Jumaat, 3 Disember 2010

Puncak Irau yang memukau...


Bergerak dari Anak Irau bermaksud kami perlu bergerak turun sebelum mendaki semula. Menuruni anak Irau bukanlah mudah. Sangat curam tetapi sangat menarik. Tersalah langkah bermaksud kecederaan bakal mengundang. Nasib baik aku pakai kasut 'hiking'. Walaupun sudah sangat berlumpur namun tapaknya masih mencengkam. Buktinya, aku masih boleh berdiri di atas akar pokok yang mengunjur ke bawah tanpa jatuh. Kalau kasut sukan (walaupun adidas ori aku tu) pastinya sudah tergelincir. Baru aku faham betapa kasut 'hiking' sangat berkesan dan berperanan besar. Jenama tayar terkenal. Dunlop! ;)

Mendaki semula untuk ke puncak Irau yang sebenar sangat menarik! Masya Allah! Indahnya ciptaan Allah. Pernah tengok cerita Alice In Wonderland? Sangat serupa! Hinggakan aku berasa agak takut dek kerana terfikir kalau2 tersesat ke alam bunian. Maklumlah, tempat2 yang sebegini. Segalanya bukannya mustahil. Sudahlah yang tinggal cuma aku dengan Muhsinin. Namun, aku sangat menikmati suasananya. Aku sangat2 menganjurkan untuk kau pergi ke sini dan mengalaminya sendiri. Ianya satu suasana yang tidak akan kau dapati di tempat lain. Agaknya...

Ada beberapa tempat yang curam tetapi sangat menakjubkan pemandangannya. Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar di sini. Kami berhenti seketika sebelum sampai ke puncak Irau. Tempat ini penuh dengan hidupan2 yang sukar didapati di bawah. Salah satunya ialah pokok 'Periuk Kera'. Ketika ini kami hanya berpijak pada longgokan tumbuhan lumut yang sangat tebal. Dan peluang untuk longgokan ini 'roboh' memang ada. Sesekala, aku berasa risau berada lama di sini. Ini adalah kerana setiap kali kami bergerak, longgokan lumut ini bergegar. Gegarannya sangat ketara.

Satu lagi perkara menarik di sini ialah peluh aku mengeras menjadi ais. Mesti ramai yang tidak percaya bukan? Kalau tidak percaya, datanglah sendiri! Ada di antara kumpulan D'interval yang menggelar aku 'Santa Claus'. Ini adalah kerana peluh aku di sekitar kawasan jambang menjadi kristal2 ais dan membentuk seperti jambang 'Santa Claus'. Ada beberapa keping gambar yang Muhsinin ambil untuk menunjukkan kristal ais tersebut. Cuaca? Memang tersangat sejuk. Tidak keterlaluan sekiranya aku mengagak suhunya sekitar 1-2 darjah celcius. Sejuk bukan?

Kami akhirnya sampai di puncak Irau. Walaupun puas, kami agak kecewa. Ini adalah kerana di atas puncak Irau, hujan turun seperti tidak mahu berhenti. Kami menghabiskan makanan tengah hari dan kemudiannya mengambil beberapa 'shot' gambar di papan tanda puncak Irau. Kami tidak mengambil gambar pemandangan puncak Irau kerana keadaannya yang kabus. Lensa kamera pun ada limitasinya. Kami hanya berada di puncak sekitar 45 minit. Kami bergerak turun sekitar jam 1:30 petang.

Kami sampai semula di Tapak Perkhemahan pada pukul 5 petang. Walaupun Gunung Irau lebih tinggi namun kami tidak sepenat ketika mendaki gunung Nuang. Mungkin disebabkan kami leka menikmati pemandangan Irau yang sangat memukau sedangkan di Nuang kami banyak kali jatuh disebabkan oleh gelincir tanah merah yang basah & licin. Ima kelihatan sangat letih & menahan kesakitan. Namun aku pasti, hati Ima puas. Pengorbanannya berbaloi. Petang itu kami keletihan. Semuanya tertidur. Sangat lena (dan sejuk!!). Kami cuma terjaga pukul 10 malam. Malam itu kami makan apa saja yang ada. Muhsinin sempat juga masak daging 'black paper'. Terima kasih Gunung Irau! Wajahmu pasti tidak akan kami lupakan...

1 ulasan: