Selasa, 27 Julai 2010

XPDC Gunung Nuang (4) - Dua Puncak Nuang


Perjalanan ke Puncak Pengasih agak menyeronokkan. Tidak ada lagi jalan tanah merah. Eh? Kalau ada pun sedikit saja. Denai yang kami lalui lebih kepada susunan akar2 kayu yang semakin meninggi. Disusuli oleh beberapa batu besar. Terpaksalah kami 'cilok' sedikit untuk mengelak daripada memanjat batu2 besar tersebut. Buat apa hendak membazir tenaga?

Walaubagaimanapun, ianya tetap menguji daya tahan mental kami. Kenapa aku kata mental? Sebabnya, itulah saja yang tinggal. Kekuatan badan sudah lama kami tinggalkan. Masing2 sudah mula kepenatan. Tapi yang peliknya, Muhsinin masih boleh lagi menyanyi. Boleh lupakan penat katanya. Ada juga sekali dua aku cuba. Ceh! Lagi bertambah mengah adalah! Mana tidaknya, nafas hendak digunakan untuk mendaki lagi. Mana sempat hendak menyanyi. Itu semua menunjukkan betapa 'fit'nya badan Muhsinin. Biasalah, orang muda. Aku ini sudah berbaya. Mana hendak sama.

Kami sampai di Puncak Pengasih lebih kurang pukul 1:30 petang. Sebenarnya, Puncak Pengasih ini bukanlah puncak Gunung Nuang yang sebenar. Walaupun ada beberapa 'view' yang tinggi dan menarik di sini, bukan ini puncak yang tertinggi. Kami berhenti seketika di sini untuk memperbetulkan nafas. Perut pun sudah mula berkeroncong. Aku ambil kesempatan untuk teroka sedikit kawasan Puncak Pengasih. Mulanya seronok juga bila dapat menghidup udara segar.

Tiba2 aku mula terbau sesuatu yang busuk. Rupa2nya, kawan2 yang lain juga terbau tapi tiada siapa berani tegur. Aku mula mencari dari mana bau itu muncul. Cari punya cari, aku terperasaan satu longgokan 'tahi kering' yang masih tidak terluak. Hampas! Baru aku teringat, kami ada terserempak dengan 2 orang pendaki berketurunan cina semalam. Mereka bertanyakan jalan untuk turun ke kawasan parking. Memang sahlah mereka punya tahi. Tidak ada orang lain yang kami jumpa selain mereka. Pengotor betul!

Kami meneruskan perjalanan ke puncak sebenar Gunung Nuang. Selepas Puncak Pengasih, laluannya bukan lagi mendaki tetapi menurun. Kami menurun lebih kurang setengah jam sebelum mendaki semula. Wah, masing2 laju saja bila menurun. Walaubagaimanapun, aku tetap lambat. Perjalanan ke Puncak Nuang mengambil masa 1 jam. Kira2 20 meter sebelum sampai puncak, ada batu besar yang kami terpaksa panjat. Yang menariknya, di situ terdapat gaung yang tersangat tinggi. Sayup mata memandang. Kami terpaksa lebih berhati-hati di situ. Tidak mahu termasuk di dalam statistik 'pendaki yang terkorban' di Gunung Nuang. Kemudian kami melalui sedikit belukar dan akhirnya.... kami berjaya menawan puncak Gunung Nuang!!

Kami duduk seketika. Menikmati kejayaan dan keindahan puncak. Kami terpegun. Ramai di antara kami yang pertama kali menawan puncak gunung. Aku? Macam biasa, terduduk kepenatan. Kami mengeluarkan bekal masing2. Nasi himpit + daging kurma (ration). Perut yang lapar menyebabkan kami benar2 selera melahap apa saja yang kami bawa. Sempat juga Muhsinin masak meggi kari di situ. Meggi yang hanya 2 bungkus dimakan oleh 8 orang. Bayangkan.

Macam biasa, kami bergambar dan ber'posing'. Kami perlu lakukan semua itu dengan pantas. Sebabnya, jam menunjukkan pukul 3 petang. Kami tahu kami tidak punya banyak masa untuk meraikan kejayaan. Sempat juga kami melayan kerenah beberapa ekor tupai yang terbau makanan kami. Kenyang tupai2 itu hari itu.

Yang pastinya, kami puas. Segala penat lelah bermula daripada proses merancang, perbelanjaan, mendaki, terjatuh, terhantuk dan macam2 lagi bagaikan terubat dengan pemandangan puncak gunung yang memukau. Tapi bila tanya dengan Muhsinin, katanya ada banyak lagi gunung yang jauh lebih menarik daripada Gunung Nuang. Namun, kami buat2 tidak dengar. Biarlah kami menikmati dahulu kejayaan menakluki puncak Gunung Nuang. Allahuakbar!!!!

Ahad, 11 Julai 2010

XPDC Gunung Nuang (3) - Kem Pacat


Dari kawasan kem, kami berjalan lebih kurang 200 meter untuk ke 'starting point' denai ke puncak Nuang. Di situ kami terjumpa dengan wakaf yang agak kotor. Wakaf inilah sebenarnya tempat 'terbaik' untuk dirikan khemah berhampiran dengannya. Seperti yang dikatakan oleh renjer Gunung Nuang sebelum kami bergerak ke Kem Lolo hari sebelumnya. Memang pun best tempatnya. Ada wakaf untuk kami lari berteduh sekiranya hujan lebat. Sungai pun dekat. Kawasan pun memang rata. Tapi hendak buat macammana? Khemah sudah pun didirikan dikawasan lain. Terima sajalah. ;(

Sebaik saja kami memulakan perjalanan, aku memandang ke arah trek puncak Nuang. Ya Allah! Sudutnya sungguh cerun. Dalam lingkungan 65 ke 70 darjah kecerunannya. Sudah tentu banyak menggunakan otot kaki dan tenaga. Seperti yang telah aku jangka, tidak sampai 200 meter perjalanan, aku sudah mula bernafas menggunakan mulut (tercungaplah tu). Kadang2 aku pun tertanya-tanya, kenapalah aku berada di sini? Kan lebih elok kalau duduk rumah saja. Tilam pun empok. Bilik pun sejuk sebab ada 'air-cond'. Dan, boleh bersantai sambil melayan 'facebook'. Namun, rutin itu sudah terlalu rutin. Aku ingin merasai suasana yang jarang2 aku lakukan dalam setahun. Menghirup udara segar di atas puncak gunung!

Kami berhenti sebentar di sebuah kawasan tanah rata yang tidak bernama. Kawasan ini kira2 separuh perjalanan untuk ke Kem Pacat. Ya! Kem Pacat. Itulah 'target' pertama kami sebelum berjaya ke puncak Nuang. Muhsinin memainkan peranannya sebagai 'Sweeper' dengan baik sekali. Tidak jemu2 memberi semangat kepada rakan2 yang lain terutama seorang pemuda awal 30-an yang bernama Fadzli. Bekalan air sudah semakin kurang. Mungkin disebabkan kurang pengalaman, kami banyak menghabiskan air walaupun perjalanan kami masih belum mencecah separuh. Cuak juga aku bila memikirkan kalau2 kami kehabisan air di atas puncak nanti. Lebih2 lagi aku yang sangat2 memerlukan air sebab banyak berpeluh.

Selepas berehat dalam 10 minit, kami meneruskan perjalanan ke Kem Pacat. Rakan2 yang lain sudah 'memecut' untuk ke sana. Maklumlah, mereka ini masih muda dan penuh dengan tenaga. Tinggallah aku dan Muhsinin di belakang. Kami ketinggalan dalam setengah jam daripada mereka. Bayangkan, betapa perlahannya langkahan aku. Dan bayangkan, betapa sabarnya Muhsinin. Kesian dia sebab terpaksa juga perlahan disebabkan aku yang perlahan. Aku puji dia sebab mempunyai semangat setiakawan yang tinggi.

Perjalanan ke Kem Pacat memang agak mencabar. Ini adalah kerana, treknya yang licin. Banyak kali kami terjatuh. Tidak kurang juga yang terhantuk pada balak2 kayu tumbang yang melintang. Treknya yang bertanah merah menjadi lembab dan basah disebabkan hujan semalam. Nasib baik aku pakai kasut Adidas. Cengkamannya sungguh bagus. Dan juga selesa. Terima kasih kepada Kamarul kerana 'recommend' kasut ini. Alah membeli menang memakai. Akhirnya kami sampai di Kem Pacat. Aku terus terduduk. Aku rebahkan punggung. Kedua belah tangan aku tongkatkan ke tanah. Kami sama2 melepaskan lelah.

Syuhada mencadangkan supaya beberapa orang di antara kami untuk turun ke kawasan sungai yang berhampiran. Walaupun Muhsinin pernah ke sini, tapi dia tidak pula pernah ke kawasan sungai tersebut. Kata Syuhada, sungai itu terletak lebih kurang 100 meter dari situ. Namun yang merisaukan ialah, dia hanya pernah dengar orang yang berkata demikian, pergi tidak pernah! Mahu tidak mahu, kami terpaksa mengambil risiko tersebut kerana bekalan air sangat2 kekurangan. Muhsinin, Sayuti dan Tuan Amir mem'volunteer'kan dirinya untuk mengambil air. Masing2 memberikan botol2 air dan diletakkan ke dalam beg aku. Kemudian, mereka bertiga pun berangkat. Selepas 5 minit, tiba2 Tuan Amir muncul. Tidak sanggup, katanya. Cerunnya sangat tinggi. Itu menambahkan lagi kerisauan aku. Aku hanya mampu berdoa semoga mereka selamat.

Selepas lelah mula berkurang, kami mengambil kesempatan untuk bergambar di Kem Pacat. Bukannya ada apa2 yang istimewa pun. Tetapi mengenangkan susah payah kami ke sini, kami mula ber'posing'. Tidak sampai 20 minit kemudian, Muhsinin dan Sayuti kembali. Aku berasa lega melihat kelibat mereka. Kami 'pack' semula barang2 untuk ke 'check point' yang seterusnya, Puncak Pengasih... (bersambung)...