Isnin, 29 November 2010

Rintangan Ke Anak Irau


Seperti dirancang, kami bangun pukul 5:30 pagi. Walaubagaimanapun, kami perlu menyediakan sarapan & makan tengah hari (nasi himpit + ration) sebagai mengisi perut di atas gunung nanti. Leka bersiap, akhirnya kami memulakan kembara ke Irau pada pukul 8 pagi. Selepas membaca doa, kami pun bertolak.

Kami terpaksa berjalan kaki sejauh 1 km dahulu sebelum sampai ke jambatan yang menghubungkan Gunung Brinchang & Gunung Irau. Ini adalah kerana tapak khemah kami terpaksa didirikan di kawasan Menara Tinjau untuk mengelakkan kesesakan. Kawasan perkhemahan berhampiran dengan jambatan telah dipenuhi oleh pelajar2 UiTM yang datang juga untuk menakluk puncak Irau.

Sampai saja ke jambatan, kelihatan kumpulan UiTM sedang membaca doa. Mungkin mereka sudah hampir ingin bertolak ke puncak Irau. Kami mempercepatkan langkah agar menjadi kumpulan pertama yang melalui trek ke Irau. Maklumlah, kalau dah ramai yang lalu nanti, trek akan hancur & menyukarkan kami untuk berpaut dan berpijak. Di hujung jambatan, kelihatan anak tangga terakhir yang memulakan perjalanan kami ke Irau.

Destinasi pertama kami adalah 'Anak Irau'. Tempat ini merupakan kaki gunung Irau yang menghubungkan beberapa denai untuk ke gunung2 yang bersebelahan. Memandangkan kami sedang berada di puncak Gunung Brinchang, kami perlu menuruni gunung ini dahulu. Namun, laluannya bukanlah laluan kenderaan. Laluan turun adalah dibahagian lain gunung Brinchang. Perjalanan turun mengambil masa lebih kurang sejam setengah.

Satu kejadian yang berlaku, tiba2 Ima tergelincir dan terduduk tepat2 di atas sebuah batu kecil sebesar punggung. Ini menyebabkan perjalanan kami terhenti seketika. Kaki Ima kelihatan kejang (cramp). Kami bersama-sama cuba merawat Ima dengan segala sumber yang kami ada. Terima kasih 'Counter-Pain'!. Walaupun tidaklah boleh menghentikan terus kesakitan Ima tetapi sekurang-kurangnya melegakan sedikit. Kami meneruskan perjalanan setelah Ima berjaya mengumpul semangat untuk meneruskan perjalanan.

Semangat Ima sangat kuat. Walaupun kesakitan di bahagian badan sebelah kanan (dari bahu hingga ke kaki) akibat jatuh, Ima masih membulatkan tekad untuk menakluk puncak Irau. Sesekala kelihatan kaki Ima terdengkut-dengkut. Saat ini keputusan Ima untuk meneruskan perjalanan sangat2 membantu kami sekumpulan. Mana tidaknya? Kalaulah Ima berputus asa & mengambil keputusan untuk berpatah balik, tentu kami akan terpaksa berpecah. Dan tentu perjalanan ke Irau sudah menjadi tidak menarik lagi. Terima kasih Ima.

Aku bersetuju dengan Muhsinin. Perjalanan ke Irau memang sangat menarik. Kalau hendak dibandingkan dengan Gunung Nuang yang hanya banyak tanah merah, perjalanan ke Irau banyak melalui curam2 yang menampakkan pemandangan yang hebat dan indah. Semuanya ciptaan Allah yang Maha Besar. Aku terkesima dalam kepenatan. Walaupun sedikit pancit dan keletihan namun pemandangan indah ini mampu merawat segala kelelahan. Cuma sesekala aku batuk dek kerana kekurangan oksigen. Maklumlah, kesejukan yang melanda membuatkan nafas agak sukar untuk ditarik. Bernafas menggunakan mulut sangat2 membantu. Hidung perlu dibiarkan rehat buat seketika.

Akhirnya kami sampai ke anak Irau. Kelihatan beberapa denai yang menghubungkan tempat ini ke gunung2 lain. Kalaulah tersalah pilih jalan, kami mungkin akan tersesat hingga ke Kelantan. Mujurlah ada batu2 tanda yang telah dipasakkan oleh renjer2 hutan sebagai panduan ke puncak Irau. Kami berehat di anak Irau selama 10 minit. Kalau boleh, kami mahu menjadi kumpulan pertama sampai ke puncak Irau. Seperti yang aku katakan tadi, untuk mengelakkan trek2 menjadi hancur dek kerana telah ramai orang yang lalu terutama peserta2 daripada UiTM tadi. Sebelum memulakan perjalanan ke puncak Irau, seperti biasa, kami sempat bergambar. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke puncak Irau. Bersambung...

Ahad, 28 November 2010

Gunung Irau @ Gunung Brinchang? Di sini mulanya...


Ekspedisi kali ini sangat banyak dugaannya. Dugaan datang sebelum dan semasa kembara kami ke Gunung Irau. Yang merisaukan aku, dugaan sebelum ke Irau. Banyak sangat tanda2 yang tidak menyenangkan sehingga aku terfikir untuk hentikan saja kembara kali ini. Apa dugaannya? Hanya team D'interval Irau saja yang tahu. Namun, kekuatan (sponsor) yang diberikan oleh F (bukan nama sebenar) telah membakar jiwa kami untuk tetap meneruskan kembara ke Irau walau apapun cabarannya.

Kami berkhemah di atas puncak Gunung Brinchang. Ya. Pelik bukan? Sebenarnya Gunung Brinchang ini boleh didaki menggunakan kenderaan. Dengan kata lain, tidak perlu berjalan kaki ke Gunung Brinchang. Orang tua pun boleh pergi ke sana. Malahan, ramai pelancong yang datang ke puncak Gunung Brinchang untuk menikmati suasana nyaman dan pemandangan menarik puncak gunung. Kalau kau hendak pergi pun boleh. Di sini terdapat 2 perkara menarik. Pertama, ada Menara Tinjau (Watch Tower) untuk memerhatikan matahari terbenam ataupun matahari menaik. Kedua, ada jambatan yang menghubungkan Gunung Brinchang & Gunung Irau. Di sini, pemandangan puncak gunungnya sungguh memukau. Cuma satu masalahnya, tiada punca air. Maknanya kami terpaksa mengangkut air yang banyak di dalam kereta untuk kegunaan 3 hari 2 malam.

Di puncak gunung Brinchang ini sangat sejuk. Sehinggakan kabus sentiasa menyelubungi tapak perkhemahan kami. Pernah ada beberapa orang di antara kami yang terpaksa tidur di dalam kereta dek kerana terlalu sejuk sehingga badan mereka menggigil. Tahu berapa suhu di sana? Di atas puncak gunung Brinchang ini suhunya ialah 8 darjah celcius. Air cond di rumah pun paling rendah 16 darjah celcius. Bayangkan betapa sejuknya.

Seperti biasa, malam pertama, kami adakan acara barbeku dan permainan UNO. Ada sedikit masalah, api bara susah dihidupkan dek kerana cuaca yang lembab & sejuk. Kami terpaksa mengambil masa sejam hanya untuk menghidupkan bara. Api? Hanya sekali dua saja yang naik. Kami terpaksa berpuas hati dengan bara yang suam2 kuku. Mula membakar bara pukul 6:30 petang. Habis membakar ayam pukul 9:30 malam. Perut masing2 sudah memainkan bermacam-macam bunyi. Sejuk bercampur dengan lapar. Malam itu kami makan dengan sangat lahapnya. Aku? Sopan saja. ;)

Malam itu kami tidur awal. Pengalaman di Gunung Nuang mengajar kami supaya tidur awal untuk mengelakkan bangun pukul 10 pagi! Walaupun sangat sejuk, kami cuba juga untuk tidur. Sebenarnya masing2 tidur2 ayam dek kerana asyik terjaga kesejukan. Walaupun ada 'rubber mat' & 'sleeping bag', puncak Brinchang sangat ganas menyucuk kami dengan hawa sejuknya. Apa boleh buat? Kami rela melakukannya demi kepuasan diri dan demi kembara ke Irau yang kami rancangkan bersama. Bersambung...

Rabu, 17 November 2010

Destinasi Seterusnya, Gunung Irau


Ada orang kata Gunung Nuang itu tidak cantik. Bolehlah kalau setakat hendak menunaikan 'hajat' untuk menakluk gunung. Tidak kurang pula yang mengatakan Gunung Nuang itu tempat latihan untuk mendaki gunung2 yang lebih tinggi. Misalnya G7 ataupun Gunung Kinabalu. Apa2pun, aku percaya, lain orang lain pendapatnya. Yang pastinya, setiap gunung punya cabarannya sendiri. Dan ianya merupakan ciptaan Allah yang perlu dihayati.

Nampaknya aku & ahli2 D'interval yang lain sudah mula ketagihan puncak gunung. Kami sudah membulatkan keputusan untuk mendaki gunung yang seterusnya, Gunung Irau, November ini. Gunung ini terletak di Cameron Highland. Ketinggiannya mencecah 6924 kaki. Walaupun ketinggiannya lebih daripada Gunung Nuang, dengar2 khabar, gunung ini lebih menarik pemandangannya. Ada satu masalah besar tentang pendakian Gunung Irau ini iaitu tiada sumber air di kaki gunung di 'base camp'. Kami perlu merancang untuk mendapatkan air secukupnya untuk pelbagai kegunaan. Terutama untuk memasak & berwudhu. Mujurlah kereta boleh dipandu sehingga 'base camp' Gunung Irau iaitu Brinchang.

Aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seorang sahabat, F (bukan nama sebenar), kerana menaja pengembaraan kami. Maklumlah, untuk ke Cameron Highland kosnya agak mahal. Terpaksalah aku mencari 'sponsor' untuk perbelanjaan kami di sana. Mujurlah ada F untuk menaja. Jasamu dikenang.

Aku sangat2 berharap agar semua yang mengenali kami dapat mendoakan kejayaan kami untuk menawan puncak Irau. Semoga segala aral yang melintang dapat kami redah dan segala dugaan dapat kami atasi. Semuanya atas kehendak Ilahi. Dan doa sahabat2 semua amatlah kami perlukan untuk mengiringi perjalanan kami. Semoga semuanya selamat. Amin...