Isnin, 31 Ogos 2009

Sambutan Hari Kemerdekaan


Bersempena dengan kedatangan 31 Ogos 2009, maka seluruh rakyat Malaysia begitu bersemangat sambil melaungkan kata2 keramat, 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!'. Laungan kemerdekaan ini memang mudah dizahirkan tetapi maksud sebenar kemerdekaan, ramai yang tidak menghayatinya. Lihat sajalah remaja pada hari ini. Pelbagai gaya dan ideologi yang mereka 'import' dari barat. 'Stylo' kata mereka. Stylo apa kalau minda mereka masih dijajah? Mengapa tidak mereka bergaya seperti Panglima2 Melayu dahulu, atau seperti Wong Fei Hung dan bermacam-macam lagi? Kita sudah ada adat dan adab bangsa sendiri, mengapa mesti diikut-ikutkan orang putih yang tidak mempunyai budaya keturunan sendiri? Jawabnya, tepuk dada tanya selera.

Aku teringat ketika tahun 2008, ahli2 KRS SMK Raja Abdullah diminta oleh Pengetua untuk membuat persembahan ketika majlis 'Ambang Merdeka'.. Ketika itu aku yang juga guru KRS diminta untuk melatih sebuah pentomen yang berkonsepkan 'Ambang Merdeka'. Setelah duduk berbincang dengan ahli2 KRS di situ seperti Muhsinin, Adha, Tuan Amir dan ramai lagi, kami mendapat idea untuk merealisasikan sebuah drama pentas yang dilakonkan sendiri oleh semua ahli KRS tingkatan 4, 5 dan 6.

Ceritanya bermula di sebuah kampung yang aman damai. Kelihatan seorang ayah (Khuzaifah) dilayan oleh isterinya (Zainazlina) dengan secawan teh ketika tirai dewan dibuka. Anak2 mereka (KRS puteri) sedang bermain tengteng dan batu seremban. Babak ini mengambil masa selama 2 minit. Kemudian, mereka diserang oleh sekumpulan komunis yang diketuai oleh Abu. Habis semua barang dalam rumah (prop) dirosakkan dan si ayah dibelasah oleh komunis sehingga pengsan. Mereka (komunis) seakan meraikan kejayaan mereka sambil mengusik anak2 dara si Khuzaifah. Beberapa minit selepas itu, datang pula pasukan Askar Melayu menyerang pasukan komunis tersebut. Mereka datang dari pelbagai arah. Ada yang masuk ikut belakang dewan, ada yang berlari dari pintu hadapan dewan dan menyelinap di celah2 pelajar2 SMK Raja Abdullah yang lain dan ada yang masuk mengikut sisi dewan. Maka, berlakulah tembak menembak dengan penuh dramatis sekali diiringi oleh bunyi audio yang berdentam dentum. Beberapa minit kemudian, kelihatan Panglima2 melayu bertarung dengan saki baki komunis menggunakan silat. Akhirnya, komunis berjaya ditumpaskan. Tirai pun ditutup. Drama pentas tidak habis begitu saja. Tirai dibuka semula dan kelihatan ahli2 KRS tersusun seperti Tugu Negara. Ada komunis yang telah tumpas, ada Askar Melayu yang gugur, ada Askar Melayu yang memegang senjata dan ada Askar Melayu yang memegang bendera Malaysia. Kemudian, Pengetua dijemput untuk melaungkan 'Merdeka!' sebanyak 3 kali. Persembahan disudahi dengan nyanyian lagu2 patriotik yang dinyanyikan bersama-sama oleh semua yang berada di dalam dewan.

Pengetua cukup memuji lakonan ahli2 KRS tersebut. Beliau merasakan seolah-olah berada di dalam situasi sebenar. Aku puas. Cukup puas. Begitulah sebenarnya nilai2 yang ingin aku terapkan di dalam diri pelajar2 aku. Mereka perlu sedar, kemerdekaan yang mereka kecapi bukanlah melalui satu jalan mudah. Malah, ramai nenek moyang kita yang gugur demi memerdekakan tanahair tercinta daripada penjajah. Biarpun kita tidak merasa apa yang mereka rasa, sekurang-kurangnya kita menghayati dan menghargai pengorbanan mereka. Pada aku, Cikgu Thani juga adalah pejuang kemerdekaan. Beliau berjuang agar anak bangsa Malaysia tidak lagi dijajah baik dari segi fizikalnya mahupun mental mereka. Sekian.

Ahad, 30 Ogos 2009

Guru Sejati


Sesetengah pelajar apabila sudah tamat persekolahan, sangat jarang bertemu semula dengan guru mereka. Maklumlah, ada yang sibuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ada yang masuk Angkatan Tentera Malaysia, ada yang sibuk bekerja dan membina kerjaya serta pelbagai lagi sebab2 peribadi. Mungkin, ada sesetengah guru hanya menjadi guru semasa di sekolah sahaja, namun di luar kawasan sekolah, mereka hanya sebagai orang2 kebanyakan. Berbeza dengan Allahyarham Cikgu Thani, beliau tetap seorang guru walau di mana beliau berada. Aku berani mengatakan begini kerana aku selalu berada di luar kawasan sekolah bersama-sama beliau. Sama ada pergi ke rumahnya di Ampat Tin, pergi ke Port Dickson semasa mesyuarat ABIM dan banyak lagi. Apa yang aku maksudkan beliau sebagai seorang guru walau di mana beliau berada adalah berkenaan jatidiri beliau yang selalu mendidik, tegas, memberi kasih sayang sebagai seorang guru dan selalu menjaga etika2 beliau sebagai seorang guru.
Pernah satu ketika seorang guru di SM Raja Abdullah mempersoalkan mengapa Cikgu Thani sering menerima kunjungan daripada pelajar2 lama beliau walaupun sudah menamatkan persekolahan. Pada aku, bekas2 pelajar tersebut sangat menghargai beliau sebagai seorang guru yang benar2 ikhlas mendidik. Jangan ceritalah tentang berapa banyak duit yang beliau habiskan atas nama perjuangan KRS. Separuh gaji bulanan beliau akan digunakan untuk memastikan aktiviti2 KRS dapat dijalankan. Aku tahu, kerana selalunya di waktu itu ahli2 KRS pergi perkhemahan hanya membayar yuran sekitar RM5 hingga RM10 sahaja (paling mahal & paling jauh) bergantung kepada tempat dan aktiviti yang hendak dijalankan. Perkhemahan pula bukannya di sekolah, malahan tempat2 seperti Hutan Lipur Lentang, Port Dickson, Desaru dan banyak lagi. Kalau hendak diikutkan, dahulu bantuan ko-kurikulum bukannya banyak. Lagipun, diwaktu itu bukannya ada Penolong Kanan Ko-Kurikulum (PK Koko). PK Koko ini merupakan antara jawatan yang baru dalam hierarki guru. Semasa aku bersekolah dulu pun, jawatan ini belum wujud. Lagipun, ko-kurikulum belum di ambil sebagai salah satu penilaian dalam SPM. Begitulah Cikgu Thani, sanggup mengorbankan apa saja miliknya asalkan perjuangannya dalam pendidikan dan KRS mencapai objektif yang diharapkan.

Satu lagi berkenaan uniform KRS. Sepanjang aku menjadi ahli KRS di SM Raja Abdullah, aku hanya membeli 2 helai baju sahaja. Satu T-shirt yang ada tulisan Asshababul Mustaghbal dan satu lagi uniform KPIM yang aku beli semasa di tingkatan 2 (naik pangkatlah sikit waktu ini). Selain daripada itu, baju KRIS dan baju KRS aku tidak beli. Sebaliknya, baju KPIM Cikgu Thani tukar dengan baju KRIS menggunakan sistem barter. Begitu juga semasa baju KRIS kepada baju KRS, ditukar dengan sistem barter. Kalau ikutkan logik, siapa lagi yang hendak membeli baju2 lama tersebut? Aku tahu Cikgu Thani menggunakan duitnya sendiri tetapi aku masih muda ketika itu. Masih lagi belum mempunyai pertimbangan yang dewasa. Aku ambil sebab aku berasa bangga Cikgu Thani seolah-olah menghadiahkan baju tersebut kepada aku dan kawan2. Sayangnya, aku cuma sedar ketika sudahpun bergelar mahasiswa. Rupa2nya hadiah yang diberikan merupakan jerit tangis beliau yang tidak pernah disuarakan. Begitulah keikhlasan Cikgu Thani. Sanggup memberi barang yang paling beliau sayang meskipun beliau susah.

Aku ingin menyatakan di sini bahawa Cikgu Thani tidak pernah hidup mewah walaupun hidupnya senang. Bezakan perkataan 'mewah' dan 'senang'. Mewah bersangkut dengan harta dan kekayaan tetapi senang merupakan apa yang ada dihati. Kaya tidak semestinya senang dan miskin tidak semestinya susah. Semasa pemergian beliau pada tahun 2003 pun, beliau tidak meninggalkan harta yang banyak kepada waris2nya. Cuma beberapa ringgit hasil daripada KWSP, insurans dan gratuiti (yang beliau tidak pernah dapat nikmati) serta sebuah proton waja (pemberian Pak Chu). Namun, apa yang beliau tinggalkan adalah sebuah perjuangan yang harus diteruskan oleh generasi2 baru dalam usaha untuk mendidik anak bangsa untuk menjadi rakyat Malaysia yang terdidik secara menyeluruh dan berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara. Sekian.

Silat Kambing Mengaum


Ada seorang senior (abang Azeri) baru2 ini meminta aku untuk menyiarkan berkenaan silat yang pernah Allahyarham Cikgu Thani ajarkan kepada ahli2 KRS. Memang aku tidak menafikan bahawa Cikgu Thani pernah mengajar Silat Harimau kepada anak2 buahnya tetapi bukan semua yang terpilih untuk belajar silat ini. Kebiasaannya silat ini akan diajarkan pada hari ahad di kawasan surau lama SM Raja Abdullah. Namun, aku tidak pernah terlibat dalam silat ini. Mungkin dek kerana rumah aku agak berjauhan dengan sekolah, Cikgu Thani tidak pernah mempelawa aku untuk menyertai silat ini. Oleh itu, abang Azeri, aku minta maaf kerana aku tidak mempunyai rentetan pengalaman berkenaan Silat Harimau yang pernah Cikgu Thani ajarkan. Yang aku tahu cuma tomoi sahaja. Itupun dah banyak lupa sekarang ini kerana tidak lagi mengamalkannya. Aku mengamalkan seni beladiri yang lain sekarang ini.

Namun, ada peristiwa berkenaan dengan silat yang aku tidak pernah lupa. Dahulu, semasa Cikgu Thani masih di SM Raja Abdullah, beliau ada menampal satu senarai nama silat dibelakang pintu masuk bilik beliau (Markas KRS). Sekali lalu memang tidak perasan sebab senarai itu terletak dibelakang pintu. Maknanya, sekiranya seseorang itu hanya sekadar pelawat yang jarang2 masuk bilik tersebut, mereka tidak akan perasan. Akan tetapi, semua ahli KRS yang selalu 'bertandang' ke bilik beliau pasti perasan akan senarai ini. Banyak nama2 silat yang aku tidak pernah dengar sebelum ini hingga sekarang. Di antaranya adalah 'Silat Kambing Mengaum'. Aku tidak pasti sama ada silat ini benar2 wujud ataupun tidak. Apa yang pasti, sehingga sekarang aku tidak pernah lupa akan nama silat ini. Mana tidaknya? Mana ada kambing mengaum? Kambing mengembek, harimau yang mengaum! Entahlah, aku pun tidak mahu komen panjang. Mungkin senior2 lebih mengetahui. Untuk pengetahuan semua, senarai ini berbentuk 'sticker' yang pada waktu itu tidak banyak company yang boleh mencetak seperti itu.

Tahun 2008, aku berkesempatan menjadi guru di sana. Salah satu kemahiran yang telah lama hilang di dalam KRS SMK Raja Abdullah adalah seni beladiri. Namun, alhamdulillah, aku berjaya mengajar pelajar2 tingkatan 3, 4, 5 & 6 satu seni beladiri. Aku tidak mahu menyebutkannya di sini. Mungkin pada mereka2 yang tahu (sama ada pada gambar atau yang hadir sendiri ke SMK Raja Abdullah) faham mengapa aku tidak mahu menyatakannya di sini. Hal ini melibatkan sebuah persatuan silat. Namun, sebenarnya perkara ini sudah selesai. Niat aku hanya ingin mendidik anak2 bangsa supaya mereka faham tentang seni beladiri. Sudahpun bergelar guru, tentu keinginan aku untuk melihat anak bangsa aku terdidik secara menyeluruh menjadi objektif utama hidup aku. Aku tidak tahu, mungkin juga perasaan ini pernah dirasakan juga oleh Cikgu Thani dan guru2 yang lain. Hanya 'guru' yang mengerti.

Apapun, seni beladiri merupakan salah satu silibus dalam KRS. Aku tahu, bukan semua guru KRS yang memiliki semua ilmu KRS namun sekiranya tidak mempunyai kemahiran, rujuklah pada yang lebih mengetahui. Kalau ingin rujuk sendiri di SMK Raja Abdullah pun boleh. Insyaallah, ada beberapa guru di sana yang boleh membantu. Ini adalah kerana x-KRS SMK Raja Abdullah juga mempunyai beberapa consultant yang boleh memberi khidmat nasihat, latihan dan kursus untuk ahli2 KRS termasuk kursus2 asas, kursus2 advance, kursus kenaikan pangkat dan lain2 lagi. Sekian.

Kelas Fardhu Ain


Allahyarham Cikgu Thani sangat menitikberatkan soal kerohanian. Sebab itu, salah satu elemen dalam silibus KRS itu sendiri merupakan 'Kerohanian'. Kerohanian merupakan perbezaan paling besar yang membezakan KRS dengan unit2 beruniform yang lain. Seperti yang telah saya catatkan di dalam catatan yang lepas, KRS itu sendiri berasal daripada sebuah persatuan yang berorientasikan kerohanian. Tidak hairanlah sesetengah personal yang terlibat dalam KRS memanggil Cikgu Thani sebagai 'Ustaz'. Malahan Ustaz Ahmad Faradila daripada Taman Tun juga merupakan seorang ustaz. Cikgu Anuar (Titiwangsa) juga ada yang memanggil beliau ustaz. Namun, Cikgu Anuar lebih popular dengan panggilan 'Major Anuar'. Beliau sekarang ini merupakan pengetua SMK Seri Titiwangsa.

Semasa aku masih di SM Raja Abdullah, kelas fardhu ain diadakan pada setiap hari Isnin hingga Khamis. Namun, hari Khamis kebiasaannya kami akan membaca Surah Yassin beramai-ramai. Waktunya adalah sebelum masuk sekolah iaitu bermula pukul 11:30 pagi sehingga pukul 12:45 tengahari. Kelas fardhu ain hanya diadakan untuk ahli2 KRS sesi petang sahaja (tingkatan 1 & 2) kerana Cikgu Thani mengajar di sesi petang. Setiap ahli2 lama KRS pasti mempunyai sijil kelas fardhu ain yang ditandatangan sendiri oleh Cikgu Thani. Ini bermaksud, pada awal perkenalan, seseorang ahli KRS diwajibkan untuk mendalami ilmu agama dahulu di samping ilmu2 KRS yang lain. Begitulah Cikgu Thani mendidik kami supaya mengenal agama dahulu sebelum yang lain2. Aku tidak pasti berapa banyak sekolah yang masih mengamalkan apa yang telah Cikgu Thani buat namun aku dapat merasakan tidak banyak sekolah yang berbuat demikian.

Kebiasaannya, Cikgu Thani sendiri yang akan memberi syarahan agamanya pada setiap kelas fardhu ain yang kami hadiri. Namun sekiranya beliau tidak berkesempatan kerana terlibat dengan urusan2 lain, Ustaz Zulkifli atau Abang Isa (masih lagi bekerja di SMK Raja Abdullah) yang akan ambil alih. Kedatangan kami akan diambil oleh ketua kumpulan dan dicatatkan di dalam sebuah buku kedatangan fardhu ain. Sekiranya banyak kali tidak hadir kelas fardhu ain, Cikgu Thani akan memberi beberapa kali amaran kepada ahli KRS tersebut sebelum 'membuang' keahliannya. Begitulah Cikgu Thani yang sangat tegas terhadap anak buahnya (ahli2 KRS) agar mereka dapat menjadi seorang rakyat Malaysia yang bersahsiah tinggi, dinamik dan berdisiplin. Sebab itulah, daripada 70 orang yang menyertai KRS semasa berada di tingkatan 1, cuma 5-10 orang sahaja yang berjaya beristiqamah dalam KRS semasa berada di tingkatan 5. Mereka yang keluar daripada KRS pun dek kerana dibuang keahlian mereka dan tentu sekali mereka amat menyesali apa yang telah mereka lakukan. Cikgu Thani sangat tegas dalam memastikan anak2 buahnya tidak melakukan kesalahan2 melampau yang boleh menjatuhkan iman dan moral mereka. Sesuai dengan motto KRS itu sendiri, 'Berilmu, Beriman dan Beramal'.

Hari Khamis pula kebiasaannya kami akan membaca yassin beramai2 (seperti di dalam gambar). Ahli2 KRS tingkatan 2 akan bergilir-gilir mengetuai bacaan Yassin tersebut. Sesekali, Cikgu Thani yang akan mengetuai bacaan Yassin. Beliau sebenarnya ingin menerapkan nilai2 seorang ketua di dalam diri ahli2 tingkatan 2 memandangkan mereka bakal menjadi teraju utama KRS SMK Raja Abdullah apabila berada di tingkatan 4 kelak. Selain daripada itu, Cikgu Thani ingin memupuk sifat berani ke hadapan dari kalangan anak2 buahnya. Sebab itu, anak2 buahnya boleh diharap oleh guru2 yang lain untuk menjadi Pengerusi Majlis, membuat persembahan pentas, mengetuai bacaan doa dan pelbagai lagi yang melibatkan aktiviti2 majlis rasmi. Kami biasanya digelar 'anak Thani' oleh guru2 dan pelajar2 SM Raja Abdullah. Di waktu itu, anak2 Thani merupakan pelajar2 yang boleh diharapkan dan mempunyai nilai2 kepimpinan yang tinggi. Sebab itu, anak2 Thani kebiasaannya rapat dengan guru2 yang lain. Kepimpinan KRS yang tinggi ini terkesan sehingga sekarang di SMK Raja Abdullah. Walaupun Cikgu Thani telah tiada, Cikgu Amir masih meneruskan penerapan nilai2 kepimpinan ini di kalangan ahli2 KRS. Sehingga sekarang, ahli2 KRS SMK Raja Abdullah akan terlibat secara langsung dalam semua majlis rasmi yang diadakan.

Bila mengenangkan kelas fardhu ain, teringat surau SM Raja Abdullah yang lama. Surau itu telah dirobohkan dan diganti dengan sebuah bangunan blok 3 tingkat. Surau kini berada dibahagian bawah bangunan berkenaan. Tentu sekali surau yang lama dahulu mempunyai banyak nilai sentimental terutama dikalangan ahli2 KRS yang lama. Namun, baru atau lama bukan persoalannya. Tetapi bagaimana kita mengimarahkannya menjadi tujuan utama. Semoga KRS akan terus memperjuangkan amali dan konsep kerohanian ini sampai bila2. Sekian.

Sabtu, 29 Ogos 2009

Tomoi


Salah satu daripada silibus KRS merupakan 'Seni Mempertahankan Diri'. Tidak kira seni beladiri yang mana, asalkan guru2 KRS dapat menginstallasikan ahli2 KRS dengan seni mempertahankan diri. Jika KRS dilihat sebagai salah satu platform untuk menyediakan rakyat Malaysia yang mampu berdikari, tentu sekali seni beladiri amat penting sebagai satu persediaan menghadapi ancaman musuh. Tambahan pula, dewasa ini kita selalu mendengar kes2 seperti rogol, ragut, rompak, pecah rumah dan bermacam-macam lagi termasuk kes bunuh! Remaja perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan2 ini. Bagaimana? Tentu saja melalui pembelajaran seni beladiri.

Di sekolah, apabila sudah menyertai satu2 unit beruniform, pelajar tidak digalakkan lagi untuk menyertai unit2 beruniform lain sebagai pasukan kedua dalam portfolio ko-kurikulum mereka. Ini adalah kerana hanya satu sahaja unit beruniform yang akan dipilih untuk dinilai oleh bahagian ko-kurikulum. Ko-kurikulum setakat ini meliputi 10% daripada keseluruhan penilaian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walaupun ketika aku bersekolah dahulu perkara ini masih belum dilaksanakan tetapi sekarang merupakan satu kewajipan kerana ianya dinilai secara langsung dan memberi kesan kepada kuota untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Maka, tidak hairanlah sekiranya ada pelajar yang telah menyertai KRS terpaksa menguburkan minat mereka menyertai pasukan Silat atau Tae Kwan Do kerana tidak memberi keuntungan kepada mereka dari segi penilaian SPM. Namun, sekiranya guru2 KRS itu sendiri sedar tentang silibus KRS itu sendiri, tentunya kemahiran seni beladiri dapat diterapkan di dalam aktiviti2 mingguan dan rasmi yang dijalankan.

Semasa aku bersekolah di SMK Raja Abdullah, Cikgu Thani gemar mengadakan 'sparring' berbentuk tomoi. Kebiasaannya aktiviti tomoi ini dijalankan sebelum tamat latihan mingguan yang selalunya diadakan pada setiap hari sabtu. Kami selalu dibenarkan pulang lebih kurang jam 1 petang. Maka, pada pukul 11:30 pagi perlawanan tomoi akan diadakan sekiranya tidak ada lagi aktiviti atau pengisian yang ingin beliau berikan pada hari tersebut. Selalunya yang menjadi pengadil adalah para senior dan Cikgu Thani menjadi pemerhati. Yelah, takut ada yang melampaui batas, terpaksalah beliau campur tangan untuk menyelesaikan ketidakpuasan hati tersebut. Maklumlah, remaja. Semuanya berdarah panas dan pendekar! Pada masa ini juga, sekiranya ada ahli KRS yang tidak berpuas hati dengan sesiapa boleh masuk gelanggang. Perkara hati diselesaikan secara jantan. Namun, Cikgu Thani cukup peka mengawal keadaan. Niat beliau bukannya untuk melaga-lagakan tetapi untuk masing2 mendapat sedikit kemahiran dan keberanian. Sekali-sekala Cikgu Thani mengajar cara2 untuk bertomoi, peraturan2, pantang larang dan petua2 seperti mengeraskan tulang kering dan sebagainya.

Ada satu peristiwa yang pernah Cikgu Thani ceritakan kepada aku dan kawan2. Semasa itu beliau sedang menerangkan pantang larang dalam bertomoi iaitu 'Sepak Minang'. Sepak minang ini merupakan satu sepakan yang ditujukan khas ke bahagian penyawa (anu). Cikgu Thani melarang sama sekali sepakan ini kerana pernah satu ketika seorang ahli KRS terkena sepakan ini daripada seorang ahli KRS yang lain. Kalau setakat senak saja tidak mengapalah, tetapi sepakan itu memberi kesan yang agak luar biasa. Sepakan itu menyebabkan kantung 'telur' mangsa kosong kerana 'telur'nya telah terlari ke bahagian ari2 (ke bahagian atas anu berhampiran bahagian bawah pusat). Jenuh Cikgu Thani mengurut mangsa untuk menurunkan semula 'telur' tersebut ke tempat asalnya. Nasib baik berjaya. Sejak itu Cikgu Thani cukup menekankan pantang larang ini. Dan seperti biasa, kami menurut saja kata2 beliau. Yelah, masing2 faham tentang perasaan si mangsa itu. Sebab, kami pun lelaki juga. Mana ada lelaki yang tidak sayang anunya. Hmm...

Sekarang ini, perlawanan tomoi sudah tidak lagi diadakan di SMK Raja Abdullah. Pertama, alatannya pun sudah tiada. Entah hilang ke mana. Maklumlah, banyak pihak yang suka meminjam tetapi susah pula memulangkannya semula. Akhirnya, tidak ada siapa yang mengaku mengambil 'boxing glove' tersebut yang sepatutnya ada 4 pasang kesemuanya. Kedua, tidak ada sesiapa yang pandai mengurut. Yelah, kalau jadi lagi kisah 'Sepak Minang' tadi tidak ke naya? Sudahlah sakit, tidak ada siapa pula yang pandai hendak membetulkan kedudukannya kembali. Siapa yang hendak bertanggungjawab? Jawabnya, tidak payahlah susah2 buat perlawanan tomoi lagi. Nanti, kemahiran tidak dapat, kejantanan pula tergugat. Sekian.

Khidmas


Antara kelainan yang ada pada KRS adalah Khidmat Masyarakat atau perkataan singkatnya, Khidmas. Memang, Persekutuan Pengakap mempunyai satu slot silibus yang dipanggil 'Perkhidmatan' tetapi ianya agak berbeza dengan Khidmas KRS. Khidmas KRS pada asalnya merupakan penglibatan Arwah Cikgu Thani sendiri dalam kemasyarakatan. Di sekitar kawasan SMK Raja Abdullah, siapa yang tidak mengenali Cikgu Thani? Hampir semua orang kenal dan amat menyenangi beliau. Tambahan pula jika ada di antara anak2 mereka yang bersekolah di SMK Raja Abdullah.

Salah satu daripada aktiviti Khidmas yang selalu aku sertai ialah Penanggar Perkahwinan. Sesiapa yang mengenali Cikgu Thani tentu tahu bahawa beliau tidak sesekali mengambil sebarang upah ketika mengarahkan anak2 buahnya (ahli2 KRS) menjadi penanggar. Cuma, pihak keluarga pengantin perlu menyediakan 'transport' sekiranya kawasan perkahwinan agak jauh daripada sekolah. Dan kadang2, pihak keluarga pengantin sendiri yang memberi kami sedikit buah tangan untuk dibawa pulang tanpa diminta oleh Cikgu Thani. Maklumlah, adat melayu 'Orang Memberi Kita Merasa, Orang Berbudi Kita Berbahasa'. Selain daripada menjadi penanggar, kadang2 pihak keluarga pengantin juga ada meminta kami untuk memalu kompang mengiringi pengantin dan membuat persembahan nasyid. Selalunya, akulah yang mengetuai (penyanyi utama) persembahan nasyid tersebut setelah abang Shahrul dan abang Faizal tamat persekolahan. Antara 'otai2' kompang kami termasuklah senior setahun aku, abang Azri dan abang Nizam. Tidak lupa juga rakan2 sebaya seperti Azmi (adik Azri), Jefridin dan Rahimmudin.

Selain daripada Penanggar Perkahwinan, kami juga selalu dijemput untuk membuat macam2 persembahan pentas seperti nasyid, sajak, lakonan dan pelbagai lagi. Merata Malaysia kami mengembara membuat persembahan. Antara lokasinya ialah Politeknik Port Dickson, Maktab Perguruan Teknik (tempat aku buat KPLI sekarang ini), Pusat Belia Cheras, sekolah2 di negeri Johor, sekolah2 di Pulau Pinang, sekolah2 di sekitar Kuala Lumpur dan banyak lagi tempat2 yang aku sudah lupa. Antara perkara yang tidak boleh aku lupakan adalah semasa aku mendeklamasi sajak di Maktab Perguruan Teknik sekitar tahun 1993 (tingkatan 2). Kebetulan 'mic stand' yang disediakan oleh pihak maktab mempunyai masalah dengan spring pemegang sisinya (untuk menghala ke kanan dan ke kiri). Mereka hanya 'selotape' saja sisi 'mic stand' tersebut. Aku pula sudah berlatih sajak beserta dengan gaya dan intonasi yang tertentu termasuk 'duduk tahiyat'. Apalagi, semasa bersajak selotape tersebut terbuka dan aku terpaksa menahan 'mic' tersebut daripada melibas ke kiri menggunakan sebelah tangan. Ketika babak aku 'duduk tahiyat', aku tolak sedikit 'mic' tersebut ke kanan dan terus duduk. Sepantas kilat 'mic' tersebut melibas ke kiri seolah-olah memancung kepala aku serentak dengan pergerakan aku untuk 'duduk tahiyat'. Nasib baik tidak kena kepala. Para penonton waktu itu tergelak dek kerana peristiwa tersebut. Aku buat2 'cool' saja. Padahal dalam hati, malu tidak terkata. Malunya!

Kami juga pernah beberapa kali menyertai aktiviti membersihkan kawasan kubur terutama kawasan Perkuburan Orang2 Islam Batu 5 (belakang The Store Sg Mas). Cikgu Thani memang mengenali orang2 Masjid Abu Hurairah (Masjid Kg Batu) kerana beliau selalu berjemaah di sana. Pada hari membersihkan kubur, kelihatan yang memenuhi ruang adalah ahli2 KRS SMK Raja Abdullah. Senyum lebar tok imam, bilal, tok siak dan semua orang2 masjid melihat kami. Maklumlah, mereka kebanyakkanya sudah tua. Tentu mereka seronok melihat kami yang muda2 ini membantu mereka membersihkan kawasan kubur yang sudah tentunya amat luas. Kami bekerja bersama-sama mereka sambil mengikut arahan yang diberikan. Habis membersihkan kubur, kami bersihkan pula makanan2 yang disediakan. Sampai licin! Sampai sekarang, asal bab makan saja, berilah pada ahli2 KRS SMK Raja Abdullah. Pasti habis dan licin! Alhamdulillah, kenyang perut kami.

Untuk pengetahuan semua, di sinilah bersemadinya Allahyarham Muhammad Thani Sha'aban Al-Farisi, Pengasas KRS. Pusara beliau berada berhampiran sebuah pokok besar di situ. Sehingga sekarang, ahli2 KRS SMK Raja Abdullah selalu ke sana untuk membersihkan kubur beliau. Sesungguhnya, semangat beliau masih hidup walaupun jasad beliau telahpun bersemadi. Al-fatihah.

Jumaat, 28 Ogos 2009

Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM)


Sejarah Kadet Remaja Sekolah (KRS) sebenarnya bermula pada akhir 80-an. Aku di waktu itu masih lagi bersekolah di SRK Seri Delima, Jalan Ipoh. Daripada cerita abang2 senior, asalnya terdapat sekumpulan pengembara dari Persatuan Pelajar Islam, SM Raja Abdullah yang diketuai oleh Allahyarham Cikgu Thani yang sangat suka mengadakan aktiviti 'outdoor' dan pengembaraan. Mereka terdiri daripada beberapa orang pelajar petang (Tingkatan 1 & 2) yang sangat rapat. Antara yang masih aku ingat ialah Pak Chu (sekarang ini sibuk dengan perniagaan import-export), Abang Rulan Lembang, Abang Maizin dan ramai lagi. Tapi yang masih aku ingat 3 yang pertama aku sebutkan tadi. Sebab, Pak Chu ini memang agak rapat dengan aku semasa aku masih di SM Raja Abdullah. Abang Rulan ini sebenarnya abang kepada kawan aku, Bryan Lembang. Dan Abang Maizin, semua orang2 lama dalam KRS ingat kepada dia. Maklumlah, jurulatih yang paling garang di waktu itu sampai dapat gelaran 'Singa Putera Islam'. Selepas mereka, timbullah pula nama2 seperti abang Misran, abang Nazri, abang Hisham (titiwangsa), abang Shahrul (aku rapat dengan dia sebab satu kumpulan nasyid), abang Rahim, abang Ijad (titiwangsa), abang Faizal dan ramai lagi.

Semasa ahli Persatuan Agama Islam ini ditukar kepada Kadet Putera Islam Malaysia, aku masih lagi di sekolah rendah. Aku ingat lagi masa tu aku di darjah 5 Anggerik. Seorang kawan aku, Bryan Lembang berbincang dengan Cikgu Shahrom dan Guru Besar untuk menubuhkan Putera Islam di SRK Seri Delima. Aku antara sahabat yang baik dengannya tentu sekali menjadi antara ahli pertama menyertai Putera Islam selepas Guru Besar meluluskan usul Bryan tadi. Yang aku pelik dan terfikir sekarang ini, macamana pula boleh Guru Besar boleh luluskan begitu saja sedangkan sekarang ini kalau hendak menubuhkan apa2 unit beruniform perlu melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan pelbagai lagi borang yang perlu diisi. Walau apapun kemusykilannya, Putera Islam berjaya ditubuhkan di SRK Seri Delima. Namun, aktivitinya tidak banyak. Mungkin kerana Bryan tidak terlalu didedahkan dengan KPIM lagi di waktu itu. Mungkin dia hanya mendengar cerita daripada abangnya, Rulan Lembang. Aktiviti Putera Islam di SRK Seri Delima lebih mirip kepada Persatuan Pelajar Islam. Basuh surau, ajak kawan2 solat berjemaah, belajar mengaji Al-Quran dan macam2 lagi aktiviti berbentuk keagamaan dan tidak ada aktiviti berbentuk fizikal. Putera Islam terkubur di SRK Seri Delima selepas aku dan Bryan tamat darjah 6.

Namun, setelah aku masuk ke SM Raja Abdullah dan mengenali abang Rulan, baru aku mengerti apa yang cuba Bryan bawakan. Bryan bersekolah menengah di Victoria Institute dan aku 'lost contact' dengannya sehingga sekarang. Namun, di SM Raja Abdullah aku mengenali abangnya, Rulan Lembang. Mukanya saling tidak tumpah mirip Bryan.

Untuk ahli2 biasa KPIM, mereka hanya dibenarkan memakai T-shirt hijau yang mempunyai tulisan 'Ashababul Mustaghbal' serta seluar sekolah. T-shirt ini dijual oleh Cikgu Thani sendiri. Dari mana beliau mendapat stok, aku pun tidak tahu. Bagi yang mampu, boleh membeli 'Jungle Boot'. Kalau tidak, kasut sekolah sudah memadai. Namun, pada kami yang penuh bersemangat KPIM ini, tidak 'stylo' kalau hanya memakai kasut sekolah. Maka, ada di antara kami yang mencari boot askar dari kalangan keluarga mereka yang bekerja sebagai seorang askar. Aku membeli sendiri boot tersebut daripada sebuah kedai di Pertama Complex berharga RM65.00. Aku cukup puas memiliki boot askar tersebut dan aku jaga sepenuh hati dengan mengilatkannya dengan Kiwi + air paip. Sampai sekarang skill mengilat kasut ini masih aku praktikkan terutama untuk kasut aku pergi bekerja. Kilat beb!

Semasa aku di tingkatan 3, nama KPIM ini telah ditukarkan kepada Kadet Remaja Islam Sekolah (KRIS). Ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar perempuan untuk menyertai pasukan ini. Namun, Cikgu Thani merupakan seorang guru yang sangat tegas. Di waktu ini, belum lagi ahli2 KRIS dari kalangan pelajar perempuan di ambil oleh beliau. Untuk pengetahuan semua, antara kepantangan Cikgu Thani adalah apabila mengetahui sesiapa di antara muridnya yang ber'couple'. Maklumlah, remaja. Cikgu Thani tidak akan teragak-agak mengambil tindakan drastik termasuk 'membuang' pelajar tersebut daripada menjadi ahli Kadet. Dahulu, tindakan 'membuang' keahlian Kadet merupakan satu tindakan yang amat kami takuti daripada Cikgu Thani. Budaya ini sangat berbeza dengan sekarang. Seolah-oleh kena 'buang Kadet' ini tidak mendatangkan apa2 kesan kepada psikologi pelajar tersebut. Itulah antara perbezaan pelajar dahulu dengan pelajar sekarang.

Nama KRIS itu akhirnya diubah kepada Kadet Remaja Sekolah (KRS) semasa aku berada di tingkatan 4. Ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar2 yang bukan beragama Islam menyertai unit beruniform ini. Sebenarnya, semasa aku di tingkatan 2 pun, Cikgu Thani ada mengambil ahli2 KPIM dari kalangan bukan Islam. Nama2 seperti Mohan, Gopinathan dan lain2 masih lagi segar dalam ingatan. Mungkin dengan menukar KRIS kepada KRS dapat membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar2 bukan Islam untuk menyertai unit beruniform ini. Selain daripada itu, pihak Kementerian Pelajaran pun mendesak agar nama ini ditukarkan bersesuaian dengan negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Cikgu Thani pernah berkata kepada aku, "Li, cikgu rasa kalau semuanya sudah selesai (KRS diiktiraf), tidak ada apa lagi yang cikgu harapkan. Li mesti majukan diri dalam pelajaran". Kata2 beliau ini sememangnya tetap terngiang-ngiang dalam hati aku hingga sekarang. Aku betul2 tidak sangka, beberapa tahun selepas kata2 beliau itu, beliau benar2 pergi meninggalkan aku, kawan2, cikgu2, keluarga dan dunia ini. Pemergian beliau sememangnya satu kehilangan besar dalam KRS. Al-Fatihah.

SMK Raja Abdullah


Telahpun tercatat dalam sejarah penubuhan KRS bahawa SMK Raja Abdullah merupakan sekolah pengasas yang pertama menubuhkan KRS. Walaupun KRS hanya dirasmikan pada tahun 1995, namun sejarah penubuhannya bermula sejak hujung tahun 1980-an lagi. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa di SMK Raja Abdullah lah segala2nya bermula. Di sini jugalah tempat Allahyarham Cikgu Thani pernah menabur jasa. Jasanya yang terlalu besar dalam mendidik anak bangsa.

Aku mula bersekolah di sini pada hujung tahun 1991. Di waktu itu sesi persekolahan bukan seperti sekarang. Sesi baru persekolahan (sekolah dibuka) bermula pada setiap Disember bukan Januari seperti sekarang. SMK Raja Abdullah pun semasa itu belum bertaraf 'Kebangsaan' lagi. Semasa itu sekolah ini bernama SM Raja Abdullah. Cuma selepas aku tamat tingkatan 5 sahaja sekolah ini telah ditukar kepada SMK Raja Abdullah.

Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan telah diadakan di sekolah ini. Waktu itu aku masih berada di tingkatan 4. Perasmian ini disertai oleh 3 buah sekolah iaitu SMK Raja Abdullah, SMK Taman Tun Dr Ismail dan SMK Seri Titiwangsa. Kami bertungkus lumus membuat latihan agar setiap aktiviti yang bakal dijalankan berjalan lancar. Jangan ceritalah tentang Cikgu2 seperti Cikgu Thani, Cikgu Amir, Cikgu Fadhil, Cikgu Shaari, Ustaz Ahmad (Taman Tun), Cikgu Anuar (Titiwangsa) dan lain2 lagi, sibuk sangat2. Maklumlah, hendak menyambut kedatangan Menteri Pelajaran di waktu itu Datuk Seri Mohd Najib Bin Abdul Razak (PM sekarang). Berbagai aktiviti yang kami buat. Wall Climbing & Abseiling (papan wall climbing di markas pengakap SMK Raja Abdullah itu sebenarnya milik KRS), Kawad, Pemeriksaan Barisan, Latihan Lasak, Latihan Tali, Ran (Rumah atas pokok), Pameran dan lain2 lagi.

Aku mempunyai dua tugas iaitu Ketua Pameran dan berkawad untuk Pemeriksaan Barisan. Kedua-dua tugas ini sememangnya berat. Namun, dek kerana keghairahan dan semangat KRS, alhamdulillah, aku berjaya melakukannya dengan baik. Sebagai Ketua Pameran, tugas aku adalah memberi sedikit penerangan kepada Datuk Najib berkenaan KRS di tapak pameran yang telah aku, Cikgu Shaari dan team aku sediakan. Bayangkan, baru tingkatan 4 sudah diberi kepercayaan untuk memberi penerangan kepada Menteri. Kecut perut dibuatnya. Tangan aku ini sejuk macam air batu. Tapi aku buat2 cool saja. Maklumlah, amanah yang aku pikul ini besar dan Cikgu Thani lah yang banyak menjadi ilham aku di waktu itu. Terima kasih buat cikgu2 yang telah memilih aku memikul tanggungjawab ini. Macam2 perasaan aku rasa. Takut, cemas, bangga, menggelabah dan sewaktu dengannya.

Sebagai ahli kawad untuk Pemeriksaan Barisan, tugas aku agak menyeksakan. Bayangkan, setiap hari (sebelum perasmian sehingga hari perasmian) aku perlu terpacak di tengah2 panas berdiri tegak (bukan kawad berjalan tau!). Dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengahari. Satu peristiwa yang aku tidak boleh lupa adalah berkenaan dengan Pengerusi Majlis. Pengerusi Majlis untuk Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan telah dilantik dari kalangan guru2 KRS sendiri (aku sudah tidak ingat nama beliau). Cikgu ini datang daripada sekolah yang lain (bukan 3 sekolah yang aku sebutkan tadi). Beliau memang menggelabah. Sudahlah tidak bersedia dengan teks2 yang sepatutnya malahan kami yang terpacak ini terpaksalah menahan panas sambil mendengar lawak2 yang agak kurang pandai daripada beliau. Seorang demi seorang daripada kami rebah pitam. Alhamdulillah, aku tidak pitam kerana aku mengamalkan nasihat yang selalu Cikgu Thani berikan; makan sedikit sebelum kawad dan gerak2kan ibu jari kaki semasa berdiri lama. Selepas hari yang malang itu, kami terus membuat 'complaint' kepada guru2 masing2 berkenaan Pengerusi Majlis tersebut. Alhamdulillah, hari yang berikutnya lawak kurang pandai beliau berjaya dikurangkan atau ditiadakan langsung. Syukur.

Semasa latihan kawad Pemeriksaan Barisan, ramai ahli2 KRS yang pitam dek kerana berdiri terlalu lama dan panas (tambah dengan lawak Pengerusi Majlis). Semasa latihan, kebanyakkan yang pitam adalah daripada sekolah aku sendiri, SM Raja Abdullah. Ceh! Ada satu peristiwa yang aku tidak boleh lupa, iaitu ada seorang pelajar daripada SMK Taman Tun Dr Ismail yang bernama F. Si F ini memang kami kenal kerana ketiga-tiga buah sekolah selalu mengadakan aktiviti bersama terutama persembahan pentas. F memperlekehkan ahli2 KRS SM Raja Abdullah kerana lembek dan selalu pitam. Aku pun tidak dapat berkata apa2 sebab memang dia betul pun. Pada hari perasmian, aku pastikan setiap ahli KRS memakan sedikit makanan dan memberi nasihat kepada mereka supaya menggerak-gerakkan ibu jari kaki semasa berdiri supaya tidak pitam. Usaha aku memang berhasil. Mereka tidak seorang pun yang pitam. Tapi Allah Maha Besar, si F yang bersama2 aku berdiri depan Datuk Najib untuk pemeriksaan barisan akhirnya pitam. Yang lebih memalukan, hanya dia sahaja yang pitam pada hari perasmian tersebut. Aku tergelak sendirian bila mengenangkan peristiwa ini. Itulah, lain kali jangan suka cakap besar! Si F kali terakhir aku dengar merupakan salah seorang 'Jutawan' hasil daripada direct selling. Hebat dia sekarang ini.

Kepada sesiapa yang ingin melihat lebih dekat 'Batu Tanda' Perasmian KRS Peringkat Kebangsaan bolehlah datang sendiri ke SMK Raja Abdullah. SMK Raja Abdullah sekarang ini lebih terkenal dengan Sekolah Projek Bola Sepak Negeri (KL) daripada Sekolah Pengasas KRS itu sendiri. Tidak hairanlah ramai dari kalangan ahli2 KRS tidak mengetahui dari mana KRS diasalkan. Pada guru2 yang terlibat secara langsung dengan KRS, bolehlah merancang untuk melawat sekolah ini. Insyaallah, ada guru yang akan bantu. Sekian.

Guru Kemahiran Hidup aka Guru Disiplin


Allahyarham Cikgu Thani merupakan seorang guru yang mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup. Setakat yang aku pernah kenal, beliau mengajar Tingkatan 1 dan 2 (sesi petang) sehinggalah aku tamat bersekolah di SMK Raja Abdullah beliau mula mengajar sesi pagi. Itupun tidak lama selepas itu, beliau berpindah ke Sekolah Menengah Sains Ulu Yam. Dari segi kemahiran, Cikgu Thani memang terkenal dengan 'skill'nya yang boleh membaiki pelbagai benda. Tidak cukup dengan itu, pelbagai kemahiran yang beliau miliki hasil daripada pembelajaran secara formal ataupun tidak formal iaitu melalui pengalaman hidup beliau sendiri. Itupun di antara sebab mengapa pihak sekolah pun sangat sayang kepada beliau. Guru yang kreatif lagi 'versatile'. Mana tidaknya? Sudah nama pun guru Kemahiran Hidup.

Tingkatan 2, Cikgu Thani yang mengajar aku Kemahiran Hidup. Daripada tukangan kayu (siap ada projek lagi) sampailah sains pertanian iaitu menanam jagung. Tidak perlu balik kampung, di KL pun boleh menanam jagung. Daripada membuat batas sampailah dapat hasilnya. Walaupun jagung aku banyak yang rongak (dikerjakan serangga dan orang2 yang tidak bertanggungjawab), aku puas sebab banyak ilmu pertanian yang dapat aku pelajari daripada beliau. Sampai sekarang, alhamdulillah, kalau aku tanam apapun, insyaallah jadi. Tangan sejuk kata orang tua2.

Bilik Cikgu Thani (Bilik KRS sekarang ni) merupakan juga bilik Sains Pertanian. Banyak barang2 seperti cangkul, penyodok, pongkes dan seangkatan dengannya diletakkan di sini. Antara kenangan yang tidak boleh aku lupakan ialah semasa kali pertama Cikgu Thani panggil aku dan beberapa orang kawan untuk satu sesi penerangan mengenai Kadet Putera Islam Malaysia (KRS sekarang ini). Ada beberapa pelajar telah ditangkap kerana kesalahan disiplin. Oleh kerana beliau hendak memberi tumpuan sepenuhnya kepada sesi kami, beliau ingin mengusir pelajar2 tersebut. Namun, hukuman perlu dijalankan sebelum mereka diusir keluar. Mereka ditanya sama ada mereka mahu dirotan ataupun tidak. Tentu sekali mereka menjawab tidak. Aku pun akan lakukan perkara yang sama juga jika berada di tempat mereka. Siapa yang hendak kena sebatan Pedang Gaban itu. Naya tidak boleh duduk 'straight' seminggu. Lepas itu, beliau mengarahkan setiap seorang mengambil sebuah penyiram pokok. Kemudian, mereka perlu menanggalkan bahagian 'shower' penyiram pokok tersebut. Mereka kemudiannya diarahkan tiup penyiram tersebut sampai berbunyi. Memang kelakar diwaktu itu. Cuma tidak ada sesiapa dikalangan kami berani untuk ketawa. Jangan buat pasal. Ketua Guru Disiplin di depan mata! Setelah 5 minit, mereka masih lagi tidak berjaya membuat sebarang bunyi. Akhirnya, mereka dirotan setiap seorang satu sebatan. Ayam terlepas, tangan bau tahi. Kesian.

Apabila berjalan mengawal disiplin sekolah, biasanya Pedang Gaban akan disorokkan dibelakang. Daripada depan, nampak Cikgu Thani macam ada arial timbul dari belakang. Kelihatan, pelajar2 'wanted' bertempiaran lari. Tahu saja ada bahaya sedang menanti. Maklumlah, ada kemahiran menghidu yang tinggi. Sampai sekarang aku tidak faham. Apalah yang agaknya mereka ini takut sangat dengan Cikgu Thani? Aku pun dulu ada juga perasaan pelik bila berhadapan dengan beliau tapi tidak pernah pun lari bila nampak beliau. Aku rasa perasaan itu lebih kepada perasaan hormat kepada guru bukan takut.

Sampai sekarang aku masih ada perasaan sedih dan terkilan dengan pemergian beliau. Bukannya tidak mahu menerima takdir tetapi betapa aku masih memerlukan bimbingan dan didikan daripada beliau. Tambahan pula, aku kini seorang guru. Banyak perkara baru yang sedang aku hadapi. Aku benar2 berasa kehilangan. Kadang2, bila terkenang kisah aku dengan beliau, menitik juga air mata. Mujur ada Cikgu Amir. Walaupun beliau tidak sedar, sesetengah perkara, aku memandang beliau tidak ubah seperti Cikgu Thani. Mungkin mereka ini sudah ditakdirkan untuk menjadi seorang guru yang hebat. Jauh dalam hatiku berdoa semoga mereka tergolong dalam orang2 yang beruntung di dunia dan di akhirat kelak. Amin.

Khamis, 27 Ogos 2009

Allahyarham Muhammad Thani Shaaban Al-Farisi


Bismillah...


Sebelum aku berkongsi sedikit pengalaman aku dalam KRS, molek rasanya aku sentuh dulu serba sedikit berkenaan dengan Cikgu Thani. Pengalaman aku dengan beliau selama 5 tahun di SMK Raja Abdullah adalah pengalaman aku sendiri dan perihal beliau aku kupas berdasarkan pengalaman aku dengan beliau. Mungkin orang lain mempunyai pengalaman yang berbeza dengan beliau. Tapi itu adalah pengalaman mereka yang tidak pernah pula aku lalui.

Cikgu Thani adalah anak kelahiran Pulau Pinang. Aku pernah sekali pergi ke kampung beliau semasa aku berada di tingkatan 4 (semasa menyertai 'Perasmian KRS Peringkat Negeri' Pulau Pinang). Aku berada di sana lebih kurang 4 hari 3 malam (kalau tidak salah) bersama-sama dengan semua kawan-kawan dari SMK Raja Abdullah menaiki sebuah bas yang disewa khas untuk tujuan Perasmian KRS Peringkat Negeri. Kami tinggal di sebuah asrama di sebuah sekolah di Penang. Aku sudah tidak ingat lagi nama sekolah tersebut, maklumlah, sudah 14 tahun kisah ini berlalu. Mungkin satu hari nanti aku akan kupaskan peristiwa aku ke sana.

Ramai yang tidak tahu bahawa sebelum Cikgu Thani menjadi seorang guru, beliau pernah bekerja sebagai 'Tukang Besi' di Penang. Yelah, sementara tunggu keputusan hendak 'apply' mana2 lepas SPM, mestilah hendak cari duit sikit. Kalau tidak boleh menampung keluarga pun, cukuplah dapat menampung diri sendiri. Samalah macam Cikgu Thani. Sebagai seorang anak yang sudahpun menamatkan persekolahan, tentu saja niat dihati untuk membalas jasa ibubapa yang sudah lama mendidik dan membesarkan beliau. Namun, mengikut cerita beliau yang diceritakan sendiri pada aku, beliau cuma bekerja sebagai Tukang Besi selama beberapa bulan saja. Kemudian, beliau telah mendapat tawaran ke Maktab. Bidangnya, Sains Pertanian.

Cikgu Thani sepertimana aku mula kenal beliau merupakan seorang guru disiplin di SMK Raja Abdullah. Kebetulan, beliau merupakan seorang guru yang mengajar pelajar2 sesi petang di waktu itu. Di SMK Raja Abdullah, terdapat kelas peralihan untuk pelajar2 yang datang dari Sekolah Jenis Kebangsaan. Mereka ini memang cukup kenal dengan Cikgu Thani walaupun sebenarnya kelas peralihan semasa itu berada di sesi pagi. Pelajar2 yang telah tamat kelas peralihan akan ke Tingkatan 1 bersama-sama dengan pelajar2 dari Sekolah Kebangsaan yang biasa. Aku mula mengenali Cikgu Thani pun semasa keadaan kelam kabut pelajar2 bekas kelas peralihan yang berlari seribu langkah apabila nampak kelibat beliau. Kadang2 itu, aku pun tidak faham mengapa mereka lari sedangkan bukannya ada kesalahan apa2 yang mereka lakukan. Namun, itulah yang terjadi sebaik saja mereka nampak kelibat Cikgu Thani.

Antara perkara yang membuatkan mereka dapat menghidu kelibat Cikgu Thani adalah bau minyak atar beliau. 'Aiya, bau sani loh. Lari!' kata salah seorang dari mereka. Tajam betul deria bau pelajar2 x-peralihan ni. Aku sendiri pun masih belum cam lagi bau minyak wangi sendiri. Inikan pula minyak wangi orang lain. Tapi kata2 mereka memang ada benarnya. Sesiapa yang pernah berjumpa dengan beliau pasti dapat merasakan bau dan perasaan yang sama. 'Bau Thani'. Beliau sebenarnya sangat suka mengenakan minyak atar dari dalam tiub. Dulu memang selalu aku nampak minyak atar jenis ini. Cuma, sejak kebelakangan ini minyak atar sudahpun menggunakan botol baru (mengikut aliran zaman lah katakan). Pernah beberapa kali Cikgu Thani memberikan aku minyak atar tiub untuk dipakai. Kadang2, aku pakai dan kadang2 aku tidak pakai (macam istilah cekak pula, 'Pakai tak pakai, Tak pakai Pakai'). Bila aku duduk sendirian mengenangkan peristiwa 'Bau Thani' ini, aku boleh tergelak sendiri. Cikgu2 lama dalam KRS yang pernah mengenali beliau secara dekat mesti faham apa yang cuba aku sampaikan ini. Cuba tanya pada Cikgu Amir, Cikgu Fadhil, Cikgu Shaari, Ustaz Ahmad atau Cikgu Anuar.

Selain daripada aura wangi yang Cikgu Thani tonjolkan ini, ada lagi satu istilah yang aku tidak pernah dapat lupakan. 'Pedang Gaban'. Sudah pun namanya cikgu disiplin, mestilah ada rotan. Rotan itulah yang kami panggil Pedang Gaban. Ramai yang telah merasakan bisa Pedang Gaban ini. Walaubagaimanapun, aku tidak pernah kena sebat dengan beliau. Pernah sekali aku tergolong dalam pelajar2 bising semasa di perhimpunan sekolah (sebenarnya kawan2 aku yang bising), beliau menangkap aku dan kawan2. Namun, agaknya beliau tidak sampai hati hendak merotan aku, beliau berikan tugas merotan itu pada Cikgu Amir. Apa lagi, rotan Cikgu Amir pun tidak kurang bisanya. Itulah sekali seumur hidup aku dirotan di sekolah.

Banyak lagi perkara yang aku ingin kongsikan dengan semua pembaca. Kalau hendak taip semua, 5 tahun pun tidak habis. Mungkin aku akan kongsikan dalam catatan yang akan datang. Sekian.

Blog Aku_KRS


Assallamualaikum,


Aku tinta sedikit catatan dalam blog ini sebagai renungan dan rujukan buat sesiapa yang ingin meneruskan perjuangan dalam Kadet Remaja Sekolah (KRS). Aku mungkin bukan orang yang terbaik, sekadar ingin berkongsi sedikit pengalaman semasa bersama-sama dengan Allahyarham Guruku, En. Muhammad Thani Shaa'ban Al-Farisi, Cikgu Amiruddin, Abang2 Kadet Putera Islam Malaysia, Rakan2 seperjuangan dan Adik2 KRS dari dulu hingga sekarang. Semoga sedikit pengalaman ini dapat bersama-sama kita teruskan perjuangan mendidik anak bangsa yang telah terilham daripada Cikgu Thani kesayangan kita semua.

Suka juga aku ingatkan bahawa blog ini bukan rujukan rasmi KRS tetapi cuma sekadar rujukan pengalaman yang bakal aku kupaskan secara ilmiah dan terperinci. Aku harap semoga Allah berikan aku kekuatan, semangat dan dorongan untuk aku terus menulis blog ini dan seterusnya tetap dalam perjuangan KRS itu sendiri.

Setiap pendapat yang aku bakal kupas merupakan daripada pengalaman aku sendiri bersama-sama dengan setiap individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perjuangan KRS ini. Setiap orang pasti melalui pengalaman dan tawa tangis yang berbeza. Dari itu lahirlah pendapat yang berbeza juga. Ingin aku tegaskan di sini bahawa setiap pendapat aku adalah lahir daripada pengalaman aku sendiri. Maka, sekiranya terdapat pendapat yang bercanggah dengan sesiapa sekalipun, aku tetap dengan pendirian aku. Aku harap semua yang membaca blog ini dapat mesej yang aku cuba sampaikan. Sekian.