Selasa, 26 April 2011

Reunion d Pulau Redang: Ke Jeti Kuala Merang...

Kedengaran azan subuh Masjid Terapung, Kuala Terengganu memecah kesunyian pagi. Dengan muka yang masih berwajah mengantuk, kami menuju ke tempat wudhu. Kelihatan beberapa orang di antara kami masuk ke tandas. Maklumlah, hendak membuang sisa. Kalau disimpan nanti takut mendatangkan penyakit pula. Setelah berwudhu, kami masuk ke ruang solat.

Selesai solat sunat, kedengaran muazin membacakan iqamat. Kami masuk ke dalam saf. Daripada belakang, kelihatan simbol pistol pada belakang baju budi. Dia kelihatan ganas memakai baju itu. Beberapa orang tempatan kelihatan hairan melihatnya. 'Hendak solat ke hendak menembak ni?', mungkin ini yang terdetik dalam hati mereka. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagat mereka.

Terjadi satu perkara yang akan aku ingat sampai bila2. Kebetulan hari ini adalah hari jumaat. Memang sudah menjadi kebiasaan bagi surau2 dan masjid2 membuat 'sujud sejadah' semasa solat subuh hari jumaat. Selesai imam membaca surah, terus saja dia sujud. Semua makmum mengikuti imam tersebut. Namun kelihatan beberapa 'orang luar' yang ruku'. Terpinga-pinga melihat situasi tersebut. 'Imam tersalah rukun ke ni?', mungkin ini yang bermain difikiran orang ini. Aku tidak mahu sebut nama. Tapi, ianya adalah di antara kami. Malunya rasa. Sah tidak pernah ada pengalaman sujud sejadah. Tapi tidak mengapa. Hari ini mereka belajar. Dan pasti mereka2 yang terlibat akan jadi 'bahan' selepas ini. ;)

Selesai solat subuh, kami meneruskan perjalanan ke jeti Kuala Merang. Perjalanan mengambil masa 45 minit. Sampai di Kuala Merang, kami bersarapan. Aku? Biasalah. Nasi Dagang + Limau Suam. Sedap dan mengenyangkan. Sementara menunggu bot, kami meletakkan kenderaan di kawasan parkir. RM30 untuk 3 hari. Bolehlah. Sekurang-kurangnya, kami tahu kenderaan kami ada orang yang jaga. Tambahan pula, parkir berbumbung.

Pukul 9.15 bot mula bergerak. Masing2 mengenakan Jaket Keselamatan. Maklumlah, sejak dua menjak ini banyak kejadian bot pecah. Takut juga mengenangkan berita2 tersebut. Ramai di antara kami yang masih tidak tahu berenang. Lesen L pun ada. Jadi, atas faktor2 keselamatan kami klipkan sekali semua klip yang ada pada jaket keselamatan tersebut.

Sesekala terhenti sekejap jantung kami apabila bot melambung tinggi. Besar juga gelora ombak bulan April. Mungkin kerana musim tengkujuh baru saja berlalu. Masih ada lagi saki baki gelora. Mata kami memandang pada 2 arah bergilir-gilir. Pemandu bot dan ombak. Kami terpaksa meletakkan sepenuh kepercayaan pada pakcik pertengahan abad yang memandu bot tersebut. Dan kelihatan beberapa mulut yang terkumat-kamit membaca sesuatu. Apalah agaknya doanya ye?... (bersambung)...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan