Rabu, 30 September 2009

Latihan Menembak


Satu masa dahulu, Angkatan Tentera Malaysia banyak menggunakan M-16 sebagai senjata yang digunakan dalam pertempuran terutama askar 'Infantry' yang bertempur menggunakan jalan darat. Senjata ini sememangnya berat dan membebankan untuk dipikul ke sana ke mari. Sesiapa yang berpeluang berdialog bersama askar2 lama atau bekas2 tentera boleh bertanyakan berkenaan M-16 ini. Setahu aku, askar2 sekarang ini menggunakan senjata yang dipanggil 'Styer' yang lebih ringan dan mudah untuk dibawa. Senjata ini juga mempunyai banyak kelebihannya berbanding M-16. Sebagai orang awam, aku tidak tahu banyak mengenai 'Styer' tetapi aku pernah mengangkat M-16 semasa menjadi ahli KRS semasa di sekolah dulu.

Latihan Menembak merupakan kemuncak aktiviti lasak yang pernah aku lakukan. Maksudnya, ianya merupakan latihan lasak terbaik yang pernah aku alami. Latihan Menembak memerlukan banyak tenaga fizikal dan mental untuk melakukannya dengan baik. M-16 yang kuat 'tendangannya' atau daya tujahan yang dihasilkan mampu membuatkan seseorang itu tercampak sekiranya menggunakan cara menembak yang salah. Janganlah mengada-ngada ingin menembak menggunakan satu tangan seperti di dalam cerita Rambo. Sesungguhnya 'Camera Trick' yang digunakan di dalam filem tersebut tidak mungkin dipraktikkan di dalam penggunaan senjata yang sebenar. Tidak pula aku tahu ada orang yang mempunyai kekuatan tangan sebegitu yang boleh menggunakan M-16 untuk menembak dengan tepat dan tidak 'membuang'. Maklumlah, M-16 ada mode 'auto' yang boleh digunakan untuk 'burst' peluru. Berapa kelajuannya, aku sudah tidak ingat.

Kalau tempatnya masih ada, di Kem Sungai Besi lah tempat aku dan rakan2 menjalani latihan menembak. Pelurunya bukannya banyak pun. Hanya 7 butir seorang. Jangan mimpilah untuk menggunakan mode 'auto' senjata M-16 tersebut. Sekali tarik picu saja, sudah habis peluang untuk menembak ke lapangan sasar. Dari SMK Raja Abdullah ke Kem Sg Besi kami menaiki trak askar yang dibawa khas oleh Jurulatih2 askar di sana. Sebelum memulakan latihan menembak, sempat jugalah kami ditengking dan dihukum dalam kawad oleh Jurulatih2 di sana. Nasib baik tidak ada yang menangis. Bagus juga kami memulai latihan menembak dengan herdikan dan hukuman tersebut kerana semuanya buat 'muka ketat' dan serius. Tidak ada seorang pun di antara kami yang berani bergurau. Maklumlah, senjata tersebut berbahaya dan boleh mencederakan walaupun peluru yang digunakan hanyalah peluru getah.

Selepas taklimat mengenai senjata, kami memulakan acara menembak. Sasarannya sangatlah jauh dan kami diwajibkan meniarap. Tidak ada sesiapa yang dibenarkan untuk berdiri semasa menembak. Aku ikutkan saja kata jurulatih. Aku tidak mahu tercedera mahupun mencederakan orang lain. Rakan2 lain pun begitu juga. Lagipun, Cikgu Thani ada di situ. Nanti, tidak pasal2 kena hukum dengan beliau bila pulang ke sekolah. Kali pertama aku menarik picu, aku terkejut dek kerana bunyinya yang kuat (macam mercun botol) dan daya tujahannya yang menendang bahu aku. Rasa macam hendak tercabut bahu ini pun ada. Seksa juga latihan menembak ini. Baru aku tahu yang cerita Rambo itu sebenarnya banyak menipu. Selesai 7 butir peluru, aku bangun dan menunggu di belakang. Yang kelakarnya, hanya 2 saja sasaran yang mengena. Lagi 5 butir peluru meraban entah ke mana? Nampak sangat daifnya aku menggunakan senjata ini. Patutlah askar2 selalu mengadakan latihan. Rupa2nya bukan senang hendak menembak. Lagi2 hendak mengenai sasaran dengan tepat. Mesti banyak latihan yang perlu dijalankan.

Latihan menembak ini pernah aku cuba bawakan semula untuk ahli2 KRS SMK Raja Abdullah tahun lepas namun tidak berjaya. Pakcik aku yang berpangkat Mejar General Angkatan Tentera Malaysia mengatakan bahawa peluru lebihan telah digunakan oleh pasukan Khidmat Negara. Rupa2nya Latihan Khidmat Negara sekarang ini telah memasukkan aktiviti Latihan Menembak di dalam modul mereka. Untunglah pada mereka yang berpeluang untuk menjalani Latihan Khidmat Negara ini. Modul mereka sememangnya sangat menarik. Jadi, bagaimana pula dengan KRS? Aku masih menaruh harapan untuk membawa ahli2 KRS SMK Raja Abdullah ke Kem Sg Besi untuk latihan menembak. Semoga ianya akan menjadi kenyataan. Sekian.

Isnin, 28 September 2009

Puasa Sunat Syawal (Puasa 6)


Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak, kini tiba pula kita di bulan Syawal. 1 Syawal merupakan hari untuk semua umat Islam bergembira dengan bertakbir sebagai tanda kemenangan mendidik hawa nafsu. Namun, sebagai orang awam yang tidak pernah lepas daripada melakukan kesalahan, puasa Ramadhan kita mungkin ada cacat celanya sama ada yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan. Bagaimanakah mungkin kita dapat memperbaiki dan menampal lubang2 kekhilafan puasa Ramadhan kita?

Berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal merupakan sunnah Rasulullah S.A.W. yang menjanjikan ganjaran yang sangat besar. Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun" (Hadis riwayat Muslim).

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun.


Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :
"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun" (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran.

Sabda Rasulullah S.A.W.:
Yang bermaksud, "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, keluar (dihapus) dosanya seolah-olah dia baru dilahirkan oleh ibunya".


Allahyarham Cikgu Thani semasa hayat beliau sangat menggalakkan ahli2 KRS untuk berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Sehinggakan setiap tahun beliau akan menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat ahli2 KRS yang cukup 6 hari berpuasa sunat di bulan Syawal. Kebiasaannya ialah kembara atau perkhemahan. Jangan pula ada yang salah anggap. Beliau memberi ganjaran kepada ahli2 KRS tersebut hanya kerana ingin memberi motivasi dan dorongan kepada ahli2 KRS untuk melakukan puasa sunat syawal serta sebagai mukadimah kepada mereka untuk menghayati sunnah Rasulullah S.A.W. sebelum meninggalkan sekolah. Lagipun, bila lagi beliau berpeluang mendidik anak2 buahnya sendiri selain semasa di sekolah? Selepas anak2 buahnya tamat persekolahan, tanggungjawab mendidik itu bukan lagi sepatutnya digalas oleh beliau (walaupun beliau tetap mendidik & memberi tunjuk ajar kepada bekas pelajar2 beliau sehingga ke akhir hayat). Wasallam.

Khamis, 24 September 2009

Hukuman Dalam KRS


"Buka dada, kepala langok! Kaki V-shape! Hah, kamu! Kenapa tergoyang-goyang ni? Turun 10!". Itu adalah di antara dialog peringatan yang popular yang sering kedengaran di dalam aktiviti Kawad Kaki. Tambah2 lagi sekiranya aktiviti Kawad Kaki tersebut merupakan latihan untuk pertandingan Kawad Kaki KRS peringkat zon, negeri atau kebangsaan. Seksalah ahli2 platun dibuatnya. Tetapi dek kerana semangat KRS terbina dalam diri maka semua itu mampu ditempuhi. Apatah lagi ukhwah yang dibina di dalam platun yang membuahkan semangat setia kawan dan sanggup menempuhi apa saja halangan bersama-sama.

Dahulu semasa zaman Kadet Putera Islam Malaysia, ada seorang jurulatih KPIM yang sangat digeruni. Kami panggil beliau 'Abang Maizin'. Beliau digelar 'Singa Putera Islam' kerana ketegasan dan kekerasan yang digunapakai semasa berkawad. Namun, diluar kawad beliau merupakan ahli KPIM yang baik. Ada satu hukuman semasa zaman beliau yang aku tidak boleh lupa iaitu 'Pumping beralas boot'. Apabila ada ahli platun yang membuat kesalahan semasa berkawad, beliau akan mengarahkan untuk ahli platun tersebut 'Turun 10' (pumping). 'Pumping' itu sebenarnya perkara biasa dalam KRS tetapi apa yang luar biasa adalah beliau akan meletakkan kaki (boot) di bawah dada ahli platun tadi. Setiap 'pumping' tidak boleh menyentuh 'boot' beliau. Sekiranya tersentuh, beliau akan menarik kakinya ke atas mengenai dada si ahli platun tadi. Maka, sesak sekejap nafas si ahli platun. Padan muka, siapa suruh buat salah? Kesian pun ada. Namun, itulah yang mendisiplinkan kami. Sebab itu juga, ahli2 KRS dulu sangat serius semasa di dalam kawad. Kebanyakan ahli KRS sekarang ini tidak serius, gelak2 dan kuat merajuk (manja) apabila dikenakan hukuman. "Rileks la brader, ini KRS bukan Tarian Inang! Gagah la sikit!".

Ada juga abang2 senior yang suka menggunakan 'tali wisel' untuk menyebat sesiapa yang membuat kesalahan di dalam kawad. Tidak kurang juga menggunakan kayu, rotan dan batang besi. Semua ini aku hentikan semasa zaman aku menjadi jurulatih. Aku lebih suka menggunakan pendekatan psikologi dan 'herdik' selain daripada hukuman pumping, lari padang, jalan itik, squat jump dan hukuman2 membentuk fizikal yang lain. Sekiranya ada ahli platun yang membuat kesalahan, aku lebih suka bertanya dan memberi peringatan dalam nada keras yang berubah-ubah. Aku sudah uji, ianya amat berkesan dan selalu membuatkan anak2 buah aku terkejut kerana herdikan yang kuat. Bagaimana caranya tidak reti aku ungkapkan dalam catatan. Hendak tahu, jumpa aku sendiri. Namun, perwatakan ini hanya aku lakukan di dalam kawad. Di luar kawad, aku merupakan abang KRS yang penyayang. Tidak percaya? Silakan jumpa batch2 Mohedi dan Subli.

Selain daripada itu, aku suka menggunakan hukuman 'Turun 100!'. Sekali dengar memang mendebarkan tetapi aku tidaklah sekejam itu. Kadang2 sampai 10 saja aku sudah suruh anak buah aku berhenti. Kadang2 20. Kadang2 30. Bukannya apa, untuk membina kekuatan fizikal mereka juga. Nanti senang hendak melakukan aktiviti2 lasak. Badan sudah 'fit', apalagi hendak ditakutkan? Kalau pergi kursus kenaikan pangkat pun tidak malu. Baru orang akan tahu bahawa ahli2 KRS SMK Raja Abdullah tidak lembek dan mampu melakukan semua aktiviti sama ada yang berbentuk fizikal mahupun mental. Itu yang cuba aku bawakan. Setiap hukuman, perlu ada kesan positifnya. Pada aku, kalau menyebat dengan tali wisel dan kayu, tidak mendatangkan apa2 kesan positif. Ianya lebih kepada negatif dan mungkin boleh mencederakan. Sebab itu aku berhentikan sebat-menyebat dan pumping beralas boot semasa zaman aku menjadi jurulatih. Aku lebih suka menghukum menggunakan fizikal yang boleh menguatkan otot2 anak2 buah aku. Selain daripada itu, hukuman psikologi pula boleh meningkatkan ketahanan mental mereka. Maka, lengkaplah kekuatan mental & fizikal ahli2 KRS untuk menempuh segala macam bentuk cabaran dan dugaan.

Cikgu Thani tidak pernah berkata apa2 mengenai hukuman yang aku lakukan kepada ahli2 platun. Aku ambil itu sebagai kata setuju daripada beliau. Lagipun KRS adalah unit beruniform yang berorientasikan 'Pre-Military Training' bukannya Persatuan Joget Inang atau Mak Yong. Ahli KRS perlu mantap dari segi mental dan fizikalnya. Ini penting untuk menjamin pemimpin2 masa depan yang proaktif dan mempunyai jati diri yang dominan dan kuat. Bukannya mengikut-ikut cara dan budaya barat yang banyak negatifnya. Seorang pemimpin mampu mempengaruhi orang2 lain bukan dipengaruhi. Maka, siapakah kita? Wassalam.

Selasa, 22 September 2009

Taman KRS



Dua tiga hari ini masa memang agak terhad. Maklumlah, musim raya ini memang sibuk ke sana dan ke sini. Menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai yang sudah lama tidak ketemu. Inilah pun masa dan semangatnya untuk menjiwai aktiviti ziarah menziarahi ini. Kalau pada hari2 biasa, memang jarang sangatlah kaki kita tergerak untuk ke sana. Tambah2 lagi sekiranya bermastatutin jauh dari keluarga. Tentu sekali cuti dan kelapangan ini wajib diisi dengan tentatif2 merapatkan silaturrahim dan berjejak kasih. Aku pun hanya dapat mencuri sedikit kelapangan kali ini untuk berkongsi sesuatu dengan semua yang melayari blog ini.


Untuk pengetahuan semua, aktiviti 'Alam Sekitar' yang ada dalam silibus KRS ada sejarahnya. Ianya tidak bermula pada zaman awal Kadet Putera Islam Malaysia tetapi sebaliknya pada zaman akhir KPIM. Ketika itu aku masih di tingkatan 3. Memandangkan kawasan2 landskap sekolah agak kurang terurus disebabkan oleh pekerja am (PAR) terlalu banyak kerja, Cikgu Thani telah meminta pihak sekolah untuk memberikan satu kawasan landskap kepada KRS untuk diuruskan. Kawasan pertama ialah dihadapan koperasi SMK Raja Abdullah (masih ada lagi sehingga sekarang). Landskap (2 pokok rendang) di situ merupakan hasil kerja tangan batch KRS 1994-1998. Sekarang ini telah diletakkan beberapa blok simen yang dijadikan tempat duduk. Dahulu, kawasan itu hanyalah merupakan rumput yang pendek dan agak bahang. 2 pokok di situ Cikgu Thani 'import' dari luar dan kamilah yang menggali lubang dan menanam pokok tersebut serta memastikan ianya tidak tumbang (pokok itu sememangnya didatangkan dalam keadaan yang sedia besar).


Kawasan kedua merupakan kawasan di hadapan pejabat SMK Raja Abdullah. Di sini juga terletaknya batu tanda Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Datuk Najib (yang ketika itu Menteri Pelajaran). Di dalam kawasan ini terdapat satu landskap 'Air Terjun' serta kolam yang dahulunya penuh dengan ikan 'Carp'. Cuma, disebabkan beberapa batch selepas batch aku & batch Mohedi, kawasan ini tidak berjaga, Pengetua mengambil keputusan untuk menutup landskap air terjun dan kolam tersebut. Aku memang agak terkilan tetapi semuanya telahpun berlaku. Biarlah kita sama2 mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut. Namun, aku masih boleh berbangga kerana kawasan yang pertama masih wujud hingga sekarang. Cuma, ianya bukan lagi diuruskan oleh pihak KRS tetapi sekumpulan pekerja am yang sekarang ini ramai dan terurus.


Cikgu Thani memang cintakan Alam Sekitar, itu pasti! Sesuai dengan bidangnya iaitu Sains Pertanian. Sememangnya elemen 'Sekolah Lestari' telah lama diterapkan oleh Cikgu Thani menerusi KRS. Cuma, ada ahli2 KRS yang kurang prihatin serta tidak melaksanakan apa yang telah ada di dalam silibus KRS itu sendiri. Ingin aku nyatakan di sini bahawa, 'KRS itu diwujudkan bukan hanya kerana Kawad Kaki tetapi lebih daripada itu. Malahan, KRS itu sendiri merupakan satu medan perjuangan bagi mereka2 yang berminat untuk mendidik anak2 bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang secara menyeluruh serta dapat pula berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara'. Sekian.

Sabtu, 19 September 2009

Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri


Assallamualaikum... Salam KRS,

Maka genaplah semalam 30 hari kita berpuasa dan hari ini merupakan satu kejayaan yang patut diraikan oleh setiap orang Islam dengan memuji kebesaran Allah yang memberikan kita nikmat sejak dari kita dilahirkan sehingga sekarang. Kita wajib bersyukur kerana Dia masih memberikan kesempatan kepada kita untuk melihat fajar 1 Syawal. Kita sebenarnya tidak punya apa2 dan semuanya adalah milik Allah. Maka, semestinya kita meletakkan diri kita sebagai hambaNya yang tidak mampu berbuat apa2 melainkan dengan kekuasaan dan keizinan daripadaNya.

Setiap kali 1 Syawal pasti tidak lepas daripada kita menziarahi pusara arwah2 yang telah pergi. Walaupun sekiranya ingin menghadiahkan doa kita tidak perlu ke kawasan perkuburan, cukup sahaja berdoa di mana2, namun inilah masa dan budayanya untuk kita menjiwai watak dalam meraikan 1 Syawal. Tidak lengkap rasanya tentatif 1 Syawal tanpa menziarahi pusara arwah2 yang pernah tertinta dalam diari hidup kita. Adakalanya, arwah2 tersebut telah mewarnai sebahagian besar dari hidup kita. Malah, ada yang berjasa besar dalam mencorakkan pemikiran kedewasaan kita. Jasa mereka tetap akan kita kenang.

Kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara merupakan aktiviti wajib dalam masyarakat Malaysia. Itu belum bercerita tentang duit raya. Kanak2 semua penuh poketnya. Inilah masanya untuk menjadi hartawan segera. Untung2, boleh beli mercun sepapan dua. Paling tidakpun, beberapa batang aiskrim Malaysia. Semua tersenyum semua gembira. Begitulah meriahnya hari raya.

Di kesempatan ini aku ingin mengungkapkan ucapan Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri buat semua umat Islam terutama ahli2 KRS SMK Raja Abdullah, bekas ahli2 KRS SMK Raja Abdullah, Cikgu Amir, Cikgu Anuar (Mejar KRS SMK Seri Titiwangsa), Ustaz Ahmad Faradilla (SMK Taman Tun), Guru2 KRS dan semua ahli2 KRS di seluruh Malaysia. Seandainya ada terkasar bahasa, tersilap bicara, terhambur carutnya, termengumpat dirinya dan semua kekhilafan yang melengkapkan aku sebagai manusia yang lemah, aku susun sepuluh jari memohon ampun dan maaf, zahir dan batin. Jangan lupa ziarah pusara Pengasas KRS yang banyak berjasa kepada kita iaitu Allahyarham Muhammad Thani bin Syaaban di Kawasan Berkuburan Kg Batu yang terletak di belakang The Store, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Khamis, 17 September 2009

Cikgu Thani - Pemimpin Teragung KRS


"Generasi demi generasi. Pemimpin silih berganti. Ada yang datang dan ada yang pergi. Yang datang membawa ideologi. Yang pergi meninggalkan bakti. Tidak semua pemimpin sama hebat. Ada yang Tuah dan ada yang Jebat. Yang dipimpin pula harus sepakat. Agar semua mendapat berkat. Pemimpin sejati sahsiah hebat. Satu wawasan satu matlamat. Namun, yang pergi tetap dikenang. Semadi dihati pemimpin terbilang. Biar beribu biar seorang. Air mata kan jatuh bergenang. Mengenangkan dirimu Cikgu tersayang..."

Setiap kali menjelang raya, kita akan sedih mengenangkan arwah2 yang telah pergi. Bayangan kenangan bersama-sama mereka mengetuk-ngetuk pintu ilusi dan kita seakan merelakan minda sedar kita dicuri dibawah pengaruh angan-angan. Pasti di antara orang yang kita selalu kenang adalah 'guru2' kita sendiri. Mengapa? Adakah kerana mereka hanya menjadi seorang 'Cikgu' yang masuk kelas apabila sampai waktunya? Ataupun kerana mereka terlalu banyak mencorak cara kita melakonkan watak dewasa? Mungkin juga kerana mereka benar2 pendidik sejati yang tidak jemu2 mendidik dan membimbing kita semasa zaman kebodohan kita sehingga berjaya menjadi manusia yang mampu berfikir secara matang dan dewasa?

Baru2 ini aku melayari sebuah blog yang direka oleh bekas pelajar arwah Cikgu Thani di SM Sains Ulu Yam. Hampir2 menitiskan airmata bila membaca catatan yang dibuat khas berkenaan Cikgu Thani. Antara catatan yang masih aku ingat ialah berkenaan beliau yang menemankan si Blogger dan kawan2nya untuk 'prep' hingga ke tengah malam tanpa jemu sebagai satu persediaan bagi mereka menghadapi peperiksaan PMR. Ya, begitulah Cikgu Thani yang selalu mengorbankan masa beliau untuk pelajar2nya. Semasa aku sedang membuat persediaan untuk menghadapi SPM dulu pun, beliau selalu mengambil berat tentang ulangkaji aku. Aku selalu pulang lewat ke rumah kerana mengulangkaji pelajaran di Perpustakaan SMK Raja Abdullah. Kadang2 beliau masuk ke perpustakaan untuk bertanyakan bagaimana 'progress' ulangkaji yang aku lakukan sebelum beliau masuk ke kelas untuk P&P. Selepas habis ulangkaji, kadang2 aku akan jengok2 markas KRS sebelum pulang ke rumah. Kalau beliau ada, aku akan dengar dulu sepatah dua nasihat daripada beliau sebelum melangkah keluar dari sekolah. Macam2 nasihat yang beliau berikan termasuklah berkenaan pelajaran, motivasi diri, masa depan dan kadang2 berkenaan 'cinta'. Walaupun beliau tidak suka pelajar2nya bercinta semasa di sekolah, beliau banyak memberikan aku garis panduan berkenaan 'cinta'. Aku tidak tahu kalau2 beliau ada berkongsi pengalaman ini dengan pelajar2 lain.

Aku rasa terkilan kerana Cikgu Thani tidak diberikan pengiktirafan yang sepatutnya. Lihat saja hidup beliau yang penuh dengan kepayahan walaupun hatinya senang. Bila aku baca berkenaan Lord Barden Powell (Pengasas Pergerakan Pengakap Dunia), betapa ahli2 pengakap selalu mengungkap sejarah berkenaan pengasas mereka sehingga terbit beberapa buah buku berkenaan diri Lord Barden Powell itu sendiri. Aku rasa agak kecewa kerana Cikgu Thani merupakan pengasas kepada unit beruniform KRS yang pertama sekali mengasaskan unit beruniform 'buatan Malaysia' di sekolah tetapi beliau seolah-olah dilupakan di dalam sejarah. Tidak percaya? Baca berkenaan silibus KRS yang diedarkan kepada sekolah2. Dalam sejarah penubuhan KRS, nama beliau hanya disebutkan sekali saja sebagai pengasas KRS dan itulah yang diketahui oleh semua ahli2 KRS di Malaysia (itupun sekiranya mereka ambil tahu). Sepatutnya, sejarah berkenaan beliau perlu dibukukan dan diedarkan ke sekolah2 untuk disimpan di dalam perpustakaan mereka. Sekurang-kurangnya, apabila ada ahli2 KRS yang ingin mengkaji sejarah KRS itu sendiri, mereka dapat mencari maklumat yang dalam dan tepat. Susah sangatkah ini untuk dilakukan? Aku bercita-cita untuk melakukannya. Sebab itu blog ini merupakan sandaran dan juga 'kick start' untuk aku bukukan berkenaan beliau satu hari nanti.

Sesungguhnya, tidak ada pemimpin yang lebih agung di dalam KRS selain daripada Cikgu Thani. Mungkin ramai pemimpin2 yang hebat2 di dalam KRS tetapi untuk menandingi jasa dan pengorbanan Cikgu Thani aku rasa tidak ada. Sebab itu aku memilih tajuk 'Cikgu Thani - Pemimpin Teragung KRS' sebagai pembuka kepada catatan aku untuk kali ini. Beliau layak untuk mengisi gelaran itu cuma belum ada yang ingin memperjuangkannya. Jika sesudah perginya Allahyarham P.Ramlee, pelbagai anugerah diterima oleh beliau, mengapa tidak Cikgu Thani? Walaupun mungkin Cikgu Thani tidak suka dengan semua yang bersifat keduniaan tetapi tidak salah rasanya untuk mengenangkan pemimpin yang teragung ini. Agar sejarah tidak dilupakan mahupun dipadamkan. Buat ahli2 KRS yang terbaca catatan ini, tanamlah azam untuk terus berjuang di dalam KRS agar dapat mendidik anak bangsa yang berjaya. Sekian.

Isnin, 14 September 2009

KRS Bersaudara


Assallamualaikum...

Terpanggil dengan satu amalan dalam KRS maka aku ingin kongsikan bersama dengan sesiapa yang melayari blog ini. Termasuk di dalam Lagu KRS itu sendiri merupakan satu istilah yang dipanggil 'Ikatan Bersaudara'. Sebenarnya di dalam Islam itu sendiri telahpun mengajar mengenai konsep bersaudara ini. Di dalam KRS, konsep Ikatan Bersaudara telah diperkembangkan agar setiap ahli KRS dapat bersama-sama meningkatkan sahsiah diri untuk menjadi bangsa Malaysia yang berjaya. Bak kata pepatah "Seekor Kambing Mudah Diserang Serigala". Serigala di sini merupakan anasir2 tidak baik yang sedang membelenggu masyarakat di Malaysia ini. Sekiranya kita berseorangan, kecenderungan untuk melakukan kesilapan itu besar. Di dalam persaudaraan, budaya tegur menegur dapat dijadikan amalan supaya setiap kesilapan dapat diperbetulkan.

Aku ingin mengupas konsep bersaudara ini dengan lebih meluas. Bersaudara di dalam KRS merupakan rentetan daripada sejarah penubuhan KRS itu sendiri. Telah aku catatkan dalam catatan yang lepas mengenai bagaimana satu masa dahulu Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM)
hanya membenarkan penglibatan pelajar2 lelaki sahaja. Kemudian, apabila KPIM ditukarkan kepada Kadet Remaja Islam Se-Malaysia (KRIS), barulah pengambilan pelajar2 perempuan dibenarkan. Di sini, konsep bersaudara telahpun berkembang untuk memberi peluang pula kepada pelajar2 perempuan. Setelah itu, KRIS ditukarkan kepada Kadet Remaja Sekolah untuk memberi peluang pula kepada pelajar2 bukan Islam untuk mempelajari ilmu KRS dan bersama-sama mencorak serta menghidupkan moto 'Berilmu, Beriman dan Beramal'. Akhirnya, konsep bersaudara ini diperluaskan secara menyeluruh.

Satu masa dahulu (sehingga sekarang) aku biasa terdengar dengan konsep 'abang angkat', 'adik angkat' atau 'kakak angkat'. Mungkin ada baiknya di mana2, namun adakala konsep ini disalahertikan terutama di dalam golongan2 pelajar. Aku ambil konsep 'abang angkat' dahulu. Sekiranya, hubungan 'abang angkat' ini terjadi antara lelaki dan perempuan dan si lelaki yang memulakan dulu. Pada pengamatan aku, sebenarnya si lelaki ini ada menyimpan perasaan yang lebih dari itu. Tetapi dek kerana malu hendak meluahkan perasaan sebenar maka 'adik angkat' itu dijadikan sebagai alasan untuk mendekati si perempuan sampailah satu masa yang sesuai untuk sesi luahan rasa. Pada aku, keikhlasan si lelaki boleh dipersoal kerana tidak jujur untuk menjadi 'abang'. Begitu juga disebaliknya. Sekiranya si perempuan yang memulakan dulu, kebiasaannya dia sangat meminati si lelaki ini tadi. Namun, perempuan yang terkenal dengan sifat 'malu'nya maka 'abang angkat' dijadikan platform untuk mendekati si lelaki. Di mana kejujurannya?

Namun, tidak pula aku nafikan memang ada perhubungan 'angkat' yang ikhlas. Cuma, jarang2 sangat perkara ini berlaku. Biasanya sesuatu hubungan 'angkat' itu terjadi kerana sebab2 seperti ada sesuatu yang menarik pada diri si 'angkat', mempunyai rupa paras yang menawan, harta, perlindungan dan bermacam-macam lagi. Teringat pula pada program 'Keluarga Angkat' yang selalu dijalankan oleh Institusi2 Pengajian Tinggi. Pada aku, program sebegini amat bagus. Ini adalah kerana, pelajar2 didedahkan dengan kehidupan penduduk2 kampung yang kadangkala daif dan susah. Hubungan 'angkat' yang sebegini boleh dikatakan terletak pada landasan yang betul. Tiada niat lain selain daripada ingin berkongsi susah senang serta jerit perih si 'Keluarga Angkat'. Bukankah ini lebih baik dan banyak pengajaran yang boleh diambil?

Apa yang ingin aku nyatakan di sini ialah setiap ahli KRS itu bersaudara. Tidak perlu angkat mengangkat di dalam KRS. Jika terniat, elakkanlah. Takut2 niatnya salah. Tambahan lagi berlainan jantina. Biarlah setiap ahli KRS itu yang kita anggap saudara dan adik beradik. Susah senang ditempuhi bersama. Berlapar dan dahaga, sama2 merasainya. Jika 'aral' melintang, sama2 pula mengalihkannya. Jika masalah mendatang, sama2 juga menyelesaikannya. Guru KRS itu umpama ayah atau ibu di sekolah. Senior sebagai abang dan kakak. Junior sebagai adik kesayangan. Maka, lengkaplah sebuah keluarga KRS. Ini yang sangat2 dimahukan oleh Allahyarham Cikgu Thani. Semoga KRS akan tetap menjadi sebuah keluarga hingga ke akhir zaman.

"Kadet Remaja Sekolah. Menuju Satu Ikatan Bersaudara."

> X-Pegawai Waran (KRS) <

Ahad, 13 September 2009

Berkata Benar Akhlak Mulia


Sesuatu kebenaran perlulah ditegakkan manakala kebatilan pula perlu kita hapuskan. Berkata benar merupakan salah satu daripada tuntutan agama yang sangat2 ditekankan oleh Rasulullah S.A.W. pada umatnya. Lawan kepada berkata benar adalah bercakap bohong. Ada pepatah melayu yang mengatakan 'Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong Lama2 Mencuri'. Kalau kita fikirkan betul2, memang ada benarnya pepatah ini terutama mengenai kesan berbohong iaitu 'mencuri'. Mencuri di sini bukanlah hanya bermaksud pada fizikal dan harta benda sahaja malahan jika difikirkan dalam2, membuat fitnah juga merupakan pencurian secara batin. Fitnah membuatkan seseorang itu hilang maruahnya dek kerana si pencuri telah mencuri kebenaran daripada cerita atau perkara asal. Cikgu Thani sangat marah dengan orang yang suka bercakap bohong. Sama ada dari kalangan ahli KRS mahupun warga sekolah itu sendiri. Elok2 kena rotan 1 kali, silap2 boleh kena rotan 2-3 kali dengan beliau sekiranya didapati pelajar tersebut berbohong.

Semasa aku masih lagi di SMK Raja Abdullah, Cikgu Thani sangat2 menuntut ahli2 KRS untuk berkata benar. Biarpun pahit mana sekalipun, cakaplah dengan kebenaran. Walaupun begitu, sebenarnya di hadapan beliau memang susah untuk bercakap bohong. Aku pun tidak tahu mengapa? Mungkin dek kerana keikhlasan hatinya untuk mendidik ahli2 KRS untuk menjadi insan yang seimbang di dunia dan di akhirat. Pelajar2 lain (bukan ahli KRS) aku tidak pasti sama ada mereka berjaya atau tidak berbohong di hadapan Cikgu Thani tetapi ahli2 KRS yang cuba berbohong pasti akan tergagap-gagap dan terketar-ketar suaranya di hadapan beliau. Di situ saja beliau sudah mengerti bahawa ahli KRS tersebut cuba untuk berbohong. Bila ditanya buat kali kedua kebiasaannya ahli KRS tersebut akan berkata benar juga dan meminta maaf daripada Cikgu Thani.

Pernah sekali, seorang senior aku cuba untuk berbohong padanya mengenai siapa yang memegang 'Walkie Talkie' semasa kami menguruskan sebuah kursus KRS yang agak besar di Port Dickson. Sedang dia menggoreng ayat, tiba2 'Walkie Talkie' yang ada padanya berbunyi. Yang musykilnya ialah suara yang keluar daripada 'Walkie Talkie' tersebut merupakan suara perempuan. Tiada siapa di antara barisan jurulatih yang perempuan, semuanya lelaki. Bila Cikgu Thani balas suara tersebut dan ditanya siapa yang menjawab, rupa2nya anak makcik kantin di kem tersebut. Rupa2nya senior aku ini tengah mengayat 'awek' rupanya. Cikgu Thani yang terkenal dengan sikapnya yang tidak suka ahli2 KRS ber'couple' terus memarahinya. Tambahan pula, dia sudah bercakap bohong. Kami hanya mampu melihat saja. Tidak ada sesiapa yang berani bersuara. Yelah, apa yang Cikgu Thani buat itu memang betul. Mengapa berbohong? Bila pulang ke sekolah, senior aku tersebut mengasingkan diri dari kelompok KRS dan akhirnya tidak lagi aktif. Mungkin dia malu sendiri. Seingat aku, mungkin dia dibuang keahliannya daripada KRS. Maklumlah, Cikgu Thani memang tegas dalam hal ini.

Antara lagu nasyid yang selalu kami dendangkan semasa membuat persembahan ialah 'Berkata Benar'. Selalunya yang menjadi penyanyi utama untuk lagu ini ialah Rahimuddin (rakan sebaya). Sekarang ini dia bertugas sebagai salah seorang pegawai di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Antara senikatanya ialah:

Berkata Benar, Akhlak Yang Mulia
Sifat Terpuji, Semua Orang Suka
Berbohong Menipu, Sikap Yang Tercela
Di Dunia Lagi, Terima Balasannya.

Banyak lagi pengalaman yang aku lalui bersama-sama dengan Cikgu Thani berkenaan berkata benar. Sememangnya, Cikgu Thani sendiri orang yang sentiasa berkata benar. Namun, itu tidak bermakna yang beliau menceritakan semua hal pada semua orang. Misalnya, jika beliau menggunakan duitnya untuk kepentingan KRS, beliau tidak pernah ceritakan pada orang sebarangan. Cuma, kadang2 bila beliau 'demotivated', beliau akan berkongsi cerita dengan Cikgu Amir. Banyak juga perihal Cikgu Thani yang Cikgu Amir tahu. Sebab itu Cikgu Thani menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya pada Cikgu Amir untuk menguruskan KRS di SMK Raja Abdullah setelah beliau berpindah ke SM Sains Ulu Yam. Harapan aku ialah semoga KRS SMK Raja Abdullah terus hidup dan berkembang. Wassalam.

Jumaat, 11 September 2009

Memanah (Archery)


Salah satu daripada senjata lama yang berbentuk pertahanan jarak jauh adalah 'Busur dan anak panah'. Senjata ini telah lama digunakan malahan sebelum masihi lagi. Senjata ini mampu memastikan penggunanya berada pada jarak selamat untuk menewaskan musuh tanpa perlu berdepan dengannya. Selain daripada itu, senjata ini juga digunakan untuk memburu binatang. Terdapat 2 jenis busur (bow) iaitu 'Long Bow' (seperti dalam gambar) dan juga 'Cross Bow'. 'Long Bow' merupakan busur yang memerlukan penggunanya untuk menarik 'string' (tali) menggunakan 3 jarinya manakala 'Cross Bow' berfungsi seperti senapang iaitu mempunyai picu yang perlu ditarik untuk melepaskan anak panah. Walaubagaimanapun, untuk memiliki 'Cross Bow' perlu ada lesen senjata. Ianya dikategorikan sebagai senjata berbahaya yang mungkin boleh disalahgunakan untuk membunuh. Berbanding dengan 'Cross Bow', yang banyak digunakan dalam pertandingan atau acara memanah ialah 'Long Bow'.

Cikgu Thani pernah memiliki 2 'Long Bow' dan diletakkan di dalam markas KRS. Sesekali, Cikgu Thani memasukkan aktiviti ini ke dalam latihan mingguan. Waktu itu kami memanah cara 'koboi' saja. Tidak ada 'arm guard', 'chest guard' atau 'finger tap' sebagai alat pelindung diri atau keselamatan. Lagipun, zaman Rasulullah S.A.W. dulu pun bukan ada semua ini. Semua pejuang2 Islam di waktu itu memanah tanpa menggunakan semua alat pelindung diri tadi. Cara memanah pun sebenarnya tiada siapa yang pakar. Cikgu Thani sendiri pun pakai belasah saja. Aku tahu dia pakai belasah saja selepas aku menghadiri satu 'Kursus Memanah' yang diajarkan sendiri oleh skuad memanah Angkatan Tentera Malaysia. Di situ baru aku tahu yang memanah ini ada langkah2 keselamatan dan teknik2 yang perlu dipastikan betul.

Semasa kami memanah dulu, kami pakai lepas saja 'string' tanpa memastikan teknik yang betul untuk 'aim' dan melepaskan 'string'. Apalagi, anak panah tersasar jauh daripada 'Target Butt'. Satu pun tidak mengenai sasaran. Payah sangat anak panah itu hendak tertusuk pada 'Target Butt'. Satu lagi, lengan kiri habis melecet disebabkan terkena 'string' yang dilepaskan laju. "Seksa rupanya memanah ni", aku berkata di dalam hati. Sebenarnya, hati aku memang suka sangat dengan aktiviti memanah ini tetapi setiap kali memanah, pasti lengan melecet. Itu yang menyebabkan aku agak tawar hati ketika itu. Namun, setelah tahu teknik2 yang betul sekarang, aku jadi ketagih memanah. Kepuasan melepaskan 'string' dan anak panah kena pada 'Target Butt' memang mengasyikkan. Tambahan pula jika anak panah kena pada 'Bull Eye'. Rasa macam atlet memanah pula. Syok sendiri rupanya...

Sebenarnya jauh dihati aku, ingin sekali aku menginstalasikan semula aktiviti memanah ini di SMK Raja Abdullah. Aku sudahpun cuba untuk mengembalikannya setelah aku sendiri memegang jawatan sebagai guru sukan memanah tahun lepas. Namun, dek kerana budget sekolah yang agak tersepit dalam kekangan, hasrat itu terpaksa ditangguhkan. Busur, panah dan kelengkapan keselamatan yang lain memang ada. Cuma di SMK Raja Abdullah, 'Target Butt' sudah rosak disebabkan tiada penyelenggaraan dilakukan. Lagipun, ianya dibiarkan berpanas dan berhujan tanpa diletakkan di tempat yang teduh. Akhirnya, semua orang rugi.

Aktiviti memanah adalah satu Sunnah Rasulullah S.A.W. yang sangat digalakkan oleh baginda. Selain daripada itu, teknik2 peperangan seperti seni mempertahankan diri, penggunaan senjata 'melee' dan menunggang kuda juga sangat digalakkan oleh baginda. Cikgu Thani cuba menghidupkan aktiviti memanah ini dalam KRS. Mungkin setakat ini ianya masih belum direalisasikan secara menyeluruh. Namun, satu hari nanti aku berharap agar memanah dapat dijadikan satu bentuk pertandingan di antara sekolah2 dalam unit KRS itu sendiri selain daripada pertandingan kawad kaki, kursus kenaikan pangkat dan yang lain2nya. Semoga ianya menjadi kenyataan. Amin.

Khamis, 10 September 2009

Qiamullail


Bersempena dengan kedatangan 10 malam terakhir bulan Ramadhan ini, elok rasanya aku mencatatkan sedikit pengalaman aku bersama-sama Cikgu Thani dan KRS berkenaan dengan 'berdiri malam' atau 'Qiamullail'. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. menyuruh kita untuk menggandakan amalan kita pada 10 malam terakhir Ramadhan. Di sinilah terdapat malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu Malam Al-Qadr ataupun Lailatulqadar. Sesiapa yang berhasil mendapat keberkatan daripada malam ini, tentu sekali dirinya akan sentiasa di jaga oleh Allah hingga ke akhirat kelak. Cikgu Thani memang selalu mengadakan aktiviti Qiamullail bersama-sama ahli KRS terutama pada 10 malam terakhir.

Seperti yang telah aku catatkan dalam catatan yang terdahulu, KRS itu sendiri berasal daripada Persatuan Agama Islam SM Raja Abdullah (PERWIRA). Tentu sekali pengasasnya amat mementingkan nilai2 kerohanian di dalam diri setiap ahli KRS. Dahulu, Cikgu Thani memang kerap mengadakan latihan mingguan setiap sabtu. Bukan seperti sekarang yang kebanyakan sekolah mengamalkan 'Alternate Saturday' untuk mengadakan aktiviti unit2 beruniform. Sekiranya ada perkara yang benar2 tidak dapat dielakkan, barulah latihan mingguan dibatalkan. Itupun amat2 jarang. Sepanjang ingatan aku, selama 5 tahun berada di bawah didikan Cikgu Thani, mungkin hanya 4-5 kali latihan mingguan dibatalkan. Ini bermakna, dalam bulan Ramadhan juga Cikgu Thani mengadakan latihan mingguan. Bezanya cuma, latihan mingguan bulan Ramadhan lebih berbentuk kerohanian bukan fizikal.

Hampir setiap tahun pada bulan Ramadhan, setiap hari sabtu malam ahad, Cikgu Thani akan mengadakan Qiamullail bersama-sama dengan ahli KRS. Kebiasaannya ianya akan bermula dengan aktiviti berbuka puasa diikuti dengan solat berjemaah (Maghrib, Isyak dan Tarawikh). Selepas Solat Tarawikh, kami akan disuruh tidur awal supaya boleh bangun pagi. Seperti biasa juga, kami yang sudah berkumpul susah hendak melelapkan mata. Ada saja yang mengganggu dengan lawak2 pecah perut. Ada saja yang hendak berborak. Cikgu Thani selalu tegur, tetapi kami degil juga. Tidak boleh cakap kuat2, kami cakap perlahan-lahan seperti berbisik. Bila tergelak kuat sedikit, kedengaran suara Cikgu Thani menegur kami "Tidur! Apa gelak2 ni? Hang tak boleh bangun esok, siap hang!". Masing2 menjadi kelam kabut dan buat2 tidur. Sempat juga yang kenyit2 mata membuat memek muka. Kami menahan ketawa dengan wajah yang kemerahan. Apa yang lawak sangat pun kami tidak tahu. Yang pastinya, Cikgu Thani dengan tabiatnya yang suka tidur dalam keadaan bersila. Ya, pada sesiapa yang tidak tahu, Cikgu Thani memang selalu tidur bersila. Mungkin memudahkan beliau untuk bangun malam agaknya.

Cikgu Thani kebiasaannya akan mengejutkan kami pukul 3 pagi. Qiamullail akan bermula pada pukul 3:30 pagi. Masing2 dengan muka yang sememeh, bangun mengambil wudhu. Ada yang mata pun sudah tidak mampu untuk diangkat. Namun, dek kerana ketegasan suara Cikgu Thani, semua terpacak berdiri. Kami akan memulakan Qiamullail dengan solat sunat wudhu dahulu. Kemudian, baru Cikgu Thani akan mengimami solat2 sunat yang lain seperti tahajjud, hajat, taubat, tasbih dan witir. Solat sunat yang lain kira bersemangat lagi, namun bila sampai ke solat sunat tasbih, ramai yang hampir tumbang. Terhuyung-hayang masing2 mengimbangi badan. Ada yang sujud tetapi tidak bangun2. Selesai memberi salam kena tegur dengan senior. Kebiasaannya Cikgu Thani tidak menegur ketika qiamullail tetapi siaplah bila sampai kuliah subuh nanti. Semua kena basuh. Terkebil-kebil pada sesiapa yang termakan cili. Berasaplah telinga mendengar kata2 Cikgu Thani. Itulah, siapa suruh tidak tidur malam tadi. Salah sendiri, sendirilah yang tanggung. Padan muka!

Banyak lagi peristiwa ketika Qiamullai yang aku tidak catatkan kali ini. Bila sampai masanya nanti aku akan catatkan untuk dikongsikan bersama. Namun, pengajarannya yang perlu kita ambil. Betapa Cikgu Thani mementingkan kekuatan rohani pada setiap anak buahnya. Untuk pengetahuan semua, Qiamullail ini tidak hanya dilakukan pada bulan Ramadhan. Kadang2 Cikgu Thani membuat aktiviti Qiamullail di luar bulan Ramadhan. Mungkin beliau ingin memastikan yang anak2 buahnya tidak lupa pada solat2 sunat yang terdapat dalam aktiviti Qiamullail. Beliau ingin ahli2 KRS pada suatu hari nanti menjadikan Qiamullail sebagai satu amalan dalam diri masing2. Ini adalah kerana, di sebalik berdiri malam dan bermunajat, tersembunyi 1001 rahmat yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Hanya mata hati yang dapat menafsirkannya. Sekian.

Rabu, 9 September 2009

KRS Puteri SMK Raja Abdullah


Semasa zaman Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM), pelajar2 perempuan tidak dibenarkan menyertai badan ini. Sebab itu, pelajar2 perempuan semasa ini lebih cenderung untuk menyertai Pandu Puteri dan Puteri Islam selain daripada unit2 beruniform yang lain. Menyedari hakikat bahawa wanita juga mempunyai hak dalam masyarakat, maka apabila KPIM 'rebranding' menjadi KRS, pelajar2 perempuan dibenarkan menyertai sebahagian daripada kekuatan KRS. Sebab itu, ahli2 lama KRS terdiri daripada golongan lelaki. Manakala ahli2 KRS Puteri yang paling senior pun hanyalah berumur 28 tahun (bukan dari kalangan guru).

Pernah aku ceritakan mengenai Ila dalam catatan aku yang lalu. Batch Ila merupakan batch pertama yang menyertai KRS di SMK Raja Abdullah. Itupun, mereka berada di dalam jagaan Ustazah Tengku Norazian dan bukan Cikgu Thani. Cikgu Thani lebih menumpukan kepada KRS Putera dan tanggungjawab untuk KRS Puteri diserahkan sepenuhnya kepada Ustazah Norazian. Penyertaan KRS Puteri di SMK Raja Abdullah bermula pada tahun 1995 iaitu tahun Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan. Pada masa ini KRS Puteri boleh dikatakan 'zero' dalam ilmu KRS. Yang melatih mereka tentu sekali abang2 KRS Putera mereka yang terdiri daripada 'batch2' aku. Ya, kami yang pertama sekali melatih batch KRS Puteri dalam tahun 1995. Aku, Shahran, Rudyanto, Shahrizal (Pesot), Mahfuz, Azizul (Ijon), Arshad, Sharifi (PG), Nazif dan Azukhir. Nama2 lain dalam batch aku seperti Sufril, Norman, Bidin, Azmi, Shahrul Salam dan lain2 ketika itu sudah berpindah sekolah. Ada yang ke MRSM, Sekolah Teknik, Sekolah Vokasional dan lain2 sekolah berasrama penuh.

Pernah sekali semasa orientasi yang julung2 kalinya disertai oleh KRS Puteri, kami (barisan jurulatih) mengadakan 'sesi burung hantu' di sekolah. Ketika itu, x-student yang membantu kami ialah abang Rahim dan abang Ijad (Titiwangsa). Macam2 ragam ketika sesi burung hantu hendak dijalankan. Ada yang menangis ditempat yang kami letakkan. Ada yang menyorok di bawah meja. Ada yang merayu-rayu tidak mahu menyertai aktiviti ini. Yang kelakarnya, abang Ijad telah meminjam rambut palsu daripada abang Najib (penjaga markas pengakap) dan menyamar menjadi hantu Jepun. Ketika ini, para jurulatih ada di sudut2 gelap dan tersorok untuk memastikan tiada ahli KRS Puteri yang tersampuk atau 'histeria' dek kerana terlalu takut. Bila kami mengumpul semula mereka selepas 2 jam, macam2 cerita yang keluar. Kami hanya tersengih sebab sudah tahu cerita sebenar. Kalau sesiapa yang senior2 mereka cerita tentang ada hantu jepun di SMK Raja Abdullah, jangan percaya! Itu adalah abang Ijad! Haha...

Namun, semangat KRS Puteri SMK Raja Abdullah ketika itu sangat tinggi. Mereka mampu lakukan apa yang KRS Putera mampu lakukan. Tahun demi tahun berlalu, nampaknya semangat KRS Puteri seperti mereka semakin pudar. Aku ingin menasihatkan kepada ahli2 KRS Putera; bimbinglah mereka. Tapi pastikan dahulu yang ahli2 KRS Putera yang hendak membimbing mereka adalah orang yang terpimpin dan mempunyai ciri2 pemimpin yang sebenar. Barulah mereka akan mengikut kamu melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh guru2 dan pemimpin2 lama. Namun, secara keras aku ingin nyatakan di sini ialah jangan pula yang menjadi 'Mat Bunga'. Mentang2lah adik2 KRS Puteri comel2 belaka, semua tidak berkedip mata. Kalau hendak bercinta pun bukan ini masanya. Tunggulah bila sudah mampu, berduit dan bekerja. Supaya tidak terhabis duit ibubapa. Wassalam.

Selasa, 8 September 2009

Meng'Edit' Gambar


Pengalaman2 yang pernah dilalui alangkah ruginya sekiranya tidak didokumentasikan. Pengalaman2 itu yang mampu membuatkan kita layan 'blues' dan tersenyum sendirian apabila mengenangkannya. Walaupun satu masa dahulu ianya pernah menjadi satu kepahitan namun apabila masa berlalu akhirnya pengalaman itu mampu juga mengukir senyuman pada riak wajah kita. Apatah lagi kenangan yang manis dan lucu. Sampai bila2 kita tidak akan melupakannya. Cuma sekiranya tiada gambar atau video yang diambil ketika itu, pengalaman itu hanyalah menjadi bayangan di dalam sanubari kita sahaja tanpa dapat dikongsikan dalam bentuk visual. Mungkin ianya boleh diceritakan tetapi alangkah jauh bezanya pemahaman atau imbasan yang boleh digambarkan oleh yang mendengar cerita berbanding jika gambar atau videonya ditayangkan. Mungkin aku boleh simpulkan bahawa melihat gambar atau menonton video lebih 'layan'!

Cikgu Thani memang sangat suka mengambil gambar. Setiap aktiviti seperti perkhemahan, kursus, majlis2 rasmi dan kadang2 latihan mingguan pasti diambil 'shot'nya oleh beliau. Yang menjadi lebih seronok ialah beliau sangat suka pula meng'edit' gambar (seperti gambar di atas). Namun ketika itu teknologi komputer masih belum menyerlah di Malaysia. Apa yang selalu Cikgu Thani buat ialah mencuci gambar2 menarik dan menulis sesuatu pada gambar menggunakan pen khas. Kadang2 dialog yang dibuat bukannya betul. Cuma sekadar ingin memberi impak yang lebih pada gambar tersebut. Aku berani katakan bahawa Papan Kenyataan KRS semasa zaman Cikgu Thani memang selalu menjadi tumpuan. Bukan sahaja ahli2 KRS malahan juga yang tidak ada kena mengena dengan KRS. Semuanya tersenyum. Semuanya ketawa melihat dialog lucu yang tertulis pada gambar.

Mengenai video pula, semasa aku masih bersekolah di SMK Raja Abdullah, ada seorang 'Gadjetman' yang ada di dalam KRS. Dia adalah rakan sebaya aku sendiri iaitu Sufril. Sufril merupakan anak orang yang berada dan selalu mempunyai 'gadjet' yang mendahului teknologi Malaysia kerana keluarganya selalu ke luar negara. Antara 'gadjet' yang banyak digunakan untuk membantu mendokumentasikan KRS semasa zaman aku ialah Video Cam, kamera dan TV bersaiz kecil. Pada waktu itu, bukan senang hendak mendapat semua alat ini. Bayangkan, Sufril telah memiliki 'Kamera Digital' yang menggunakan disket sebagai penyimpan memori pada tahun 1996. Aku berani jamin bahawa boleh kira pakai jari orang yang mempunyai kamera digital pada waktu tersebut. Banyak video aktiviti KRS telah diambil oleh Sufril ketika itu. Sayangnya salinan video yang dahulunya dipunyai oleh Cikgu Thani hilang entah ke mana. Mungkin Sufril masih menyimpannya. Aku tidak pernah bertanya mengenai hal itu kepadanya. Sufril sekarang sedang membuat PhD di Manchester University di London. Insyaallah, tahun depan dia pulang membawa gelaran 'Doktor Falsafah'.

Aku cuba membawa budaya meng'edit' gambar kembali ke SMK Raja Abdullah tahun lepas. Alhamdulillah dengan adanya teknologi komputer yang memudahkan aku meng'edit' gambar, maka terhasillah karya2 seni yang lucu, menarik, mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat. Aku ada mengajar beberapa orang ahli KRS tentang cara2 menggunakan perisian 'Picture Editor' tersebut dan sehingga sekarang mereka masih lagi mempraktikkannya. Datanglah ke Markas KRS SMK Raja Abdullah untuk melihat gambar2 yang telah di'edit' yang dihasilkan sendiri oleh ahli2 KRS. Aku percaya yang mereka kritis dan kreatif dalam menghasilkan gambar2 yang menarik.

Selain daripada ilmu2 keagamaan dan ketenteraan, sebenarnya pengisian KRS itu sendiri terlalu banyak dan luas untuk dibincangkan. Cikgu Thani bukan sahaja ingin melatih ahli2 KRS untuk menjadi pemimpin masa hadapan melalui KRS malahan juga mencungkil bakat2 yang ada pada setiap ahli KRS agar dapat digunakan sebagai kerjaya pada masa hadapan. Sedar atau tidak dengan cara meng'edit' gambar, ahli2 KRS dapat pengalaman sebagai seorang Editor. Siapa tahu ada di antara mereka yang menjadi Editor satu hari nanti? Kita tunggu dan lihat...

Isnin, 7 September 2009

Solat Berjemaah


Solat merupakan tiang agama. Barangsiapa yang meninggalkan solat, maka mereka telah meruntuhkan tiang agama. Walaupun cukup sebulan berpuasa, membayar zakat, menunaikan haji dan sebagainya, sekiranya solat ditinggalkan maka sia2lah pekerjaan kita yang lainnya. Rasulullah s.a.w. sangat menuntut supaya umatnya melakukan solat berjemaah. Solat berjemaah mengangkat seorang mukmin itu 27 darjat lebih baik daripada solat bersendirian. Biarpun begitu, masih ada ramai di antara kita yang meninggalkan solat berjemaah. Didikan solat berjemaah ini ada di dalam KRS.

Allahyarham Cikgu Thani sangat mementingkan solat berjemaah di kalangan pelajar2nya sama ada ahli KRS atau tidak. Percaya atau tidak, beliau memang selalu bertanya kepada ahli2 KRS sama sudah bersolat atau belum? Sekiranya jawapannya belum dan waktu solat sudah hampir sampai ke penghujungnya, pasti beliau akan 'perhambat' ahli2 KRS tersebut ke surau untuk bersolat. Yelah, kadang2 itu ahli2 KRS ini ada yang pemalas solat juga. Untuk mendidik dan memastikan bahawa anak2 buahnya mendirikan solat, beliau memang selalu memantau ahli2 KRS semasa meronda kawasan sekolah sebagai Cikgu Disiplin.

Sekiranya Cikgu Thani ada di surau, janganlah mengada-ngada ingin bersolat sendirian. Beliau akan tunggu sehingga pelajar tersebut habis bersolat dan bertanyakan mengapa solat bersendirian. Pernah sekali, aku berseorangan di dalam surau dan terpaksa solat sendirian. Habis saja solat, Cikgu Thani masuk ke dalam surau. Beliau bertanya "Awak solat sorang2 ye? Meh sini ikut saya. Solat sekali lagi. Kita berjemaah". Aku yang waktu itu terpinga-pinga, ikutkan saja kehendaknya. Yelah, ingin membantah tidak berani. Cikgu disiplin yang suruh, bukan cikgu biasa! Ketua guru disiplin pula. Mahu tidak mahu, ikutkan saja. Namun, pengajaran yang aku ambil, walaubagaimanapun, cubalah untuk menunaikan solat secara berjemaah. Siapa tahu ketika kita bersolat sendirian dek kerana tiada orang lain, rupa2nya ada malaikat atau jin yang menjadi jemaah kita?

Kebiasaannya Cikgu Thani yang akan menjadi imam. Sebelum menunaikan solat, biasanya beliau akan mengena secalit dua minyak atar. Semasa solat, minyak atar beliau harum semerbak memenuhi ruang surau. Sehinggakan di sebelah muslimat pun boleh menghidu baunya. Ketika ini tanpa membuka tirai pun, pelajar2 perempuan sudah mengetahui bahawa ada Cikgu Thani di bahagian muslimin di hadapan mengimami solat berjemaah. Pelajar2 yang kebiasaannya mengganggu rakan2 semasa sedang bersolat pun tidak berani membuat perangai. Situasi solat aman dan tenteram.

Begitulah Cikgu Thani mendidik pelajar2 beliau. Beliau tahu bahawa pelajar2 yang belum cukup matang berfikir memerlukan didikan dan bimbingan seorang guru untuk melakukan perkara yang betul serta membetulkan segala kesilapan yang ada. Melalui solat, beliau dapat memastikan bahawa pelajar2nya mendahulukan didikan agama dalam diri masing2. Kerohanian yang beliau bentuk diharapkan dapat menjadi panduan hidup mereka kelak. Sesungguhnya, Cikgu Thani juga merupakan seorang pendakwah yang selalu memastikan bahawa pelajar2nya selalu berbuat kebaikan dan berani mencegah kejahatan. Sekian saja buat kali ini.

Ahad, 6 September 2009

KRS SMK Raja Abdullah Di TV?


Siapa kata KRS SMK Raja Abdullah tidak pernah masuk TV? Tentu sekali sesiapa yang beranggapan bahawa KRS SMK Raja Abdullah 'tak market' adalah salah. Ini adalah kerana, sebelum Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan lagi, ramai ahli KRS telah berpeluang menunjukkan bakat2 mereka di stesyen2 televisyen di Malaysia ini. Malahan, dahulu video ahli2 KRS SMK Raja Abdullah yang pernah ditayangkan di TV3 dan RTM1 selalu dimainkan setiap kali Perkhemahan Orientasi diadakan di sekolah. Cuma, sekarang ini video itu hilang ke mana, aku pun tidak tahu. Lagipun ianya dirakamkan di dalam 'tape', bukan CD. Payah sikit untuk mencari 'tape player' sekarang ini.

Aku juga pernah menjadi 'Pengacara Bersama' dengan Muhedi dan Shahran dalam rancangan RSB (Remaja Sendirian Berhad) yang dahulu selalu ditayangkan di TV3. Pengacaranya ialah Intan Hamzah. Kami membuat rakaman tersebut di Templer Park. Rakaman ini berkisar mengenai KRS dan aktiviti2nya. Aku masih ingat lagi, hari rakaman tersebut adalah hari persekolahan. Maka, tidak ramai pengunjung yang datang ke Templer Park untuk mandi-manda. Memang agak kekok kerana kami yang biasanya serius dan kaku terpaksa mengikut rentak 'director' yang mengarahkan kami untuk 'cheer up' dan berperwatakan seperti pengacara. Banyak juga 'take' yang terpaksa kami ulangi. Aku, Muhedi dan Shahran berpandangan sesama sendiri apabila 'director' mengarahkan kami untuk mengulang semula rakaman kerana tidak cukup 'character'.

Selain daripada itu, RSB juga pernah datang ke SMK Raja Abdullah untuk membuat rakaman aktiviti. Antara aktiviti tersebut ialah ilmu merentas tali. Ahli2 KRS diarahkan untuk menunjukkan aksi2 mereka membuat 'Morro Style', 'Monkey Style' dan 'Free Hand' merentas ikatan tali dari pokok ke pokok. Aku masih ingat satu peristiwa yang mendebarkan ketika salah seorang dari kami iaitu Faizal (Junior aku) membuat aksi 'Free Hand'. Dia ketika itu agak kepenatan dek kerana terpaksa mengulang beberapa babak yang pada mereka (kru2 pengambaran) kurang menarik. Ketika itu, Director memberi tepukan semangat (yang seolah-olah memaksa) pada Faizal yang aku perasan ketika itu agak pucat. Aku menyuruh Faizal berhenti kerana nampak sangat yang dia sedang penat. Namun, Director yang degil masih lagi menyuruhnya meneruskan gayutan. Apalagi, Faizal sudah tidak larat lagi dan dia terjatuh tepat di atas akar pokok yang timbul. Faizal berdengus seperti menahan sakit. Apabila aku pergi mendekatinya, aku terkejut melihat tulang lengannya terkeluar. Cepat2 aku dan kawan2 (ketika itu ada abang Rahim) memberi 'Bantu Mula' dan seorang cikgu menghantarnya ke Hospital. Rakaman aktiviti terus diberhentikan dek kerana peristiwa tersebut dan kru2 penggambaran meneruskan pula rakaman wawancara dengan menemuramah Cikgu Thani dan Muhedi.

Banyak lagi program2 TV yang melibatkan KRS SMK Raja Abdullah seperti Nasyid Bersama Raihan, Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan dan lain2. Cuma sekarang ini, SMK Raja Abdullah agak 'tenggelam' popularitinya di mata masyarakat. Hanya ahli2 dari sekolah2 tertentu yang pernah terlibat dalam aktiviti2 kawad kaki, perkhemahan, kursus2 kenaikan pangkat mengenali SMK Raja Abdullah sebagai pengasas unit beruniform Kadet Remaja Sekolah. Mungkin sudah sampai masanya untuk KRS SMK Raja Abdullah diketengahkan semula sebagai memperingati sejarah penubuhan KRS itu sendiri. Pelbagai usaha telah dijalankan seperti penubuhan consultant2 oleh bekas ahli2 KRS SMK Raja Abdullah, blog2 yang berkenaan dan serakan Jurulatih KRS SMK Raja Abdullah yang mengajar kawad di sekolah2 di sekitar Kuala Lumpur. Semoga SMK Raja Abdullah tidak luput dek zaman. Sekian.

Jumaat, 4 September 2009

River Crossing


Apabila menjejak keindahan alam semulajadi terutamanya ketika melakukan aktiviti 'Jungle Tracking' maka kebiasaannya kita akan dibawa ke sebuah tempat yang tidak sah jikalau tidak dilawati iaitu 'sungai'. Kecantikan sungai sangatlah bergantung kepada bentuk muka bumi sesuatu tempat yang dilawati.

Antara sungai yang paling istimewa yang pernah aku pergi ialah 'Sungai Pisang'. Tempat ini terletak di sempadan gombak-karak. Jalan untuk masuk ke sini perlu melalui 'Pusat Penapisan Air SYABAS' yang terletak di Jungle Lodge (Alang Sedayu), Batu 12, Gombak. Selepas melalui SYABAS, ada dua jalan yang boleh dilalui untuk ke Sg Pisang. Sama ada boleh melalui denai (perlu melintas highway karak) ataupun boleh menyusuri sungai (lebih selamat tetapi mengambil masa yang lebih). Lebih kurang 1.5 km selepas menyusuri sungai, air terjun akan kelihatan. Tingginya lebih kurang 50 meter dan mempunyai gua kecil disebalik air terjun tersebut.

Sekiranya kita mendaki sedikit bukit di sebelah kanan air terjun (dahulu ada tali tetapi kali terakhir aku pergi, tali sudah tiada) dan berjalan lebih kurang 200 meter lagi ke hadapan, satu tempat istimewa kita akan jumpai. Di situ terdapat sungai selebar 50 meter dan sedalam lebih kurang 1 meter. Yang menjadikannya istimewa ialah terdapat akar2 'Pokok Tumpang' yang berjurai di sana sini. Selalunya aku dan kawan2 akan bergayut di akar ini dari tepi sungai dan terus terjun ke dalam sungai apabila gayutan sudah sampai ke tengah serupa seperti 'Tarzan'. Keseronokannya tidak terbanding!

Apabila berkata mengenai sungai pula, KRS ada mengajar ahli2nya berkenaan teknik2 merentas sungai (River Crossing). Kebiasaannya, merentas sungai dilakukan di sebelah siang tetapi aku mempunyai pengalaman 'River Crossing' di waktu malam. Ketika itu aku berada di tingkatan 1 dan tempatnya di Hutan Lipur Lentang. Bayangkan, aku yang ketika itu masih 'pendek' dan mentah terpaksa mengharungi sungai di Lentang yang ketika itu agak deras menggunakan tali 'tarik tali'. Aku dan kawan2 merentas sungai tersebut dengan hanya memegang tali tanpa apa2 'kit' keselamatan yang lain. Namun, aku berjaya melakukannya walaupun 'boot' aku tercabut dek kerana kederasan air dan kaki pula tidak jejak tanah! Mujur, abang Nizam yang berada dibelakang berjaya 'menyambut' boot aku. Kalau tidak, tentu sudah dihanyutkan sungai. Apa yang hendak dijawab dengan mak ayah? Kena beli barulah nampaknya.

Merentas sungai adalah suatu aktiviti yang menyeronokkan tetapi mencabar. Sebagai seorang pelajar yang melakukan aktiviti ini, tentu saja dada akan berdebar kencang terutama sekiranya berlaku seperti yang aku ceritakan tadi. Sebagai seorang guru pula, dada akan lebih kencang sekiranya apa2 berlaku kepada pelajar2. Namun, itulah risikonya yang perlu diambil oleh setiap orang. Tanpa risiko, apalah erti hidup ini?

Khamis, 3 September 2009

Memasak


Makanan merupakan keperluan asas seseorang manusia. Bukan hanya manusia, malahan setiap hidupan seperti tumbuh2an dan haiwan juga memerlukan makanan untuk terus hidup. Tanpa makanan, dikatakan manusia hanya boleh hidup selama sebulan sekiranya masih terdapat bekalan udara dan air. Sedangkan kita yang hanya menahan lapar daripada terbit sehingga terbenamnya matahari kerana menunaikan puasa pun kadang2 mengigil kelaparan, inikan pula tidak mendapat makanan selama beberapa hari. Boleh dikategorikan sebagai kebuluran jika begitu! Bila berbuka puasa pun, ada yang melahap makanan seperti tidak jumpa makanan sepuluh hari. Hmm...masing2 punya perangai sendiri.

Memasak merupakan salah satu aktiviti wajib yang dilakukan oleh ahli2 KRS semasa perkhemahan sekiranya tiada 'caterer' yang ditempah untuk menghantar makanan. Lagipun, mana ada 'thrill' kalau sewa 'catering'? Masak sendiri baru namanya 'camping'. Tapak perkhemahan yang biasanya terletak di dalam hutan bukannya tempat untuk bermanja-manja seperti di rumah. Kadang2 ada juga ibubapa yang 'bising' sekiranya anak mereka tidak diberi makanan yang secukupnya. Namun, pada mereka2 yang faham, itulah lumrah hidup di dalam hutan. Siapa yang tidak masak atau tidak membawa barangan masakan, terpaksalah menumpang kumpulan yang memasak. Pada aku, elok juga mengajar anak2 sedikit kesusahan. Sebab disebalik kesusahan dan kepayahan, terdapat banyak pengalaman yang boleh dijadikan panduan hidup. Kalau tidak percaya, tanya pada orang2 yang berjaya yang dahulunya pernah berada di dalam status 'miskin' ataupun kesusahan. Pasti mereka menyatakan perkara yang sama. Anak2 yang terlalu dimanjakan dengan kemewahan, kalau tiba2 di datangkan bala oleh Tuhan, pasti melatah tidak tentu pasal. Berbeza sangat kematangan mereka dengan orang2 yang pernah susah.

Aku masih teringat semasa aku berada di tingkatan 1. Waktu itu Cikgu Thani mengadakan perkhemahan buat kali terakhir untuk tahun tersebut yang bertempat di Hutan Lipur Lentang. Kumpulan aku (Kumpulan Saidina Ali) diketuai oleh abang Azeri (senior setahun) dan aku sebagai penolong ketua. Kami telah berbincang sebelum perkhemahan untuk masing2 membawa barangan tertentu untuk digunakan semasa perkhemahan. Aku perlu membawa cerek, senduk, sudip dan kuali. Kawan2 lain, ada yang membawa alatan2 tertentu yang lain. Salah seorang daripada kami yang bernama 'S' (rakan sebaya), telah dipertanggungjawabkan untuk membeli bahan makanan kerana rumahnya terletak berhampiran dengan kawasan sekolah (beberapa meter saja). Kami telah mengumpul wang seorang sedikit untuk diberikan kepadanya untuk membeli bekalan makanan. Ketika hari perkhemahan, tiba2 dia tidak hadir. Kami mencarinya di rumah tetapi hampa. Tiada apa2 tanda ada sesiapa dirumahnya. Akhirnya, kami terpaksa pergi ke Hutan Lipur Lentang tanpa bahan makanan yang sepatutnya dibeli oleh 'S'. Nasib baik, kami ada membawa sedikit makanan seperti meggi dan biskut sebagai kudapan semasa waktu senggang.

Ketika di sana, pertandingan memasak ingin diadakan pada sebelah tengahari (lunch). Kami sekumpulan tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini. Akhirnya kami terpaksa memberitahu Cikgu Thani perkara sebenar. Apalagi, Cikgu Thani panggil semua ahli kumpulan kami untuk bertanyakan hal sebenar. Kami pun menceritakan berkenaan 'S' yang sepatutnya membawa bekalan makanan. Cikgu Thani memarahi kami dan menghukum kami dengan pelbagai hukuman kerana tidak memberitahu beliau lebih awal (di sekolah) berkenaan hal ini. Akhirnya, dek kerana kasihan dengan kumpulan kami, beliau berkongsi bekalan makanan yang beliau bawa untuk kami masak. Sekali lagi, Cikgu Thani berkorban dan memberi apa yang beliau ada hanya untuk memastikan bahawa kami tidak kehilangan 'keseronokan' berkhemah walaupun beliau terpaksa mencatu makanan beliau dan menahan lapar. Pengorbanan Cikgu Thani tetap aku ingat sampai bila2.

Semasa di sekolah selepas perkhemahan, kami sekumpulan berjumpa dengan 'S'. Pelbagai alasan yang diberikan yang kami tidak boleh terima. Antaranya ialah, tiba2 ibubapanya tidak memberi kebenaran kepadanya untuk pergi ke perkhemahan tersebut. Untuk mengelakkan daripada 'S' pergi ke perkhemahan, ibubapanya membawanya pulang ke kampung. Kami sesungguhnya tidak dapat menerima alasan tersebut kerana sememangnya 'S' terkenal dengan sikapnya yang suka memberi alasan. Yang lebih menyakitkan hati, duit kami pun habis disapunya. 'S' akhirnya berhenti daripada KRS kerana malu dengan peristiwa tersebut. Orang2 lama, pasti masih mengingati peristiwa ini.

Daripada peristiwa tersebut, aku ingin menghurai beberapa perkara. Pertama, janganlah kita mementingkan diri sendiri. 'S' sepatutnya boleh memberitahu kepada kawan2 kami yang tinggal berhampiran dengan rumahnya serta tidak meng'songlap' duit kami. Kedua, semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh ahli2 Kumpulan Saidina Ali memang tinggi. Walaupun menjadi kesalahan kerana tidak memberitahu perkara ini lebih awal kepada Cikgu Thani, aku yakin niat kami hanya untuk 'cover' si 'S' walaupun tindakan tersebut agak kurang pandai. Ketiga, kami bersama-sama bertolak ansur semasa makan kerana bekalan makanan yang terhad. Ini menjadikan kami semakin rapat kerana bersama-sama menempuh kesusahan. Banyak lagi pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa tersebut. Sesungguhnya, aku mencatat peristiwa ini bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi untuk berkongsi pengalaman supaya bersama-sama boleh jadikan ianya sebagai pengajaran. Sekian untuk kali ini.

Rabu, 2 September 2009

Lagu Kadet Putera Islam Malaysia


Kami Putera Islam
Berjuang Sepanjang Zaman
Berkorban Hanyalah Untuk Islam
Kami Buat Kebaikan
Kami Cegah Kejahatan
Hanyalah Untuk Kemuliaan Islam
Dan Untuk Kesejahteraan Watan
Marilah Berjuang, Marilah Berjuang
Marilah Berkorban Untuk Islam
Marilah Berjuang, Marilah Berjuang
Marilah Berkorban Untuk Islam.
>
Ini ialah lagu Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang selalu dinyanyikan pada setiap perbarisan pagi dan perjumpaan sebelum KPIM diubah kepada KRS. Lagu KPIM ini dinyanyikan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Melayu (seperti yang di atas). Versi bahasa arab tidak aku catatkan di sini kerana aku tidak mempunyai perisian untuk mengarang lagu tersebut dalam bahasa arab. Lagipun tajwidnya aku tidak ingat. Tambahan pula, ada frasa2 yang aku sudah lupa. Mungkin jika ada senior yang masih ingat boleh membantu aku dalam hal ini.
>
Ada satu peristiwa yang aku tidak boleh lupa mengenai lagu ini. Lagu KPIM ini memang selalu dinyanyikan oleh ahli2nya. Namun setiap kali nyanyian, apabila sampai ke versi bahasa arab, suara ramai yang kuat menyanyikan lagu ini dalam versi bahasa melayu terus perlahan. Rupa2nya, ramai yang tidak menghafalnya dalam bahasa arab. Maklumlah, tulisan arab, payah sikit menghafalnya. Yang mendebarkan ialah, Cikgu Thani yang selalunya berada dihadapan menghadap barisan di dalam Perbarisan Pagi akan memerhatikan setiap ahli KPIM dengan matanya yang tajam. Siapa yang tidak menyanyi atau lupa lirik, siap! Untuk mengelakkan daripada nampak sangat tidak menghafal lirik terutama dalam versi bahasa arab, masing2 berpura-pura membuka mulut menyanyi. Padahal, bukannya betul pun. Yang kelakarnya, bila disuruh nyanyi seorang demi seorang, bila masuk saja versi bahasa arab, macam2 bunyi yang timbul. Yelah, sudahlah sekadar mendengar daripada senior (yang entah betul atau tidak), tidak pula menghafalnya. Semasa aku berada ditingkatan satu, aku juga begitu. Nasib baik tidak pernah 'kantoi' dengan beliau.
>
Apapun, lagu ini sudah tidak lagi kedengaran di mana2 sekolah. Ianya cuma terdengar dalam kotak memori ahli2 lama KRS yang dahulunya dikenali sebagai KPIM. Sesungguhnya pada lagu ini terdapat maksud yang tersurat & tersirat serta penuh dengan nilai2 sentimental terutama apabila bercakap mengenai Cikgu Thani dan sejarah penubuhan KRS itu sendiri. Aku yakin, sekiranya lagu ini dinyanyikan semula sebagai memperingati sejarah penubuhan KRS, pasti ramai senior yang mengalirkan air mata. Kenangan yang berlalu tidak akan luput walaupun ditelan zaman. Sekian.

Latihan Lasak


Sebagai memberi makna kepada perkataan 'Kadet', tentu saja pelbagai elemen perlu diterapkan kerana perkataan yang antara maksudnya adalah 'Military In Training' ini perlu memenuhi suatu parameter yang tertentu. Untuk menguji daya tahan fizikal dan mental seseorang ahli Kadet, satu bentuk ujian fizikal perlu dijalankan. Di dalam KRS, elemen 'Latihan Lasak' juga dimasukkan sebagai salah satu bentuk aktiviti untuk menguji kemantapan fizikal dan mental ahli2 KRS supaya berada di tahap optimum. Dengan bahasa yang mudah, "Kadet mesti 'fit'. Mana boleh lembek?". Cikgu Thani selalu memasukkan aktiviti latihan lasak di dalam latihan mingguan dan perkhemahan. Kadang2, beliau sendiri yang melakukan aktiviti2 tersebut seperti merempuh halangan, river crossing, abseiling dan macam2 lagi.

Semasa zaman aku, yang paling 'terer' dan 'fit' antara kami adalah Rudiyanto dan Shahran. Mereka ini boleh memanjat tali menggunakan teknik 'free hand' iaitu satu teknik memanjat tali tanpa menggunakan kaki untuk menyimpul dan memijak. Begitulah kekuatan tangan mereka sehinggakan setiap latihan lasak yang dilakukan, 'kacang' saja pada mereka. Shahran kini merupakan seorang askar yang berpangkat Kapten manakala Rudiyanto menghilangkan diri sejak tamat sekolah. Sampai sekarang aku loose contact dengan Rudi.

Antara tempat yang pernah aku pergi untuk menjalani latihan merempuh halangan adalah di Kem Belia Waja, Port Dickson. Gambar yang ditunjukkan merupakan tempat rempuh halangan di kem tersebut. Di sini, terdapat lebih daripada 13 halangan yang perlu di tempuhi. Aku masih ingat lagi ada 2 orang askar yang melatih kami. Salah seorangnya berperut buncit. Pada aku, orang kalau perut buncit ini sudah tentu lembek. Maka, semasa sesi penerangan mereka bersama-sama menunjukkan cara untuk melepasi setiap satu halangan. Ada yang perlu dilakukan sendiri. Ada yang perlukan kerjasama rakan. Aku dengan rakan2 terkejut beruk bila askar yang berperut buncit itu dengan mudah sekali melakukan kesemua 13 halangan. Yang lebih memeranjatkan, tiada siapa di antara kami yang mampu menandingi rekod askar tersebut. Bak kata pepatah inggeris, 'Don't Judge A Book From Its Cover'. Pepatah ini memang tepat dibayangkan kepada askar tersebut.

Selain daripada itu, perkhemahan yang kadang2 diadakan di SM Raja Abdullah juga tidak lepas daripada aktiviti ini. Semasa aku masih bersekolah di SM Raja Abdullah, Dewan Seri Murni belum lagi didirikan. Di situ terletaknya bangunan bengkel sekolah 1 tingkat. Di belakang bengkel terdapat beberapa buah pokok yang besar. Di sinilah kami selalu mengikat tali antara satu pokok ke pokok yang lain. Ahli KRS yang cekap mengikat tali di waktu itu ialah Abang Nizam (senior setahun daripada aku). Setiap kali dia mengikat tali, pasti tali tersebut tegang dan kuat. Selepas zaman Nizam, rakan sebaya aku, Arwah Eddie, Azizul dan Mahfuz yang pakar mengikat tali. Tali yang diikat akan direntasi dari satu pokok ke pokok yang lain. Macam2 teknik kami gunakan. Di antaranya ialah 'morro style', 'monkey style', 'free hand', 'comando style' dan beberapa lagi teknik yang aku sudah tidak ingat lagi namanya. Sekarang, teknik2 ini seperti tidak lagi kelihatan di SMK Raja Abdullah. Mungkin ianya disebabkan sudah tiada lagi pokok2 yang boleh diikatkan tali padanya. Lagipun, tali2 yang pernah kami gunakan pun sudah tiada lagi. Sama ada sudah hilang ataupun rosak, tidak pula aku ketahui. Yang ada cuma tali 'carmental' yang mereka gunakan untuk aktiviti 'abseiling'.

Cikgu Thani menerapkan kecergasan di dalam diri ahli2 KRS untuk memastikan mereka sentiasa sihat dan cergas serta mampu memastikan tubuh badan mereka berada pada tahap yang optima. Kecergasan merupakan di antara kunci kepada kejayaan kerana apabila badan cergas, otak pun cerdas maka banyak aktiviti dapat dijalankan. Dan apabila badan lemah, hendak mendaki tangga 2 tingkat pun tidak larat. Maka mental pun lemah. Apatah lagi untuk melakukan qiamullail. Fikir2kanlah. Sekian untuk kali ini.

Selasa, 1 September 2009

Kawad Kaki


Kawad kaki merupakan satu elemen wajib dalam semua gerak kerja Unit2 Beruniform. Tidak dinafikan bahawa aktiviti kawad berasal daripada askar, polis dan badan2 keselamatan yang lain. Malahan, kawad telah lama dipraktikkan sejak daripada sebelum masihi lagi. Kawad membentuk disiplin seseorang individu serta menyelaraskan fikirannya supaya tertumpu kepada objektif2nya yang tertentu. Namun, pada hari ini kawad telah dipelbagaikan fungsi dan coraknya. Terdapat pula kaedah2 kawad yang unik seperti kawad berirama, kawad formasi, kawad kartun dan lain2.

Pada hari pertama aku datang ke latihan mingguan KRS, aku telah didedahkan dengan aktiviti kawad. Pada aku, walau apapun unit beruniform yang disertai, pasti mukadimahnya adalah kawad. Sama ada KRS, Pengakap, Pandu Puteri, PBSM, Puteri Islam dan banyak lagi unit beruniform mempraktikkan kawad pada setiap kali perjumpaan mingguan mereka. Namun, uniknya KRS adalah, kawadnya bermula dengan kaki kanan. Sehinggakan di peringkat Kementerian Pelajaran, semua unit beruniform diwajibkan menggunakan kaki kanan sebagai pemula gerak. Akan tetapi, terdapat bantahan daripada beberapa unit beruniform yang berasal daripada NGO2 tertentu yang berkeras untuk tetap menggunakan kaki kiri. Sejauh mana krisis ini, aku pun tidak tahu. Biarlah aku menulis tentang apa yang aku tahu dan alami sendiri sebagai seorang KRS.

"Masuk baris! 1, 2, 3....10!". Komandan memulakan panggilan terhadap semua ahli KRS. Semasa aku di tingkatan 1, abang Nazri yang selalu menjadi komandan. Waktu itu, dia berada di tingkatan 4. Siapa yang ketetel atau lambat akan didenda. Apalagi kalau bukan tekan tubi? Sekurang-kurangnya 10 kali. Aku yang agak 'chubby' ketika itu termengah-mengah kalau kena 'pumping'. Hendak menyampaikan angka sepuluh punyalah payah! Itu belum kalau kena pumping bersama-sama. Sekiranya ada seorang sahaja yang tidak bersama-sama dalam kiraan, semua orang perlu mengulang kiraan pumping tersebut. Sehinggakan aku dapat merasakan perubahan kekuatan tangan hanya selepas beberapa kali turun latihan KRS. Begitulah kerasnya latihan tersebut. Sesiapa pun tidak boleh gelak atau senyum. Siapa berani? Abang2 senior garangnya mengalahkan singa. Lagi2 abang Maizin, 'Singa Putera Islam'. Setiap kali latihan, dada kami berdebar-debar menunggu sama ada Abang Maizin datang atau tidak. Kalau dia datang (dengan berkereta proton saga), pasti semua orang pucat. Toreh pun tidak berdarah!

Latihan mingguan kebiasaannya dimulakan dengan baris pagi. Selepas bacaan doa dan ucapan ringkas daripada Cikgu Thani, biasanya beliau akan memeriksa barisan. Siapa yang tidak 'buka dada' atau 'langok kepala' pasti akan ditarik keluar. Kena pumping 10 kali. Kalau sesiapa yang tidak memakai tali pinggang pun pasti kena. Tidak lupa juga pada sesiapa yang tidak mengilatkan 'boot' mereka (pada yang memakai boot). Sekali lagi, tidak ada siapa yang senyum atau tersengih-sengih! Sesiapa yang berbuat demikian, "Turun 10!". Bila aku bandingkan dengan ahli2 KRS sekarang ini berkenaan disiplin kawad, aku dapati mereka terlalu dimanjakan. Yelah, bila senior yang menjadi jurulatih tersebut merupakan kenalan atau abang/kakak kandung mereka sendiri, mulalah menunjukkan reaksi2 sengih2 dalam kawad. Untuk pengetahuan semua, dalam kawad, Cikgu Thani sangat serius. Mungkin juga sebab itu lahirlah komandan2 seperti abang Maizin, abang Sharul dan yang lain2. Mereka ini tidak perlu aku terangkan betapa seriusnya mereka di dalam kawad. Tanyalah orang2 lama KRS.

Aku juga semasa menjadi jurulatih kawad akan bertukar watak menjadi orang yang sangat serius. Namun, diluar kawad aku merupakan abang KRS yang penyayang. Bukan memuji diri sendiri tetapi apa yang ingin aku sampaikan adalah, ini merupakan apa yang Cikgu Thani mahukan. Senior2 KRS yang tegas tetapi penyayang. Maaf kata, aku sudah jarang melihat abang2/kakak2 KRS yang bertindak sebegini terhadap adik2 KRS mereka sekarang. Mengapa sebegini? Ini adalah kerana, sekarang ini di dalam kawad, mereka tidak lagi serius. Di hadapan ahli2 tingkatan 1 & 2, ada yang gelak2 atau tersengih-sengih semasa memberi arahan kawad. Bagaimana mereka hendak menghormati abang/kakak senior mereka diluar kawad sekiranya mereka tahu bahawa abang/kakak senior mereka sendiri tidak mempunyai 'ketegasan' dan 'jati diri' KRS yang sebenar dalam diri mereka? Ya, aku guna istilah hormat-menghormati bukan takut-menakuti. Fikirkan perbezaannya.

Pertandingan kawad KRS antara sekolah2 merupakan sesuatu yang baru. Semasa aku masih bersekolah di SM Raja Abdullah, pertandingan kawad KRS masih belum diwujudkan. Walaubagaimanapun, perbarisan kawad semasa 'Hari Sukan' memang sering diadakan. Aku masih boleh berbangga sebab sejak dahulu hingga sekarang, KRS SM Raja Abdullah selalu menjadi no 1 dalam perbarisan kawad Hari Sukan. Aku masih ingat semasa mula2 KRS Puteri SM Raja Abdullah berkawad dalam platun mereka sendiri. Ada seorang Ketua Platun KRS Puteri yang aku panggil Ila (nama sebenar aku tidak mahu sebut). Suaranya cukup nyaring dan membingitkan telinga. Kebetulan, mereka hanya bersebelahan dengan platun KRS putera. Setiap kali dia memberi arahan kawad, kami terasa ingin saja menutup telinga. Pernah dengar apabila 'mic' mengeluarkan bunyi 'sreeeeeet' ketika 'interfere' dengan wayar amplifier? Begitulah nyaringnya suara Ila. Sampai sekarang aku masih ingat suara si Ila ini. Dia merupakan KRS Puteri pertama di SM Raja Abdullah. Batch aku yang mula2 melatih KRS Puteri di SM Raja Abdullah semasa kami berada di tingkatan 4 pada tahun 1995 (sebelum perasmian KRS peringkat kebangsaan). Di antara ahli platun Ila ialah 'Halus'. Tanya dia.

Kawad kaki kanan adalah identiti KRS. Tidak ada unit2 beruniform di sekolah yang pernah mendahului KRS berkawad menggunakan kaki kanan. Banyak hikmahnya yang tidak dapat aku huraikan satu persatu. Cukuplah sekadar memahami bahawa Rasulullah S.A.W. sangat suka memulakan langkahnya menggunakan kaki kanan untuk perkara2 yang baik. Inilah pengajaran yang Cikgu Thani ambil untuk diajarkan kepada semua ahli KRS, pada mereka2 yang ingin mengambil pengajarannya. Sekian.

Ekspedisi Berbasikal


Berbasikal kini bukanlah lagi trend anak muda zaman sekarang. Mereka lebih suka menunggang motosikal yang jauh lebih laju dan tidak menggunakan tenaga sendiri. Sehinggakan ada yang sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menambahkan lagi kuasa motor untuk mencapai had kelajuan maksima. Tidak ketinggalan juga yang menambah eksessori motosikal mereka dengan pelbagai 'trend' masa kini. Yang lebih parah adalah mereka2 yang terlibat dalam pelumbaan haram yang juga dikenali sebagai 'mat rempit'.

Dahulu, basikal didatangkan dalam pelbagai jenis dan rupa. Ada basikal BMX, ada basikal 'Jipang' (biasanya basikal jenis ini telah diubahsuai), basikal 'Racing', Mountain Bike dan banyak lagi. Menyedari hakikat ini, Cikgu Thani telah merancang pelbagai program termasuk yang melibatkan pengembaraan berbasikal. Sehingga kini, ujian kenaikan pangkat Pegawai Waran KRS dimasukkan aktiviti berbasikal sebagai salah satu komponennya. Untuk yang tidak pernah tahu asal usul aktiviti berbasikal di dalam KRS, mari kita bersama-sama mengikuti catatan ini hingga akhir.

Semasa zaman Pak Chu, Abang Rulan dan seangkatan dengan mereka, pengembaraan berbasikal dilakukan dengan menggunakan basikal BMX. Aku masih simpan gambar Cikgu Thani yang sedang melakukan 'Willy' menggunakan basikal tersebut. Namun, dalam catatan ini aku ingin berkongsi pengalaman aku mengembara bersama-sama Cikgu Thani ke Sg Pisang (sempadan gombak-karak) dengan berbasikal.

Ekspedisi tersebut di ketuai oleh seorang ahli KRS daripada SM Maxwell, Jalan Ipoh yang kami panggil 'Am'. Di waktu itu aku berada di tingkatan 2 sementara Am berada di tingkatan 3. Jalinan KRS antara SM Raja Abdullah dengan SM Maxwell ketika itu agak rapat. Mereka selalu juga turun ke SM Raja Abdullah untuk bersama-sama menjalani latihan mingguan. Ekspedisi ini diiringi oleh dua buah motosikal. Satu kepunyaan Cikgu Thani dan satu lagi kepunyaan Cikgu Amir yang dibonceng bersama dengan Abang Rahim. Mereka menunggang motosikal sebagai langkah menghadapi kecemasan seperti basikal rosak dan sebagainya.

Banyak kejadian lucu berlaku semasa ekspedisi kami. Antaranya ialah 'eksiden' sesama sendiri. Waktu itu kami baru saja melepasi kawasan Batu Muda, Ampat Tin dan memasuki lebuhraya Karak dari sana. Kami menyusur di tepi lebuhraya sambil diiringi oleh Cikgu Thani yang berada di hadapan dan Cikgu Amir & Abang Rahim yang berada dibelakang sekali. Kami berkayuh agak laju ketika itu. Maklumlah, masing2 menunggang 'Mountain Bike' yang mempunyai gear yang boleh dimanipulasi untuk menyesuaikan penunggang dengan kayuhan yang bergantung kepada bentuk muka bumi. Tiba2 Cikgu Thani menekan brek. Apa lagi, kami yang sedang mengayuh basikal secara agak rapat tidak sempat menekan brek. Kami berlanggar antara satu sama lain hingga ada yang tergolek. Seingat aku, jatuhan aku semasa itu agak 'hensem'. Setelah memastikan semua peserta ekspedisi tidak mengalami apa2 kecederaan serius, Am memulakan kayuhannya semula untuk ke destinasi diikuti pula oleh kami.

Semasa di batu 12 gombak, Cikgu Thani singgah di Muzium Orang Asli di situ. Arshad, yang terkenal dengan sifat suka mengusiknya juga ikut. Ditambah pula dengan kawan rapatnya yang bernama Norman. Mereka memang sering bersama dan tentu sekali, gelak bersama. Semasa berada di dalam Muzium, kami melewati beberapa gambar orang2 asli dan keturunan mereka yang digantungkan di dinding. Aku tidak mahu cerita secara terperinci bagaimana bentuk gambar tersebut tetapi dek kerana kepelikannya, Arshad dan Norman terlepas ketawa berdekah-dekah sehingga semua pengunjung Muzium bergegas ke tempat Arshad dan Norman berada. Mereka (termasuk Cikgu Thani) sangkakan ada pergaduhan berlaku dek kerana kuatnya dekahan ketawa mereka. Apalagi, Cikgu Thani berasa malu yang amat sangat dek kerana peristiwa itu. Aku dan kawan2 lain yang baru saja hendak melangkah masuk ke Muzium terus diarahkan untuk meneruskan perjalanan. Rugi rasanya kerana tidak sempat untuk melawat ke seluruh kawasan Muzium. Seingat aku, Muzium tersebut masih lagi ada di batu 12, Gombak.

Semasa perjalanan pulang ke SM Raja Abdullah, ada peristiwa yang berlaku yang aku tidak mungkin dapat lupakan. Kami di waktu itu baru bertolak daripada sebuah asrama tahfiz (kami bermalam di sana) menuju ke sekolah. Beberapa minit selepas perjalanan bermula, kami terdengar latahan daripada belakang. Rupa2nya ianya reaksi spontan Norman kerana tayar basikalnya tercabut! Hendak kami gelak, kasihan pula melihat Norman yang terjelupuk jatuh. Tapi kalau tidak gelak kami takut sakit perut pula. Untuk mengelakkan perut daripada sakit, kami gelak sikit2. Cukup sekadar memenuhi reaksi hormon gelak yang tersebar sejak tadi. Cikgu Amir membawa Norman yang menggendung basikalnya sambil membonceng motor. Mereka membaiki basikal tersebut di sebuah kedai basikal di Gombak. Dengar cerita daripada Norman, rim basikalnya bengkok. Mujurlah dia menunggang basikal 'Racing' bukannya 'Mountain Bike'. Kalau tidak, sakit juga bahu untuk menggendong basikal itu sambil membonceng motor. Mungkin ini balasan daripada gelakkan orang asli agaknya? Kesian..kesian.

Itulah di antara pengalaman aku menunggang basikal dalam sebuah ekspedisi yang diuruskan oleh Cikgu Thani. Banyak sebenarnya nilai2 yang boleh diambil daripada peristiwa2 tersebut. Kesetiakawanan, sifat selalu berhati-hati, jangan memandang rendah orang lain dan pelbagai lagi nilai2 murni yang telahpun Cikgu Thani terapkan melalui ekspedisi berbasikal tersebut. Aku berharap agar aktiviti ini kekal menjadi identiti KRS buat selama-lamanya. Biarlah zaman berubah, namun aktiviti berbasikal tidak tenggelam dek masa yang berlalu. Sekian.