Jumaat, 29 April 2011

Reunion Di Pulau Redang: Hari Pertama...


Kami sampai di jeti Redang Reef pukul 10 pagi. Seorang demi seorang turun daripada bot. Masing2 lipat seluar. Takut basah sebab terpaksa lompat ke air sedalam buku lali. Sementara kumpulan2 lain menjadi 'mando', kami (Geng KRS) menolong pekerja2 Reef memunggah barang. "Hampeh betol la diorang ni. Ingat kitorang ni kuli diorang ke?"

Setelah selesai memunggah barang dan mendapatkan beg masing2, kami diajak ke ruang makan untuk sedikit taklimat. Di situ, datanglah seorang pekerja Reef yang memberi taklimat dalam bahasa Inggeris. Konon2 'international language' katanya. Tapi lidah cinanya sangat membunyikan 'telo' cina dalam setiap perkataannya. "Tak international langsung!". Tapi tidak mengapa. "English is not our first language". Belasah saja.

Pukul 12, kami turun ke ruang makan untuk makan tengah hari. Makanan di sini halal kalau mengikut kata pekerja Reef tadi. Kesian Redang Reef, sebab menghidangkan makanan secara buffet kepada geng2 KRS. Sudah lupa? Budak2 KRS kan selalu kuat makan! Kalau bekas makanan jadi licin, pasti itu angkara kami. Hendak buat macam mana? Memang itulah fitrah kami sejak azali. ;)

Mata aku yang terlalu 'kuyu' menyebabkan aku tukar aktiviti aku pada pukul 2 petang. Daripada 'snorkelling' kepada 'snoaring'. Maklumlah, keletihan jadi 'driver' semalaman. Kedengaran bunyi 'siren' pada pukul 1:30 petang menandakan masuknya waktu menunggu bot untuk aktiviti snorkelling. Aku dan Cekgu Amir? Membuta secara 'tag-team'. Tapi setelah selesai solat jama' zohor + asar (musafir).

Sebenarnya aku ada 'projek' best yang aku rancang untuk petang hari di Laguna. Dan aku realisasikan tepat jam 5 petang. Aktiviti mengintai 'Baby Shark' secara snorkelling. Mulanya aku beritahu Budi saja. Tapi akhirnya semua hendak ikut. Jadi, petang itu kami menyertai misi mencari anak jerung. Bezanya, aku segar sedangkan mereka keletihan. ;)

Cuma Azizah saja yang jumpa dengan anak jerung. Mana tidaknya? Punyalah ramai makhluk Allah bernama manusia di situ. Tentu sekali segan anak2 jerung itu hendak keluar. Kawasan anak jerung bermain dipenuhi oleh ratusan manusia yang melakukan aktiviti snorkelling. Padahal, ruangan itu kosong semasa aku dan Cekgu Amir mula2 sampai di sana. Nampaknya, tidak ada rezeki hendak jumpa dengan anak jerung. Tidak mengapa. Insyaallah, kalau ada umur boleh ke sana lagi.

Kami bermain ombak sebelum pulang ke bilik. Kuat juga ombak di sebelah 'Long Beach'. Tapi itu yang seronoknya. Sebiji macam 'artificial wave' di Sunway Lagoon. Setelah penat bermain dengan ombak, kami melangkah pulang. Namun, setelah seratus langkah, kami ternampak Azizah, Mustaina & Prof masih di pantai 'Long Beach' seolah-olah mencari sesuatu. Mencari apa ya?

Pada sebelah malam, kami menjamu selera untuk makan malam. Banyak bermain air menyebabkan kami lapar. Minum petang nampaknya tidak berjaya mengisi ruang besar dalam perut kami. Di situ kami mendapat jawapan. Tentang mengapa Azizah, Mustaina & Prof pulang lewat. Rupa2nya cermin mata Prof hilang di pantai 'Long Beach'. Patutlah muka Prof monyok semacam. Setelah puas menyakat Prof, kami pun berehat di bilik.

Malam itu beberapa orang di antara kami melayan UNO. Permainan wajib aku & geng2 gunung waktu malam. Seorang demi seorang pengunjung tewas kepada sepoi2 malam. Tapi geng2 UNO masih menahan mata. Masing2 mengaku hebat. Atau sekurang-kurangnya tidak mahu menyerah. Entah pukul berapa mereka habis bermain UNO, aku pun tidak tahu. Sebab aku pun tergolong di dalam golongan orang2 yang tewas... (bersambung)...

Selasa, 26 April 2011

Reunion d Pulau Redang: Ke Jeti Kuala Merang...

Kedengaran azan subuh Masjid Terapung, Kuala Terengganu memecah kesunyian pagi. Dengan muka yang masih berwajah mengantuk, kami menuju ke tempat wudhu. Kelihatan beberapa orang di antara kami masuk ke tandas. Maklumlah, hendak membuang sisa. Kalau disimpan nanti takut mendatangkan penyakit pula. Setelah berwudhu, kami masuk ke ruang solat.

Selesai solat sunat, kedengaran muazin membacakan iqamat. Kami masuk ke dalam saf. Daripada belakang, kelihatan simbol pistol pada belakang baju budi. Dia kelihatan ganas memakai baju itu. Beberapa orang tempatan kelihatan hairan melihatnya. 'Hendak solat ke hendak menembak ni?', mungkin ini yang terdetik dalam hati mereka. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagat mereka.

Terjadi satu perkara yang akan aku ingat sampai bila2. Kebetulan hari ini adalah hari jumaat. Memang sudah menjadi kebiasaan bagi surau2 dan masjid2 membuat 'sujud sejadah' semasa solat subuh hari jumaat. Selesai imam membaca surah, terus saja dia sujud. Semua makmum mengikuti imam tersebut. Namun kelihatan beberapa 'orang luar' yang ruku'. Terpinga-pinga melihat situasi tersebut. 'Imam tersalah rukun ke ni?', mungkin ini yang bermain difikiran orang ini. Aku tidak mahu sebut nama. Tapi, ianya adalah di antara kami. Malunya rasa. Sah tidak pernah ada pengalaman sujud sejadah. Tapi tidak mengapa. Hari ini mereka belajar. Dan pasti mereka2 yang terlibat akan jadi 'bahan' selepas ini. ;)

Selesai solat subuh, kami meneruskan perjalanan ke jeti Kuala Merang. Perjalanan mengambil masa 45 minit. Sampai di Kuala Merang, kami bersarapan. Aku? Biasalah. Nasi Dagang + Limau Suam. Sedap dan mengenyangkan. Sementara menunggu bot, kami meletakkan kenderaan di kawasan parkir. RM30 untuk 3 hari. Bolehlah. Sekurang-kurangnya, kami tahu kenderaan kami ada orang yang jaga. Tambahan pula, parkir berbumbung.

Pukul 9.15 bot mula bergerak. Masing2 mengenakan Jaket Keselamatan. Maklumlah, sejak dua menjak ini banyak kejadian bot pecah. Takut juga mengenangkan berita2 tersebut. Ramai di antara kami yang masih tidak tahu berenang. Lesen L pun ada. Jadi, atas faktor2 keselamatan kami klipkan sekali semua klip yang ada pada jaket keselamatan tersebut.

Sesekala terhenti sekejap jantung kami apabila bot melambung tinggi. Besar juga gelora ombak bulan April. Mungkin kerana musim tengkujuh baru saja berlalu. Masih ada lagi saki baki gelora. Mata kami memandang pada 2 arah bergilir-gilir. Pemandu bot dan ombak. Kami terpaksa meletakkan sepenuh kepercayaan pada pakcik pertengahan abad yang memandu bot tersebut. Dan kelihatan beberapa mulut yang terkumat-kamit membaca sesuatu. Apalah agaknya doanya ye?... (bersambung)...

Sabtu, 23 April 2011

Reunion di Pulau Redang: Perjalanan Malam...



Malam itu kami berkumpul di SMK Raja Abdullah. Janjinya selepas isyak. Namun biasalah, janji melayu. Tunggu sana & tunggu sini akhirnya kami bergerak ke Shell gombak pukul 9:15 malam. Sebuah Vois, sebuah saga BLM & sebuah Myvi. Sebuah lagi Myvi, pukul 6 petang sudah bergerak dari sini. Kami berhenti sebentar di Shell gombak untuk mengisi minyak & membeli sedikit bekalan untuk perjalanan ke Kuala Terengganu.

Bergerak pada pukul 10 malam, kami mula melajukan kenderaan. Melalui tol gombak & tol bentong. Tahu2lah jalan di sana. Naik turun bukit. Nasib baik vios ini punya kuasa yang agak tinggi. Selamba saja naik turun bukit. Sampai saja di Lebuhraya Pantai Timur, kami mula memecut.

Mulanya, aku mahu juga mengikut kelajuan kereta2 lain dari belakang. Namun dek kerana rabun silau, aku hanya 'maintain' 150 km/j. Semakin lama, aku semakin jauh ketinggalan. Laju sungguh si Fuad & Hamzah memecut kereta. Aku & cekgu Amir meneruskan perjalanan sambil berborak untuk hilangkan mengantuk.

Kami akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti di R&R Gambang walaupun pada mulanya ingin berhenti di Maran. Namun, kesunyian hentian Maran memaksa kami untuk berhenti di Gambang. Kami melepaskan lelah dengan melayan secawan teh & kopi. Lebih kurang 45 minit kami di sana. Kemudian kami meneruskan perjalanan. Seperti biasa, aku membiarkan kereta2 lain memecut.

Aku & Vios berhenti sebentar di Paka, Terengganu. Menikmati keindahan pemandangan Pelantar Minyak di waktu malam. Sambil cekgu Amir mengambil beberapa keping foto menggunakan kamera DSLRnya. Sememangnya setiap kali aku akan memerlahankan kereta sekiranya melalui kawasan ini di waktu malam. Pemandangan yang sudah beberapa kali aku alami tetapi masih menarik.

Sampai saja di Rantau Abang, cekgu Amir sudah mula mengantuk. Beliau menyatakan hasratnya untuk tidur sebentar. Nasib baik ada Azizah & Mustaina. Dapatlah aku menghilangkan perasaan mengantuk dengan bermain teka-teki. Teka-teki yang sebahagiannya aku 'import' daripada abang Manap, salah seorang guru di SK Lembah Subang.

Antara sedar & tidak, akhirnya kami sampai di Masjid Terapung, Kuala Terengganu. Pemandangan malam masjid terapung sangat memukau. Di situ kelihatan kelibat Awe, Budi, Amir & Prof yang sudah sampai setelah bergerak daripada KL pukul 6 petang. Kami sampai lebih kurang pukul 3 pagi. Dek kerana keletihan, akhirnya kami tertidur di dalam kereta. Sedar2, azan subuh mengejutkan kami daripada mimpi... (sambung)...

Selasa, 19 April 2011

Reunion KRS Ke Pulau Redang...




Rindunya hendak bertemu kalian. Pada cekgu amir yang banyak menyelitkan nota2 hidup dalam diri KRS Raja Dollah. Pada x-KRS, yang pernah bertembung jalan hidup kita. Dan pada junior2 yang sentiasa punya kenangan bersama. Bersama aku dan KRS. Dan ini peluangnya... Ekspedisi ke Pulau Redang.

Pulau Redang itu hanyalah medium. Bahan yang diperlukan untuk kembali menyatu. Sedangkan ukhuwah yang hendak dirapatkan, itu lebih penting. Sekalung penghargaan buat semua. Yang terjadi, sangat aku hargai. Yang tercoret, sangat aku kenangi. Dan yang terindah, sangat aku angani.

Bertemu kembali kita di bulan April. Walaupun semuanya punya komitmen namun ianya diketepikan sebentar. Dek kerana seronoknya bermusafir. Sambil merapatkan ukuhuwah. Maklumlah, rindu kita semakin membuak. Sambil pula, kita punya minat yang sama. Apalah kiranya dapat kita bersama-sama berlari sebentar dari hiruk pikuk kota yang sering merunsingkan. Kita pun anak kota, begitulah.

Teringin sangat mencoretkan cerita kita. Nantilah. Ketika masa punya lengah, aku akan coretkan. Masa yang dicuri-curi ini sekadar ingin membuka rasa. Takut nanti terleka. Memang seronok ketika bercoret. Kadang2 terlupa, yang 1 sudah jadi 3 pukulnya. Sehingga berjumpa lagi...