peruntukan. Kebiasaannya, program bersama perlu dijalankan seperti aktiviti Kembara Rakan Muda, program2 pihak YADIM dan pelbagai lagi.

Penggunaan perbelanjaan memerlukan penelitian dalam setiap duit yang ingin dibelanjakan. Banyak elemen yang penting di dalam perbelanjaan yang perlu diperhatikan. Pertama, perihal makanan. Ini adalah perkara utama di dalam budget. Kebiasaannya program2 di sekolah melibatkan penyediaan makanan oleh pihak kantin sekolah. Adakalanya elemen makanan boleh 'dibuang' daripada kertas kerja perbelanjaan sekiranya makanan dimasak sendiri seperti di dalam aktiviti perkhemahan dan sebagainya. Namun perlu diingat, masak sendiri memerlukan masa tambahan dan ianya boleh menjadi kekangan di dalam satu2 program.

Kedua, pengangkutan. Kebiasaannya pengangkutan akan melibatkan bahagian yang besar di dalam perbelanjaan. Sebagai contoh, sewa sebuah bas dari SMK Raja Abdullah, KL ke Hutan Lipur Lentang adalah RM800.00. Ini adalah harga selepas tawar menawar pada tahun 2008. Aku tidak tahu pula kalau sewanya sudah naik.

Ketiga, tempat penginapan. Aktiviti KRS kebiasaannya melibatkan penggunaan khemah. Selalunya tempat penginapan hanya memerlukan budget yang agak kecil sekiranya menggunakan khemah sendiri (milik sekolah) tetapi ianya merupakan elemen penting untuk diperincikan. Sebagai contoh, hutan2 rekreasi milik kerajaan hanya memerlukan tempahan awal sahaja, tidak memerlukan sewa tapak. Namun, kawasan2 milik persendirian memerlukan perbelanjaan seperti sewa tapak, sewa khemah (jika perlu), sewa dewan, bayaran servis (elektrik, air), bayaran tandas dan sebagainya.

Keempat, bayaran penceramah. Kebiasaannya penceramah diperlukan apabila tiada guru yang berkemahiran untuk memberikan pengisian tertentu. Sebagai contoh, mengepalai Qiamullail atau solat Tarawikh.

Kelima, runcitan. Perbelanjaan runcitan sangat perlu diperincikan. Ianya kerana runcitan sangat2 bergantung kepada jenis program yang ingin dijalankan. Selagi boleh, gunakan alatan2 dan sumber yang sedia ada di sekolah untuk mengelakkan perbelanjaan yang tinggi. Misalnya first aid, tidak perlu dibeli sekiranya sekolah ada menyimpannya. Hanya perlu dipastikan ubat2annya masih ada dan tidak terlepas daripada tarikh luput. Perbelanjaan hanya diperlukan untuk membeli ubat2an yang telah habis atau lepas tarikh luput.

Kesimpulannya, merancang perbelanjaan memerlukan penelitian yang tinggi untuk mencapai objektif program tetapi tidak sehingga membazir pula. Sebab itu, merancang perbelanjaan juga memerlukan beberapa sesi 'brainstorming' agar tidak ada yang terlepas pandang. Program akan menjadi 'cacat' sekiranya ada mana2 bahagian yang terlepas pandang untuk diperuntukan di dalam perbelanjaan. Usahalah agar ianya sesempurna yang boleh. Yang lainnya bertawakallah kepada Allah. Semoga mendapat keredhaanNya. Sekian.

Isnin, 7 Disember 2009

Merancang Tentatif


Setiap program sangat bergantung kepada tentatifnya dalam menentukan keberkesanan pengisian dan kesesuaiannya dengan tajuk program. Sungguh tidak sesuai sekiranya program Qiamullail Rasmi dimasukkan dengan aktiviti2 lasak seperti River Crossing, Rempuh Halangan dan banyak lagi. Tentu sekali pengisian untuk setiap tajuk program adalah berbeza dan juga berperingkat. Namun, bagaimanakah seseorang ahli KRS itu dapat merancang tentatif yang sesuai dan tepat?

Secara umumnya tentatif program terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Pengisian, Tentatif Wajib, Pengurusan Diri dan Tentatif Alternatif. Pengisian merujuk kepada aktiviti2 utama yang sesuai untuk mencapai objektif sesuatu program. Misalnya dalam program perkhemahan, aktiviti2 seperti tali-temali, bantu mula, ikhtiar hidup dan banyak lagi biasanya merupakan pengisian untuk program sebegini. Tentatif Wajib pula merupakan aktiviti2 yang wajib dirancang dan dilaksanakan seperti solat, makan dan sebagainya. Pengurusan diri melibatkan perihal menguruskan diri sendiri seperti mandi, gosok gigi, memakai pakaian yang sesuai dan sebagainya. Manakala Tentatif Alternatif pula ialah 'Plan B' sekiranya berlaku sesuatu perkara yang menghalang aktiviti utama daripada berlangsung.

Sebelum satu2 tentatif rasmi diletakkan di dalam kertas kerja, ada eloknya sekiranya ianya dirancang di atas jadual terlebih dahulu (seperti di dalam gambar). Dengan cara ini, kesesuaian aktiviti dan jumlah masa yang diperlukan dapat dirancang dengan bijak. Misalnya, aktiviti tali temali sangatlah tidak sesuai untuk dilakukan pada waktu malam. Walaupun ianya boleh dilakukan tetapi ianya tidak sesuai kerana para peserta berkemungkinan tidak nampak cara fasilitator mengikat talinya. Maka, slot tali temali perlulah diletakkan di sebelah siang. Berkenaan jumlah masa yang diperlukan juga perlu diambil kira. Sekiranya aktiviti tali temali hanya boleh dilakukan dalam masa 2 jam, tidak sesuailah ianya diletakkan di dalam slot 1 jam. Begitu juga dengan aktiviti2 yang lain. Setiap aktiviti perlulah disesuaikan dengan masa yang tertentu.

Di dalam jadual tentatif seperti di atas, 'Tentatif Wajib' perlu diisi terlebih dahulu. Ini adalah untuk memastikan tiada aktiviti tentatif wajib yang terlepas pandang. Masanya juga perlu ditentukan. Misalnya untuk solat Maghrib dan Isyak, masa yang terluang di antaranya boleh digunakan untuk makan malam atau tazkirah bergantung kepada program yang dijalankan. Kebiasaannya masa untuk pengurusan diri diberikan pada sebelah pagi (sebelum subuh), tengah hari dan sebelum masuk waktu maghrib. Di sebelah malam pula (11 malam ke atas) boleh juga diberikan masa pengurusan diri tetapi ianya bergantung kepada pihak pengurusan program. Biasanya aku membuat beberapa pengisian ringkas yang dinamakan Roll-Call sebelum membenarkan para peserta masuk tidur. Kadangkala aku buat aktiviti sehingga pukul 3 pagi. Biasalah, ahli2 KRS semua lasak2 belaka. Kalau setakat duduk berseorangan di sesuatu tempat di dalam hutan tidaklah seseram mana, betul tidak?

Ada beberapa tips untuk merancang tentatif program. Pertama, masa untuk satu2 slot biarlah dilebihkan sedikit. Ini dapat mengelakkan kekangan masa yang diberikan kepada fasilitator yang bertugas. Kedua, jangan terlalu 'ambitious'. Maknanya terlalu banyak aktiviti yang dirancangkan untuk sesuatu program dalam masa yang terlalu singkat. Biarlah pengisian itu sedikit tetapi berkesan daripada banyak aktiviti tetapi para peserta tidak mendapat apa2 kerana terlalu banyak 'input'. Ketiga, adakan beberapa siri 'brainstorming' sebelum menyiapkan kertas kerja. Ini adalah untuk memperincikan lagi tentatif agar tiada yang terlepas pandang atau terlalu 'ambitious'. Keempat, pastikan fasilitator / pegawai yang bertugas tidak dibebankan dengan tanggungjawab aktiviti yang terlalu banyak. Sesuaikan jumlah aktiviti dengan fasilitator / pegawai yang bertugas dan kalau boleh biarlah mereka bergilir-gilir mengepalai slot aktiviti. Kelima, rancang Tentatif Alternatif. Ini dapat memastikan tiada slot aktiviti yang kosong dek kerana terpaksa dibatalkan disebabkan hujan, air sungai deras, ribut dan sebagainya. Dan yang terakhir, tawakal kepada Allah. Kita sebagai manusia hanya merancang sedangkan Dia yang menentukan.

Banyaknya perkara perlu dipastikan semasa merancang. Sebagai guru, itulah tanggungjawabnya. Sebagai pelajar, di sinilah tempat untuk menimba seberapa banyak ilmu. Ingat! Di luar sana mereka menganggap yang sekolah telah mengajar semuanya. Oleh kerana itu, janganlah mensia-siakan waktu yang ada di sekolah dengan perkara2 yang tidak berfaedah. Lihat di luar sana, ada bezakah pelajar2 yang belajar dengan pelajar2 yang tidak belajar? Tentu saja jawapannya ada! Sama ada daripada segi intelek, rohani, emosi ataupun jasmani, pastinya terdapat perbezaan kepada mereka yang mahu belajar. Wassalam.