Khamis, 29 November 2012

Sejarah Pengasasan KRS? Tak Mungkin KRS Ada Dengan Tiba-Tiba....



Baru-baru ini aku ada duduk dan berbincang dengan guru yang sangat 'pioneer' di dalam kewujudan Kadet Remaja Sekolah. Di kalangan orang-orang lama mungkin namanya tidak asing lagi. Namun di kalangan guru-guru dan ahli-ahli baru, namanya tidak begitu dikenali. Mungkin ramai yang tidak mengetahui pengorbanan dan jasanya di dalam KRS. Sehinggakan beliau digelar sebagai 'Ayahanda KRS' di sekolah pengasas.
Sekolah pengasas? Sekolah mana? Mana buktinya? Aku dengar sekolah di Johor..? Bukanlah... Sekolah di Pulau Pinang agaknya?.... Itulah yang sering bermain di kalangan guru-guru, penasihat-penasihat dan ahli-ahli KRS yang aktif. Mereka benar-benar tidak mengetahui sejarah sebenar penubuhan KRS. Manakan tidak?.. Sejarahnya tidak pernah ditulis secara lengkap dan terperinci. Jadi, adakah sejarah penubuhan KRS dibiarkan hilang begitu saja? Di mana perginya pihak-pihak berwajib yang sepatutnya melindungi khazanah negara yang sangat bernilai ini?
Berkongsi sedikit informasi, Kadet Remaja Sekolah sebenarnya telah diasaskan oleh seorang guru yang bernama En Muhammad Thani bin Shaaban di Sekolah Menengah Raja Abdullah (sekarang sudah bertukar nama SMK Raja Abdullah). Sekolah ini terletak di Jalan Kepong, Kuala Lumpur. Walaupun sejarah pengasasannya bermula di sekitar lewat 80-an, namun telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak pada 20 Jun 1995. Ketika itu, Datuk Najib menjalankan portfolio sebagai Menteri Pelajaran Malaysia.
Sebenarnya informasi ini (malahan yang lebih terperinci) telahpun aku kongsi di dalam blog ini. Hanya menunggu pihak-pihak yang berminat untuk 'klik' pada pautan yang berkenaan. Mungkin pada mereka yang ragu-ragu, bolehlah melawat sendiri sekolah ini dan menjalankan kajian. Insyaallah, aku pun sanggup membantu sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai 'Sejarah Penubuhan KRS'. Malah, ramai lagi daripada sekolah pengasas yang boleh dirujuk berkenaan hal ini. Semoga KRS akan terus membangun bersama ummah. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan